Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, October 28, 2008

3(Part2)

Dalam keramaian orang begitulah, matanya terpandang kepada seorang wanita yang sudah sedekad umurnya. Dia cam benar seraut wajah itu. Wajah tua yang sudah pun dimakan usia, berselendang hitam, berbaju kurung merah seperti warna kegemarannya ketika zaman mudanya. Raut wajahnya masih sama, masih kelihatan ceria yang Mak Jah tahu keceriaan itu hanyalah pada luaran, sedangkan pada batinnya wajah tua itu menyimpan seribu kisah pahit kehidupan.

Pada wajah tua yang umurnya sudah lebih separuh abad itu, kelihatan jelas yang susuk itu sudah semakin kurus. Mak Jah tahu wanita tua itu pada umur mudanya tidak kurang cantiknya, tidak kurang manisnya, dan tidak kurang menawannya. Kalau tidak masakan seorang pekerja kerajaan jatuh hati separuh mati kepadanya. Memang Mak Cik itu sedikit gelap parasnya, tapi kerana gelapnya itulah, lelaki merayu-rayu padanya. Memang Mak Cik itu mempunyai hidung yang biasa-biasa sebagaimana orang Melayu yang lain, tapi kerana hidungnya yang biasa itulah, lelaki itu terpikat padanya. Ketinggiannya cukup untuk menjadikan Mak Cik tua itu seorang model pada zaman mudanya. Senyumnya yang lebar, mulutnya yang ramah, dan hatinya yang lurus memang bisa mencairkan hati mana-mana pemuda zamannya.

“Hitam-hitam si tampuk manggis, walaupun hitam kupandang manis.”

“Walau apapun adinda katakan, kasih kanda hanya padamu.”


Dan berbagai lagi kata-kata, maklum sahaja kata-kata sang lelaki untuk memikat wanita idaman. Semuanya lembut, manis tiada yang pahit, semuanya enak-enak seperti Nasi Briyani Gam berlaukkan Ayam Masak Merah dan dalca.

Kalau boleh ditongkat langit, rasanya itulah yang akan sang dia lakukan.
Kalau boleh di lawan badai ombak di lautan, itulah yang akan sang dia lakukan.
Semuanya boleh-boleh belaka, tidak ada yang tidak boleh.

“Belahlah dadaku untuk melihat isi hatiku, dinda.” (OOoohhh tahan rasa nak keluar isi perut.

Sedangkan semua kata-kata itu hanyalah kata-kata di bibir. Hanya mainan di mulut. Siapapun boleh mengatakan. Belah dada? Beranikah dia kalau orang ambil kapak dan belah dadanya di situ juga? Ahh tentu sahaja sudah lari lintang pukang. Hilang sudah janji manis. Redah lautan gelora? Ohh beraninya aku? Ada ke orang yang buat? Tak ada pun? Tak pernah dengar dan tak pernah mendapat liputan Majalah Tiga pun? Apa lagi janji? SEHIDUP SEMATI? Emmm, masa hidup pun boleh saja dibuang , apatah pula kalau sudah berada di dalam kuburan? Tanah masih merah, Abang dan tambah satu lagi. Yang sebenarnya mereka berani berjanji kerana mereka tahu orang tidak akan ambil kapak dan belah dada mereka, mereka berani menabur ayat-ayat manis kerana mereka tahu orang tidak akan sampai hati menyuruh redah lautan api untuk pembuktian cinta. Ohh cinta yang sadis, dan cinta pura-pura!

“Percayalah pada abang, abang tidak akan mensia-siakan hidup dinda. Sumpah.” Lagi ayat KLISE.Berani sungguh manusia bersumpah untuk membuktikan kesetiaan cintanya. Tidak takutkah dia andainya satu hari nanti dia dimakan sumpah? Ahh manusia…

Mak Jah tahu itu semua.Mak Jah simpan semuanya dalam kotak ingatan selagi nafas belum padam. Simpatinya pada Mak Cik t ua itu singgah lagi di hatinya. Tapi apalah yang boleh dia buat? Itu semua bukan kuasanya. Dia tiada hak sekelumit untuk masuk campur. Dia hanya boleh mendengar, atau dia hanya boleh melihat, tapi itu semuanya dari jauh.

Apakah nasib malang masih melingkari hidup Mak Cik berselendang hitam itu? Dia ingin sekali bertanya tapi keadaan sungguhlah tidak sesuai. Dia ingin meringankan (kalau boleh) tapi sungguh , dia tidak pasti. Di saat kematian begini, dia tidak ingin pula menambah situasi tidak menyenangkan.

Sebenarnya hari itu, minggu itu, Mak Jah dan Pak Sen menziarahi sahabat lama mereka yang sudah pun pulang ke Rahmatullah. Sahabat dari kecil Mak Jah. Sahabat masa kecil Mak Jah, samalah bererti sahabat masa kecil Mak Cik berselendang hitam itu. Hari kematian kadangkala adalah hari penggabungan semula teman-teman lama yang terpisah.

Perlahan-lahan Mak Jah menghampiri wanita tua berselendang hitam itu selepas semuanya sudah selesai.

“Chik, Assalamualaikum.”
Mak Cik tua yang membelakanginya itu berpaling spontan. “ Jahhh… wa waalaikumussalam”. Mereka berpelukan. Ada air mata tumpah pada pertemuan dua sahabat lama.

“Jah apa khabar?” Selesai berpelukan, Mak Cik berselendang hitam bersuara. Terbayang kegembiraan pada wajahnya. Berpuluh tahun tidak bersua, pertemuan semula memang sesuatu yang mengharukan.

“Khabar baik Chik. Chik macamana? Sihat?” Mak Jah membalas. Dia juga tidak menyangka akan bertemu semula dengan sahabat waktu kecilnya. Walaupun Mak Cik berselendang hitam yang dia panggil Chik itu usianya tua lebih enam tahun darinya, tapi dia menganggap Chik itu sepertilah kakaknya, selain temannya juga.
“Chik macam ni ajelah, biasa aje,” monotonous jawapan yang terpacul. Nada biasa. “ Haa.. mana Sen?” Chik menukar perbualan.

“Tu haa kat sana. Bawah pokok ketapang tu. Jumpa Mail, Dollah, Pak Mat semua.”

“Tak bawa Hany dan Hana?” Chik bertanya pada kedua-dua anak kecil yang selalu dia manjakan ketika mereka masih kecil.

“Bebudak dah besar Chik, mana tinggal dengan kita lagi, semua dah jauh. Hany nun kat ibu kota, Hana nin kat Kuala Pekan, tunggu ikan,” Mak Jah berseloroh.

“Tunggu ikan?” Chik kehairanan.

“Dia kerja dengan jabatan ikan, Chik..tak ada masalah lah kalau bab-bab nak makan makanan laut ni. Di tanggung beres Chik,” Mak Jah mengeluarkan hikayat. “Tanya Hany dan Hana, bebudak Chik tak nampak muka pun? El, Mat, Sham, Zaza semua tu dah ada anak la kot semua eh,” Mak Jah tersenyum. Dia teringat pada kenakalan zaman kecil anak-anak Chik yang berderet seperti gerabak keretapi itu.

“Ohhh.. mereka macam tu lah…” Chik senyum, tapi Mak Jah seperti pakar psychologyst, dapat menafsir riak muka Chik.

“Teringat kat Sham, macamanalah dia agaknya ya, dah besar panjang dah dia,” masih terbayang di ruang mata Mak Jah anak-anak kecil itu, yang umur mereka selang setahun atau dua tahun. Tapi yang paling dia ingat dan sayangnya lebih sedikit ialah pada Shamsul, kerana dia yang mengasuh Shamsul sejak Shamsul masih merah lagi.
“Sham… Sham pun ok, eh jom jumpa Kak Maznah kau,” perbualan dimatikan. Mereka berjalan beriringan ke dapur rumah tua itu. Membantu apa-apa yang patut sebagaimana selayaknya di majlis kematian.

Mak Jah merasa ada sesuatu yang lain.Dia tidak tahu kenapa dan mengapa hatinya seperti mengatakan ada sesuatu telah terjadi. Hatinya bergolak mengatakan itu. Tapi apakah itu? Mulutnya ingin bertanya tapi sama sekali masanya bukanlah tepat. Dan yang penting sekali, dia sendiri pun tidak mengetahui soalan yang harus ditanyanya bagaimana, yang pasti dia tahu ada sesuatu yang tidak kena!
posted by Mirip at 4:54 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home