Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, October 09, 2008

8

Mendengar bunyi yang jatuh itu bukanlah seperti bunyi nangka ranum jatuh. Kerana kalau nangka ranum yang jatuh bunyinya padat kerana isi nangka yang padat. Tapi bunyi yang jatuh itu seperti jatuhan pen-pen dari atas meja ke lantai, kalau boelh dibuat tamsilannya. Bunyinya ringan, tapi bagaikan terdengar pula suara sayup-sayup berkumandang mengisi ruang bunyi tulang temulang itu meratap-ratap kesedihan.

"Krekkkk...."

Mungkin saja tangannya yang sedia bengkok sejak dari kecil itu menambah lagi sudut belokannya. Tangannya yang menjadi identiti pada dirinya kerana lain dari yang lain. Kalau memandang tangannya sepintas lalu, tangannya sama juga seperti orang lain. Tapi cubalah kalau orang memandangnya dua tiga kali, pasti ada kelainan di situ.

Pertemuan dua tulang di sikunya itu terbonjol keluar. Tidak mahu masuk ke dalam sarungnya. Jadi sesiapa yang menyentuhnya akan dapat melihat bucu tulang itu. Walaupun ada orang yang memanggilnya cacat kerana tangannya begitu. Dia sama sekali tidak pun menganggap dirinya cacat kerana Allah memang memberinya fizikal yang cukup sifat. Cumanya dia masih ingat ketika umurnya 7 tahun, ketika umurnya tengah lasak-lasak begitu, dan ketika dia memanjat pokok-pokok di sekitar halaman rumahnya itu, dia terjatuh. Lalu tangan kanannya itu patah. Ketika mahu disambung oleh pakar patah di kawasan itu (mereka memanggilnya dengan nama gelar TOK BOMOH PATAH), tulang-tulangnya tetap tidak mahu masuk ke dalam kedudukannya. Sudah habis daya Tok Bomoh Patah itu mengatur-ngatur, menggosok-gosok tetap juga tidak mahu. Sudah habis daya juga dia meraung-raung kesakitan. Akhirnya kata putus dipersetujui bersama, supaya biarkan saja tulang itu begitu. Ketika kecilnya memang dia juga merasa kelainan pada sikunya itu. Tapi lama kelamaan, semakin dia membesar, semakin dia meningkat usia akhil baligh, dia sudah menganggap itu adalah bahagiannya.

"Biasalah tu, tanganku istimewa, siku korang ada macam siku aku?" begitu dia membalas kalau ada teman-teman kecilnya yang mengejek atau ketawakan dia kerana sikunya yang terbojol keluar. Kalau dilihat pada sikunya, akan terjadi dua kejadian. Pertama akan timbul perasaan kesian pada dirinya tapi tidak kurang juga benjolan tulang itu menjadi satu kelucuan kepada sesiapa yang memandang.

Dia pejamkan mata. Hanya raut muka yang dipamerkan menandakan dia berada dalam keadaan kesakitan yang amat sangat.

Penghuni lain yang sama-sama mendiami bilik itu kebanyakannya sudah pun tidur. Samada buat-buat tidur kerana tidak mahu menolongnya atau memang sejak dari tadi berjaya melelapkan mata melupakan kesakitan masing-masing.Ada seorang dua yang masih belum tidur datang menghampirinya.

"Kau angkat lah, kau yang tolak tadi kan?" wanita berpakaian putih A mengarah pada wanita B.

"Aku tak tolaklah, kau sendiri nampakkan. Dah kita tengah bersihkan, gerak-gerakkanlah badannya," balas wanita B. Eleh padahal dia pun sama buat jugak tadi, sekarang dah jatuh mengata aku, bisik hati kecil wanita B.

Badannya yang sekeping itu dibalut dengan kain selimut. Perlahan-lahan diangkat dan diletakkan di atas tilam putih itu oleh 2 wanita dan seorang penghuni lain.

"Terima kasih," dalam serak menahan kesakitan dia sempat mengucapkan kalimat itu.

Penghuni lelaki berumur 40-an itu menepuk-nepuk bahunya yang juga tiada isi itu. "Sabar ya." Perlahan tapi dapat didengari oleh lapan cuping telinga yang ada di situ. Mungkin juga sabar itu ditujukan juga buat dirinya sendiri yang entahkan bila akan sembuh.

Wanita-wanita itu meninggalkan dia selepas membetulkan posisi pembaringannya. Ditekan-tekan dadanya buat seketika. Untuk pemeriksaan luaran barangkali.Ataupun sekadar buat-buat memeriksa supaya tidak dilapor penghuni lain akan kecuaian mereka.Cuai atau sengaja atau tertekan tidaklah pula dapat dipastikan, dalam kategori apakah kejadian itu harus diletakkan.

"Tidak ada apa-apa ni," wanita B berpaling pada wanita A. Sebenarnya memang geramnya pada pemuda ini melonjak-lonjak tadi kerana pemuda ini telah mengganggu perbualannya dengan sang arjuna hatinya. Perbualan mereka harus diputuskan oleh kerana adanya manusia seperti pemuda ini. Itu yang tadinya dalam keterpaksaan dia seolah membentak-bentak dalam menjalankan tugasnya.

"Duduk diam-diam ya,kang patah pula tulang tu," ada nada benci dan meluat yang terpancar dari ayat itu. Perlahan tapi menusuk dalam ke hatinya. Tapi tak mengapa, dia sekadar menelan sahaja apa pun yang orang katakan.

Dia hanya menganguk perlahan. Tidak mampu lagi bergerak lebih dari itu. Seluruh badannya bisa sekali.Bisanya seperti tulang-tulang yang ada dipatahkan, dan muncung yang patah itu menggigit, mengoyak seluruh sendi, seluruh otot-otot dan seluruh organ-organ dalamannya. Baik organ sistem pencernaannya yang baru sahaja tadi bekerja sepenuh daya memproses segala hasil makanan tadi. Tentu, perut, pankreas dan usus-ususnya yang berselirat itu terasa bersalah sekali kerana hasil daya juang mereka tadi,inilah natijah yang diterima oleh tuannya.

Dirinya menahan kesakitan itu. Dari ekor matanya dia melihat dua wanita itu sedang berbual sesama sendiri. Yang seorang menyandang beg tangannya dan terus keluar. Tinggallah yang seorang lagi duduk di meja, mendail-dail benda ditangannya itu. Dia sama sekali tidak akan memanggil mereka lagi.

Dia kuatkan hatinya.Dia mahu tidur. Dia mahu melupakan kesengsaraannya hari ini.Esok pagi di saat orang lain masih tidak bangun, dia akan melakukan rancangannya.Dia sudah nekad.
posted by Mirip at 3:43 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home