Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, October 30, 2008

5i (Part1)

Tuhan telah kurniakan setiap manusia itu dengan fizikal yang sebaik-bainya. Dua tangan, dua kaki sebagai tulang empat kerat. Ada orang yang hidupnya dari muda membawa ke tua mencari makan dan penghidupan semata-mata menggunakan tulang empat kerat inilah.

Di wajah yang indah ini pula, adanya sepasang mata untuk melihat kehidupan, ada dua kening sebagai hiasan.Cuba pejamkan matamu, bayangkan kalau manusia ini tiada kening? Terasa satu kepelikan kan? Atau mungkin sahaja seperti watak-watakd alam cerita-cerita di alam angkasa. Yang kepalanya licin tanpa rambut, yang matanya tanpa ada kening.

Ada pula sebatang hidung untuk menyedut udara, memberi nafas pada paru-paru untuk bekerja seperti yang sudah ditetapkan azali. Ada dua lubang hidung, menjadikan posisi wajah simetri. Kalau hanya ada satu lubang? Atau lubang itu pula berada di atas dan bukan di bawah? Tentu sahaja saluran hidung sudah menangis teresak-esak kerana tidak mampu menakung air hujan yang turun.

Ada sepasang telinga kiri dan kanan untuk mendengar. Apakah pula yang harus didengar itu? Apakah lagu-lagu punk mengajak pada penyembahan selain dari yang satu, atau lagu-lagu jiwang menangis kecewa ditinggalkan kekasih hati, menjadikan hati, jiwa dan semangat sudah hilang. Atau pada kisah-kisah menarik zaman dahulukala. Atau kata-kata penyejuk hati, atau sebarang kata-kata?

Dan ada pula sepasang bibir atas dan bibir bawah untuk berkata-kata. Tapi ada orang yang bibir itu digunakan untuk memfitnah orang lain, atau mengada-adakan cerita yang tidak benar, atau mereka-reka gossip, tidak kurang yang merapu meraban bercakap entah yang apa-apa semata-mata untuk popular. Ya, dunia hari ini memang memandang tinggi pada populariti. Popular bermakna banyak wang masuk ke kantung masing-masing. Dan bagi orang yang tidak popular, yang tidak ada mulut walaupun punya sepasang bibir, bagi mereka kehidupan seolah gelap pekat. Bagi mereka yang tiada kuasa untuk bercakap, tinggallah mereka dalam dunia mereka sendiri, tidak mempedulikan dan tidak pula dipedulikan orang.Dunia seolah-olah tiada pencerahan pada mereka, dunia hanya pada mereka yang suka bercakap! Argg tapi kalau sekali lagi difikirkan, memang salah mereka juga kerana mulut itu kurniaan Ilahi untuk digunakan sebaik-baiknya, harus kenapa mereka tidak gunakan pula? Tentu sahaja mulut, yang Allah telah berikan satu itu, harus pandai-pandai digunakan. Bila perlu dan bila kewajipan untuk dibukakan, harus saja dibukakan, pada yang hak dan pada yang benar. Mungkin sahaja dalam menyebarkan ilmu dan dakwah. Atau pada teguran pada yang sudah jauh dari landasan. Tapi beranikah? Atau hanya mengunci mulut. Tidak berani melawan kerana mereka lebih berkuasa. Samada kuasa itu dalam bentuk kaya harta, atau benar-benar kaya kuasa , tapi bukan kaya budi. Budi sudah tidak dipandang orang lagi dalam zaman akhir ini. Atau budi juga lama kelamaan akan menjadi budu, semakin pupus ditelan arus.

Atau pada pemberitahuan apa yang benar, mana mungkin kalau kesalahan yang jelas terpampang di depan mata, tapi mulut tidak mahu memberitahu kebenaran. Berkata benarlah walaupun pahit!

Sungguh ciptaan manusia itu adalah sebaik-baik kejadian. Dan keindahan.
Kalau direnung kembali, kenapa ada 2 mata, 2 telinga dan hanya 1 mulut? Mungkin juga kerana untuk melihat dan mendengar itu lebih perlu dari berkata-kata. Waalahualam.
posted by Mirip at 10:37 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home