Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, July 01, 2008

Sang Nasib

Akan terjadi pembohongan maha jelas dalam seluruh penciptaan universe ini sekiranya aku katakan yang hatiku tidak tersentuh juga dengan segala perlakuan Azlan sejak akhir-akhir ini. Tapi apakan dayaku. Jarak yang jauh antara aku dan dia menyebabkan aku terpaksa menjarakkan diri. Aku ini sudahlah orang dari pantai timur, yang mungkin saja agak terkebelakang dari segala segi. Berbeza dengannya anak kota metropolitan Kuala Lumpur. Sejujurnya mendengar itu sahaja, aku jadi sudah menjarakkan diri. Apatah lagi waktu itu pada fikiranku semua sahaja orang yang menetap di Kuala Lumpur itu adalah anak-anak orang berada, anak-anak orang teknokrat. Jauh berbeza bagai langit dan bumi denganku. Begitu nyata kedangkalan pemikiran anak gadis lepasan SPM seperti itu yang memukul rata semua orang di Kuala Lumpur itu begitu. Sedangkan hakikat sebenarnya jauh dari itu. Kuala Lumpur, sama juga dengan mana-mana kota urban lain, menyimpan banyak kisah dan cerita. Menyimpan kisah begitu ramai orang dari pelbagai latar belakang. Andainya Kuala Lumpur itu kota penuh syurga dan kenikmatan duniawi, ironinya kota itu juga yang menyimpan segala onak kotor warganya.

Mungkin persepsiku waktu itu kerana semua orang yang kukenal yang menetap di Kuala Lumpur itu memang semuanya bukan orang kebanyakan. Apatah pula aku sendiri, yang mempunyai bapa-bapa dan emak saudara yang bergelar yang menetap dan menjadi warga pemastautin tetap di situ. Malangnya aku sendiri tidak mengenali mereka. Walaupun kalau hendak dikira dari segi harakat untuk menjadi wali kepadaku satu hari nanti, mereka orang yang layak berbanding dengan bapa-bapa saudaraku yang aku kenali ini.Selepas harakat dua bapa saudara salasilah dari Ayahku, tentunya. Tapi tidak mengapa kerana sudah menjadi lumrah kehidupan begitu. Sebenarnya aku belajar banyak perkara dari kehidupan yang langsung berbeza bagai langit dan bumi itu walaupun dari benih akar yang sama.

Mengingati berbezanya diriku dan dirinya, aku memang jadi sangat-sangat tidak tahu ayat apa untuk digambarkan perlakuan atau perasaan itu. Itu belum lah lagi termasuk perbezaan strata dalam kelompok pelajar Universiti Cenderawasih Kasturi ini. Aku ini hanyalah manusia-manusia yang tidak dikenali, ya kerana aku selesa begitu. Berbeza dengannya yang semua orang pun kenal. Dari penjaga pintu masuk Universiti, pegawai HEP, para pensyarah, sekalian barisan pelajar,barisan pimpinan malah tuan presiden Universiti itu sendiri. Tidak ketinggalan warden asrama atau mungkin juga ayam itik peliharaan warden asrama itu juga meneganali dirinya. Dan bukan itu sahaja, dia memang sebenarnya barisan pemimpin angkatan pelajar yang hidupnya memang dikelilingi oleh orang-orang penting pun.Saban waktu dan ketika. Sedang aku? Aku masih juga terkial-kial sendiri. Berhempas pulas , bukan sahaja dengan mata pelajaran yang paling kubenci sekali, Physic dan segala cabang subjek yang menjadikan subjek itu sebagai asasnya, tapi juga dengan segala pelajaran-pelajaran yang sungguh terasa asing sekali bagiku. Bidang fizik dan segala cabangnya itu sungguh berbeza bagai siang dan malam dengan subjek Kimia dan Biologi yang lebih aku sukai dan telahpun aku tinggalkan sebulan yang lepas itu. Cabang bidang kejuruteraan dan cabang bidang medical yang aku tinggalkan itu walau dari satu segi adalah dari asas yang sama, sains tulen tapi yang sebenarnya ianya adalah sungguh berbeza sama sekali. Dan sungguh aneh sekali bagaimana aku akhirnya tercampak di bumi itu. Berbeza, sungguh berbeza dengan minat dan kemampuan sebenarku dengan realiti apa yang aku hadapi. Aku sendiri sudah tidak pasti dalam menilai apakah aku ini beruntung terdampar di bumi asing ini atau aku bertuah seperti sangkaan orang lain. Menjadi perintis dan pemegang biasiswa itu satu anugerah yang tidak semua orang berpeluang miliki, itu kata mereka.

Sungguhpun begitu, walaupun aku ini pesimis, tapi kerana berpijak di bumi yang nyata itu satu realiti yang harus aku terima, tidak ada jalan belakang atau undur diri dariku. Lawan tetap lawan. Walaupun mungkin lawanku itu dengan juraian air mata. Aku sudah tidak peduli itu semua lagi.

Kalau dia memang amat-amat dikenali oleh seluruh pelusuk warga universiti, berbeza pula dengan diriku yang selalu mengharapkan agar aku ini menjadi sang halimunan. Agar tidak ada sesiapa mengenaliku atau biarkan sahaja aku dengan duniaku. Sungguh aneh cara manusia ini berfikir. Fizikalku sahaja yang kelihatan berjalan ke sana ke mari dalam kawasan kampus kecil itu, tapi mentalku entah kemana menghilang. Atau terbang melayang-layang. Terasa kaki yang berjalan itu, sebenarnya tangan juga berjalan, dan fikiran juga berjalan. Berjalan-jalan ingin lari dari situ, tapi sungguh tidak tahu bagaimana harus dilarikan. Kerana itulah aku tidak langsung menghiraukan apa pun yang terjadi, atau kalau segala apa pun yang berlaku di sekelilingku tidak menjadikan diriku , diriku yang sebenar. Kerana aku sendiri merasakan aku seolah tidak punya masa depan berada di situ. Sungguh pesimis sekali lagi. Dan itulah sebenarnya racun hidup dalam manusia manapun. Kutuliskan kisah ini kerana aku tidak ingin lagi melihat anak-anak bangsaku mengulangi nasib diriku. Kalau boleh dikatakan itu penderitaan batiniah seorang pelajar, aku tidak mahu ada lagi anak bangsaku selepas aku yang juga mengalami nasib yang sama. Misterinya kehidupan sebenarnya tidak terjangkau oleh akal fikiran. Dan kini selepas 11 tahun aku tinggalkan dunia itu, setelah aku melihat kepentingan perihal ini dalam anak bangsaku, aku akhirnya terjebak dalam dunia baru yang aku sedang jejaki kini.Kutinggalkan dulu episod ini kerana akan kuceritakan di lain kali.

Kembali kepada topik.Juga dengan perbezaan environment yang aku hadapi semakin menyebabkan aku ingin menjadi sang halimunan sakti. Kewujudannya ada tapi tidak dirasai. Aku lebih suka menjadi sang pemerhati. Sang observer dan aku selesa kalau aku memerhatikan orang, tanpa orang dapat memerhatikan aku. Ohohoh lagi fikiran dangkal dari anak ini. Penuh angan-angan yang tidak berpijak di alam realiti.Namun yang sebenarnya, berada dalam lingkungan sebegitu sebenarnya menyebabkan aku jadi tambah pesimis dengan kehidupan. Rasanya canggung berada dalam satu tempat yang kita tidak dibiasakan dalam keadaan sebegitu. Aku ini hanya anak orang biasa, yang hidup sekadarnya, tapi berada dalam kelompok anak-anak orang hebat menjadikan aku seorang yang rendah diri. Keyakinan yang seharusnya ada dalam diriku menjadi zero. KOSONG. Ditambah pula dengan penyeksaan batin kerana aku harus belajar dan mengkaji bidang yang sama sekali pula tidak aku minati. Namun harus kupaksakan juga diriku. Seperti aku katakan awal-awal tadi, tidak ada jalan pulang bagiku.

Kerana perbezaan-perbezaan yang sebegitulah, maka aku secara tidak langsungnya, memang tidak meletakkan apa-apa pun kepentingan di hadapanku selain aku harus lulus dengan secepatnya. Atau paling tidak biasiswaku tidak ditarik semula. Kerana kembali kepada pokok persoalan kenapa aku tercampak di bumi itu adalah kerana pembiayaan pengajian itu. Jadi tidak mengapalah kalau apa yang aku pelajari inipun sebenarnya bukan kerjaya impianku, ataupun yang lebih penting lagi, aku masih samar-samar pada masa depan tapi yang lebih penting dari yang terpenting, aku tidak mahu membebankan kedua orang tuaku dengan apa-apa lagi tindakan luar kawalku. Kerana sesungguhnya aku sedar pengharapan yang ada di bahuku ini amat tinggi. Walaupun tidak pernah dinyatakan, tapi sejujurnya memandang sahaja raut wajah Ayah dan Ibuku, telingaku sudah tidak perlu mendengar apa-apa perkataan lagi dari mereka. Bahasa yang sedari kecil aku fahami tanpa perlu pendengaran lisan apapun. Cukup dengan sekadar melihat dengan mata hatiku akan erti susah payah mereka sudah cukup merasakan yang bebanan jiwa dan perasaan yang kutanggung di kuliah itu tidaklah apa-apa pun. Cuma sedikit ujian, sedangkan ujian kehidupan lain yang lebih besar sudah aku harungi.
posted by Mirip at 2:57 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home