Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, March 24, 2009

18 (Part 2)

Aishah menggagahkan sepasang kaki panjangnya itu meredah belukar kecil itu. Kepalanya tunduk, fikirannya sedikit tenang, matanya memandang kerikil-kerikil batu di tepi jalanan yang berbaris panjang tetapi sedikit tidak teratur susunannya.

"Ha, Chah dari mana kamu ni?" tegur Pak Ya, pak cik tua yang selalu ditemani Sang Teman yang juga tersenyum simpul pada Aishah, di atas singgahsana basikal tuanya itu.

"Ohh, Pak Ya, Chah dari sana tadi," jarinya main menunjuk sahaja ke hala belakang sana. Alamak, hala mana aku tunjuk ni? bisik hatinya sendiri, sedikit gusar.

"Aik, kau dari mana ni Chah, tu kan semak samun tu," Pak Ya menyoal kembali. Matanya sedikit juling menandakan ada segaris ketidakpercayaan pada jawapan yang keluar dari lontaran mulut Aishah.

Aishah pun tahu, siapa pun juga akan memberikan reaksi sepertimana Pak Ya, apabila tangannya sendiri gatal menunjuk ke arah yang tidak sepatutnya. Semak samun di situ tidak ada apa-apa, hendak dikatakan ada pucuk-pucuk untuk dicari pun tidak ada, hendak dikatakan ada kulat pasu atau kulat yang tumbuh meliar selepas hujan di batang-batang kayu buruk pun, tidak ada. Kalau sekalipun ulam-ulaman ada di sana,m tidak ada pula walau secekak ulam di tangan Aishah hasil petikan jarinya.Jadi memanglah sesiapa pun yang mendengar jawapan darinya akan merasa kemusykilan yang amat tinggi. Apakah yang dilakukan oleh seorang wanita yang masih agak muda di situ? Di dalam semak, bersendirian, dan ada pula segaris bekas kesan air mata yang masih berbekas. Bukankah dia sendiri yang mungkin menimbulkan spekulasi dan fitnah ke atas dirinya sendiri.

Aishah membalas pertanyaan Pak Ya itu dengan hanya senyuman. Hanya senyuman yang mampu dia berikan pun, kerana dia pun tidak tahu bagaimana lagi dia mahu memutarkan ayat-ayatnya semula. Orang lurus sepertinya memang tidak pandai berbohong.

Pak Ya hanya menggelengkan kepala nya yang dilindungi dengan kain panjang dililit-lilit seperti serban. Biasa dipakai oleh orang-orang setempat, yang banyak pula kegunaannya. Selain melindungi kepala dari panas terik matahari,mungkin sahaja pada anggapannya kain itu sendiri dapat pula menjadi satu imej perkenalan pada dirinya. Kalau orang kampung bertanya, "Pak Ya mana?" Jawab pula rakan lain di meja kopi, "Ala, Pak Ya lilit kain panjang" atau "Pak Ya serban merah" dan yang sewaktu dengannya. Sedangkan di luar pengetahuan Pak Ya, (ataupun kalaupun dia tahu, dia sendiri tidak mengambil kisah akan hal itu), orang kampung memanggilnya dengan nama panggilan lain.

"Aku pergi dulu, dah Koko, moh kita gi dulu," matanya menjeling pada Sang Teman temannya yangs ama-sama mencari nafkah hidup dengannya itu. Koko, nama manja timangan Sang Teman Pak Ya, haiwan peliharaannya. Yang dijaga sepenuh hatinya, yang ditumpahkan segenap ruang jiwanya, yang dibelainya sepanjang waktu. Betapa besar jalinan hati yang terjalin antara dua makhluk berbeza jasad itu. Sang Teman itu hanyalah seekor beruk, namun semua orang tahu, Koko itu besar maknanya pada diri Pak Ya. Selain sebagai temannya untuk mencari sedikit wang buat perbelanjaan harian, yang koordinasi keduanya bagaikan seorang ketua sarkas dan dan pemain sarkas. Harmoni dan serasi. Pak Ya mengarah dan Koko diarah. Pak Ya menunjuk pokok manakah yang harus dipanjat oleh Koko, dan Koko terus memanjat, pantas memulas buah-buah kelapa untuk dijatuhkan sebiji demi sebiji. Semua orang pun tahu yang kasih yang terjalin antara Pak Ya dan Koko ibarat ayah dan anak. Yang mengajar sungguh-sungguh dan yang diajar pula patuh sekali. Kadangkala juga, bukan tidak menjadi buah mulut orang jalinan hati yang terjadi antara Pak Ya dan Koko, namun semua orang pun tahu Pak Ya pun sudah tidak ada teman lain di sisi. Semenjak isteri kesayangannya meninggalkan alam fana ini, Mak Milah santan,Kokolah sang pengganti suri hidupnya. Jalinan yang terjadi antara ketiga-tiga mereka ketika Mak Milah masih hidup amat rapat, sementelah sesudah pemergian Mak Milah.

Betapa sayangnya Pak Ya pada Koko. Pernah ada orang bertanya pada Pak Ya " Kenapa agaknya ya Pak Ya ni lain macam benar sayangnya pada Koko?" Lalu apa jawabnya Pak Ya?

Pak Ya hanya senyum menampakkan gigi tuanya yang sudah hitam pekat itu, "Koko ini, walaupun ia hanya seekor beruk, tapi ia mengingatkan aku kepada Mak Milah engkau." Hanya sebaris, tapi jelas dan dalam maksudnya.

Mengingatkan semua ini Aishah tersenyum sendirian. Senyumnya melebar mengingatkan betapa jarangnya menjumpai seorang lelaki sesetia Pak Ya. Aishah menoleh ke belakang. Pak Ya dan Koko terus meninggalkannya melawan arus perjalanan. Dan secara tiba-tiba Koko berpaling kepada Aishah, seperti dapat membaca apa yang terlintas di fikiran Aishah. Koko memandangnya, dengan mata bulatnya tapi sedikit sayu, kemudian juga melemparkan sengihnya. Matanya yang tadi bulat jadi mengecil. Aishah menutup mulut menyembunyikan ketawanya. Argghh Koko, kau pandai menghibur rupanya. Patutlah Pak Ya sayangkan engkau. Bisik hati kecilnya.

Jadi tidak hairan kalau orang kampung sebenarnya memanggil Pak Ya dengan nama gelar Pak Ya Beruk. Sedikit kasar bunyinya, dan yang sedikit bunyi halus di pendengaran, Pak Ya Koko.

Aishah kembali meneruskan perjalanannya. Dia mahu cepat sampai ke rumah.Dia mahu selesaikan apa juga yang tidak selesai. Dia mahu semuanya tidak lagi menggulung kepalanya dan menyakitkan saki baki hatinya yang tinggal. Dia mahukan kepastian.
posted by Mirip at 10:46 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home