Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, July 01, 2008

Penipuan terancang

Tidak dinafikan menjadi yang sulung kepada yang sulung itu ada juga kebaikannya. Di sebalik aku ini selalu berangan-angan mahukan kakak atau abang, kerana melihat keberuntungan yang adikku dapati dari wujudnya aku mendahuluinya, ada satu lagi yang akan menyebabkan hatiku redha.

Aku ada seorang Pak Su yang tuanya hanya 7 tahun dariku. Sebenarnya mempunyai bapa saudara yang tua sedikit sahaja dariku ada banyak kenangan manis. Ya, kadangkala orang boleh saja menyangkakan aku ini berdua-duaan dengan Sang Arjuna Hati. Kerapkali juga dulu-dulu, aku ini dipaksa mengakui yang aku ini Sang Kekasih Hati Pak Su ku pula, ketika kes-kes tertentu berlaku tanpa dijangka.

Pak Su adalah seorang anak yang tidak pernah mengenal kasih seorang ibu. Ditinggalkan ibu buat selama-lamanya ketika dia masih belum berusia setahun menjadikan dia terkontang kanting. Dan ibu yang ada padanya ketika itu adalah yang sebenarnya neneknya, tetapi dipanggil Mok. Dan aku sebenarnya yang aku panggil gelar dengan nama Tok itu sebenarnya adalah moyang kesayanganku. Tidak ada galang gantinya moyangku yang satu itu. Menulis ini menyebabkan ada air mata bertakung kerana aku sangat-sangat rindukan dia. Apatah lagi jam Rado kesayanganku, pemberian moyangku ini telah tidak dijumpai sejak tahun lepas. December 2007 adalah bulan kesedihan bagiku. Berlanjutan hingga saat ini ditulis. Jam yang telah kupakai selama 16 tahun telah tidak ada dalam simpananku. Aku tidak tahu samada tercicir atau terjatuh atau apa. Jam pemberiannya sempena pencapaianku dalam UPSR. Bayangkan dari aku berumur 13 tahun sehinggalah aku berumur 28 tahun, jam itu adalah harta yang aku paling sayangi. Bukanlah kerana itu jam Rado atau nilainya yang kutahu ketika itu dibeli dengan hanya RM60 itu, tapi di sebalik itu, jam itu menyimpan nostalgia aku pada moyangku. Alfatihah buat moyangku.

Kembali pada kisah Pak Su. Dia ini ketika zaman remajanya, adalah pemain negeri satu sukan ni. Beberapa kali juga Pak Su mewakili negeri pantai timur itu dalam SUKMA. Seingat aku, banyak piala dan medal yang tergantung di rumah Tok. Dan duit kemenangan itu digunakan untuk menyara kehidupannya ketika itu, selain dari Tok yang mencari nafkah menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya. Oleh kerana wajahnya agak kerap terpampang dalam akhbar, samada akhbar perdana atau di ruangan Sukan majalah hiburan, Pak Su ku telah mengajarku erti satu lagi pelajaran baru. Ketika itu M.Kumaresan itu sedang hot di persada sukan yang diceburi oleh Pak Su itu. Agaknya kerana wajahnya pun ada ala-ala M. Kumaresan, barangkali atau kerana kekerapannya muncul dalam majalah di ruangan Sukan di majalah hiburan itu, Pak Su telah menerima berkarung-karung surat cinta. Berkarung-karung itu adalah bukan sedikit. Semua surat-surat itu wangi-wangi belaka.

Dan yang menjadi mangsa Pak Su ketika itu adalah aku. Ya, aku . Kerana aku telah diminta untuk membaca dan membalas kembali kesemua surat-surat itu. Hanya ada satu master copy yang telah ditulis oleh Pak Su dan aku harus menyalinnya dan membalas kesemua surat-surat yang banyak tapi isinya sama itu.Dan zaman aku sekecil itu, aku sudah membaca surat-surat cinta berlapik rindu dari sang gadis pada sang teruna. Terasa jauh di hatiku, perasaan malu pula memikirkan hal ini. Malu memikirkan yang mudahnya ungkapan cinta atau murahnya harga rindu itu untuk ditulis-tulis pada orang yang tidak dikenali pun. Sungguh aku tidak dapat menerima perlakuan sebegitu.

"Mana Kak tahu nak tulis," aku jadi kaget diberi tugasan baru.

"Tulis aje, ikut aje yang ni," sambil tanggannya menghulur pada master copy surat balasan itu.

"Nanti mestilah dia tahu orang lain yang tulis," maksudku ketika itu "tidakkah nanti mereka cam ini tulisan seorang budak."

"Tak apa, diorang tak kisah, janji balas," Pak Su senyum. Dan dia menghilang dengan basikalnya lagi.

Dan aku di penjuru tingkap itu, bagai telah diberi amanat besar, aku membaca surat-surat wangi itu, dan menulis kembali dalam kertas kajang biru itu. Melipat, dan memasukkan ke dalam sampul surat, menulis alamat si penerima berdasarkan alamat mereka.

Sambil membaca aku akan tergelak seorang diri, tersenyum-senyum sumbing lagi mengenangkan penipuan terancang yang telah kami lakukan. Aku jadi hairan kenapa mereka gadis-gadis itu tidak malukah mereka menghantar sekeping gambar diri masing-masing pada orang yang tidakpun mereka kenali. Ops hanya sekadar kenal melalui gambar yang terpampang dalam majalah, adakah sudah berani menghantar gambar diri. Semuanya dalam niat yang satu, hanya untuk menjadikan Pak Su ku teman istimewa atau Abang Angkat atau teman. Berbagai gambar yang kulihat, berbagai posing dan ada yang sanggup menghabiskan duit mereka untuk menghantar gambar dalam studio. Fikir akalku waktu itu, tentulah mereka ini banyak duit sehinggakan gambar dalam studio yang macam artis-artis dalam majalah, dengan gambar belakang seolah blur itu, mahal tetapi sanggup diserahkan buat orang tak dikenali.

Sebenarnya adik-adikku sekalian, anak-anakku yang baru atau masih mengenali alam remaja, kalaulah ada balasan surat (zaman itu surat zaman ini sudah ada email), dari artis atau idola pujaan anda, sebenarnya janganlah merasakan yang balasan itu ditulis sendiri dari sang penerima. Takut nanti yang sebenar terjadi adalah seperti yang kami telah buat dulu-dulu itu. Aku bayangkan kalaulah mereka-mereka sang gadis-gadis belasan tahun itu tahu apa yang sebenarnya kami telah lakukan, tentulah mereka akan melancarkan perang sabil pada Pak Su ku. Tentu mereka akan koyak-koyakkan poster-poster atau gambar-gambar Pak Su ku yang digantung di dinding-dinding bilik mereka itu.

Yang sebenarnya juga, harus diingat, proses pembalasan surat itu memakan waktu yang lama. Kalaulah masa yang lama itu digunakan untuk hanya membaca dan menulis dan membaca lagi dan menulis lagi, sebenarnya tidak akan ada waktu untuk mereka meneruskan hidup masing-masing. Kalau di bidang sukan, tidak ada masa untuk segala latihan itu dan kalau di bidang selebriti itu pula, tidak ada masa pula untuk perjalanan karier mereka. Kalau tidak diteruskan latihan, manakan ada kejayaan. Kejayaan itu datangnya dari usaha.

Di awal penerimaan surat, mungkin Pak Su juga seperti orang lain, membaca dan membalas sendiri surat-surat berbau cinta itu, tapi apabila masa sudah tidak cukup, terjadilah seperti apa yang telah terjadi.

Dan bagi aku pula, walau masih kanak-kanak kecil sudah memahami, tidak ada gunanya meluahkan isi hati pada sang lelaki kerana yang sebenarnya, sang lelaki itu tidak pernah membaca atau mengetahui kewujudan sang gadis pun.
posted by Mirip at 8:34 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home