Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, March 26, 2009

19(p2)

Kakinya melangkah laju melepasi kerikil-kerikil batu putih sederhana besar itu. Matanya melilau-lilau sekeliling. Suasana tetap sunyi sepi, entah kemana perginya semua orang. Mungkin semua orang pun sedang sibuk dengan dunia sendiri yang tidak berpenghujung. Atau mungkin juga bunyi tetap juga ada, hanya telinganya sahaja yang tidak dapat menangkap sebarang bunyi-bunyian lagi. Lalu yang tinggal pada hatinya, pada pandangan matanya, pada pendengaran telinganya adalah kosong. Semuanya berkemungkinan, tidak ada siapa yang tahu, yang tahu hanya Aishah seorang dan Dia.

Rumah-rumah di tepi kanan dan kirinya ada yang tertutup dan ada yang terbuka lebar. Tapi Aishah tidak juga menghiraukan rumah-rumah dan penghuni di dalam rumah itu, samada mereka ada atau tidak ada tidak penting baginya. Yang lebih penting lagi adalah sekalian penghuni dalam rumahnya sendiri. Itu yang lebih bermakna buat dirinya dan lebih dari segala-galanya, adalah sebaris askar-askar yang berderet di rumahnya yang dia tinggalkan tadi.

Benarlah, wanita kadangkala dipengaruhi emosi. Bukankah emosi adalah sebahagian dari hidup wanita pun. Jadi janganlah menafikan hal ini kawan.Samada diakui atau tidak, samada mahu menyedari atau tidak, kaitan emosi dan wanita adalah satu. Memang sahaja ada wanita yang mungkin sahaja menafikan, namun usah sahaja menentang fitrah. Kerana emosi dan wanita itu jangan sahaja dipandang dari sisi negatif. Sisi positifnya tetap ada. Bukankah ada kalam yang mengatakan, doa wanita lebih makbul di sisiNya kerana jiwanya? Dan kalaulah bukan kerana emosi yang menggunung, apakah ada naluri sayang yang berlebihan sedikit kepada si anak berbanding si ayah? Lalu bagaimana pula kalau airmata sering mengiringi wanita.Samada dia gembira atau kadangkala dia kesedihan, tetap ada airmata di matanya. Ya, ini semua kerana wanita dan emosi tidak dapat dipisahkan.

Namun, setiap keadaan, hanya ada dua kemungkinan. Di mana ada Yang, di situ ada Yin. Di mana ada siang di situ ada malam. Di mana ada kejahatan, di situ ada kebaikan. Emosi Aishah juga begitu. Kalau selama ini emosinya tenang, atau seringkali seperti tidak berperasaan, kali ini,atau lebih tepatnya tadi, yang membuak-buak adalah api kemarahan yang entah dari mana, tiba-tiba datang, meletus, membakar akal fikirnya jatuh ke laut Mediteranean, sejauh-jauhnya. Yang ada pada diri Aishah sekarang adalah rasa Vandetta.Aishah sudah menjadi Vishah. V for Vandetta!

Lalu, bicara mengenai emosi, Aishah memang dipengaruhi emosinya tadi. Hatinya tidak dapat mengawal keseimbangan fikirannya. Hatinya kalah dek penangan lara emosinya. Fikirnya juga rebah ke tanah, jatuh dan tidak dapat menerima neuron-neoron lagi, hanya kerana emosinya sudah menjuarai carta tingkat dalam dirinya. Dia tidak dapat berfikir mengenai sederet askar-askarnya yang dia tinggalkan begitu saja tadi.

Aishah membuka daun pintu. Perlahan. Pintu rumah yang memang jarang pun dikunci. Yang membenarkan siapa pun juga boleh keluar dan masuk. Yang membenarkan juga apa yang fikir akal logiknya mengatakan tidak sebelum ini pun telah sahaja berlaku di depan matanya tadi. Sungguh satu penderitaan dalam jiwanya tiap kali dia melihat layar di skrin kepalanya. Dia benar-benar boleh jadi gila kalau otaknya kembali membuka filem pada detik itu. Dia tidak mahu ingat, dia tidak mahu mengenang, tapi selagi otaknya ada disitu, selagi itulah imej itu di situ.

Tik, tik, tik...

Hanya gerakan jam besar di dinding rumahnya yang berbunyi. Dia memandang pada loteng rumahnya. Sunyi dan sepi. Tidak ada tanda-tanda askar-askarnya masih ada di situ. Dia melangkah perlahan, memijak lantai kayu berlapikkan plastik getak corak petak-petak kain pelikat hijau biru. Dia merebahkan badannya pada kerusi panjang yang baru dibeli oleh lelaki itu beberapa bulan yang lalu. Kini barulah dia dapat menafsir satu demi satu peristiwa. Dia senyum sendiri. Sedikit. Sinis dan senyum itu sebenarnya untuk dirinya sendiri, yang lembab dan lambat. Lembab mengkaji dan lambat pula berjumpa kenyataan. Argg kerusi, tentu kau sedang tersenyum padaku, melihat kebodohanku sendiri? Aishah senyum lagi. Kini barulah dia tahu kenapa lelaki itu baik hati membelikan dia kerusi set ini satu waktu dahulu. Dahulu memang dia fikirkan, sang lelaki yang amat dicintainya itu membelikan kerusi set itu dengan keikhlasan seorang suami, namun dia dapat membacanya kini. Layar demi layar yang bermain di matanya kini dapat menafsir mengapa pula sejak kebelakangan ini layanan suaminya kepada dirinya seperti ada yang tidak kena. Orang melihat dan dia yang mengalami adalah satu perbezaan yang jelas. Orang melihat keberuntungan dirinya kerana seperti disayangi lelaki itu sepenuh jiwanya, namun rupa-rupanya " Baik ada makna tu.."

Itulah kedatangan kerusi baru itu juga hampir sama dengan kedatangan Zarina, teman yang dia fikirkan sahabat sejatinya itu.Memang sahabat sejati!
posted by Mirip at 11:08 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home