Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, January 21, 2009

15 (Part2)

Kenalan, kawan, sahabat, teman, rakan. Kelihatan seperti serupa tapi sebenarnya tidaklah sama maknanya. Semua istilah ini dari garis kasarnya memang seperti tidak ada bezanya sama sekali, namun bila ditilik-tilik, dihisab-hisab, ditafsir sedalam-dalamnya, rupanya maksudnya tidak sama.

Kebalikan dari hal tadi adalah bahasa pengaturcaraan, samada pascal,cobol, c, c++, membawa kepada pengaturcaraan zaman moden, java (sedapnya kopi panas itu),asp, jsp, dan berbagailah nama lain dan bahasa lain. Nampak seperti berbeza, namun sebenarnya lebih kurang sama sahaja.Perbezaannya hanyalah pada bahasa, struktur dan syntax-syntax yang harus difahami. Tidak kiralah dalam zaman mana,persamaannya tetap juga satu bahasa yang dicipta untuk pemahaman komputer. Supaya komputer, sebagai otak dalam sesuatu proses itu mendapat maksudnya, memproses dan akhirnya mengeluarkan hasil yang dimahukan oleh sang penciptanya. Sang pencipta yang namanya manusia itu, yang secara alamnya, tidak bersendirian menjalani kehidupan. Walaupun mungkin dia mahu hidup sendirian, sudah menjadi lumrah alam, dia tidak bersendirian, kecualilah dia adalah tarzan yang dibesarkan di rimba keseorangan, membesar bersama spesies lain kehidupan. Tapi akhirnya perlu diingat yang tarzan juga akhirnya mendapat teman sesama spesies, siapa lagi kalau bukan JANE.

Itulah, kalau tarzan juga akhirnya memiliki Jane, begitu jugalah semua manusia. Memerlukan dan ada disekelilingnya mahu atau tidak insan bernama sahabat, kawan, rakan, teman dan kenalan itu.

Dalam ramai-ramai yang dipanggil kenalan, atau teman, atau kawan atau sahabat itu, yang paling tinggi taraf untuk mendapat awardnya adalah sahabat. Betapa ramai kenalan yang kita ada di dunia ini, namun tidak sama ertinya dengan mempunyai sahabat sejati. Rakan yang dipanggil sahabat itu adalah teman paling dekat, dan teman paling setia dan teman sewaktu susah.

Hidup berputar ligat, ada masanya senang dan ada masanya susah. Sudah berkali-kali dipesan dan diingat oleh orang-orang tua yang sudah lama menelan garam kehidupan, yang bersama ketika susah itulah yang namanya seorang sahabat. Yang lain, hanya cukup sekadar teman, kawan, rakan atau kalau yang paling "kebawah" dalam susunan ranking anugerah adalah kenalan.

Betapa ramai yang kita fikirkan dia adalah sahabat kita, namun sebenarnya tidak. Betapa ramai yang tertipu oleh lakonan-lakonan sungguh hidup dari mereka. Saat ketawa, merekalah yang dekat,rapat dan sentiasa disisi, namun kalau memerlukan pertolongan, amatlah susah untuk dihulur. Atau kata-katanya sungguh manis untuk didengar, tidak ada sekelumit kata tidak enak dihulur buat kudapan telinga, tapi itu hanyalah di depan semata-mata.

"Chah, mak nak pesan satu rahsia pada Chah ni," satu malam ibu tua itu bersuara kepada Aishah ketika mereka sedang sama-sama makan malam berlampukan minyak tanah.

"Apa dia mak?" Aishah ingin tahu. Matanya tepat memandang ibunya. Kelihatan kedut sudah mula menghampiri ibunya.

"Chah nak tahu pasal sahabat?"

"Nak."

"Nak tahu bagaimana untuk mencari orang yang namanya sahabat?"

Angguk kepala.

"Chah, mak rasa selama ni mak tak cakap benda-benda ni pada Chah. Sebab mak tak mahu Chah pilih-pilih orang dalam berkawan. Mak nak Chah boleh berkawan dengan semua orang. Tapi rasanya sudah tiba masanya Chah tahu rahsia dalam persahabatan ni," ibu tua itu memulakan kata, sambil tangannya menyenduk lauk dari pinggan berbunga ros hitam itu.

"Heheehh mak ni tiba-tiba pula mak nak cakap, macam serius je bunyi," Chah ketawa. Dia jarang dapat berbual santai dengan ibunya dek kesibukan ibunya mencari nafkah hidup.

"Senang aje Chah. Chah pegang ni satu je. Kalau ada kawan-kawan Chah yang suka sangat bercerita pada Chah pasal keburukan kawannya yang lain, tak kiralah samada Chah kenal atau tidak orang yang dicakapkannya tu, ingat ya, dia bukanlah namanya sahabat. Mungkin sahaja dia hanya boleh jadi kawan Chah sahaja. Tapi tidak untuk sahabat."

Mulut Chah sedikit ternganga. Dia sebenarnya tidak menyangka yang ibunya pandai berkata-kata seperti itu. Nasinya tidak sampai ke mulut, terhenti separuh jalan. Matanya memandang tepat pada ibunya. Sungguh dia tidak sangka yang ibunya pandai bicara seperti orang sedang berfalsafah. Sedangkan selama ini ibunya hanya bercakap hal-hal penting sahaja dengannya. Ibunya lebih banyak diam dari bercakap.

"Satu lagi, kalau dia berjanji, dia pegang pada kata-katanya. Barulah Chah boleh percayakan dia sebagai sahabat. Kalau tidak, janganlah sesekali Chah menaruh kepercayaan pada dia. Tidak semua kisah atau masalah Chah, Chah boleh cerita pada dia. Ingat tu Chah," sambung ibu tua itu lagi.Nadanya berubah menjadi tegas, tanda dia mahu sekali yang kata-katanya diserap dalam kotak fikir anaknya.

"Mak...."

"Kenapa, Chah terkejut sampai tak makan nasi tu?" ibu tua itu menahan ketawa. Lucu hatinya mengenangkan riak wajah anak daranya itu.

"Hehehehhehe, Chah tak sangka la, " pecah deraian ketawa dua beranak itu.

**
Kenangan lalu datang dalam benak fikirnya.Air matanya menitik mengingatkan pesan ibunya.Titisan-titisan jernih yang turun mengering sendiri. Dia sedar diri yang dia sudah banyak melupakan dari mengingatkan.

Bagi seorang bernama Aishah, yang hatinya polos itu, dia menganggap Zarina adalah sahabat sehidup sematinya. Sudah sekian lama dia berkongsi cerita dan suka dukanya. Dia menghargai sebenar-benarnya kalau yang namanya sahabat itu. Baginya hidup harus juga berkongsi.
posted by Mirip at 7:04 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home