Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, October 09, 2008

9

Dia terjaga pada pukul empat setengah pagi. Mujur dia tersedar pada waktu yang telah dirancangkannya. Dia mengintai pada jendela di luarnya. Suasana yang sunyi dan tenang itu menjadikan hatinya sebak. Dia sudah biasa kesunyian dalam keriuhan, tapi berada dalam ruang lingkup sunyi yang sebenar-benarnya menjadikan hati halusnya terusik.Inilah waktu yang dirancangkannya.

Ayam jantan pun masih tidak bangun dari tidurnya untuk mengejutkan seluruh penghuni alam. Titis-titis embun masih turun membasahi dan menyejukkan dedaunan. Bunyi kipas dalam kiraan 1 dari 5 kelajuan itu berbunyi ketung, ketung perlahan. Kipas yang agak usang. Tapi sesuailah dengan keadaan di sini yang seperti suasana 20 tahun dahulu masih juga tidak berubah. Samada ada orang yang telah menelan bajet yang diperuntukkan atau sememangnya langsung tiada bajet diberikan pada penyelenggaran tempat ini. Tapi bukan keadaan fizikal tempat ini yang dia kisahkan. Itu tidak pernah menjadi soal pada dirinya. Tempat tidur, baginya cukuplah sekadar pelapik supaya dia dapat melelapkan mata. Itupun kalaulah dia boleh terlelap melupakan segala permasalahannya. Dahulu pun, dia sering sukar melelapkan mata. Kepalanya tepu dengan segala masalah hidup. Sehinggakan dia merasakan yang hidupnya hanyalah untuk menerima masalah. Samada masalah orang lain, apatah pula masalahnya sendiri. Awal hidupnya, terasa semua masalah orang lain itu menghempap pundaknya. Orang lain yang membawa masalah kepadanya, tapi rupanya kini tanpa dia sedari, dan tanpa dia ingini, perlahan-lahan dia pula yang menjadi masalah kepada orang lain.

Dia sempat melihat pada bunga kecil kuning yang tumbuh segar di tepi salur air longkang itu. Selama inipun, kalau dia memandang jendela itu, bunga kecil itulah yang dipandangnya. Dia ingin sekali menjadi seperti bunga itu. Yang dia sendiri tidak pernah tahu namanya. Yang dia tahu bunga itu sering menjadi bunga hiasan di taman-taman. Memandang bunga itu nostalgia lampau zaman kanak-kanaknya diimbau kembali.Dia lalu teringat pada teman kecilnya itu.

"Hany,bila besar nanti, Hany nak jadi apa?"
"Hany nak jadi doktor."
"Kenapa?"
"Boleh ubat orang sakit.Boleh sembuhkan emak demam.Atau boleh betulkan tulang.Macam siku Abang Sham tu," masih terngiang-ngiang di cuping telinganya itu kata-kata nakal dari teman waktu kecilnya.

"Isk, kenapa Hany malu yee?" Dia pura-pura merajuk. Padahal dia tahu teman kecilnya itu tidak akan pernah pandai memujuk. Memujuk itu sifatnya perempuan, tetapi melihat pada temannya yang seorang ini, dia tidak terlalu mengharapkan yang sifat memujuk itu akan terpamer pada perlakuannya.

"Hhehehhe," teman kecilnya itu hanya ketawa kecil.

"Ok tak apa, Abang Sham sokong. Hany mesti boleh." Dia seperti kebiasaan akan menunjukkan sifat menyokong. Hany itu sudah dianggapnya seperti adiknya sendiri.

Hany tersengih sendirian. Tangannya menguis-nguis kayu di atas tanah itu membentuk tulisan. D.R. H.A.N.Y.

"Hany belajar rajin-rajin tau.Hany nak belajar kat mana nanti?"

"Eh mestilah nak ke luar negara.Ada banyak bunga tau kat sana. Boleh main salji. Cuaca pun sejuk macam kat dalam tv tu. Tak de la panas macam sekarang."

"Eleh, eksyennya budak ni. Tapi kat sana tak ada hujan tau? Siapa eh budak yang suka main hujan tu sampai kena marah kat mak dia?"

"Eh Abang Sham ni..." lalu tangannya menumbuk-numbuk belakang Abang Shamnya.

Matanya menitis lagi mengingati semua ini. Hany, aku tau kita sudah jauh berbeza. Tapi aku gembira kerana aku tahu kau telah mencapai cita-citamu. Bisik hati kecilnya. Dia tersenyum sendirian selepas menyeka air matanya sendiri. Hany, Abang doakan Hany selamat dunia akhirat.Abang tahu Hany sudah bahagia kini. Abang ingin sekali berjumpa denganmu tapi itu semua tidak mungkin sama sekali terjadi.
posted by Mirip at 4:28 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home