Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, October 22, 2008

22iii

Dalam keadaan dia tersedar dan mahu keluar dari terowong gelap hidupnya itulah, dia mahu bangkit melawan dirinya sendiri. Dia mahu bangun , mahu meneruskan kembali kehidupannya yang masih bersisa.

Digagahkan kakinya namun kakinya tidak mahu berganjak dari sudut itu. Dikuatkan tangannya agar dia boleh juga merangkak menggunakan sepasang tangannya, namun tangannya juga bagaikan sudah berkecil hati dengannya, tidak mahu mendengar arahan dan isyarat dari otaknya.

"Ya Allah, kuatkanlah hatiku, dan kuatkanlah fizikku," doanya dalam hati. Dia mengangkat muka ke dada langit, memohon doanya diterima ke Arasy. Dia tidak mahu menangis lagi. Tapi dia takut kalau air kolam matanya pecah lagi.

Dalam keadaan dia tidak berdaya itu, dalam keadaan perutnya yang membunyikan hon-hon tanda kelaparan yang amat, di bawah panas sang suria, dengan peluh berjejeran keluar itu, dia pasrah sekali lagi pada nasib hidupnya.

Betapa tidak sudikah manusia-manusia yang lalu lalang menolongku? Apakah sudah tidak ada simpati pada hati-hati mereka? Sampainya hati mereka.Apakah mereka ingat aku memang merelakan diriku berada di sini? Aku tidak rela, aku ingin hidup lagi, tapi aku tak berdaya.

Apakah kerana aku ini tiada kaitan dengan mereka, lalu keberadaan aku di sini langsung tidak dihiraukan? Apakah mereka sanggup kalau melihat anak, atau abang atau adik, atau bapa saudara atau jiran-jiran mereka atau teman-teman mereka bergelandangan begini? Ahh tentu sahaja mereka tidak pernah merasa apa-apa. Mereka tidak pernah mengalami situasi sebegini. Adik-adik mereka, anak-anak mereka, saudara-saudara mereka, kenalan mereka semuanya orang baik-baik. Semuanya berkerjaya proffesional, semuanya berumah besar dan berkereta besar, masakan aku ini mereka mahu ambil tahu?

Tentu sahaja kalau aku ini mati sahaja di sini, mereka akan bertepuk riang. Tamatlah sudah riwayat sampah masyarakat. Tamatlah sudah riwayat pengemis hina ini. Bertambah aman makmurlah negaraku yang tercinta ini. Tentu sahaja cepat-cepat mereka gali kuburku buat menanamkan jenazahku. Itupun kalau masih ada yang sudi mengimami jenazahku atau menguruskan mayatku. Kalau aku ini hanya dibuang dalam tong sampah hijau tempat persembunyianku tadi?

Ohhhh... Ya Allah, ampunilah aku dan kasihanilah hambamu yang lemah ini.
Ya Allah, Kau terimalah taubatku.

Heyyy mereka yang lalu lalang! Tidak perasankah engkau padaku di sini. Ya, aku tahu yang engkau jijik melihatku. Tapi tolong,selagi nafasku tidak tercabut dari jasad ini, aku masih juga seorang manusia. Dan selagimana aku ini manusia, aku ini sama sahaja dengan kamu. Bezanya, aku ini......

Ya, aku tahu mereka masing-masing sibuk. Aku tahu benar itu. Samada benar-benar sibuk atau buat-buat sibuk, hanya mereka dan Tuhan sahaja yang tahu. Samada kesibukan itu benar-benar membawa manfaat pada mereka atau sibuk itu sekadar penghabis waktu, aku tidak tahu. Tapi bagi orang yang sibuk seperti mereka, pastinya jasadku yang lemah di sini tidak akan diperhatikan. Atau mungkin sahaja mereka ini mengganggap aku ini orang gila!

Sibuk. Satu perkataan yang semua orang pun akan katakan dia sibuk. Walhal kalau dia sedang berehat-rehat juga dikatakan mereka sibuk. Atau kalau mereka sedang menonton reality TV juga, mereka katakan sedang sibuk. Harus sebenarnya sibuk itu kayu ukurnya apa? Dengan ukuran kemewahan yang dia miliki tanda dia sibuk bekerja? Atau ukuran anak-anak yang berderet tanda dia sibuk 'mengilangkan' bayi. Atau apakah sebenarnya sibuk itu bagi mereka.

Atau mereka benar-benar sibuk membuat amal jariah. Atau sibuk membantu orang kurang upaya? Kalau begitu, kenapa tiada siapa yang membantuku? Ahh lupakanlah Syamsul. Kenapa engkau masih mengharapkan bantuan orang? Apakah orang-orang itu dapat membantumu? Tidak sama sekali ,Shamsul.

Lalu matanya melihat sekumpulan anak-anak baru pulang dari sekolah. Berjalan beramai-ramai bergelak ketawa melintasinya.

"Dik.... to tolong abang dik,"

Mereka hanya memandang. Ada yang ketawa terkekeh-kekeh. Lalu bercakap sesama sendiri,lalu berlalu pergi.

Lalu pula kumpulan yang lain.

"Dik... to tolong abang te.. telefon hospital." Suaranya sudah terketar-ketar tidak berdaya. Terik matahari telah memakan tenaganya walaupun rohaninya sudah mendapat pencerahan.

Tergambar pada paras wajah anak-anak itu ketakutan. Kalau anak-anak perempuan, mereka cepat-cepat lari dan menekup hidung.

"Ehh orang gila la, cepat lari nanti dia mengamuk habis kita," terdengar suara-suara terlontar dari mulut kecil mereka.

Rupanya waktu itu waktu anak-anak pulang dari tempat menuntut ilmu itu.

Lalu tenaganya makin tiada. Dia ingin bersuara, tapi suaranya tidak mahu keluar.

"A'aah la, ada orang gila mana pulak sesat kat sini?"

"Sesat dari hospital gila mana pulak ni? Tidur kat sini?. Pedulikanlah."

Yang hanya mampu dia lakukan hanya pejamkan mata.Namun telinganya mendengar segala-galanya. Dia telan semuanya.Biarlah kalau mereka menganggap dia gila walaupun dia tidak gila. Biarlah kalau mereka menganggapnya sudah mati walaupun dia belum mati.

Dia pejamkan mata. Kelam dan suram.

-THE END-
posted by Mirip at 1:30 PM

2 Comments:

dah boleh buat novel dah ni.

11:28 AM  

Tiada yang sudi.. hihihi- Cik Mirip

2:32 PM  

Post a Comment

<< Home