Catatan Hidup Seorang Aku

Saturday, August 02, 2008

HAMKA-Alfatihah to him

Tidak pernah lagi aku menangis dan terasa sebak-sebak membaca novel. Tapi kedua-dua buku AlMarhum Pak Hamka berjaya membuatkan aku berair mata. Kalau Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, aku simpati membuak-buak pada kasihnya Zainudin, membaca Merantau Ke Deli, aku kasihan sungguh pada Poniem. Kasihan itu bukan kerana apa, tapi benar-benar aku dapat menghayati perih hidup Poniem. Apatah lagi aku tahu kisah itu ada dalam masyarakat. Aku tahu benar itu. Jadi apabila Poniem itu mengalami, aku seperti masuk dalam diri Poniem.

Itulah anugerah Allah pada Pak Hamka. Kalau Zainudin itu biasan dirinya sendiri, aku kagum kerana almarhum bagaikan seorang wanita pula tatkala dia mengisahkan Poniem. Kalau kisah Poniem itu ditulis juga oleh seorang wanita, itu tidaklah menghairankan kerana sudah semestinya dia tahu peperangan apa dalam diri wanita. Kalau semua lelaki-lelaki dalam dunia ini dapat berperasaan seperti Pak Hamka, amanlah dunia. Walaupun pengakhiran Leman itu juga tersayat pilu, tapi aku tahu semua itu benar-benar ada dalam hidup sekeliling.

Banyak sekali pengajaran hidup dalam kisah-kisah karya Pak Hamka. Moralnya sangat jelas. Kalau Leman dimakan sumpah, roda kehidupan Suyono dan Poniem. Malahan aku tahu kalau karakter Mariatun itu banyak sekali di dunia realiti.

Tidak banyak ulama yang diberikan kelebihan seperti Pak Hamka. Tulisannya kreatif dengan keadaan semasa, diselitkan dengan dakwah kalau boleh aku katakan begitu. Betapa pahala yang mengalir padanya tidak putus-putus.

Tidak banyak novel cinta yang aku baca. Tapi membaca TKVW dan MKD, berpuluh-puluh kali pun, hatiku masih sedih juga lagi.
posted by Mirip at 10:31 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home