Catatan Hidup Seorang Aku

Friday, June 27, 2008

Anak-anak kecil itu

Ayah adalah anak sulung dari empat bersaudara. Sebenarnya enam, tapi dua darinya sudah pun pulang ke rahmatullah. Seorang yang sulung dan seorang lagi yang bongsu. Kedua-duanya meninggal ketika ayah pun masih dikira kecil. Memandangkan abang kepada ayah sudah meninggal, jadinya ayah berpangkat abang long kepada adik-adiknya. Aku masih ingat ketika ayah bercerita kepadaku yang dia sempat mendukung dan bermain-main dengan adik bongsunya, ketika itu dia awal belasan tahun. Dan beberapa ketika, (hari) kemudian, adiknya tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal.Ketika itu yang amalan perubatannya tidak secekap dan semudah hari ini, tambahan pula ayah dan keluarganya tinggal di kampung, adiknya meninggal tanpa diketahui apa penyakitnya. Yang orang tua-tua tahu, arwah adik bongsu Ayah meninggal asbabnya adalah sakit perut.

Adik kedua ayah yang kupanggil Pak Ngah muda tiga tahun dari Ayah. Orangnya ketika aku kecil-kecil dulu wajahnya sangat mirip kepada seorang pelakon drama tv yang agak popular di kaca tv satu waktu dulu. Pak Ngah ada tiga orang anak. Dua perempuan dan si bongsunya lelaki. Anak sulungnya yang dipanggil dengan nama gelar Not amat disayangi oleh Ayahku. Maklum ketika itu, hanya ada Kak Not penghibur hati Ayah dan keluarga. Ayah dan Emak baru berumahtangga ketika itu. Kak Not yang berusia 5 tahun, yang sungguh comel dan petah berkata-kata selalu menjadi buah hati pengarang jantung Ayah. Benar, Ayah anak yang sulung, tapi kerana dia merantau jauh, dan lewat pula berkahwin berbanding adik-adiknya. Jadi ketika ayah baru berkahwin dengan Emak, Ayah sudah ada seorang anak menakan yang selalu dia usik-usik. Selalu menjadi penghibur hatinya.

Kebiasaannya, sekiranya Ayah tidak bekerja pada hari itu, Ayah dan Emak akan pulang ke rumah Tok. Jauh juga rumah sewa Ayahku kerana mereka pengantin baru itu menetap di daerah lain. Selalunya juga apabila Ayah pulang, Ayah akan segera mengambil Kak Not dari rumahnya untuk dibawa pulang ke rumah Tok. Rumah Pak Ngah agak berdekatan dengan rumah Tok. Hanya lima minit berbasikal.

“Not, mari dekat Pak Long,” selalunya sambil minum-minum kopi pekat buatan Tok yang sedap itu, dan berbual-bual di anjung rumah Tok waktu-waktu petang begitulah, Ayah akan membawa Kak Not pulang ke rumah Tok.

Kak Not yang berwajah bulat, bertocang satu bunga raya di kepala, akan segera berada dekat dengan Ayah. Dia anak sulung pada Pak Ngah, seterusnya cucu sulung pada Tok, memang amat-amat disayangi oleh seluruh ahli keluarga. Tok apatah lagi, dalam usianya yang sebegitu memang amat mengharapkan mendapat cucu. Mujurlah anak keduanya (Pak Ngah) itu berkahwin awal, kalaulah harapkan anak sulungnya itu (Ayah), entah bilalah dia akan menimang cucu. Mujur juga, sekarang anak sulungnya itu sudah terbuka hati untuk berumahtangga dengan gadis pilihannya. Walaupun gadis pilihannya, Emakku itu cara bercakapnya amat berlainan, kerana dia orang luar, tapi sebagao orang tua, orang yang pernah makan garam dulu, dan pernah pula hidup di zaman Jepun, dia memahami anak menantunya. Itulah adatnya, sudah anaknya itu seorang yang merantau jauh, sudah menjadi adat juga kalau dia mendapat menantu yang bukan orang tempatan. Tapi mujur juga dia tidak kisahkan sangat hal ini walaupun memang jauh di sudut hatinya memang mengharapkan yang anaknya akan bertemu jodoh dengan orang senegeri. Bukannya apa supaya anaknya sentiasa dekat dengannya. Semua ibu pun mahukan yang sama sebenarnya tapi apapun asalkan anaknya sudah bertemu dengan pasangan yang serasipun sudah memadai baginya. Apatah lagi kini anak sulungnya itu sudahpun menetap di negeri jelapang padi itu semula setelah bertahun-tahun keluar negeri, merantau jauh-jauh tidak pulang-pulang.

Pai Nai, Teeh (Nak pergi mana Mak Teh ?)” Mak Cik Limah rumah hujung sana menyapa dia satu hari itu, ketika dia baru pulang dari bendang. Mak Teh itu nama gelar yang orang kampung panggil untuk nenekku yang aku panggil Tok ini.

Pai Rai, ( Nak pergi kedai sekejap),” Dia menjawab sambil memberhentikan basikal tuanya.

Lim Pradai?” selalu jiran-jirannya bertanya begitu padanya.

Dia diam.

Bukan tidak mahu menjawab. Tapi lidahnya kelu.Tidak ada jawapan yang pasti samada anak sulungnya yang satu itu masih hidup atau tidak. Tidak ada perkhabaran berita langsung darinya.

Akhirnya orang-orang kampung pun tidak bertanya apa-apa lagi perihal anak sulungnya itu. Orang kampung pun tahu yang Mak Teh sesungguhnya tiada jawapan untuk itu. Usahlah lagi ditambah penderitaan batin sang ibu yang kehilangan anak tanpa nisan itu.
Bertahun-tahun Mak Teh berkeadaan begitu. Siang malam dia berdoa supaya kalau anak sulungnya itu panjang umur, khabarkanlah beritanya, dan kalaupun anaknya itu sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, dia selalu bermohon doa ke hadrat Ilahi supaya ada orang mengkhabarkan berita itu padanya.

Tapi semua itu adalah kisah lama. Sekarang Halim pun sudah berada di depannya. Menetap semula di negeri kelahirannya selepas hilang bertahun-tahun. Baginya Halim telah hilang kerana tiada perkhabaran berita langsung, sedangkan pada Halim, dia tidak menganggapnya begitu.Dia bukan langsung tidak mengingati kampung halamannya , apatah lagi ibunya tapi pada waktu itu, akhir tahun 60-an begitu tiada perhubungan komunikasi yang boleh dia lakukan untuk perkhabaran. Dan dia bukanlah seorang yang puitis menulis surat dan lagi dia tahu mereka di kampung itu tidak akan tahu membaca. Satu-satunya alat adalah komunikasi tapi malang sekali bahasa pertuturan yang selalu dia cakapkan, tidak pula dia tahu untuk menulisnya. Aneh. Ya kampung itu memang aneh. Penduduk kampung tidak bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka bercakap dalam bahasa Siam sepenuhnya.

“La.. la.. laaaa,” Not bernyanyi-nyanyi dan menari-nari tergelek-gelek.

Lamunan Mak Teh pada kisah silam pudar. Di depannya kini ada cucu sulung kesayangannya, ada anak sulungnya dan menantu ‘luar negerinya’.

“Pandainya Not ni, ini yang Pak Long sayang ni,” lalu Ayah meriba Kak Not, mencium pipi kecilnya itu bertalu-talu.

Not tersenyum-senyum. Gembira bukan kepalang.
**
Anak kedua Pak Ngah kami panggil Linda. Dia seusia denganku. Dan ada Raziff, adik bongsu nya yang bagiku ketika itu, orangnya terlalu kecil fizikalnya. Tapi kerana jarak umur yang agak jauh antara kami dan Raziff, selalunya Raziff tidak termasuk dalam kelompok permainan kami. Sudah berpuak-puak kami itu waktu itu ya.

Adik ketiga Ayah yang kupanggil Pak Teh ini, paras wajahnya saling tidak tumpah dari paras Ayah. Berbeza dengan Pak Ngah yang agak berisi berbanding abang dan adiknya itu yang agak kurus walaupun tidaklah melidi. Rambut kedua-dua adik beradik berparas sama ini pun sama, kerinting. Juga berkaca mata. Nama Pak Teh ini yang sebenarnya Zainol Abidin, tapi orang memanggilnya dengan nama timangan Non. Ya, baru aku perasan kesemua nama adik beradik ayah adalah berbeza sekali dengan nama sebenar mereka. Kalau Pak Ngah nama sebenarnya adalah Mansor, dan dipanggil orang dengan nama Shot. Mungkin juga dari Sor, Sor terus akhirnya menjadi Shot. Sama kes seperti ayah yang nama sebenarnya ada Abdul di depan pangkal namanya, tapi dipanggil orang dengan nama Lim, bukan Lim Kit Siang tapi kependekan dari nama Halim. Bila besar begini, aku merasa ada keberuntungannya mempunyai dua nama yang sama sekali berbeza ini. Ya, mungkin saja kita boleh menyamar menjadi dua orang yang berbeza. Atau di sisi lainnya, sebenarnya orang tidak pernah tahu pun nama sebenar mereka!

Pak Teh ini seorang yang amat pendiam. Ketika aku kecil-kecil begitu, itulah impresi pertama yang telah aku justifikasikan pada Pak Teh. Sebagaimana aku sayangkan Pak Ngah kerana sifatnya yang kelakar, aku juga menyayangi Pak Teh kerana sifatnya yang pendiam. Wajah ‘copy cat’ Pak Teh ini sering membuatkan adik-adikku yang masih kecil satu waktu dulu tertukar orang. Dipanggilnya Pak Teh aku ini sebagai Ayah mereka kalau mereka bertemu. Itulah jadinya kalau jarang-jarang sekali bertemu dengan bapa saudara. Ayah sendiri pun tertukar. J Ketika itu Pak Teh adalah salah seorang kontraktor yang hidupnya sering kelihatan sibuk. Aku tidak mengetahui kontraktor di bidang apakah yang Pak Teh telah ceburi itu, hingga baru-baru ini sahajalah aku mengetahuinya. Tidak mengapa, aku akan ceritakan itu di lain waktu. Ketika itu yang aku tahu, walaupun Pak Teh hanya mengeluarkan sedikit-sedikit perkataan yang terpacul keluar dari mulut diamnya itu, tapi hatinya amat baik. Dia selalu memberikan not RM50 kepadaku. Satu not yang agak besar pada zaman 80-an sebegitu. Amat-amat besar bagi anak kecil sepertiku itu.

Pak Teh mempunyai dua orang anak. Lengkap sepasang. Yang sulungnya yang nama dalam kad pengenalannya agak panjang, ku panggil Yen sahaja. Yen ini sebaya denganku. Sang Adik kami panggil Bang Chik. Bang Chik ini umurnya muda dua tahun dariku. Tapi tetap kupanggil dia ‘BangChik’ Dalam keluarga kami, memang menitikberatkan panggilan hormat. Kerana itulah di depan namaku di panggil “Kak” memandangkan aku adalah anak sulung pada Ayah yang juga sulung. Oleh kerana rumah Pak Teh ini bersebelahan sahaja dengan rumah Tok, secara tidak langsungnya aku rapat dengan dia kalau pulang ke rumah Tok.

Adik bongsu Ayah , dan bunga tunggal Tok aku dipanggil Cu.Abang-abang dan orang kampung memanggilnya Shah. Beruntungnya dia kerana dia satu-satunya bunga dan adik bongsu pula. Memandangkan dia anak bongsu perempuan, Tok sudah awal-awal lagi menetapkan syarat yang bakal menantu lelakinya juga harus menetap di rumah itu. Tidak ada kompromi. Tok tidak akan membenarkan sekali-kali anak perempuan tunggalnya itu ‘dilarikan’ orang.

“Cuma ada satu permintaan” itu antara ayat terakhir Tok Wan (mewakili permintaan Tok sebenarnya) pada rombongan peminangan yang datang.

“Kami ini hanya ada satu bunga ini sahaja, kalau boleh kami tidak rela berpisah dengannya,” Tok Wanku mewakili. Ayat yang sebenarnya seharusnya berbunyi begini “ Setujukah anak teruna yang tinggal di sini,” Tapi itulah adat orang Melayu ini, kadangkala yang disampaikan itu berbeza dengan maksud sebenarnya. :)

Diam.

Tok sudah tahu jawapannya.

Datang pinangan yang lain.

Soalan yang sama diulang.

“Kami akan berfikir dahulu,” dan Tok sudah tahu jawapannya.

Tolak.

Permintaan yang keterlaluan.

Ahh mana boleh menantu lelaki tinggal di rumah Mertua.

Tidak Mahu.

Banyak lagi…

Budaya orang Melayu itu memang terkenal dengan sopan santunnya. Kadang-kadang hanya dengan air muka sahaja orang sudah tahu jawapannya. Tidak perlu bahasa-bahasa yang keluar dari mulut. Dan Tok bagai orang yang boleh membaca fikiran orang, tahu apakah permintaannya yang satu itu dapat ditunaikan atau tidak hanya dengan melihat reaksi mereka sahaja.

Dan akhirnya pada pinangan yang ke 18, Tok menerima pinangan itu. Bukan kerana Tok sudah putus asa, Tok yang kukenal tidak pernah mengerti erti putus asa dalam menjodohkan bunga tunggalnya, permata hatinya itu. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih itu amat-amatlah bertepatan dengan Tok. Orang Putih pula kata “If there is a will, there is a way”. Nasib memang menyebelahi Tok. Akhirnya jejaka bertuah dari kampung berhampiran setuju dengan permintaan Tok. Cu aku itu orangnya sopan, dan manis pula, kerana itulah barangkali pinangan tidak henti-henti dia terima. Walaupun sudah masuk kali ke 18.

Cu – kedua-dua pasangan ini aku panggil Cu sahaja. Bukan Mak Cu dan Pak Cu. Tapi cukup sekadar Cu. Kalau mahu merujuk mereka pada orang lain, aku bahasakan mereka dengan panggilan Cu Laki dan Cu Pompuan. Arhh panggilan yang agak pelik kalau didengar orang lain. Mereka ada sepasang anak. Sulungnya lelaki pembela bangsa dan si adiknya puteri tiang negara. Anak sulung Cu ku yang kami panggil Hadi itu muda setahun saja dariku. Dan adiknya itu muda setahun dari adikku.

Itulah sepupu sepapatku yang boleh dikategorikan sebaya itu. Agak sedikit sepupuku dari salasilah ayahku ini kerana masing-masing adik beradik ayah mempunyai anak yang sedikit.
posted by Mirip at 8:29 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home