Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, April 14, 2009

Three blind mice, see how they run

Melihat suasana politik hari ini,tanganku gatal untuk menulis. Dari pemerhatianku, dapat kusimpulkan bahawa:-

Di satu pihak-di ambang kejatuhan.
Di satu pihak-di ambang kemenangan (tapi sebelum kemenangan datang, ujian dan mehnah datang bertalu-talu.

Kenapa:-
1. Untuk melihat sesuatu pertubuhan/persatuan/negara yang kuat- lihatlah pada penyokong mudanya. Andaikata pemuda pemudi negara menyokong A, di situlah kekuatan sebenar. Mungkin lambat dan tidak tahu bila, tapi itu adalah pasti dan itu adalah kenyataannya.

2. Yang muda semakin hari semakin bertambah. Yang tua semakin hari semakin menuju senja. Senja menunggu waktu untuk masuknya waktu mahgrib. Maghrib menandakan siang akan bertukar malam.

3. Yang tua-tua sudah tidak boleh di buat apa. Cakap dan cakaplah, kebarangkalian untuk menerima adalah kurang berbanding yang baru. Sepertimana di zaman Nabi dahulu, orang-orang tua memang tetap dengan pendirian mereka, berhala itu tuhan mereka. Hatinya sudah tertutup. Yang mudah menerima adalah anak muda, anak kecil (Saidini Ali) yang akalnya masih kosong dari pengalaman lampau.

Mungkin kerana pada pemahamannya, dunia tetap sama seperti ketika mereka muda. Ya memang, mungkin ketika mereka muda belia, apa yang mereka lihat itulah yang mereka percaya dan yang berlaku, tapi masa yang berlalu meninggalkan mereka, telah membuatkan mereka lupa. Yang pada zaman ini, apa yang mereka lihat dan percaya belum tentu sama dengan apa yang berlaku.

4. Dahan-dahan dan ranting-ranting yang tua, lama kelamaan akan lupus juga dimakan masa. Akhirnya yang tinggal hanya batangnya. Tapi batang sahaja tidak akan mampu untuk hidup, tanpa akar umbi, dahan dan ranting. Lalu akhirnya, pokok itu akan menyembah bumi.

5. Bibit-bibit perpecahan dalaman adalah ketara. Perebutan kuasa bermaharajalela. Penyu pun sudah puas bertelur. Negeri sekangkang kera pun sudah heboh dengan persengketaan. Pemimpin sendiri dijatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

6. Buat yang akan berkuasa kemudian nanti. Iktibar dari peristiwa yang berlaku amat banyak. Ya, aku yakin generasi pertama kepimpinan yang sudah melalui keperitan dalam perjuangan, akan menghargai dan menjaga amanah yang diberi. Kemenangan yang terjadi adalah hasil dari air mata dan kesukaran. Tapi belum tentu apabila generasi kedua dan ketiga mengambilalih, tetap sahaja mereka dengan pendirian nenek moyang mereka. Ketika itu mereka sudah benar-benar selesa. Sokongan melimpah ruah. Sokongan tanpa merasai sendiri keperitan adalah sama sekali berbeza berbanding generasi pertama. Tidak mustahil, tanpa keimanan yang teguh, apa yang berlaku hari ini akan berlaku lagi pada zaman itu. Pusingan roda tetap bulat. Kalau boleh, aku tidak mahu melihat keadaan itu. Mungkin ketika itu umurku yang lanjut sudah 80 atau 90 tahun. Itupun kalau masih hidup. Aku pasti, kalau kemenangan datang, banyak air mata yang luruh. Aku doakan aku tidak akan sempat untuk melihat kejatuhan selepas kebangkitan.Kerana aku tidak sanggup menangis kesedihan lagi setelah menangis melihat kejayaan.
posted by Mirip at 8:23 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home