Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, August 26, 2008

Part II

Teman keduaku, Nurul Huda, juga anak seorang guru. Aku tidak terlalu mengenali Huda kerana asalnya kami tidak bersekolah rendah yang sama. Dia bersekolah di pekan, di sekolah ayahnya mengajar. Ketika di Sekolah Menengah Rendah, dia sekelas dengan Buyol, tidak denganku. Ketika di SMTM itu, aku antara beberapa kerat pelajar dari SRTM yang memilih untuk ke kelas Khas Arab(KA). Manakala selebihnya, pelajar lain memilih aliran SE(Special English). Hanya aku dan Yati sahaja dari kelas Seroja di SRTM yang memilih untuk ke kelas KA.

Ketika itu, sistem di sekolahku, antara sekolah yang mempunyai dua aliran para pelajarnya. Satunya SE- iaitu lebih pada sastera inggeris, dan satu lagi KA, lebihnya pada bahasa arab. Tapi orang sedikit sebanyak memandang rendah pada kelas KA itu, kerana pelajar yang UPSRnya bagus akan memasuki kelas SE, dan yang kurang bagus sedikit akan memasuki kelas KA. Semasa mula-mula Ayah daftarkan aku ke kelas itu, aku sedikit sedih kerana semua orang tidak kukenal, manakala kawan-kawan sekolahku semuanya kelas SE. Tapi akhirnya aku faham, dan aku berterima kasih kerana Ayah mendaftarkan aku dalam aliran ini.

"English itu, dimana-mana pun boleh, tapi kalau bahasa Arab itu, tidak semua orang dapat kuasai," pujukan Ayah yang ternyata ada kebenarannya. Lagipun akan pupus pula ilmu yang sedikit itu kalau aku tidak teruskan kerana, ketika dalam darjah lima dan enam, ayah sudah menghantar aku ke kelas tambahan Bahasa Arab yang jauh dari rumah. Jadi tidak berbaloi kalau aku tidak teruskan sahaja ilmu itu walaupun tidak memasuki sekolah berasrama agama. Asalnya Ayah mahu aku memasuki sekolah berasrama penuh agama yang letaknya jauh berbatu-batu dari rumahku itu, sekolah-sekolah agama itu di kota ibu negeriku. Memandangkan aku masih kecil, dan Ayah menukar fikiran tidak mahu menghantar anak gadisnya yang baru menginjak alam remaja itu berjauhan darinya, lantas dia hanya menghantar aku di sekolah depan rumahku itu sahaja. Mujur juga, prestasi sekolah itu antara yang terbaik di seluruh negeriku, sampailah ke hari ini.

Ketika di kelas KA, ada pembahagiannya pula. KA1, KA2 dan hujungnya aku tidak pasti sampai KA berapa. Aku dan Yati berada dalam KA1. Jadi nama kelasku agak cantik. 1KA1. IKAI. Cantik, mujur bukan IKAL. Aku tidak terlalu mengenali pelajar kelas KA lain. Kenal pada muka sahaja, kadang-kadang nama mereka tidak aku ketahui. Selalunya kami akan senyum-senyum sahaja. Jadi di sepanjang kelas KA itu, aku mendapat kawan-kawan baru dari sekolah rendah lain. Kawan-kawanku dari sekolah rendah asalku, kebanyakannya kelas SE, dan kelas YT dan tah apa-apa kelas lagi. Terlalu banyak kelas ku kira pada waktu itu.

Huda dan Buyul yang sekelas ini tentunya lebih rapat daripada aku yang kelasnya jauh sedikit. Ketika dalam kelas KA itulah, aku mengenali ramai teman-teman baru yang semuanya baik-baik belaka. Lelakinya walaupun sedikit nakal, tetapi kuakui amat bersopan baik pada cikgu atau pada teman sekelas. Oh ya ada seorang lagi teman lamaku dari sekolah rendah. Namanya Tengku Halim. Putih orangnya. Tapi Tengku Halim ini aku tidak pasti pula ketika sekolah rendah samada berada dalam kelas Seroja atau tidak. Di usia-usia begini, ingatan alam kanak-kanak kadang-kadang timbul kadang kadang tenggelam.

Ketua kelas kami, namanya Nassar. Dan aku pernah menjadi pembantunya. Sepanjang tiga tahun dalam kelas KA, ketuanya adalah sama. Cuma pembantunya yang bertukar. Tahun pertama dan kedua, aku menjadi timbalannya, dan pada tahun ketiga, aku meletakkan jawatan, diambil alih oleh orang lain, dan aku menjadi bendahari pula. Switching Job itu bagus dalam mempelbagaikan pengalaman kan. Nassar ini anak kepada Ustazah Bahasa Arabku. Selama tiga tahun Ustazah ini mengajarku, kami memang rapat antara satu sama lain. Ustazah yang bertudung labuh ini selalu sahaja meminta bantuanku, atau selalu meminta aku menulis pada papan hitam.
posted by Mirip at 4:36 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home