Catatan Hidup Seorang Aku

Monday, August 18, 2008

Merdekakah Malaysia?

Dulu, ketika pelajaran Sejarah, samada di tingkatan empat atau lima, aku sudah lupa, aku bertanyakan soalan ini kepada Cikgu Shamsudin, guru sejarah kami.
"Kalau PKM atau MPAJA itu tujuan utamanya adalah menuntut kemerdekaan, kenapa selepas merdeka masih ada peperangan berlaku antara kerajaan dan pertubuhan/parti itu?"
"Kalau tujuannya sama kenapa berlaku juga peperangan 'sesama sendiri', sedangkan tujuan utama angkat senjata adalah menuntut kemerdekaan?"

Tidak tahu, entah kerana soalan yang aku keluarkan berbaur perkauman, atau sensitif atau menyalahi peraturan, jawapan dari Cikgu Shamsudin yang berbunyi, "Kerana mereka Parti Komunis," benar-benar menjadikan aku pelik.

Maksud aku ketika itu, kalau ada dua kawan yang matlamatnya satu, dan akhirnya tujuannya tercapai walaupun method yang digunakan oleh 2 sahabat tadi berbeza sama sekali, kenapa di akhirnya setelah kemenangan tercapai, hanya satu puak yang naik, dan satu puak lagi seolah bersalah dan kembali harus diperangi sesama sendiri.

Akhirnya setelah dewasa aku tahu lebih dari itu. Aku faham mungkin Cikgu Shamsudin sendiri serba salah atau tidak menyangka ada soalan yang sebegitu dari anak muridnya.

Setelah membaca Memoir Rashid Maidin, ada banyak pelajaran yang aku dapati.

1. Kemerdekaan kalau hanya pada nama sahaja tidak membawa apa-apa. Bagiku kalau namanya merdeka, ia harus merdeka total, bukan pada merdeka tapi menjadi boneka pada orang lain. Ya kita disanjung sanjung tapi hakikatnya banyak benda yang kita harus akur pada caturan orang lain.

2. Sering terjadi, lembu punya susu sapi dapat nama. Pepatah yang aku kira terlalu dekat dengan sekeliling. Begitu banyak keadaan yang sebegitu. Samada dahulu, atau juga kini dalam kehidupan seharian bekerja. Kembali pada erti kemerdekaan, dahulunya ada suara orang-orang yang lantang dan sedar akan hakikat ini, seperti Burhanudin Al Helmy, Pak Sako, Rashid Maidin sendiri yang menyalakan info pada peri pentingnya kemerdekaan negara dari terus terjajah dari British. Apa yang terjadi pada mereka? Di tahan, di penjarakan oleh pemerintah. Siapa pemerintah pada masa itu? British. Jadi dimasukkan mereka ini kedalam penjara supaya suara-suara yang menuntut kemerdekaan itu terhapus. Lalu rakyat akhirnya sedar yang perjuangan tidak akan kemana-mana juga. Yang ada hanya kemelaratan atau pasrah sahaja walau tetap dijajah. Hasil kekayaan bumi tumpah tanah air diragut, rakyat yang berhak tetap melarat. Tapi di sisi lain, ada orang yang mengikut sahaja pemerintah itu (British) kerana katanya merdeka itu harus dengan jalan baik.

3. Hakikat tersembunyi. Tanpa gerakan bersenjata dari pihak-pihak tertentu (akan isi kemudian), mana mungkin sang pemerintah ketika itu mahu memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Tanpa ada tekanan sebegitu, pemikiran logiknya mereka pun tidak akan melepaskan tanah bertuah ini. Lalu akhirnya British bersetuju memberikan kemerdekaan.

4. Tapi apabila kemerdekaan dengan cara berunding begitu, pasti akan ada yang jadi mangsanya. Banyak sekali. Ada yang sekadar menjadi boneka. Lalu akhirnya terjadilah perang sesama sendiri yang membantutkan pembangunan negara.

5. Apapun yang terjadi, samada sejarah tidak bercakap benar, atau sejarah seperti selalu dipusing-pusingkan waima pusingannya 360 darjah sekalipun, aku mendoakan orang-orang yang benar-benar berjuang pada pembebasan tanahair, walaupun di dunia ini mereka di hina, tidak mendapat balasan setimpal, aku mendoakan kebahagian buat mereka. Sepertimana Pak Rashid yang hidupnya kini menjadi guru Al Quran di Yala, Thailand dan banyak lagi, hanya Allah sahaja yang berhak membalas kalau ada perjuangannya yang harus mendapat penghargaan. Penghargaan dan keredhaan apa lagi yang lebih tinggi dari kurniaan Allah. Bukan kurniaan manusia yang seringkali buta dalam menilai.

Sempena bulan kemerdekaan ini, ku coretkan kisah ini buat pedoman bersama.Jangan lagi ada sorakan kemerdekaan tanpa memahami apa makna merdeka itu sendiri.
posted by Mirip at 9:10 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home