Catatan Hidup Seorang Aku

Monday, November 10, 2008

2(part2)

Apakah makna harapan? Harapan itu sebenarnya bagi orang yang tahu hala tuju hidupnya. Apabila ada halatuju hidup, secara automatiknya,mereka ada visi dan misi untuk mencapainya. Apabila ada visi dan misi, maka harapan untuk mencapai segala yang dicita-citakan itu tumbuh dan membunga dalam diri masing-masing.

Jadi jelaslah sekali yang visi, misi, tujuan dan harapan itu satu perkataan-perkataan yang matlamat akhirnya adalah jelas. Saling berkait antara satu sama lain. Bergantungan dan saling mencengkam sesama sendiri, tidak ingin membiarkan sang pemiliknya lepas bebas terkapai-kapai.

Baginya, itulah sebenarnya maksud harapan. Harapan yang kadangkala setinggi gunung. Namun kadangkala atau yang sering terjadi adalah harapan hanya tinggal harapan. Sedikit demi sedikit gunung harapan itu telah runtuh, samada runtuh sekaligus seperti runtuhan tragedi Highland Towers. Runtuh sekaligus jatuh tersembam mencium muka bumi.Sejelas runtuhan yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Itu tidak termasuk pula pada runtuhnya harapannya yang kecil-kecil. Runtuhan kecilan bak istana pasir yang dia bina di tepi pantai, runtuh sekali lalu dengan hadirnya ombak yang ganas menghempas. Kalau istana pasirnya runtuh kerana hadirnya ombak di pantai, harapan dan hidupnya musnah pula dengan deruan angin puting beliung dan hempasan tsunami hidup yang datang.

Lalu jadilah dia manusia yang sudah tidak ada harapan. Usahkan lagi mengharapkan apa-apa dalam kehidupan. Dia sudah tidak mahu membina harapan lagi. Membina harapan baginya umpama mimpi di siang hari. Enak, dan sedap untuk dimimpikan yang indah-indah, dunia yang indah, sang pari-pari yang jelita berterbangan, kepulan awan-awan memutih, langit biru yang tenang. Tapi bila dia bukakan mata, itu semua hanya ilusi. Padamnya keindahan diganti dengan kekecewaan.Cukuplah sudah selama bertahun dia hidup dalam ilusi ciptaan dia sendiri. Dia mahu menempuh hidup yang berbaki ini dalam keadaan realiti hidup yang sebenar. Walaupun realiti yang dia hadapi ini sungguh pahit untuk ditelan. Dan sungguh tajam untuk dipegang.

Shamsul menarik nafas.Tarikkkk dan hembus. Ta.. ta.. tarrikkk... tapi kenapa kali ini dia tidak boleh menarik nafas? Ya Allah..Nafasnya tersekat.
posted by Mirip at 12:39 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home