Catatan Hidup Seorang Aku

Monday, October 13, 2008

10

Jarum jam di dinding usang itu tetap juga berjalan. Detik demi detik tanpa menunggu lebih lama. Dia tersedar dari lamunan jauhnya,menerawang kisah yang berkurun-kurun ditinggalkan.

Dia lekas tersedar bahawasanya masa tidak pernah dan tidak ingin pun mahu menunggu manusia. Masa tetap juga akan berjalan samada setiap manusia itu sedar ataupun tetap tidak sedar. Samada setiap yang bernyawa itu pandai menggunakan masanya yang tidak pernah jenuh bergerak itu ataupun masih gembira riang ria pada kehidupan yang sementara.

Memandang jam di dinding yang berpututar ke kanan itu, dia lalu teringat bahawasanya kaum Yahudi dan Nasrani itu tidak pernah berheni dari berusaha menyesatkan umat yang selain dari agama mereka sendiri. Betapa walau dia sedar hakikat yang imannya dan ilmunya dan amalnya terlalu cetek berbanding tahap umurnya yang makin meningkat, namun dia sedar kini yang fikiran dan tenaga kaum-kaum yang telah diceritakan dalam kitab agamanya itu tidak pernah putus mengerah akal fikir mereka untuk menjerat umat lain, lalu meramaikan umat mereka sendiri.

Pernah satu hari,ketika dia termenung sendirian mengenang nasib malang dirinya, ketika dia putus harapan lagi untuk hidup, telinganya dihidangkan dengan gelombang radio IKIM.FM.Suara yang keluar dari corong radio kecilnya menarik hatinya dan menarik perhatiannya untuk lebih lama mendengarkan saluran itu. Saluran yang tidak pernah pun dia dengari sebelum ini.

"Mereka memang pintar. Masakan tidak pintar?Diciptanya jarum jam itu bergerak ke kanan. Untuk apa itu ya?Jawapannya tidak lain, hanyalah untuk melalaikan dan tidak mahu manusia mengingat pada ibadat tawaf di Mekah. Tawaf 7 pusingan kaabah itu harus ke kiri, bahu kiri yang mengadap pada sisi kaabah. Tidak sah kalau orang itu salah pusingan. Lalu mereka ciptakan jam itu ke kanan. Ya, supaya manusia sedikit demi sedikit bisa melupakan tawaf, perlahan meninggalkan Mekkah dan Madinah dari kamar hatinya, dan sedikit demi sedikit tidak lagi mengamalkan ajaran agamanya, lalu tiadalah lagi pakaian Islam di badannya."

Dia mendengar penuh minat dan khusuk. Keriuhan sekeliling tidak lagi dihiraukan. Yang masuk ke gegendang telinganya hanya bait-bait seterusnya pengajaran dari Sang Ustaz. Segala bunyi bising lain tidak lagi dia benarkan masuk ke cuping telinganya apatah lagi gegendang kenyal telinganya. Terasa menyesal kerana lambat memusing tombol radio ke gelombang yang penuh ilmu itu.Tentu banyak lagi ilmu baru lain yang akan dia pelajari kalau dia lebih awal memutar tombol itu.Tapi fikirnya lagi, tidak mengapa dan tidak perlu memikirkan perkataan KALAU kerana KALAU itu sesuatu yang tak akan pernah wujud dan tak akan kembali pun. Masa sudah pun dia tinggalkan dan terlepas dari genggamannya dan tidak akan pernah berulang lagi.Lalu dia bersyukur juga kerana tangannya masih diberikan hidayah untuk memusing-musing tombol itu tadi. Dan terhenti pada saluran itu kerana siarannya yang jelas. Dibuatnya tangannya laju memulas tombol, dan melepasi gelombang radio ini, tentu sahaja dia tidak akan pernah tahu kewujudan siaran ini. Mujur tangannya menukar siaran dari siaran yang menggelarkan dirinya stesen radio nombor satu seantarabangsa ini. Rupanya kalimat MUJUR dan KALAU itu merupakan satu pertentangan sifat.

Bibirnya mengukir senyum sendiri kerana akal fikirnya sempat melontarkan neutron-neutron kecilnya ke partikel di saraf otaknya. Betapa orang-orang ini sangat pandai bermain ilmu psikologi.Kenapa tidak? Siapakah sebenarnya yang meletakkan angka-angka nombor itu. Adakah pendengar sendiri ataupun hanya sekadar taktik perniagaan untuk menarik rating syarikat sendiri. Kalau dari pendengar, tidak pernah pula dia mendengar ada anugerah atau kaji selidik atau segala mala yang boleh ditakrifkan sebagai ujian pengukur kepopularan stesen itu. Lalu, akhirnya dia mendapat jawapan. Kadang-kadang manusia tidak segan silu mengangkat diri setinggi langit atau dalam masa yang sama menjunam orang lain sedalam dasar laut semata-mata demi kepentingan diri sendiri.

Mendengar kata-kata sang Ustaz, dia lantas tersedar bahawa apa jua yang terjadi pada dirinya selama ini adalah hasil dari perencanaan kaum-kaum itulah jua.Ternyata kaum-kaum itulah yang berjaya, dialah sebaliknya yang telah gagal.Gagal mengemudi arus gelombang dan tsunami kehidupannya sendiri. Apatah lagilah pula mengemudi negaranya, dan lebih penting dari semua itu, mengemudi agamanya sendiri. Menitik mutiara-mutiara jernih dari tubir matanya membasahi bantal tempat pembaringannya.Basah bantalnya dengan air jernih itu, seolah membasahi juga kolam hatinya yang selama ini kering kontang kegersangan.Dia menangis semahu-mahunya.Walaupun tidak akan ada sesiapa yang akan perasan pada tangisannya dalam keriuhan rumah kecil itu.
posted by Mirip at 11:33 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home