Catatan Hidup Seorang Aku

Friday, June 15, 2012

Hari Jumaat

Manusia ini sememangnya pelupa. Aku tidak mengatakannya kepada orang lain tetapi diriku sendiri. Setelah lama tidak menganyam tulisan di sini, lalu aku jadi lupa pada ID dan kata laluanku sendiri. Benarlah yang insan itu sebenarnya bermula dari kosa kata LUPA. Sebelum aku terlupa, aku ingin catatkan sesuatu yang penting.

Tentang manusia yang mudah lupa dan perlu sering diingatkan. Ini hakikat. Di tempatku ini, sejak diadakan Smart Casual Friday beberapa tahun yang lalu, aku melihat tempat Jumaat sebagai Hari Penghulu Segala Hari sudah dibenam bumi. Sepertinya orang sudah lupa hari ni penting dalam agamaku, agama Islam. Ada satu saat di hari ini, di mana apabila manusia berdoa, doanya tidak tertolak. Aku gembira ketika waktu kecilku, ayah akan menutup kedai pada hari ini. Kami akan berkelah, atau apa sahaja. Yang pastinya Hari Jumaat hari yang berbeza berbanding hari lain. Aku gembira dibesarkan di pantai timur di mana hari cutinya adalah hari Jumaat. Aku boleh pergi ke kubur dan sebagainya. Namun kini, entah di mana silapnya. Atau kerana penjajahan masih besar, Kota Kuala Lumpur ini menggantikan hari cuti minggunya kepada AHAD.

Aku sangat sedih. Tidak dapat aku tuliskan lebih-lebih lagi mengingatkan ianya mungkin sentimen. Tetapi itulah hakikatnya, negara ini bergelar negara Islam, Islam agama rasminya, tetapi benda sekecil seperti cuti juga mengikut budaya dan agama kaum lain. Kembali kepada topik, walaupun syarikat memberi kebebasan untuk berpakaian kasual, aku tetap dengan prinsipku. Hari Jumaat sebagai penghulu hari. DI hari lain, aku selesa berkemeja dan berseluar, tetapi apabila hari Jumaat, aku akan memakai Baju Kurung atau BaJu Kebaya, (hari raya katakan).. Kadangkala terasa keterasingan hidupku tetapi tidak mengapa, kerana rasa terasing itu seperti nya kata-kata nabi. Islam bermula dengan keterasingan dan akhirnya juga dalam keadaan terasing.

Lalu semalam, ada emel mengingatkan perihal sunnah berpakaian. Sunnah yang mudah diikuti. Ku tiba di pejabat hari ini dengan melihat satu perubahan. Ya, dengan adanya emel itu, ramai pekerja wanita di syarikat ini sudah mula berpakaian muslimah di hari ini. Lalu benarlah, manusia perlu diingatkan seiring dengan perjalanan waktu!
posted by Mirip at 9:25 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home