Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, August 28, 2008

Part X

Hari perpisahan sudah menjelang tiba. Perpisahan yang mungkin antara kami sudah tidak akan bertemu lagi. Jelas terpancar kesedihan di wajah masing-masing. Banyak kenangan dan kisah di sebalik tirai langsir Ammarian.

Kisah kami bermula dengan persengketaan. Sengketanya bukan kecil dan sedikit. Tidak pernah ada dalam sejarah, itu kata guru kan. Benarlah, ada hikmahnya di sebalik segala kisah duka. Oleh kerana mulanya kami begitu, ada ikatan emosi yang kuat antara kami ketika di akhirnya.

Peperiksaan utama sepanjang 11 tahun berhempas pulas belajar sudahpun tamat. Masa untuk keluar dari pintu gerbang itupun sudah tinggal hanya beberapa hari. Masing-masing akan membawa haluan sendiri.

Kebanyakan kami mengedarkan buku kecil masing-masing untuk di beri kepada rakan-rakan lain sebagai catatan. Aku di antaranya. Apatah lagi aku sukakan kalau diberi peluang menulis dan juga membaca catatan orang. Dengan menulis di buku catatan orang lain, aku dapat menulis kata hatiku yang tak mungkin dapat aku ucapkan dengan kata-kata.

Tapi malang sekali, di malam akhirnya, buku itu hilang entah ke mana. Kali terakhir aku melihat buku itu berada di tangan Nun, jiran dorm panjangku. Kalau buku itu masih ada, tentu akan ku salin dan kuletakkan di sini sebagai tandamata kenangan.

Antara yang aku masih ingat, dan tetap kekal menjadi misteri kerana aku tidak tahu siapa penulisnya.Tajuk di mukasurat buku nota kecilku itu bunyinya begini. -Matamu Menggoda-Sedikit memalukan diriku pada ketika itu tapi mungkin baginya amat puitis dia kira. Puitis tahap seniman anak muda nakal. Mungkin dia ada menyimpan impian mahu menjadi sasterawan negara satu hari nanti.

Kemudian ayat-ayat di dalamnya aku sudah tidak ingat. Tidaklah terlalu jiwang bagiku tapi terasa kelakar kerana ayat akhirnya berbunyi begini.

Matamu selalu dalam ingatan,
Kerana matamu seperti mata ayam.

Hahahahhah... Sampai hari ini, setelah 11 tahun aku tinggalkan, aku tidak tahu siapa penulis curi catatan itu. Mungkin satu hari nanti, ketika aku berusia 35 , atau 40 atau 50, aku akan dapat mengetahui siapalah orangnya yang mengatakan mataku ini seperti mata ayam?

Molekul udara di seluruh kawasan kolej di pasang dengan lagu
-Masihkah Kau Ingat- Nyanyian kumpulan Kopratasa, penyanyi kegemaranku. Dari pagi membawa ke tengahari, berlanjutan kepada malam hari.
Diselang selikan dengan ucapan dari pelajar-pelajar dari speaker bilik penerangan.
posted by Mirip at 9:07 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home