Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, January 21, 2009

14(Part2)

Pernahkah anda mendengar dua perkataan ini?Realiti dan fantasi. Tentu sahaja kalian selalu mendengar kerana perkataan ini agak terkenal kalau pun tidak selalu diungkap. Walaupun sebenarnya perkataan ini terlalu dekat dengan kehidupan. Bahkan ada lagu yang tercipta dengan tajuk perkataan ini.

Segala angan-angan nan indah, sahabat sejati, pokok-pokok buah yang berbuah lebat, bunga-bunga yang berkembang dan menebarkan keharuman ke seluruh alam, persekitaran yang tenang dan mendamaikan, ramainya insan-insan berhati mulia berbanding yang berhati syaitan, kebaikan akan dapat mengatasi kejahatan, rumah yang cantik dan meriah dengan rengekan dan ketawa manja anak-anak kecil, kenderaan untuk perjalanan sekeluarga, pekerjaan yang dapat menampung kehidupan dan banyak lagi. Tidak termampu untuk ditulis dan diperbincangkan. Namun intipatinya hanyalah satu, semua manusia normal inginkan yang baik-baik. Mungkin juga ada insan yang jiwanya tidak normal, lalu dia inginkan semua yang tertulis tadi dalam keadaan terbalik. Tapi perlu diingat, kalau ada orang yang berjiwa begitu, dia sesungguhnya tidak layak untuk dipanggil insan. Kerana taraf insan itu sendiri terlalu tinggi untuk dianugerahkan kepada mereka. Walaupun sekali lagi, yang menjadi kenyataan yang tak dapat disangkal lagi, betapa manusia yang tidak layak dipanggil insan ini semakin bercambah di muka bumi. Sepertimana spora-spora kulat yang berterbangan di bawa angin lalu. Mudah membiak dan memperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ada rasa takut menjengah diri, namun sudah suratan kerana itu adalah tanda-tanda bumi ini sudah terlalu amat tua untuk dapat bertahan lagi memerhatikan segala sifat durjana manusia.

Terlalu dalam maknanya semua ini ,yang dapat disimpulkan hanya satu, walaupun kepedihanlah yang dirasakan, adalah semuanya ini semakin menjadi satu fantasi. Realitinya bukan seperti ini. Realitinya kadang-kadang adalah kebalikan dari apa yang otak fantasikan. Sepertilah juga yang terjadi, kerja halal itu amat payah untuk mendapat hasilnya, peluh keringat membasahi, segala isi otak dicurahi, hasilnya tidak semudah mencuri dan merompak hasil keringat orang lain. Rompakan zaman ini bukan lagi rompakan secara lahiriah menggunakan parang panjang, (walaupun sudah semakin bermaharajalela), namun rompakan yang lebih besar sudah menjadi kebiasaan. Rompakan jiwa dan rompakan hak individu lain secara halus dan tersembunyi. Realitinya pahit untuk ditelan sungguhpun fantasinya enak untuk dimamah.

Begitulah juga dengan peperangan semakin menjadi agenda utama, rasa kemanusiaan sudah menghilang, dan masing-masing sudah terlalu mengejar segala isi dunia. Dunia sudah menjadi ainud. Dunia sudah menjadi mata ud. Dan akhirnya dunia ini sebenarnya hanyalah milik orang yang matanya buta, hatinya keras dan mulutnya bisu. Atau apakah satu hari nanti dunia ini sudah tidak mengasihani orang-orang yang terdampar seperti dia, mereka dan aku?

Aishah bermonolog sendirian. Wajahnya dihala ke jendela tingkap, memerhatikan burung-burung yang berterbangan, keluar mencari nafkah hidup. Dia juga begitu, membenarkan suaminya tersayang, keluar di pagi hari ke pejabat kecilnya. Sebagai kerani di sekolah rendah di pinggir bandar itu, cukup untuk menjadikan mereka dalam golongan sederhana. Dan Aishah mungkin juga antara yang bernasib baik kerana status strata ekonominya berubah dari golongan yang dipanggil miskin kepada sederhana kerana perkahwinan. Dia pun tidak tahu bagaimana akhirnya jodoh nya lekat dengan lelaki itu. Tapi dia percaya walaupun dia tidak sama sekali setaraf dengan suaminya, dia masih boleh bahagia selagi ada cinta.

Aishah bersyukur kerana dalam keadaan dia tidak sepandai orang lain, pelajarannya tersangkut di tengah jalan akibat desakan hidup, tiada ayah sebagai tempat bergantung, yang ada hanya seorang ibu tua yang berjuang untuk terus hidup membesarkan anak-anak sendirian. Mujur juga sedikit sebanyak membaca alif ba ta itu dia sudah khatamkan. Hanya itulah sahaja kalau mahu dibandingkan lebihnya dia dari sang suami. Yang lain semua kelebihan ada pada suami. Kacak, berkulit cerah, pekerjaan stabil walaupun tidak terlalu tinggi, bermulut manis, pandai mengambil hati dan semua-semualah yang menjadi idaman gadis Malaya hari ini. Kerana itulah dia sama sekali tidak meletakkan dirinya lebih tinggi dari sang suami akibat rasa keberuntungan mendapatkan suami seperti Ahmanuddin itu. Dia mahu sekali menjadi sepertimana ingatan Nabi akhir zaman, Muhammad SAW, "Sebaik-baik wanita adalah yang taat kepada suaminya." Itulah pegangan Aishah, gadis naif serba kekurangan itu.
posted by Mirip at 6:12 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home