Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, November 05, 2008

12 (Part1)

Chik memandang tanpa suara ke arah Mak Jah dan Pak Sen di depannya. Dia bagai dapat membaca kata-kata apakah yang bakal dilontarkan oleh Mak Jah, tapi dia lebih rela menunggu.

Walaupun jauh di sudut hati Mak Jah,merasa kehairanan dengan situasi di rumah ini, namun untuk dia berterus terang,tidak terluah.

Dia yang baru masuk sudah terasa hatinya disayat-sayat melihat keadaan Shamsul yang terbaring tidak berdaya di depannya ini. Sedangkan orang-orang lain yang keluar masuk dalam rumah itu lagaknya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Anak-anak kecil dan separuh besar masih juga bergelak ketawa keluar masuk ke dalam rumah itu. Yang agak dewasa pula dengan hal masing-masing. Ada yang sedang tidur. Yang lain mungkin sahaja sudah ke tempat kerja masing-masing. Tidak tergambar sedikit pun suasana kesedihan seperti yang Mak Jah alami ini. Atau mungkin juga kerana penghuni yang ramai di rumah ini , generasi demi generasi sudah tidak berdaya menanggung kesedihan, hinggakan kesedihan sudah tidak tampak pada perlakuan mereka? Namun Mak Jah tahu itu semua tidak mungkin. Yang pasti dan jelas, penghuni di sini masih seperti biasa. Aktiviti pun masih sama, tidak ada apa-apa yang berlaku pun. Semuanya membiarkan takdir datang dan pergi. Perlakuannya seperti Shamsul itu bukan berkeadaan seperti itu. Apa sudah jadi sebenarnya dengan penghuni rumah ini? Apakah semua penghuni di sini sudah kehilangan perasaan belas atau sudah buntu akal fikirnya?

Persoalan demi persoalan bercambah dalam benak fikiran Mak Jah. Bersarang bersimpul mati. Tapi persoalan tetap sahaja akan kekal menjadi persoalan andaikata tidak ada jawapan tepat.

"Chik, kenapa tidak dibawa ke hospital?" akhirnya terluah juga soalan ini dari mulut Mak Jah. Seberat-berat soalan ini untuk dikeluarkan (takut dia dikata orang sebagai penyibuk hal ehwal rumahtangga orang lain), harus disoal juga. Untuk dia tahu jawapannya. Mencari jalan pada kekusutan yang berlaku. Mencari jalan untuk merungkai, kalaupun bukan kesemuanya dapat dirungkaikan, cukuplah kalau ianya tidak terus bersimpul mati tiada penghujung.

Chik menarik nafas. Dia memandang Shamsul dalam-dalam. Pandangannya lalu dilarikan kembali kepada Mak Jah dan Pak Sen.Memang dia ada jawapan pada setiap persoalan yang diutarakan, cumanya samada jawapan yang sebenar-benarnya yang harus dia utarakan atau adakaj jawapan sekadar jawapan pemuas hati orang yang mendengar, dia masih berfikir-fikir.

"Soalan yang sama yang disoal orang. Dol masa datang pun tanya macam tu,Minah, Mail, bapanya Shamsul ni pun ada datang."

"Abang Dan pun datang? Apa katanya?"

"Katanya apa? Kenapa tak dibawa ke hospital?"

"Dah tu, dia tak juga bawa?"

Chik tidak menjawab. Tidak menjawab itu sudah menjawab persoalan Mak Jah. Orang-orang itu semua hanya tahu bercakap. Bercakap dan bercakap, bukannya dia tidak kenal semua nama-nama yang disebut Chik.Dia kenal sangat, sejak dari umurnya muda pun dia sudah kenal mereka-mereka ini.

Kalau Dol,Minah, Mail itu berkata demikian, walaupun Mak Jah pelik, tapi bukanlah satu kepelikan sangat. Mereka itu hanya saudara kepada Chik. tapi kalau Shahdan sendiri yang menyoal begitu, itu sudah menjadi satu kehairanan tahap tinggi!

Shahdan, dipanggil Mak Jah dengan nama Abang Dan. Lelaki yang dulu berkongsi hidup dengan Chik. Tentu sahaja umurnya sekarang sudah hampir 7o tahun. Dia tidak pasti secara jelas.Yang pasti sudah melepasi angka 60an. Sudah berpangkat datuk kepada cucu cicit yang ramai. Angka 60, satu angka bonus dalam kiraan umur manusia. Umur yang panjang, dan kaya dengan pengalaman tentunya. Tapi kenapa soalan yang setaraf dengan budak berumur 6 tahun yang disoalnya?

Dalam keadaan begini, bukan persoalan itu lagi yang harus disoal. Malahan sebagai seorang ayah, sepatutnya Abang Dan tidak perlu lagi menyoal segala-galanya. Yang dia harus lakukan adalah mengambil pertanggungjawaban sebagai seorang BAPA. Apakah seorang anak itu tanggungjawabnya hanya terpikul pada bahu seorang IBU? Sedangkan di mana anak itu terhasil kalau bukan dengan percantuman benih sang ayah dan ibu?

Hati Mak Jah benar-benar membengkak mengingatkan Abang Dan. Fikirnya mungkin juga Abang Dan sudah berubah atas kapasiti umur yang bertambah. Rupanya penambahan umur tidak semestinya selari dengan tindakan. Malah kadangkala tindakan itu berkadar songsang pula dengan peningkatan umur. Atau mungkin sahaja Abang Dan itu tidak akan pernah berubah. Dan tak akan berubah. Yang mungkin berubah mungkin sahaja dia sendiri sudah ke alam lain. Ke alam yang orang yang meningkat tua tempuhi. Alam nyanyuk. Alam yang menyebabkan dia sendiri terlupa bahawa Shamsul itu adalah ANAKNYA.

Tidak guna Mak Jah mengingatkan Abang Dan, kerana selagimana ingatannya mengimbas pada Abang Dan, dia tumpang kasihan kepada Chik.Biarlah, segala-galanya mendapat pembalasan dari Allah yang maha Kuasa. Dia harus mengambil tindakan segera. Hari ini juga. Dan waktu ini juga!
posted by Mirip at 1:50 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home