Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, March 07, 2006

CiNTa TaNPa SYaRaT

FWD MSG
**********
CiNTa TaNPa SYaRaT

> Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas
> kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan
> berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
> sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
> (Al-Israa' 17: 24)

> "Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah
> mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika
> diriku masih kecil".

> Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.
> Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa tersebut.
> Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama. Adakah kerana
> rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun meninggalkan kami.
> Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya diasak dengan
> pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang sering
> menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh senyumannya.
> Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung
> yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan
> Ilahi, seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan
> telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat membaca.
> Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis dibacanya.
> Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya belikan dan
> cepat sekali bonda menghadamnya. Kata bonda, "jika sunyi dan tak buat
> apa-apa, kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku, nanti datang
> jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah anak-anak nak
> melayan orang tua yang begitu."

> Saya memang rindukan bonda. Bonda saya juga rindukan suaminya. Jika
> diselak langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan makam
> ayahanda di tepi masjid sebelah rumah. Bonda sering termenung di
> tingkap itu, merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima.
> Arwah nenda pernah berkata, "aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari
> kecil sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!"
> Saya juga terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik
> beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.
> Mungkin semua itu kerana watak ayah. Dia menjadi tumpuan kami dan kami
> sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk
> bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama ayah. Namun
> selepas ayahanda pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami
> sunyi hilang ketawa. Sepi..

> Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh ayah semasa dia
> sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di
> rumah, tertumpu pada ayah. Kini ibu saya pula melayan sepi dan sunyi
> itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan bonda kerana saya
> terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara,
> saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL,
> rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk
> balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan masa.
> Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya
> membiarkan bonda kesunyian di kampung.

> Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang
> lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya
> dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan
> yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.
> Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia
> dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?
> Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.

> "Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja tak
> habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang kerja.
> Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin besar. Dan
> pandai mengajuk cakap", keluhan saya kepada bonda beberapa ketika yang
> lalu.

> "Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur. Kaki
> mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan
> kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan
> kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah", itulah suara dari hati bonda.
> Semasa berdoa tadi baru saya sedar, ibu saya amat pemaaf. Dia
> memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa.
> Paling menyerlah, pemaaf bonda semasa saya kecil...

> Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah
> habis. Semasa bonda sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya,
> saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula
> dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah
> tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan
> beku, periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana
> takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa
> berlalu, apabila bonda terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya.
> Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.
> "Emak tak marah?", saya cuba memberanikan diri bertanya.
> "Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu
> sorok periuk ni dalam kabinet", itulah katanya.
> Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu bonda dan dia dengan
> segera memujuk.

> Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan
> getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air sabun.
> Bonda tidak marah.

> Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah.
> Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu
> bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di
> pipi yang sudah kebiru-biruan. Bonda tidak marah.

> Ayahanda juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca
> buku tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya
> sambil berkata, "nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku."
> Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.
> Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. "Maaf ustaz, kalau
> begitulah cakap ustaz, saya pun 'tak hingin' nak sekolah di sini!",
> jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama,
> mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk
> pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.

> Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Ayah amat terkejut dengan
> tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan
> saya wang RM50 sambil berkata, "ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu
> nak bersekolah mana selepas ini". Itu cara ayah saya. Dia jarang sekali marah.
> Ayah dan bonda saya amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja
> karenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami
> sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu,
> mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.

> Ayah dan bonda menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya
> taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya
> menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan
> mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya
> bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas
> apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau
> lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA SYARAT.

> Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya
> mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan
> bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas.
> Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya.
> Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan
> tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan
> sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.
> Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi
> anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas
> kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga
> malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun
> apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus
> menjaga, tetapi hati mudah berkata, "bilalah orang tua ini nak mati!".

> Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.
> Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar
> ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun
> Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas,
> rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk
> get rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang
> tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah....

> Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang
> dari menunaikan Haji.
> "Abah kat Mekah doa apa, abah?", saya bertanya.
> "Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk.
> Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!", kata ayah
> saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. "Abah,
> jangan cakap macam tu...", saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata kering di pipi.
> Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya yang ke-17,
> hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.

> Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya
> kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu
> dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya.
> Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu
> membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

> Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap
> lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan
> pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha
> Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak
> hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa
> syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.
> Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka
> yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan
> Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat...
> NAMUN...
> Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya untuk
> meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap detik
> hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang banyak berbekas.
> Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan syarat terhadap Allah.
> Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah hilang penyelesaian. Aku
> sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi selepas aku melihat apa
> kebaikan yang aku dapat!

> Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang
> tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada Tuhannya.
> Astaghfirullah.

> Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap
> hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian
> di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum dapat
> menjaganya di depan mata.
> Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri ini.
> Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap
> solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa
> yang Allah syaratkan itu?

> Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada amalan.
> Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih sayang-Nya.
> Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul
> kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99
> nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya.
> Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi.
> Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima
> sifat:

> (1) Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab
> itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT
> Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung
> perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan
> kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang.
> Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9
> anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka,
> mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih
> sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.

> (2) Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang
> kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat
> inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada
> setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari
> cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu,
> bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada
> adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.

> (3) Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi
> tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita.
> Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita
> sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi
> dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan
> kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup
> diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala,
> semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.

> (4) Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab
> memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia
> kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan
> dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang
> menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa
> menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas
> binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai
> masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya
> diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat
> inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya
> kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang
> paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah
> selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.

> (5) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua
> dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar
> dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat
> kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah.
> Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita
> pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.
> Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita.
> Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu
> jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk
> anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani
> kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah
> terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.
> "Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah
> mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika
> diriku masih kecil".
> Ameen.
posted by Mirip at 8:58 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home