Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, October 09, 2008

3

Butir-butir kecil bak mutiara bulat panjang-panjang itu dia lihat kosong.Di sisinya ada benda bulat berwarna kuning keemasan. Dan dipenjuru bekas berkotak tiga berwarna hijau itu ada benda leper, ada yang berselirat juga berwarna hijau di perbukitan dilapisi air yang diatas terkumpul bulat-bulat seperti minyak. Satu lagi bukti yang minyak dan air tidak akan pernah bercampur.

Butir yang mereka panggil nasi, benda bulat yang mereka panggil seketul ayam kecil sebesar saiz penumbuk kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun itu dia tatap puas-puas.Di sisi ketiga-tiga itu ada segelas air merah yang mereka panggil sirap. Tapi kadangkala matanya bagaikan melihat takungan darah. Menjadikan dirinya sering tersentak mengejutkan penghuni lain. Namun bila akal warasnya dapat berfikir semula, perlahan-lahan imej darah dalam gelas itu bertukar kembali menjadi air sirap semula. Dulu dia pernah meminta pada manusia berpakaian serba putih itu supaya menukar airnya dengan air putih.

"Ahhh, banyak ragam pula kau ni. Nak itu nak ini," sergahan manusia berpakaian serba putih itu menyedarkan dia yang dia tidak seharusnya meminta atau menolak apa-apa pun jua pemberian atau apa jua yang dilakukan mereka.

Manusia berpakaian putih itu mendengus.
"Nah ambil ni, nak tuang sendiri dari bekas air pun tak boleh? Kalau macam ni lebih baik..." ayatnya tidak tersambung. Tapi apabila dia melihat memek muka manusia berpakaian putih itu, dia sendiri sudah tahu apa ayatnya. Alangkah indahnya kalau semua manusia berpakaian putih itu juga berhati putih? Tapi sekali lagi dia tersenyum. Dia sedar sungguh siapa dirinya.

Sudah tiga hari dia terlantar di sini. 3 hari 2 malam yang menambahkan lagi kepedihan dalam diari hidupnya.Berbeza dengan rancangan 3 hari 2 malam yang kerap kali juga dia tonton dalam TV9 itu dipenuhi keseronokan hidup kerana dapat berjalan, mengembara mengecapi nikmat hidup, disulam bunyi merdu sang penyanyi.3 hari 2 malam yang dilalui oleh Fazley Asmara atau saudara Fahrin Ahmad itu satu pengembaraan yang menyeronokkan, tapi 3 hari 2 malam yang dilalui olehnya tetap juga satu kesedihan.

Ada lima orang perempuan berseragam putih di bilik panjang itu. Ada seperti riben biru di atas kepala mereka yang mereka tutupkan dengan sehelai kain dipanggil tudung. Ada yang muda dan ada yang tua. Dalam lima orang itu, hanya seorang sahaja yang tidak pernah memarahi atau menyemburnya atau memperlakukan dia apa sahaja. Itupun hanya beberapa patah perkataan sahaja yang keluar dari mulut wanita itu.

"Sila makan."

"Ini ubatnya."

"Saya ambil bekas ini."

Hanya ayat itu yang dilemparkan oleh wanita itu. Raut wajahnya tenang. Umurnya dalam lingkungan awal 30-an. Mungkin tua sedikit dari dirinya sendiri.

Dia hanya mampu tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Layanan seperti itu sudah cukup buat dirinya.

Kalaupun orang lain melayannya bagai endah tak endah, dia memang sudah dapat menerimanya.
posted by Mirip at 10:50 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home