Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, October 09, 2008

4

Perutnya lapar sekali. Berlagu keroncong. Kadang-kadang bertukar rentak seperti lagu-lagu nyanyian Gun n Roses. Kadangkala pula berbunyi tidak dapat dipastikan butir rentak seperti Linkin Park. Bukan sekali pula bernada seperti Hujan Sudirman atau Keroncong untuk Ana M.Nasir.

Bukannya dia tidak ingin makan. Dia juga seperti orang lain, apabila tiba waktunya perut akan mula menyanyi-nyanyi minta diisi. Berada di sini pun, makanannya tidak pernah tidak cukup. Sentiasa ada on time orang putih kata. Jangan pandang rendah sangat padanya.Ewahh, ah dia tahu juga berbahasa inggeris.Walaupun hanya beberapa patah. Itupun dia tahu melalui kaca tv yang sering dia tonton dulu-dulu. Di saat hidupnya sama juga seperti orang lain.

Walaupun makanan di sini bagi orang lain mungkin langsung tidak menyelerakan, tapi baginya , makanan begini sudah cukup nikmat untuk dinikmati. Kerana dia sudah biasa tidak makan berhari-hari. Atau dia pun sudah biasa menguis-nguis sampah sarap di jalanan untuk mencari sebutir dua nasi mengalas perut. Dia pernah menjadi orang gelandangan. Jadi kalau makanan yang disedikan di sini, pada matanya adalah seperti makanan bertaraf hotel lima bintang di Rennaisance, atau Nikko Hotel, atau paling kurang Hotel Perdana di Kota Bharu.

Dia ingin menikmati makanan-makanan yang berkhasiat yang dia rasa sungguh menyelerakan itu walaupun dia tiada tenaga untuk mengangkat tangan pun. Tapi mujur juga sejak dia dimasukkan ke sini boleh juga dia mengengsut dan bergerak-gerak sedikit.

Dia ingin sekali memasukkan itu ke dalam rongga mulutnya. Tentu saja salur esofagusnya, dan perutnya gembira menerima tetamu yang jarang hadir itu. Namun sayang seribu kali sayang, dia ada 2 masalah menimpa batang tubuhnya sekiranya dia makan makanan itu.

Pertama, untuk makan pun, dia tidak berdaya.
Kedua, kalau halangan pertama dilepasi, masalah keduanya adalah hasil susulan tindakannya memasukkan bahan-bahan itu ke dalam salur perutnya. Dia akan menghadapi masalah besar. Masalah yang hanya dia sahaja hadapinya, sedangkan bagi orang lain itu bukanlah satu masalah pun, kerana sudah menjadi lumrah kehidupan, apabila ada input di depan tentu sahaja ada outputnya di belakang. Tidak perlu dimalukan kerana semua itu sudah menjadi fitrah alam. Apatah pula orang sampai mencipta istilah melepas hajat. Menandakan tingginya tingkat penghormatan proses itu. Dipanggil orang sebagai HAJAT. Tapi dia sebaliknya pula, dia amat takut kalau HAJATnya itu sampai akibat dari tindakannya memasukkan makanan ke dalam mulutnya.
posted by Mirip at 11:16 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home