Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, October 09, 2008

1

Cahaya panas terik mentari di siang hari bagaikan menyiat-nyiat isi dagingnya yang sudahpun tinggal tulang temulang. Badannya sudah tidak ada daging pun lagi yang membaluti tulangnya. Hanya sehelai kulit semata. Peluh berjejeran keluar menitik di mukanya.

Dia mahu bergerak. Tapi dia tidak mampu. Dia mahu bangun tapi sendi kakinya tidak berdaya. Bukan tidak ada orang lalu lalang di situ. Terlalu ramai orang lalu lalang tapi tidak ada sesiapa yang pedulikan dirinya.

Dia ingin menangis, tapi air mata sudah tidak ada lagi dalam hidupnya. Sudah cukup banyak H2O itu terbuang keluar dari pelupuk matanya selama ini sehinggakan untuk saat-saat sebegini sudah tidak ada komponen hidrogen dan oksigen itu keluar dari tubir matanya. Itupun kalau masih layak di panggil mata.

Dia terjelepuk di situ. Bunyi hon treler panjang membawa muatan lori balak, hon kereta-kereta canggih manggih di jalan raya, hon motosikal pembawa sayur, ikan, tayar, batang-batang besi yang berjuntaian, dan tidak ketinggalan juga Ah Kiong pembawa kereta tolak yang tetap juga membunyikan hon manualnya.

"Apa ini, orang gila.... merempat di tepi jalan..." Mamat A menyumpah seranahnya.
Dia pekakkan saja telinganya. Memang telinganya memang sudah lama dipekakkan.

"Pergi jauh-jauh dari sini..." hina pula seorang lelaki pertengahan usia 40 an padanya.

Dan berbagai lagi kata nista dilemparkan orang kepadanya.

Dia pejam mata. Dia mahu membukanya, melihat-lihat dari pandangan matanya sendiri wajah siapakah yang berkata begitu. Orang memang akan senang sekali kalau dapat menghina. Apatah lagi orang-orang sepertinya yang langsung tidak diendahkan kewujudannya di muka bumi ini. Dia mahu sekali melihat mata-mata mereka apakah mereka memang orang berbudi atau mereka juga tidak lebih dari seorang manusia biasa. Dia juga manusia. Tapi orang tidak memperlakukan dia seperti manusia. Lebih dari itu orang telah dan sedang memperlakukan dia seperti binatang. Haiwan ada juga yang bernasib lebih baik darinya, kerana di beri makan, dibelai, disyampoo wangi-wangi, dipakaikan loceng di leher, disediakan tempat tidur berhiaskan renda-renda. Tapi dia sedar diri. Dia tahu siapa dirinya. Dia tidak meminta orang melayannya seperti raja. Dia tidak mahu orang melayannya seperti VIP atau VVIP atau segala manusia yang ada banyak V lagi didepannya. Dia juga sedar dia tidak layak dilayan seperti selebriti disanjung orang di mana-mana walhal menjadi selebriti dalam lakonan filem biru. Atau selebriti popular setelah bergambar di kolam renang menampakkan kesemua yang harus tersembunyi. Aghh dia sedar dirinya siapa. Dia tidak minta dilayan seperti manusia biasa, cukuplah sekadar melayan dirinya di atas sedikit daripada tangga melayan seekor anjing jalanan!

Tekaknya terlalu kering. Tapi apalah maknanya kering itu kerana dirinya juga seperti manusia yang keseorangan di gurun padang sahara. Kering seperti sudah sebati dengan dirinya. Kering tenggorok itu tidak sama dengan keringnya kasih sayang dan kering jiwa yang dia alami sejak otaknya dapat mengingat kehidupan.
posted by Mirip at 10:14 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home