Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, October 21, 2008

20

Selesai berkata-kata, sahabat barunya itu perlahan-lahan menghilangkan diri. Kehadirannya secara tiba-tiba dan pemergiannya juga secara tiba-tiba. Tapi satu keanehan baru wujud dalam dirinya.Perasaannya juga menjadi baru. Jiwanya baru. Tangannya baru, kaki, mulut, mata,akal fikirnya dan hatinya juga baru. Semuanya baru, yang lama-lama sudah hilang bebas berjatuhan keluar ibarat daki-daki hitam yang gugur dari liang kulitnya.

Dalam kehilangan, dia merasakan keberadaan sahabat barunya itu. Dia merasa dekat dengannya, rupanya kehilangan itu bukanlah bermakna apa-apa kalau masih meninggalkan jejak. Jejak-jejak kehadiran sahabat barunya itu rupa-rupanya membekas dalam dan kemas dalam ruang hatinya. Dalam terowong gelap perjalanannya, dia menjumpai satu lubang kecil cahaya berjaya menerobos masuk, mencelah-celah memberikan dia sedikit petunjuk pada kegelapan hatinya.

Cahaya itu masih jauh, dan jauh sekali.. tidak terjangkau oleh tangannya, apatah lagi kakinya,walau dia ingin sekali berlari mengejar. Batinnya mahu, tapi fiziknya tidak berdaya. Lalu apalagi yang harus dia lakukan?

Sob sob sob. Gugur lagi mutiara-mutiara jernih turun membasahi bumi bagaikan buah-buah tasbih yang jatuh ke lantai selepas putusnya tali pengikat. Bertebaran dan melantun-lantun ke lantai.

Menangis.


Sayup-sayup sahabatnya datang lagi.

"Menangislah lagi. Kalau tangisan itu berjaya mengeluarkan engkau dari derita. Menangislah lagi kalau dengan tangisan itu yang warnanya bertukar dari putih lutsinar kepada merah darah itu berjaya membawa engkau kepada cahaya yang kau cari itu. Tapi kalau sekalipun air matamu keluar menjadi darah tanda engkau menyesal atas segala-galanya, tangisan tanpa tindakan hanya kekal sebagai tangisan. Tidak akan ada apa-apa berlaku. Tangisan penyesalanmu tidak akan pernah memberhentikan pusingan bumi, bulan, dan dunia yang kau kata kejam ini. Tangisanmu tidak akan menjadikan ombak di lautan biru itu berhenti menghempas pantai," sahabatnya datang lagi. Aik dia ingatkan sahabatnya itu sudah menjauh meninggalkannya tetapi rupanya sahabatnya itu tidak sanggup meninggalkannya terkapai-kapai seorang diri dalam lautan dunia ini. Rupanya sahabat barunya itu masih sudi berpaling dan mengiringi hidup sepinya.

"Ahh kawan, tapi ku harap tangisanku boleh menjadi seperti awan. Cantik putih di langit biru. Seperti kapas berterbangan di udara. Satu kedamaian buatku," dia membalas kenyataan sahabatnya.

"Wah, kau sudah bijak berkata-kata."

"Awan seperti juga aku.Awan-awan kumulunimbus itu tidak kekal putih bersih selamanya, seperti awan yang kau lihat putih itu, akan ada waktunya awan itu tidak mampu lagi membendung beratnya, tidak mampu lagi melakukan pemeluwapan. Tidak mampu lagi menanggung beban badannya. Lalu dia muntahkan segala-galanya. Dan manusia seperti aku, seperti kamu, dan seperti mereka akan terimalah bahananya." Dia berhujjah mengalahkan Karam Singh Walia di kaca tv.

"Kau tidak menyukai awan? Kau anggap awan itu kejam kerana menurunkan hujan? Kau anggap awan itu zalim kerana tanpa awan, tiadalah banjir?" sahabatnya bertanya lagi. Sahabatnya ini memang suka bertanya, dan dia akan tetap menjawab selagi ada jawapannya.

"Tidak, bukan maksudku begitu. Maksudku...."

"Maksudmu?"

"Maksudku, awan juga menangis. Kalau awan boleh menangis menumpahkan air matanya pada seluruh alam, menghempaskan pedih ulu hatinya semahu-mahunya, turun dengan lebat bertimpa-timpa, kenapa aku tidak boleh menangis? Sedangkan aku sudah tidak sanggup lagi menanggung beban hidupku sendiri. Bebannya terlalu berat. Sepertilah engkau meletakkan seketul batu besar di atas dadaku di waktu panas terik matahari di padang pasir."

"Seperti Bilal bin Rabah?" sahabatnya menyambung bicara.

"Ya, seperti Bilal. Kalau boleh diibaratkan begitulah hidupku. Engkau memang boleh berkata-kata, kau memang boleh saja mengatakan untuk apa aku perlu menangis. Engkau boleh sahaja mengatakan aku ini penakut atau segala apa saja yang hendak engkau katakan. Katalah apa sahaja wahai sahabatku. Aku sudah pekakkan telingaku. Aku tidak akan marah lagi pada kata-katamu, baik pada kata-kata orang, atau pada kata-kata siapapun lagi."

Diam.

"Kau memang boleh katakan aku begitu dan aku begini. Tapi pernahkah kau selami hatiku? Pernah? Atau tak pernah kau tahu, hatiku ini sarat dengan penderitaan. Derita yang tidak pernah kau alami, usahlah kau perkatakan. Kau tidak akan pernah tahu. Kau tidak tahu pada penderitaan batinku. Ya, yang kalu lihat mungkin sahaja derita fizikalku. Itu tidaklah apa-apa wahai sahabat. Fizikalku yang begini sudah tidak membawa apa-apa makna padaku. Makan atau minumku, tidaklah membawa erti lagi. Samada aku makan atau tidak sebenarnya sama. Kerana kalau aku makan sekalipun, hanya badanku yang makan, tapi hatiku langsung tidak pada makanan yang kuhadap itu."

Giliran dia pula memuntahkan isi lahar marahnya.
posted by Mirip at 2:14 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home