Catatan Hidup Seorang Aku

Saturday, June 30, 2012

Lucinda II

Why do i have to be sad everytime, and feeling lonely. Di sebalik keramaian terasa hidup ini sendiri sebenarnya. Ada orang tetapi di sudut hati merasa sedih. Apakah sebenarnya aku ini normal atau tidak normal? Susah sebenarnya. Hairannya, walaupun sedih, mata tidak mengeluarkan titisan mutiara.

Berada di tempat tenang dan sunyi. Itu impian sebenar diriku.. Entahkan boleh entahkan tidak. Impian menggunung tinggi, Banjaran Himalaya pun kalah. Nak menggapainya tidak terasa kudrat sendiri.

Kenyataannya, aku hidup dalam hiruk pikuk kota yang amat memenatkan. Tidak kunjung surut. Seharian berdepan dengan waktu yang rasanya tak dapat aku tuliskan. Hairannya, mata tidak mahu melelapkan apabila malam kunjung datang. Dan malam sebenarnya paling aku nantikan. Kerana ianya sunyi dan sepi. Mungkin satu hari nanti, aku akan menutup semua ruang komunikasi sosial dan mengikut kata hatiku sendiri. kadangkala yang paling memeritkan dalam hidup adalah melawan antara otak kanan dan kiri yang berperang sesama sendiri.

Pergi tidak sampai. Berpatah pun tidak.

Hairan ...
posted by Mirip at 3:49 AM 0 comments

Friday, June 22, 2012

Kem Kamunting

Mari ku ceritakan apakah perasaan paling malang dalam hidup. Pernahkah kau rasa dirimulah yang paling tidak berguna, tidak cantik, tidak pandai, tidak beruntung dalam kehidupan, dan seribu satu rasa segala yang tidak-tidak lagi. Apakah sebenarnya yang terjadi? Mengapa fikiranmu selalu melihat sisi gelap dan bukan sisi putih dalam hidup? Mengapakah sepertinya tidak ada sinar pelangi dalam hidupmu?

Sebenarnya itulah yang aku rasakan. Mari ku ceritakan apakah sebenarnya yang terjadi. Atau tragedi paling malang dalam hidup seorang insan. Ya tidak lain dan tidak bukan, self esteem mu menjadi kurang kalau serba yang kau lakukan tidak menjadi. Atau bukan dirimu, tetapi orang-orang di sekelilingmu? Itulah bahananya. Rasa rendah diri yang keterlaluan!

Pulang dari kem yang memenatkan itu, aku dan Maiza terus ke kota raya mengisi perut yang berkeroncong. Kami memilih sebuah kedai makan yang kelihatan masakannya enak-enak. Perut yang lapar selalu menguasai pancaindera mata bukan? Lalu kulihat semua makanan adalah enak-enak dan menyelerakan.

Saat makanan kumasukkan ke mulut, Maiza dengan selamba menyatakan sesuatu, " Hany, ada seorang lagi budak minat kat kau" Dia tidak terus memandang tepat ke mukaku, tetapi meneruskan suapan.

Aku tercengang seketika. Tidak mungkin ada orang menyukai budak tidak berperasaan ini.

"Siapa?". Lupakan pasal terkejut, aku meneruskan suapan, tidak mahu sel-sel perutku turut terhenti dengan cerita dari Maiza yang entahkan betul atau hanya jerangkap samar mengenakan diriku. Ahli-ahli rumah ini memang suka menyakat dan mengenakan orang. Aku sudah memang sangat arif dengan perangai mereka. Setiap orang mempunyai karakter sendiri. Semuanya ada perangai gila masing-masing dengan identiti sendiri teapi ada satu persamaan antara mereka. Satu persamaan yang menjadikan kesemuanya dapat menjadi satu geng kepala. Persamaan suka mengenakan kawan sendiri.

"Dia tanya aku, siapa budak perempuan berbaju biru bertudung hitam itu?" Dia memulakan penceritaan. Tanpa ditanya, Maiza bercerita. Sepertinya yang harus dilakukan kepada anak-anak, selagi disuruh melakukan, tidak mahu pula mereka lakukan. Kalau tidak disuruh, laju sahaja melakukannya. Samalah juga dengan mulut manusia. Kalau tidak ditanya, mahu pula dua bibir itu membuka cerita. Cuba kalau ditanya, kadang-kadang terasa berat mahu melayan.

"Bila?" Aku bertukar menjadi pegawai kastam.

"Hari terakhir, semalam!" Maiza tersenyum simpul.

Aku mengangguk, ya benar semalam aku berbaju biru dan bertudung hitam. "Emmmm"

"Aku jawab, namanya Hany." Maiza menyambung,"Kami satu kumpulan."

Aku memandang tepat ke mukanya. Siapakah pula gerangannya? Apakah aku kenal orangnya?

"Dia cakap. Oh Hany. Budak kelas sebelah kan.Kawan-kawan kami mengusiknya, 'Sudah hendak habis kem, barulah mahu kenal-kenal." Maiza menghabiskan saki baki lauk di pinggannya.

"Mendengar usikan budak-budak lelaki lain dalam kumpulan kami, dia pula yang tersenyum malu-malu kucing," sempat lagi Maiza mengenakan kawannya itu.

Aku mendengarnya lagi. Mahu tahu juga siapa gerangannya.

"Siapa ya?" Aku bertanya. Sesiapa juga manusia normal ingin tahu, bukan? Maiza sengaja melambatkan cerita.

."Hadi!" Dia menjawab ringkas, sambil menghirup hirupan terakhir dari plastik kristal merah jambu.
"Apa? Hadi? Kau bergurau?" Aku sedikit terkejut. Sebenarnya banyak juga gegendang dadaku yang terasa menumbuk hatiku. Kemudian, kembali gegendang itu menyurut dan terus diam tidak berkutik.

 "Ah, sekadar bertanya nama tidak bermakna apa-apa." Ku katakan kepada Maiza lalu cepat-cepat bangun dari kerusi. " Jom bayar, boleh balik terus lepas ni."

Maiza geleng-geleng kepala. " Kau memang tidak berperasaan!"

Hadi? Tidak mungkin imam kami itu!
posted by Mirip at 8:56 PM 0 comments

Apa sudah jadi dengan template... wa berkurun aku tinggalkan sampai dah lupa bagaimana mahu login ke rumah ini..

Juga kenapa sudah tiada perenggan?

Sungguh aku seorang yang convensional. Kini ku rasakan sukar menulis di blogger . Di saat kepalaku penuh dengan idea yang harus ku lontarkan.

Lalu saat ini ku tertanya sendiri, perlukah ku sambung kisah cintaku ini ?
posted by Mirip at 8:41 PM 0 comments

Friday, June 15, 2012

Hari Jumaat

Manusia ini sememangnya pelupa. Aku tidak mengatakannya kepada orang lain tetapi diriku sendiri. Setelah lama tidak menganyam tulisan di sini, lalu aku jadi lupa pada ID dan kata laluanku sendiri. Benarlah yang insan itu sebenarnya bermula dari kosa kata LUPA. Sebelum aku terlupa, aku ingin catatkan sesuatu yang penting.

Tentang manusia yang mudah lupa dan perlu sering diingatkan. Ini hakikat. Di tempatku ini, sejak diadakan Smart Casual Friday beberapa tahun yang lalu, aku melihat tempat Jumaat sebagai Hari Penghulu Segala Hari sudah dibenam bumi. Sepertinya orang sudah lupa hari ni penting dalam agamaku, agama Islam. Ada satu saat di hari ini, di mana apabila manusia berdoa, doanya tidak tertolak. Aku gembira ketika waktu kecilku, ayah akan menutup kedai pada hari ini. Kami akan berkelah, atau apa sahaja. Yang pastinya Hari Jumaat hari yang berbeza berbanding hari lain. Aku gembira dibesarkan di pantai timur di mana hari cutinya adalah hari Jumaat. Aku boleh pergi ke kubur dan sebagainya. Namun kini, entah di mana silapnya. Atau kerana penjajahan masih besar, Kota Kuala Lumpur ini menggantikan hari cuti minggunya kepada AHAD.

Aku sangat sedih. Tidak dapat aku tuliskan lebih-lebih lagi mengingatkan ianya mungkin sentimen. Tetapi itulah hakikatnya, negara ini bergelar negara Islam, Islam agama rasminya, tetapi benda sekecil seperti cuti juga mengikut budaya dan agama kaum lain. Kembali kepada topik, walaupun syarikat memberi kebebasan untuk berpakaian kasual, aku tetap dengan prinsipku. Hari Jumaat sebagai penghulu hari. DI hari lain, aku selesa berkemeja dan berseluar, tetapi apabila hari Jumaat, aku akan memakai Baju Kurung atau BaJu Kebaya, (hari raya katakan).. Kadangkala terasa keterasingan hidupku tetapi tidak mengapa, kerana rasa terasing itu seperti nya kata-kata nabi. Islam bermula dengan keterasingan dan akhirnya juga dalam keadaan terasing.

Lalu semalam, ada emel mengingatkan perihal sunnah berpakaian. Sunnah yang mudah diikuti. Ku tiba di pejabat hari ini dengan melihat satu perubahan. Ya, dengan adanya emel itu, ramai pekerja wanita di syarikat ini sudah mula berpakaian muslimah di hari ini. Lalu benarlah, manusia perlu diingatkan seiring dengan perjalanan waktu!
posted by Mirip at 9:25 AM 0 comments