Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, August 26, 2008

Mentor Mentee

Ketika pembahagian kelas, namaku tersenarai untuk ke kelas A. Agak senang pembahagian nama-nama kelas di Kolej Cari Ilmu aku ini. Kelasnya bermula dengan nama A sampailah ke kelas N. Pembahagian nama dan kelas adalah secara rawak, kerana pencapaian kami semuanya adalah sama sahaja. Hasil keputusan peperiksaan tahun lepas itu grafnya akan menjadi satu garisan lurus sahaja antara kami. Walaupun ada segelintir pelajar lelaki yang diberi kelonggaran kerana bilangan huruf sedikit berkurang dalam keputusan peperiksaan itu, kerana sudah menjadi kebiasaan, pelajar lelaki diberi sedikit kelonggaran berbanding pelajar perempuan.

Berbalik kepada susunan kelasku tadi,jadi apabila aku tersenarai berada di dalam kelas A, itu tidaklah bermakna aku ini top student di sekolah itu. Kolej Cari Ilmu ini juga meberi sepenuh ruang kebebasan kepada rakyat jelatanya sendiri untuk memilih nama yang sesuai pada negeri sendiri. Pemilihan nama kelas kami nanti akan aku ceritakan kemudian.

Ketika sessi pendaftaran tadi, aku menerima sekeping kad manila kecil tertera tulisan A2. Akhirnya tahulah aku yang kad itu mewakili mentor group yang telah dibahagi-bahagikan oleh pihak pengurusan kolej. Ketika selesai segala urusan, dan taklimat dan segala proses-proses yang bersangkutan dengannya di dalam dewan besar itu, kami kesemua rakyat jelata ini diarahkan berhimpun mengikut huruf-huruf yang terpapar dalam kad manila kecil tadi.

Lalu, mata masing-masing mencari-cari dimanakah tempat masing-masing. Ada guru-guru, wanita dan lelaki masing-masing memegang kad manila besar dan tertulis dengan huruf-huruf tersebut. Kedudukan lokasi guru-guru itu pula selari dan dalam keadaan yang agak senang untuk dicari kerana sudah tersusun atur dalam susunan abjad. Kad A berada di hujung kiri dewan, Kad F berada di hujung kanan dewan, dan seterusnya. Susunan yang mudah ini tidak menyukarkan rakyat mencari negeri masing-masing dan seterusnya pengumpulan rakyat pada negeri masing-masing menjadi pantas. Mujurlah kad ku adalah A2, kerana aku mudah sekali mencari kad yang dipegang oleh seorang wanita lingkungan 30-an tersebut. Sudah ada beberapa pelajar mengelilingi guru tersebut. Di sebelah guru wanita itu pula, ada tulisan besar A1, dipegang oleh seorang guru wanita yang masih muda, dalam lingkungan 20-an. Setiap huruf dari A-M itu dibahagikan pula kepada 2 sub-kecil. Jadi dari A menjadi A1 dan A2, B menjadi B1 dan B2 dan seterusnya sehingga ke kelas M. Ketika itu mataku hanya dapat menangkap huruf terakhir yang berada di sekeliling dewan itu adalah huruf M.

"Hany, sini, sini," Huda melambai tangannya saat dia melihat kelibatku menuju ke sana.
"Huda, awak pun kat sini," Aku bersalam pada kenalanku di sekolah lama itu.
"Ooo awak Hanany ya," sapa guru wanita yang berwajah jernih itu.
Aku angguk kepala.
"Kita tunggu yang lain dulu ya," ujar guru wanita berbaju kurung kuning kunyit itu seraya memandang ke seluruh anak didiknya. Kami serentak mengangguk kepala.
"Lagi berapa orang cikgu?" soal anak muda berwajah kecinaan di belakangku tadi. Nampak dia seorang yang peramah kerana di bibirnya tidak lepas dari senyuman pada semua orang, pada aku, pada Huda, pada rakan-rakan lain.
"Seorang lagi," balas Cikgu Kamariah, kutahu namanya melalui name tag yang dipakai di tudungnya.

Aku tersenyum dan berjabat tangan dengan rakan-rakan perempuan yang lain.

"Lambatnya, kenapa lambat sangat mamat ni?" aku mendengar rungutan dari belakang. Sah suara datangnya dari budak-budak lelaki tadi, yang aku tidak tahu namanya antara ramai-ramai itu.Yang pasti suara itu bukan datang dari pelajar lelaki yang wajahnya persis kecinaan tadi.

"Hah tu dia... mamat tu datang sini tu," desis suara mamat lain di belakangku. Mereka dalam anggaran lapan atau sembilan orang,elok sahaja mencangkung duduk dalam dewan ini. Serentak itu juga mata kami kesemuanya memandang pada susuk yang datang dalam langkah panjang-panjang ke arah kami. Orangnya tinggi, kurus sedikit gelap, rambut sedikit panjang, berjalan laju-laju sambil tersengih-sengih pada kami. Dia tahu semua mata kami memandang ke arahnya, lalu dia melambai-lambaikan tangannya seolah-olah seorang olahragawan melambai tangan pada peminat selepas memenangi pingat emas dalam mana-mana kejohanan sukan.

Lelaki muda itu mendekat. Dan akhirnya berdiri jelas di hadapan kami.

"Maaf cikgu, ke tandas tadi," Dia kembali melemparkan sengihnya pada semua mata yang memandang padanya .

"Ooh, awak tentu Syahrul," Cikgu Kamariah senyum sambil menandakan sesuatu di tangannya. Pasti itu senarai nama pelajar. Kertas di tangannya dilipat kecil.

Aku dan Huda saling berpandangan. Aku tepuk dahi. Huda seperti selalu hanya tersenyum.
Aku tahu apa ada dalam kepala Huda dan Huda tahu apa ada dalam kepala aku.

"Buyol, mung pun sekelas dengan kami?" Huda terlepas cakap.
Buyol hanya senyum lebar memandang kami.
posted by Mirip at 12:23 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home