Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, January 14, 2009

13(part2)

Kalau disebut kebahagiaan, yang ada banyak maksud itu, sebenarnya mudah sahaja. Bahagia walaupun maknanya seluas hamparan padang pasir savannah, namun hakikatnya dalam diri seorang wanita hanya ada satu makna.

Mungkin bahagia itu bagi sesetengah orang maknanya mempunyai segala-galanya yang boleh dimiliki di atas muka bumi ini.Peraasaan memiliki itu sendiri adalah rasa bahagia yang teramat sangat dan tidak boleh ditukarganti dengan apa pun juga.

Atau bahagia bagi seorang pelakon di pentas lakonan itu adalah berjaya menghidupkan watak dan peranan yang dibawa sesungguhnya. Kalau wataknya jahat, dia puas kalau penonton membencinya sehingga terasa ingin meludah pada paras wajahnya sehabis pementasan. Atau kalau wataknya gadis yang teraniaya, dia puas kalau sang penonton menangis teresak-esak tidak cukup kertas tisu di sebelah. Tidak cukup dengan kertas tisu, sapu tangan, hujung tudung , atau hujung lengan baju yang dipakai untuk mengesat air mata yang turun berjurai-jurai, tapi siap dengan dialog "kenapa mak tiri dia zalim macam tu?".

Atau "kenapa hero dia meninggal dunia ketika menyelamatkan heroin malang itu?" dan dialog-dialog lain yang sewaktu dan sezaman dengannya. Atau juga ayat biasa yang akan keluar "arrgghhh kasihan Puteri,mak cik akan undi puteri untuk menang anugerah nanti. Lakonanmu sungguh hidup Puteri.Kenapalah Pak Pengarah tak panggil mak cik berlakon sama?Kalau Mak cik ada sebagai penyelamat Puteri, tak adalah Puteri jatuh kolam nak...uhuk uhukk uhukkk..."

Ahh tinggalkan sahaja pada Mak Cik Esah yang menangis tidak cukup lengan untuk mengesat air mata. Bagi sang pelakon pemegang watak Puteri, tangisan Mak Cik Esah adalah tanda kemenangannya. Menang kerana dia dapat menjiwai sungguh-sungguh watak sang Puteri, dan sudah terbayang di fikirannya yang dia akan memegang trofi rebutan milik semua tahun hadapan dengan ayat khas akan terpacul "Ohh lihatlah dunia!"

Itu bagi sang pelakon. Bagaimana pula bahagia seorang guru? Tentu sahaja jawapannya mudah. Bahagia seorang guru tulen(ramai juga yang bukan guru tulen dewasa ini) adalah apabila anak didiknya telah berjaya dan masih mengingati dirinya.

Dan pada seorang usahawan, rasa bahagia itu apabila dia melihat perniagaannya berkembang maju. Jerih dukanya berbalas dengan pusingan wangnya yang berpusing dan bekerja sendiri. Dan dia tidak lagi bekerja kerana wang, tetapi wanglah yang bekerja untuknya. Keringat dan usahanya menampakkan hasil yang jelas yang ada di depan matanya. Yang perasaannya kalau dia dihina satu waktu dahulu kerana bekerja keras separuh mati itu telah bertukar menjadi satu kebanggaan pula. Biarpun bukanlah kebanggaan itu datangnya dari dirinya sendiri, selalunya dari orang-orang yang pernah menghinanya dahulah yang kini memuji-muji dirinya separuh mati. Ah Mr. Businessman, itu sudah tidak menjadi kudis lagi bagi dirinya, kerana sudah banyak kudis-kudis yang telah ditempuhnya selama ini menjadikan dirinya tegar. Dan menjadi tegar pada titisan-titisan peluh yang turun membasah bumi itulah satu kebahagiaan yang nyata buat dirinya.

Begitu panjang definisi bahagia, yang tentunya setiap orang ukuran bahagianya itu lain-lain. Namun bagi yang bergelar seorang wanita, erti bahagia hanya satu. Dicintai dan disayangi sepenuh hati oleh orang yang dia sayangi itulah makna bahagia yang satu.

Dan itulah yang dirasa Aishah saat dan tika ini,gadis muda yang baru sahaja meninggalkan zaman alam muda remajanya, dan dia telah serahkan semua perjalanan hidupnya yang akan datang pada kebijaksanaan seorang lelaki bergelar suami, Ahmanuddin. Dengan sekali lafaz "Aku terima nikahnya, Nur Aishah binti Zaid Abdullah dengan mas kahwinnya Satu Ratus Ringgit tunaiiiii," maka bermulalah satu lagi episod baru hidup seorang insan kerdil di muka bumi Tuhan ini.
posted by Mirip at 6:10 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home