Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, June 26, 2008

USIA TUA

USIA TUA
-Andai kuhidup ke usia tua;
Kupinta supaya berpunya sedikt budi, wibawa dan daya jenaka;
Supaya tidak disingkir bila telah kecut berut dan lesu tidak bermaya;
Tetapi dihargai dan dijagai baik umpama antik saujana-

fall in love with this simple quote. Ku jumpa dalam satu buku yang pernah aku baca.

Bukan kerana hari ini usiaku bertambah setahun lagi. (walaupun memang detik-detik usia memang sentiasa bertambah).
Semalam ada kelapangan waktu, ketika berkemas, telah kujumpai diary hijau lama kepunyaanku. Membelek-belek, membaca helaian demi helaian yang tercatat, bibir akan secara automatik tersenyum sampai ke telinga. Atau kadang-kadang terkekeh-kekeh sendirian. Ketawa mengenangkan episod-episod lalu yang kutulis sendiri.Mengimbau kenangan zaman lepas. Zaman yang sudah 10 tahun aku tinggalkan. Cepat masa berlalu.

Kenapa aku menulis? Kenapa aku suka mengabadikan catatan-catatan kenangan itu pada diary?
Dahulu aku sedar, catatan-catatan diary itu adalah luahan perasaan aku. atas apa juga peristiwa yang terjadi.
Dalam diary itu ada tulisan cakar ayam, menggambarkan tanganku terlalu laju untuk menulis berbanding kelajuan otakku yang ingin mengingati semula peristiwa yang berlaku.
Atau ada tulisan yang besar-besar menggambarkan harapanku.
Ada tulisan yang cantik, kemas dan sebiji-biji menggambarkan hatiku yang sedang berbunga.

Tulisanku berubah-rubah mengikut emosi si penulisnya. Kini setelah aku mempelajari sains tulisan yang dipanggil graphology, aku sedikit sebanyak mengetahui memang terlalu banyak kaitannya tulisan dan peribadi. Dan kerana itu, aku suka membaca tulisan orang. :)

Kembali pada persoalan kenapa aku menulis?
Sungguh bagi orang seperti aku, tulisanlah satu-satunya caranya aku dapat berkongsi cerita. Bukan aku tidak percayakan orang lain, tapi rasa-rasanya sifatku yang reserve itu tidak memungkinkan aku bercerita segala-galanya pada orang lain. Untuk itu, hanya di permukaannya sahaja yang orang tahu mengenai diriku. Kerana itu tidak hairan aku dikenali dengan perwatakan 'tidak berperasaan'. Ungkapan yang terlalu sering diungkapkan oleh teman-teman serumahku.Ungkapan itu sungguh kejam sebenarnya, tidak adil untuk dilemparkan kepadaku, tetapi kerana di permukaannya aku kelihatan sungguh tidak berperasaan, jadi tidak bolehlah untuk meletakkan kesalahan itu pada sang pemanggil.

Malangnya, yang kalian, kawan-kawanku tidak tahu, aku jadi manusia yang seolah tidak berperasaan kerana segala perasaan itu telah aku tumpahkan pada teman karibku, sang diary berwarna hijau itu. Kalau sekalipun aku sedih atas segala kejadian, kesedihan itu tumpah dalam tulisan itu. KErana itu, kalian tidak akan pernah tahu kalau-kalau aku menangis mengenang segala peristiwa sedih apapun!

Bagi orang seperti aku ini, barulah aku mengerti kenapa aku menjadi seperti itu. Bagiku yang tidak suka bercakap ini, satu-satunya cara aku mengatakan apa pun adalah melalui tulisan. Di situ ada kemarahan, atau ada kelucuan.Saat menulis kita tidak pernah menyedari hakikat itu, tapi seandainya dibaca kemudian, (pastinya bukan dalam jarak masa yang relatif dekat) akan terserlah segala misteri kehidupan itu.

Tanpa aku sendiri sedari,

Ketidakupayaan aku untuk bercakap itu rupanya mengundang sesuatu yang tragis.Maafkanlah aku.

Bila kukenang kembali dan kubaca sekali lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku, aku kini makin faham mengapa rentetan peristiwa itu terjadi. Tidak ada peristiwa yang terjadi tanpa sebab. Ada sebabnya, cuma yang sering terjadi, ketika kejadian itu berlaku kita tidak menyedarinya dan sering tertanya sendiri, mengapa ia terjadi.Sedangkan yang sebenarnya terjadi adalah, kita yang tidak dapat mencari jawapannya.

Kini setelah 10 atau 11 tahun aku tinggalkan, mozek kehidupan nampaknya sedikit demi sedikit tercantum.Membentuk. Aku sendiri tidak mengetahui bentuk mozek itu di masa hadapan. Rasanya segala yang terjadi saat ini pun, mungkin akan kufahami apabila usiaku menjelang 40 atau 50 tahun nanti. Sehinggalah mata ini terpejam dan badan ini pun sudah dimakan ulat tanah, di ketika itulah, mozek kehidupan yang lengkap terhasil.Membentuk satu-satu objek yang jelas. Ketika itu tidak akan ada lagi ungkapan atau 'labyrinth' kehidupan. Semuanya jelas seperti yang sudah tercatat di Luth Mahfuz.Catatan kehidupan pun sudah berakhir. Yang ada hanya hari pembalasan.
posted by Mirip at 1:49 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home