Catatan Hidup Seorang Aku

Saturday, June 26, 2004

Kezaliman antara tanda hampir kiamat-Bharian

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Tidak ada satu negeri pun yang tidak kami binasakan sebelum hari kiamat, atau kami azab negeri itu dengan azab yang sangat. Yang demikian sudah termaktub di dalam ketentuan Kami.” (Surah Bani Israel, Ayat 58).

Sesungguhnya, satu daripada rukun iman yang wajib diyakini dan dipercayai oleh setiap manusia yang mengaku dirinya beragama Islam ialah percaya kepada hari akhirat iaitu kiamat, yang bererti hari pembalasan ke atas segala perbuatan mereka ketika berada di dunia.

Hari Kiamat pasti akan terjadi. Bilakah masanya akan tiba? Jawapannya hanya Allah yang mengetahui.

Namun, manusia dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai Hari Kiamat melalui al-Quran, hadis dan pendapat ulama, yang hanya menerangkan tanda-tanda kiamat.

Dengan adanya tanda-tanda Hari Kiamat yang dinyatakan melalui al-Quran, hadis dan pendapat ulama, maka dapatlah kita mengambil pengajaran untuk hidup dengan lebih berhati-hati dan bersiap sedia bagi menghadapinya kelak.

Justeru, ayat di atas menjelaskan mengenai gambaran sebelum tiba hari kiamat. Ketika itu keseluruhan negeri berada dalam keadaan yang tidak aman, porak-peranda dan huru hara akan berlaku di mana-mana saja.

Manusia berkelakuan semakin kurang ajar, penderitaan, kelaparan, pembunuhan, ketakutan dan kezaliman terjadi di mana-mana tidak mengira negara dan kekuasaan.

Ayat di atas dijelaskan lagi melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bahawa sebaik-baik harta kaum Muslimin ialah kambing yang dipelihara oleh penggembalanya di puncak bukit dan di tempat air hujan tergenang.” (Hadis riwayat Bukhari).

Hadis ini bermaksud kaum Muslimin pada akhir zaman terpaksa melarikan diri dan memelihara ternakan di puncak bukit lantaran hendak mengelakkan diri atau hendak memelihara agama dan dirinya daripada fitnah yang banyak.

Hadis itu juga menggambarkan masyarakat dewasa itu sudah rosak binasa.

Kejahatan sudah bermaharajalela dan kaum Muslimin yang hendak menjaga kesopanan dan kesucian dirinya terpaksa mengasingkan diri daripada orang ramai yang hidup dalam keadaan serba pincang.

Huru hara berlaku di mana-mana saja hingga tidak ada satu tempat pun lagi yang boleh dijadikan perlindungan dan tiada sesiapa dapat menjadi pelarian daripada kebinasaan itu.

Pada masa sama, orang yang berilmu pula semakin ramai yang mati. Orang alim yang meninggal dunia kini sudah tiada pengganti lagi.

Perzinaan, perjudian dan pembunuhan terus menjadi-jadi dan berlaku di mana-mana saja tanpa mengira waktu atau rasa malu. Perbuatan itu seolah-olah menjadi suatu perkara biasa saja dalam sesebuah masayarakat.

Dalam hal ini Rasulullah ada bersabda bahawa pada akhir zaman, sebaik-baik orang di dunia adalah sama dengan sejahat-jahat anak yang jahat.

Hadis di atas tadi adalah satu kata-kata sindiran. Sesungguhnya dunia ini semakin lama semakin kacau kerana lahir ramai sekali pemfitnah dan pendendam. Sebagai akibat daripada sifat itu, maka banyak berlakunya pergaduhan, perpecahan dan peperangan.

Orang senang akan menjadi semakin sakit hati melihat kesenangan orang lain dan jika dilihat pada mata mereka keadaan orang yang susah, mereka tidak akan membantu, sebaliknya menghina pula.

Ramai orang cuma nampak kesalahan orang lain, sedangkan kesalahan diri sendiri cuba disembunyikan.

Apa yang dibuatnya adalah baik tetapi semua kerja yang dilakukan orang lain pula dikritik dan dipersendakan kerana baginya, hanya dia yang tahu segala-galanya.

Kesimpulannya, masyarakat hari ini berajakan hawa nafsu dan syaitan. Kepincangan hidup berlaku di mana-mana saja dan sewajarnya semua ini diambil pengajaran supaya hidup kita di dunia yang bersifat sementara ini tidak merugikan.

Oleh itu, persiapkanlah diri dengan melakukan perkara yang disuruh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kembalilah kepada ajaran al-Quran dan hadis.

Sesungguhnya Hari Kiamat akan tiba dan ia tidak dapat diragukan lagi.
posted by Mirip at 10:12 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home