Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, October 28, 2008

5(Part3)

"Ni, aku Chik la," suara di sana memperkenalkan diri. Lemah nada suara.

"Ohhh Chik, ingatkan polis mana tah tadi," Mak Jah urut-urut dada.

"Kenapa suara kau lain macam aje?" suara di hujung talian bertanya lagi. Sessi interview lah pula.

"Eh ehh dah tu suara Chik tadi yang macam tu. Jah ikut ajela," Mak Jah menjawab, mulutnya sengih sampai ke telinga.

"Oooh. Sebab Chik eh," perlahan tapi masih jelas kedengaran. Mak Jah seperti dapat membayangkan yang bibir Chik juga ikut tersenyum sampai ke telinga. Bukankah ekspressi muka kita dapat dibayangkan oleh sang pendengar di hujung talian sana? Jadi jangan cuba-cuba bercakap dengan muka marah, nanti orang di sana tahu kalau anda sedang marah. Cubalah tersenyum, kerana pasti orang di hujung talian sana akan dapat merasakannya. Ajaib bukan?Tapi itulah hakikatnya. Jawapannya cukup mudah:- Apabila bercakap, otot-otot di bibir dan mulut itu bergerak geri mengikut ekspresi wajah. Jadi senyum-senyumlah selalu :)

Basa basi perbualan telefon bermula. Dan tamat.

"Jah, Chik nak cakap sesuatu ni," Chik memulakan pokok pangkal bicaranya. Sebenarnya inilah inti karipap pada tujuan dia menelefon Mak Jah pagi ini. Perbualan yang tadi itu hanyalah kulit pada karipap itu sahaja. Isinya jauh, dan perit dan pedas untuk dia mulakan, tapi dia harus juga menelannya. Walau pahit, walau manis, walau kelat sekalipun.

"Aaa Chik, cakaplah, kalau boleh Jah tolong. Jah dah rasa dah ni macam Chik nak cakap sesuatu je pada Jah. Dari tadi lagi Jah ternanti-nanti," Mak Jah bijak memainkan peranannya.

"Susah Chik nak katakan. Rasa macam ada batu pula dalam mulut Chik ni. Tapi..."

Diam.

"Tapi apa Chik?" Tadi Mak Jah mendiamkan diri, memberi peluang pada Chik membuka bicara. Tapi kalau sama-sama diam, mana pula pengakhirannya?

"Entahlah Jah. Agaknya ni dah ujian Chik. Chik redha aja," lirih suara Chik.

"Tak apa, Jah dengar ni,"

"Jah, kalau Jah ada kelapangan, Jah datanglah rumah Chik. Sham...Shamm...." tersekat-sekat kata-kata Mak Jah. Hati hendak bicara, tapi mulut disumbat kerikil tajam.

"Kenapa dengan Sham, Chik??" Mak Jah ingin tahu. Ya,agaknya inilah rasa yang datang dulu. Inilah rasa yang dia fikirkan ada sesuatu yang Chik sembunyikan di rumah Kak Maznah tempohari. Firasatnya benar belaka. Gerak hatinya tepat. Dan mampat.

"Ginilah, kalau Jah dan Sen ada masa lapang, Jah datanglah. Sham dah tunggu masa aja." Kata-kata terhenti. Ibu mana yang sanggup meneruskan kata-kata seterusnya. Hatinya sudah banyak kali disiat-siat orang, dia pun sudah tidak kisah lagi, tapi kali ini nampaknya siatan kali ini benar-benar berbisa. Bisanya seperti tangan yang luka berdarah, disimbah pula cuka getah. Pedih, panas dan hiba serentak menghuni hati.

Mak Jah terdiam. Terkedu lagi dia untuk mengatakan apa-apa.Ayat seterusnya yang harus keluar dari mulutnya sudah hilang. Angin sudah membawa kata-katanya ke hulu sungai. Dia ingin bertanya lanjut, tapi mulutnya sudah terkunci rapat. Apabila terlalu banyak persoalan yang ingin dia utarakan, jadinya yang terkeluar hanya deru angin lalu.

"Emm tu ajelah yang Chik nak bagitahu. Masih ingat rumah Chik kan?"

"O.. ooo.. aa'h InsyaAllah Chik. Nanti Jah datang dengan Abang Sen," sepatah-sepatah Mak Jah membalas.
posted by Mirip at 7:13 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home