Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, November 05, 2008

1 (Part 2)

Ku terpegun di jendela
bila hujan gerimis senja
tak ku lihat di hadapanku
diriku dalam lamunan

Tiada lain yang kubayangkan
hanya peristiwa itu
dosa dosa yang kulakukan
tetap mengganggu batin

Tanyaku pada diri
apakah ini semua cubaan belaka
kesalku tak berakhir
menduga keyakinanku kepadanya
batinku menjerit namun tiada suara

Aku cuba menyatukan
semua harapan yang berkecai
Tuhanku bimbinglah diriku
agar kesalku hilang

Gerimis sungguh mencengkam
tiada dapat kutahan lagi
sungguh-sungguh tak ku
menduga hingga jadi begini.


Bulu roma Shamsul berdiri tegak dari liang kulitnya. Epidermisnya bagaikan tidak mampu menakung aliran darah yang mengalir laju dari bawah kulitnya lagi. Bulu-bulu roma itu tegak berdiri laksana peserta perbarisan di hari merdeka menyanyikan Lagu Negaraku.

Matanya yang lemah itu tiba-tiba serasa semakin lemah. Lemah, kuyu dan penuh dengan genangan air mata. Air mata,teman setianya saat ini.Perlahan-lahan, air mata menitis lagi ke pipinya setelah matanya telah gagal menakung lagi.

Badannya yang terbaring, berselimut putih bersih itu terasa benar-benar memahami batinnya kini. Sungguh dia merasa dekat, bukan lagi dekat, tapi kata-kata yang didengari kedua-dua telinganya itu seolah sedang ditujukan khas buatnya. Bukan buat orang lain. Tepat dan padat menyentuh batang hidung dan batang tubuhnya.

Di situ, di ruang itu, dia keseorangan, walaupun ada juga orang lain di situ, tapi dia tetap merasakan dia keseorangan. Di tengah-tengah tempat dia berada itulah, benda bersegi empat itu terletak kemas, berada tinggi dari yang lain. Memancarkan suara dan imej-imej yang pelbagai. Dan dari kotak itulah dia melepaskan kesunyian dirinya.

Lagu demi lagu berlalu. Walaupun hanya sayup-sayup sahaja dipasang, tapi masih jelas pada pendengarannya kerana jarak tempat dia berada dengan benda bersegi empat itu tidak terlalu jauh. Imej silih berganti menunjukkan persembahan penyanyi yang sudah 40 tahun dalam arena industri hiburan. Tadi dia gembira bukan kepalang kerana pihak pengurusan di tempat ini membuka saluran ini. Walaupun hanya rakaman yang diulang siar, tapi bagi dirinya, itu sudah cukup bermakna daripada membiarkan masanya berlalu sepi begitu sahaja. Mungkin juga kakitangan yang sedang bekerja di hujung sana juga menyukai siaran ini, kalau tidak tentu sahaja sudah ditutup dan benda bersegi empat itupun tidak dibenarkan berfungsi lagi.

Memang, kumpulan ini mengingatkan dia pada seseorang. Awalnya tadi memang dia tersenyum sendirian kerana dengan adanya siaran ini, dia dapat mengimbas kenangan manis hidupnya.Zaman apa lagi kalau bukan zaman kecilnya.

Namun tanpa diduganya, bila lagu bertukar lagu, dan lagu ini yang dimainkan, hatinya jadi benar-benar sayu. Sungguhlah lagu itu ditujukan khas untuknya. Setiap bait dan patah dalam lagu itu sebenarnya adalah dirinya. Dirinya yang tinggal jasad, tapi rohaninya sudah hilang entah ke mana-mana.

Perasaan yang tadinya gembira, automatik telah bertukar menjadi kesedihan dan kekecewaan yang teramat. DIa sudah tidak pedulikan orang lain lagi. Serasa dia ingin menjerit meminta ditutup sahaja siaran itu. Serasa dia ingin menghempaskan kotak hitam itu. Dia tidak mahu mendengar. Dia pekupkan telinganya, tidak mahu sebarang suara menerobos ke dalam gegendang telinganya. Dia tidak mahu urat nadinya menyerap kata-kata itu.

"Arggg" Dia sedikit berteriak. Sangkanya teriakannya itu akan berjaya keluar dari tenggoroknya, namun itu hanyalah salah satu dari impiannya yang telah pun berkecai. Menambahkan satu lagi impiannya yang tidak kesampaian. Menambah panjang pada senarai kekecewaannya.

Dia mengambil selimut, menurunkan kepalanya dari bantal, menekup telinga dan bersembunyi di dalam selimutnya sendiri. Kembali air matanya menjadi temannya sekali lagi. Air mata penyesalannya yang sungguh-sungguh. Air mata kesedihannya pada apa yang telah dan bakal terjadi. Badannya terhinggut-hinggut menahan kesedihan. Dia tidak tahu untuk melakukan apa lagi untuk menghadapi semua ini. Hanya persembunyiannya dalam selimut ini sahajalah yang dapat dia fikirkan. Biarlah kalau orang lain nampak dan menimbulkan tandatanya sekalipun. Dia tidak mahu fikirkan perihal orang lain lagi. Dulu, kerana dia terlalu memikirkan perihal oranglah, dirinya binasa sebegini.

Dia menangis semahu-mahu hatinya.
posted by Mirip at 11:17 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home