Catatan Hidup Seorang Aku

Monday, November 10, 2008

5(part 2)

Ruoanya fikiran itu kalau selalu digunakan, diasah-asah, diberi sedikit beban, ia akan memberikan jawapan pada segala persoalan.

Duduk termenung begitu, memanggung kepalanya pada kepala lututnya. Dia pejamkan matanya dan dia nampak, kisah-kisah silamnya. Dan pada akhirnya dia melihat dia pejamkan mata serapat-rapatnya dengan linangan air mata penyesalan.

"Ya, apakah aku sudah mati sebenarnya? Apakah ini sebenarnya kematian? Apakah rupanya inilah yang dikatakan orang itu mati?" Dia tidak mendapat jawapannya kali ini. Akal fikirnya hanya dapat mengembalikan hanya setakat itu sahaja imbasannya.

Serta merta dia kecut perut kembali. Kalau ini namanya kematian, patutlah tiada orang lain di sini. Apakah ini padang Mahsyar, yang disebut-sebut ustaz-ustazah satu ketika dahulu? Kalau benar, mana pula orang lain? Sedangkan di sini, seingatnya, kesemua makhluk dari seawal-awal zaman sampai akhir zaman dihimpunkan untuk diadili. Tentu ini bukan padang Mahsyar. Tapi dia di mana?

Dia berjalan lagi.Di hujung sana dia melihat seperti ada sesuatu.Dia ingin mendekat tetapi dia merasa ada satu luar biasa. Dia mendekat lagi, dan lagi.Dia terasa panas tapi perasaannya masih mengajaknya supaya mampir mendekat lagi.
Sesampai di sana, dia melihat satu lembah yang dalam. "Ya Allah," dia terpelanting reaksi pada keterkejutannya yang teramat sangat.Jantungnya bagai mahu luruh. Peluh keluar serta merta memercik membasahi seluruh badannya.

Dia terketar-ketar. Di dalamnya dia melihat lembah yang panas.Entah dari mana, dia tidak tahu, ada ilham dalam hatinya mengatakan itulah "WAIL". Lalu imbasannya datang pada Ustaz yang pernah mengajarnya dahulu.

Kata-kata ustaz itu terngiang-ngiang di cuping telinganya, " Menurut Saad bin Abi Waqqas, seorang daripada 10 sahabat yang dijanjikan syurga, yang meninggal dunia pada tahun 55H, menyatakan yang dia telah bertanyakan Rasulullah tentang maksud ``orang yang lalai sembahyang'' tadi. Baginda menyatakan bahawa yang dimaksudkan itu ialah mereka yang melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.

Mereka ini tetap termasuk dalam golongan orang yang melakukan sembahyang, tetapi memandang enteng dengan melambat-lambatkannya. Bagi mereka adalah balasan neraka, yang dinamakan ``wail'', yang sangat berat azabnya. Menurut satu pendapat neraka wail itu adalah satu lembah yang terdapat di neraka jahanam. Andainya bukit-bukit yang ada di dunia itu diletakkan dalamnya, nescaya hancur luluh semuanya kerana terlalu panas."
(1)

Shamsul menggosok-gosok dadanya. Rupanya dia telah melihat salah satu lembah neraka. Apakah dia salah seorang dari umat Nabi Muhammad SAW yang akan tercampak ke situ? Dia merasa takut yang teramat sangat.

Lalu dia ingat lagi pada kata-kata Ustaz Habiburrahman, "Dalam sebuah hadis riwayat daripada al-Bayhaqi dinyatakan bahawa Umar bin Al-Khattab r.a. ada memberitahu, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, apakah amalan yang paling dikasihi Allah dalam Islam. Baginda menjawab: Sembahyang dalam waktunya. Barang siapa meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya. Sembahyang adalah tiang agama.

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang hamba itu sembahyang pada waktu awal, maka sembahyang itu naik ke langit dengan cahaya, sehinggalah tiba ke arasy, lalu sembahyang itu memohon keampunan kepada Allah untuk tuannya sehingga hari kiamat. Ia berkata: Semoga Allah memelihara akan dikau sebagaimana engkau memelihara akan daku. Dan apabila seorang hamba itu sembahyang bukan pada waktunya, sembahyang itu naik ke langit bersamanya kegelapan. Apabila tiba ke langit ia dilipat, seperti pakaian yang dilipat, lalu dipukul dengannya pada muka tuannya, ia berkata: Allah s.w.t. mempersia-siakan akan dikau, sebagaimana engkau mempersia-siakan akan daku."
(2)

Suara Ustaz Habiburrahman berlegar lagi,"Keterangan di atas menjelaskan betapa Allah memberi peringatan amaran terhadap mereka yang melengah-lengahkan sembahyang. Andainya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan menyedari betapa pedih dan sakitnya seksaan tersebut, dia akan sedar dan insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

Namun demikian, lumrahnya tidak mudah seseorang itu hendak mengubah tabiatnya yang telah menjadi darah daging. Dosa itu seperti sakit atau kerosakan yang ada pada jari-jari. Apabila satu jari itu rosak, maka akan bengkoklah jari tadi. Semakin banyak kesakitan yang terjadi, maka semakin banyaklah jari-jari yang bengkok, yang mungkin berakhir dengan kerosakan pada seluruh jari jemari tadi.

Adalah mudah untuk memulihkannya jika ia dirawat sebaik-baik sahaja jari itu membengkok. Ia akan pulih seperti sediakala bergantung kepada tahap kesakitan yang dialami, ubat yang digunakan, dan kekuatan badan si pesakit. Kerana itu penyakit perlu diubat lebih awal dan jangan dibiarkan merebak. Merawat dosa ialah dengan bertaubat."


Habis sahaja ingatannya pada suara Ustaz Habiburrahman, Shamsul sudah menangis semahu-mahunya, walaupun tiada air mata yang keluar. Dia mendongak kepalanya ke atas, yang tadinya dia tunduk ke bawah.Dia celikkan matanya yang sedari tadi dia pejamkan kerana ketakutan yang amat sangat.

"Ehh, kenapa tidak ada lagi lembah tadi di sana?"

Walaupun pemandangan yang dia nampak tadi sudah tidak ada di depannya, dan pemandangan di situ kembali kosong, hanya dataran seluas saujana mata memandang, tapi Shamsul masih tetap menangis. Dia tahu kesalahannya. Dia menyesal pada keterlanjurannya. Dia tahu dia sudah meninggalkan tiang pada agamanya sendiri. Kalau tiangnya tiada, memanglah perlakuannya selama ini seperti orang tidak beragama. Kalau tiangnya tiada, memang patutlah hidupnya hancur. Dia ingin kembali, tapi bagaimana? Dia tidak tahu caranya. Tiada siapa yang mahu mengajarnya? Di mana dia mahu mencari tali untuk dia kembali ke pangkal jalan? Apakah masih ada orang yang akan membimbingnya. Tidakkah semua orang pun memang mengharapkan hidupnya akan berakhir begini? Tidakkah semua orang pun mendoakan dia cepat-cepat pupus dimuka bumi ini? Tapi kalau itu yang mereka mahukan, bukankah kini dia pun sudah berada di sini? Tempat yang dia sendiri tidak ketahui di mana dan apakah penghujungnya?

Teresak-esak dia menangis.Memohon bantuan dari Allah agar ada jalan keluar pada tanah gersang ini, kalau masih ada jalan keluarnya.
posted by Mirip at 2:02 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home