Catatan Hidup Seorang Aku

Monday, August 25, 2008

Rahsia terbongkar

Jari jemari di atas kepingan wang syiling dua puluh sen itu bergerak sendiri.Mula-mula tanpa gerakan jelas tapi akhirnya secara tiba-tiba terasa berhenti di salah satu huruf Konsonan itu. Hurufnya M.Aku masih juga tidak faham apa-apa dan ingin bertanya Yati, ketua segala ketua kepada permainan pelik ini.

"Yati," mataku membulat ke arahnya.

Yati, yang juga penolong ketua kelas kami itu hanya meletakkan jari telunjuknya ke bibirnya isyarat jelas supaya aku tidak bertanya apa-apa lagi. Jelas sekali dia tahu apa yang aku mahu tanyakan. Cob, teman rapat si Yati ini juga memandang aku. Mungkin geram kepadaku kerana mengganggu konsentrasi permainan ini.Jari telunjuk Cob bertemu dan rapat sekali dengan jari telunjukku dalam keadaan berlawanan arah.

Asalnya tadi,aku yang terkocoh-kocoh masuk ke kelas prep waktu tengahari itu yang jadi galang ganti pada konspirasi tahap tinggi rakan-rakan sekelasku. Patutlah tadi ketika aku berlarian menaiki tangga dan pantas menuju ke muka pintu, suasana kelas terasa amat hening, bagaikan ada Malaikat yang lalu. Rupa-rupanya ini kerja mereka ya.

"Hany, kami perlukan khidmat engkau," Yati memanggil aku perlahan ketika aku duduk di tempatku. Barisan ketiga dari depan, di kiri kelas. Yati, Mc Jea, Cob dan Azi masing-masing sedang duduk berteleku dan muka masing-masing keruh bagaikan sedang berfikir masalah negara. Mereka selalu begitu. Berempat ke mana-mana, tidak mahu berengang barang sesaat.

"Kenapa pulak," mulutku bertanya tapi kakiku melangkah ke arah mereka berempat. Mana pula perginya teman-teman yang lain? Hairan nan ajaib ini. Budak-budak lelaki pun tidak ada. Ohh patutlah senyap kelasku tadi, budak-budak lelaki tidak cukup umur itu semuanya tidak ada membisingkan kelas.

Lapan biji mata merenungku dalam bagaikan memohon pengertian dari sang kekasih. Melihat rupa mereka ketika itu, lantas teringat aku kepada wajah Shah Rukh Khan dalam Kuch-Kuch Hota Hai, meminta Kajol menerima permintaan anaknya, si Anjali itu. Muka kasihan meminta simpati.Yang bagiku tidak perlu diberi simpati kerana yang lebih berhak menerima simpati itu adalah si Salman Khan yang secara anehnya boleh pula menari sakan walaupun perkahwinannya dengan si Kajol tidak berjalan. Tapikan bukan namanya Hindustan kalau jalan ceritanya tidak berjalan dengan logik. Semakin tidak logik jalan cerita itu ,semakin penuhlah panggung wayang dibuatnya. Sebaliknya kalau cerita itu penuh dengan kelogikan dalam alam realiti,habis panggung wayang dibakar penonton. Satu lagi keanehan alam yang aku pelajari.

Ok kembali kepada wajah-wajah pemudi harapan bangsa itu tadi, aku lantas duduk di kerusi yang disediakan oleh Yati. Terasa diriku seperti Yang Berhormat ADUN Penanti dalam P44 Parlimen Permatang Pauh pula layanan yang diberikan kepadaku. Layanan tahap VVIP.Muka kasihan, pandangan minta simpati, tenpat duduk disediakan, mujur tidak ada air kotak di tepi. Agaknya kalau ada air kotak di tepi mereka,samada YEOS ataupun F&N mahu dihulur dan dipaksa aku ini minum membasahkan lohong tekakku ini.Manusia, kalau diperlukan khidmat orang, memang begitulah selayaknya. Ketika itu, aku rasakan kalau aku meminta dibelikan mee goreng dari kedai koperasi sekolah pun, semuanya mahu berebutan, mahu membelikan mee goreng yang jarang-jarang dapat kurasai itu kepadaku. Tapi kawan, jangan bimbang aku tidaklah sezalim itu walaupun kadangkala aku kelihatan sedikit zalim pada manusia-manusia yang suka menzalimiku.:)

"Looorr, ini kerja korang ya," aku bagaikan ingin memulai syarahan agamaku. Orang kadangkala memanggil aku dengan panggilan Ustazah kerana mulutku ini kadangkala suka berceramah.Sebenarnya bukan berceramah tanpi bangkangan ku pada sesuatu itu ditafsirkan aku ini sebagai anti segala sesuatu dalam dunia ini. Memang aku suka membangkang, tapi bukanlah pada semua benda pun dibangkangi, hanya ada situasi-situasi tertentu sahaja. Di waktu lainnya kalau ianya tidak salah di mataku dan di hatiku, aku lebih suka menuruti dan mulutku diam terkunci.

"Tolong....," Cob pula menyambung kata."Si jea ini datang hari, tak boleh..." Azi menyambung lagi. Bagusnya mereka berempat ini kata-kata selalu sahaja selari. Selalu ada backup antara satu sama lain. Selalu nakal dengan idea tidak masuk akal sama sekali tetapi selalunya mereka juga yang pintar di dalam kelas.Otak yang kalau selalu tidak berhenti digunakan, akan wujud perlakuan yang kadangkala aneh.

Aku pandang Jea, mahu tergelak pun ada juga.Mahu marah pun ada juga.Marah kerana selalunya aku yang jadi pembantu hal ehwal urusan tidak masuk akal mereka."Dah tu?" aku pura-pura menanyakan soalan sedangkan aku tahu, jawapannya tentulah aku yang harus menggantikan si Jea itu."Kau nak tahu tak? Kisah tahun 1944?" Yati selaku ketua kelas merangkap ketua empat serangkai itu memulakan bicara, tidak lain tidak bukan ,hanya untuk memancing aku turut serta.

"1944? Jepun?" aku ingin tahu. Pancingan si Yati tepat mengenai sasaran, cacing yang diletakkan pada mata kailnya sudah beroleng-oleng di dalam air, kelihatan seolah lazat penuh nikmat dalam pandangan mata ikan keli. Sang keli walaupun sudah diingatkan yang cacing itu hanya umpan olok-olok oleh nenek moyangnya, tetap terpedaya, tetap juga melihat cacing itu bagaikan pizza hut penuh potongan dadu warna warni lada benggala hijau,merah dan kuning itu. Matanya bukan lagi melihat pada gerakan palsu cacing merah itu tapi melihat pada enaknya roti bersalut nenas di atasnya, keju kuning yang ketika ditarik-tarik untuk disuap ke mulut itu masih tidak putus-putus, dan cendawan di permukaan roti. Mata Keli sudah kelabu asap, tidak lagi mendengar nasihat yang tidak penah putus dari nenek moyangnya bahawa jangan mudah terpedaya dengan janji palsu. Kata-kata manis itu sentiasa boleh diberi di mana-mana, selagi belum didapati, berbuih kata manis pun sanggup diberikan. Yang pentingnya lihat dengan mata hati, itu pesan nenek Keli. Tapi sayang, keli tetap juga keli.Keli tetap juga buta mata dalam menilai mana pizza hut dan mana pula cacing kerawit. Dan aku sudah pun menjadi ikan keli itu. Termakan dengan perasaan ingin tahu apa jadi kalau aku memakan cacing aka pizza hit itu, atau ayat paling mudahnya, termakan dengan hasutan Yati, ingin tahu cerita apakah yang mereka persekongkolkan dalam arena meja empat segi dilapisi kad manila putih dengan segala huruf-huruf dalam susunan teratur dari A-Z itu.

Taktik psikologi yang dimainkan Yati berjaya.Dia tahu bila ketikanya harus menusuk jarum. Dia tahu minat orang lain dan dari itu dia memainkan jarumnya memujuk.
Dan jari telunjukku dan jari telunjuk Cob bersatu lagi, membentuk huruf kedua- "A".
posted by Mirip at 11:34 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home