Catatan Hidup Seorang Aku

Monday, November 10, 2008

8(part2)

"Kalau dulu Sham tinggal dengan Mami, mesti tak jadi macam ni nasib Sham." Air matanya menitik lagi. Digosok-gosok dengan telapak tangannya.

Terlontar kata-kata itu dari mulut Shamsul. Hari ini, dia dilawati oleh sepasang suami isteri yang sudah pun dimakan usia ini. Siapa lagi kalau bukan Mak Jah dan Pak Sen.

Ada air mata di tubir mata Mak Jah. Kelihatan jelas air mata yang bergenang itu. Tentu hatinya merasa sayu mendengar pengakuan yang keluar dari mulut Shamsul.

"Tak apalah Sham, yang dah lepas tu tak boleh nak diulang semula," Mak Jah membalas kata-kata Shamsul. Dia sendiri pun tidak tahu ayat apa lagi yang lebih sesuai dari itu.Memang kalau masa boleh diputar kembali, atau ada harganya untuk dibayar supaya masa boleh berundur ke belakang, ingin dia undurkan masa itu. Tidak ingin dia melihat apa yang berada di depannya. Tidak ingin sama sekali. Tapi walaupun tidak ingin, itulah hakikat. Dan apabila namanya sudah hakikat, harus juga dilihat walaupun pedih.

Shamsul diam tidak berkata-kata lagi. Memang kalau diikutkan dia terlalu malu pada Mak Jah dan Pak Sen. Dia malu kerana dia harus berhadapan dengan situasi sebegini. Memang dahulu dia pernah rapat dengan keluarga Mak Jah, tapi serapat-rapat dia dengan Mak Jah, Mak Jah itu bukan keluarganya. Memang Mak Jah menyayangi dirinya sebagai bekas anak asuhannya, tapi tentu sahaja dia kekok pula untuk menumpang tinggal di rumah keluarga Mak Jah. Memang pada satu ketika, dia terlalu rapat dengan anak-anak Mak Jah, tapi tetap ikatan itu hanya sekadar teman sahabat waktu kecil. Dan serapat-rapat dia dengan Mak Jah, Hany dan Hana, tetap ibu dan adik-adiknya di rumah itu keluarga kandungnya.Fikirnya dulu, sebaik-baik layanan Mak Jah padanya pun, Mak Jah tetap orang luar dari keluarganya.

Tapi kalaulah, dia tahu begini pengakhiran hidupnya, dia rela menumpang tinggal pada orang yang bukan ahli keluarganya sekalipun, asalkan dia mendapat kehidupan yang sempurna. Kalaupun bukan seperti Hany dan Hana sekalipun, cukup kalau dia dapat menjalani hidup seperti insan lain. Aman berumahtangga, ada anak-anak comel, rumah sendiri walaupun kecil, pekerjaan tetap untuk menyara anak isterinya. Dan yang paling penting dari semua ini, dia dapat pula membantu hidup ibunya. Kalaulah dia tahu inilah pengakhiran hidupnya, dia rela hidup membesar di rumah orang lain asalkan pada penghujungnya dia dapat membantu ibunya. Sekurang-kurangnya, menghulur sedikit wanguntuk menyara kehidupan ibu tua itu.

Namun semua itu hanyalah perkataan KALAU.Yang tidak mungkin terjadi.

Memang seingatnya, dia pernah bertandang ke rumah keluarga Mak Jah ketika cuti persekolahannya dahulu. Dulu, dia tidak mengerti kenapa pula ibunya membenarkan dia menumpang tinggal sementara waktu di rumah ibu asuhannya itu. Semakin dia membesar, semakin dia meningkat dewasa, akhirnya dia tahu yang pada ketika itu, ibunya mengalami dugaan paling besar dalam hidupnya. Dugaan seorang yang bergelar isteri.

Ibunya tidak pernah menceritakan, tapi dengan umur yang semakin meningkat remaja, dia tahu juga.Tapi tidak pernah membincangkan hal-hal berat seperti itu dengan ibunya. Seingat Shamsul, dia rapat dengan keluarga Mak Jah ketika dia masih di alam persekolahan rendah. Dan selepas itu hubungan mereka terputus. Mungkin juga kerana hubungannya dengan Hany pun sudah renggang akibat peredaran usia dan komitmen pada persekolahannya.

Dan selepas bertahun-tahun tidak bertemu dengan pasangan tua ini, tentu sahaja mereka mengharapkan pertemuan mereka dengan aku adalah pertemuan bahagia, rupanya pertemuan yang terjadi disulami keperitan, dan pada dirinya sendiri, tersulam perasaan malu yang tidak terhingga. Malu dia dilihat oleh Mak Jah dan Pak Sen dalam keadaan seperti mayat hidup, dan bukan orang berguna dalam hidup, seperti yang pernah dijanjikannya satu waktu dahulu.
posted by Mirip at 3:35 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home