Catatan Hidup Seorang Aku

Friday, November 14, 2008

10(Part 2)

Badannya terasa lenguh-lenguh yang bukan sedikit akibat terlalu lama terbaring. Shamsul bangun perlahan-lahan, menyandarkan batang tubuhnya itu ke jeriji besi putih itu. Dibetul-betulkan bantal putih itu supaya kedudukannya berkeadaan simetri antara sisi kanan dan kiri.

Terasa sedikit kelegaan menjalar ke salur darahnya. Memberikan isyarat supaya dia harus bertukar-tukar posisi supaya tidak terus statik tidak berganjak.

Matanya melilau melihat kiri dan kanannya. Semua orang pun berkeadaan sepertinya. Sakit dan terbaring. Lelah dan banyak yang terasing.

Selepas puas menjelajah ruang itu, matanya terhenti pada tiga imej di hujung sana. Satunya, sang pesakit sepertinya berbaring mengiring ke kanan. Dua imej lagi, kedua-duanya kaum hawa berada di sampingnya. Seorang wanita tua dalam lingkungan awal 40an berbaju kurung hitam berbunga putih susu. Ada gambar bunga melati di situ. Harum bunga melati bagai menjalar ke dalam salur hidungnya. Menambah kelegaan hati Shamsul.

Di sebelah wanita tua berbaju hitam berbunga melati itu, duduk meneleku kepalanya ke atas katil adalah seorang adik kecil. Mungkin sahaja umurnya baru dalam lingkungan 10 tahun. Shamsul tidak dapat meneka apakah adik kecil itu sedang tidur melelapkan diri ataupun sedang menangis.

Dari kejauhan begitu, dia melihat dengan jelas kasih sayang seorang ibu tua itu. Terasa hatinya sayu melihat peristiwa itu. Terlihat jelas yang wanita tua itu susah hati pada keadaan diri anaknya itu. Wanita tua itu sedang mengurut-ngurut kedua-dua kaki pemuda itu. Sekejap-sekejap dia membetulkan cadar agar tetap tegang selepas dipusing-pusingkan kedudukan anaknya itu.

Shamsul mengukir senyuman. Dia tumpang bahagia melihat kebahagian orang lain, beruntung pemuda itu mempunyai ibu dan adik yang menyayangi dirinya walau apa pun yang terjadi. Ini bukanlah bermakna Shamsul menyalahkan ibunya seratus peratus dalam hal ini. Dia tidak pernah menyalahkan ibunya, kerana apa yang terjadi pada keluarganya bukanlah atas kehendaknya sendiri. Semuanya telah ketentuan Allah yang telah tercatat. Dan semua yang terjadi pun, adalah salahnya sendiri, bukan salah ibunya atau adik beradiknya, apalagi yang mencipta sebaik-baik kejadian.

DIa sedar diri yang dia tidak mungkin akan dapat menikmati kasih sayang sebegitu rupa dari ibu dan adik beradiknya sendiri. Ibunya harus menanggung ramai lagi adik-adik kecilnya, dengan kudrat yang semakin tiada. Adik beradiknya juga tidak ingin dilibatkan dalam kemelut hidupnya. Kesemua mereka pun ada masalah mereka sendiri. Semuanya hidup dan cukup-cukup untuk makan, atau mungkin juga ada yang tidak pun cukup makanan pada hari itu. DIa tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka. Lalu di bersyukur kalau ibunya berkesempatan datang melawatnya, tapi kalau pada hari-hari yang ibunya tidak berkesempatan hadir, dia tidak pernah ingin meminta lebih dari itu.

Memerhati ibu tua dan adik kecil itu juga, serentak melarikan dia pada kenangan semalam yang telah lama dia tinggalkan.
posted by Mirip at 3:16 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home