Catatan Hidup Seorang Aku

Wednesday, December 31, 2008

12 (Part2)

"Jaga baik-baik rumahtanggamu, nak," pesan ibu yang sudah dimakan usia itu. Hati ibu mana yang tidak sedih melepaskan anak bongsu perempuannya ke tangan orang lain. Selama ini dijagainya baik-baik. Kalau ikutkan hatinya, dirinya sama sekali tidak mahu melepaskan anak gadisnya itu, namun apalah dayanya. Kerana semua ini adalah putaran alam. Tidak dapat tidak, akan berlaku juga.

Anak kalau dahulunya, sebesar tapak kaki, dan sepanjang proses pembesaran adalah di depan mata, lalu akhirnya apabila anak sudah melewati garis pemisah, yang paling sedih pada 'kehilangan' ini adalah seorang ibu.

Ibu yang mengalami alahan sepanjang mengandung, sakit ketika melahirkan dan sakit pula untuk membesarkan anak-anak dengan kudrat seorang ibu tunggal.Kalau difikirkan pada logik akal, tentu sahaja seorang ibu sepertinya tidak akan mampu menanggung semuanya seorang diri, namun apa yang tidak diketahui adalah, menjadi seorang wanita itu sendiri adalah tidak memerlukan logik akal.Ketabahan yang harus dipikul seorang diri itu sememangnya sudah melewati logik yang tidak perlu difikir-fikir. Kerana kalau difikir-fikir, tidak akan ada formula atau jalannya. yang biasa terjadi adalah, apabila ditoleh ke belakang, terdetik satu perasaan "Alhamdulillah, rupanya aku telah melalui semua ini."

Perasaan sebak itulah yang bersarang penuh dalam lubuk hati ibu separuh tua itu. Ya, bukanlah dia mahu menghalang anaknya dari meneruskan perjalanan jauh anaknya itu pula, namun dia tahu gerbang yang akan ditempuh anaknya itu adalah bukan calang-calang gerbang. Bukan sekadar gerbang di tengah jalanraya, yang mudah dilalui dengan jayanya. Hanya tetap memandu kereta, atau sekadar menjadi penumpang, atau menunngang motorsikal, menghadapi gerbang jalanraya, lalu melintasi dan hooraaay, berjaya. TIDAK!.

Tidaklah semudah itu mengharungi gerbang alam baru yang dipanggil orang gerbang perkahwinan itu. Tentu sahaja semua orang pun mengharapkan semua mempelai baru (dan lama juga) berjaya melaluinya dengan senyuman yang panjang sehingga ke telinga. Semua orang pun mengharapkan mahligai yang dibina itu akan semakin lama semakin kukuh, sepertimana besi konkrit, yang semakin banyak dituang konkrit ke dalam dasar tanah, semakin kuat bangunan yang bakal dibina.

Kalau semuanya mudah, harus kenapa banyak pula istana yang runtuh? Berkecai dan berhamburan. Yang tinggal hanya manik-manik atau serpihan hati yang luka? Ada orang yang akan mudah melupakan dan meninggalkan kisah lama, dan mendapatkan pula pengganti baru dengan mudah. Atau ada pula yang akan hilang parut lama dengan berlalunya edaran masa, namun ada juga yang tetap akan menyendiri sehingga akhir hayatnya? Bukanlah kerana tidak ada orang yang mahu mengetuk pintu hatinya, mungkin sahaja ramai yang mengetuk, atau menekan-nekan loceng hatinya, namun sama sekali empunya diri tidak mahu. Samada sudah serik atau sudah tidak percaya dengan apa-apa perhubungan yang dipanggil hubungan dua jantina yang lebih dari nilai persahabatan biasa.

Perasaan takut dalam diri ibu separuh tua itu begitu mencengkam batinnya. Apatah lagi Aisyah anak perempuan bongsunya. Anak sulungnya, Wan Zulaikha, dia sudah tidak cukup airmata mengenangkan nasib anak sulungnya itu, walaupun dia sendiri tidak pernah melihat Wan Zulaikha menangis.

Namun, untuk dia sama sekali menghalang lumrah alam adalah sama sekali tidak mungkin. Dia sendiri tahu, kalaupun kesedihan dan ketakutannya itu setinggi langit sekalipun, itu sama sekali tidak adil kalau dia menghalang Aisyah dari melangsungkan perkahwinan. Kerana bukanlah perkahwinan itu yang zalim pada manusia, cuma yang zalim adalah manusia-manusia di alam perkahwinan itu sendiri. Tentu sahaja ibu separuh tua itu cukup arif, yang anaknya juga seperti pohon belimbing di belakang rumahnya itu. Yang mula-mula kecil, membesar dan akhirnya menghasilkan buah belimbing yang manis-manis masam. Dan buah itu pula, benihnya yang jatih ke atas tanah yang sama ataupun juga di bawa lari oleh anak-anak kecil itu ke tempat lain, jatuh pula di atas tanah subur yang lain. Hidup,membesar dan mengeluarkan hasil yang lain pula. Sedangkan pokok belimbing yang tadi tentu sahaja akan sampai masanya tidak akan mengeluarkan buah lagi, reput dan mungkin sahaja tumbang sendiri atau ditumbangkan orang lain pula!

Jadi samalah dengan anaknya, Aisyah yang seorang ini. Dia juga kepingin melihat Aisyah membina sendiri kehidupannya. Memiliki seorang suami yang setia, anak-anak comel yang keletahnya mampu menghuburkan hati, dan yang penting ada zuriat sendiri, kesinambungan warisan pada dia sendiri. Apakah dia tidak mahu bermain dengan cucu-cucunya sendiri? Ohh tidak. Dia amat kepingin melihat itu.
posted by Mirip at 11:53 AM 0 comments

Tuesday, December 30, 2008

11(Part2)

Hidup sememangnya akan penuh dengan keceriaan dan kegembiraan kalau apa yang kita mahukan itu ada di depan mata. Semuanya akan jadi indah bagaikan pelangi petang. Yang nampak dan jelas pada penglihatan adalah hamparan warnanya yang berwarna-warni.Sedangkan kehadiran hujan lebat dan ribut petir sebelumnya tidak menusuk pun pada pandangan mata.Sepertilah hidup yang akan juga penuh warna warni, asalkan saja sekeping hati di dalam itu penuh bahagia dan kelopak bunga-bunga cinta mengembang mekar. Meninggalkan aroma harum pada pencinta alam.

Apa pun juga kesusahan dan kesukaran yang mendatang, pasti akan dilalui bersama-sama. Susah bagaimana sekalipun, semuanya dipandang ada jalan penyelesaian di hujungnya. Dalam umur yang muda dan baru mengenal apa itu dunia, itulah yang dirasakan oleh Aisyah.

Aishah, seorang anak gadis yang membesar di celah-celah kotaraya itu. Di balik dinding rumahnya, adalah sebenarnya satu jalan penuh dengan kereta-kereta lalu lalang. Dari dalam kenderaan di atas jalanraya, orang tidak akan menyangka di belakang bangunan kedai-kedai itu rupanya ada sekelompok rumah-rumah yang menampung ramainya keluarga di situ. Di tengah-tengah kemiskinan, dan berada di tengah-tengah pada kelompok kotaraya menjanjikan hidup yang juga berbagai warna dan kisah.

Di rumah kecilnya itulah, di 'kampung' bandarnya itu, dia menghabiskan masanya bermain di sepanjang lorong-lorong kecil itu. Di balik celahan rumah-rumah jiran tetangganya. Di bawah pohon belimbing yang ditanam oleh seorang mak cik yang dia sendiri tidak pasti apakah sebenarnya kaitan keluarganya dengan makcik itu. Ini kerana kadangkala dia merasakan mak tua itu serasa dekat dengannya dan kadangkala pula dia merasa makcik yang sentiasa keseorangan itu jauh pula dengan dirinya. Namun ibunya selalu juga bertandang ke rumah mak cik yang rumahnya paling hampir dengan rumah ibunya itu.

Ada banyak lagi rumah-rumah kecil lain di situ. Pada bahagian depan 'perumahan' mereka itu, digali perigi kecil untuk kegunaan penduduk setempat hasil gotong royong mereka bersama. Hidup dalam keadaan begitu, dalam strata ekonomi yang sama di antara satu sama lain, menjanjikan kesepakatan antara mereka. Ya, mungkin saja ada perkara-perkara tertentu yang tidak sependapat, ada percanggahan pandangan,namun pada garis kasarnya, mereka ada persamaan paling jitu. Tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Dalam tafsiran ekonomi, dikatakan mereka adalah golongan yang miskin. Namun kemiskinan harta mereka tidak membawa kepada kemiskinan penyatupaduan mereka. Kenduri kendara tetap dalam permuafakatan bersama, walaupun rencah-rencah hidup di kota sudah mula meresap dalam sanubari setiap penghuni di dalamnya.

Tahun-tahun 1970-an, muzik yang dipengaruhi retro, rambut kembang, seluar bell bottom adalah budaya luar yang tidak lepas dari menceroboh 'kampung dalam bandar' itu. Menggayakan vespa dengan rambut mengerbang oleh anak-anak muda lelaki adalah satu tanda 'cool' buat mereka. Dan bagi anak-anak perempuan pula, dress kembang lurus potongan A adalah gaya yang trendy.

Hari siang di situ kebiasaannya akan sunyi sepi kerana masing-masing menderu-deru sudah keluar mencari rezeki. Samada yang perempuannya apatah lagi kaum lelakinya. Yang tinggal hanyalah rengekan dan tangisan anak-anak kecil yang meraung-raung kerana dimarahi ibunya, akibat kenakalan yang terlampau. Selebihnya terdengar deruan enjin-enjin kenderaan berat dari atas jalan raya dari balik barat penempatan itu.

Menghala sedikit ke jalan sederhana besar di muka penempatan itu, ada warna tanah yang berbeza tonanya. Kalau berdiri di tengahnya, di kiri dan menghala ke belakang itu adalah tanah hitam, dan di kanan dan menghala ke hadapan, tanahnya sedikit cerah bernada coklat tua dan pada penghujung laluannya semakin berwarna coklat cerah, dan akhir sekali berwarna putih dari kejauhan. Ya, berwarna putih di bawah sinar biasa cahaya matahari,tetapi apabila kita menghampirinya, ia rupanya adalah timbunan batu-batu kerikil kecil yang berwarna perak. Fenomena yang amat cantik pada pandangan mata anak-anak kecil yang hidupnya hanya di dalam gelanggang kampung dalam bandar itu.

Rumah pertama pada tanah berwarna coklat tua, dengan rumah sebiji yang agak besar, tangga batu berwarna merah, di situlah keluarnya dengungan merdu anak-anak kecil mendendangkan muzik hati. Dari rumah kayu papan itu, hati-hati akan menjadi sejuk selepas mendengar anak-anak kecil belajar dan mengaji AlQuran setelah badan yang telah penat menghempas diri mencari sesuap nasi. Mujur ada orang seperti Pak Cik Daud dan isterinya Mak Ngah, sepasang suami isteri yang mengambil alih tanggungjawab menjadi tenaga pengajar tidak bergaji tetap demi kelangsungan agama anak-anak kecil itu. Timbal balas pada jasa-jasanya mengajar dan mendidik anak-anak itu mengenal ALIF, BA dan TA itu hanyalah gula atau susu. Atau kadang-kadang sekiranya ibu bapa pada anak-anak itu mempunyai wang lebihan, akan dihulurkanlah pada guru-guru agama berhati mulia itu.

Dan Aisyah, di situlah dia belajar serba sedikit mengenal dan mengaji AlQuran. Berbeza dengan rakan sebayanya yang lain, sepanjang yang dia ingat, ibunya, seorang ibu tunggal yang amat kuat bekerja, tidak pernah putus memberinya wang setiap akhir bulan untuk dia serahkan kepada Pak Cik Daud sebagai tanda uacapan terima kasihnya kerana sudi mengajar anak perempuannya itu pada ilmu akhirat. Walaupun tidak sekaya orang-orang di luar pada penempatan mereka, ibu tua itu amat menitikberatkan ilmu agar anak-anaknya tidak mewarisi kemiskinan dirinya. Untuk itu, setiap kali wang hasil jualan laksanya yang diperolehi setiap hari, akan disimpan dan tidak terusik khas untuk pelajaran anak-anaknya.
posted by Mirip at 11:20 AM 0 comments

Friday, December 26, 2008

pokok oh pokok

Rasanya dah lama aku campakkan biji mangga di depan rumahku itu.Memang dengan niat, mudah-mudahan aku dapat merasa makan buah dari pokok aku sendiri. Tidak perlu lagi aku memberi salam dan meminta izin dari tuan punya rumah di blok kejiranan aku itu untuk membeli mangga mereka. Selalunya tuan rumah yang tidak pun aku kenali itu tidak mahu menerima wang saguhati dariku, mereka hanya memberi, (kerana aku pun hanya mengambil 2-3 biji sahaja), tetapi aku rasa tidak selesa, dan aku hulurkan juga untuk 'permintaan' kali kedua.

Tentu sahaja makcik berpangkat emak kepadaku itu menganggap aku mengandung! Dan mengidam mangga muda.Hahahha.. Sebenarnya tak makcik, saya memang hantu mangga muda. Nak-nak kalau saya tengok pokok yang lebat berbuah macam tu, automatik air liur saya tak dapat menahan-nahan untuk dimakan dengan garam atau kicap.

Jadi, untuk kedua-dua kali permintaan itu, setiap sekali, aku akan campakkan sebiji benih(biji) ke tanah. yang lain aku akan buangkan sahaja ke dalam tong sampah.

Tak sangka. Dah lama berpanah berhujan begitu, baru-baru ini aku lihat satu pokok (dari balingan pertama) dan tumbuh dan agak subur membesar. Wah riangnya dalam hati. Aku ada pokok mangga sendiri nanti.

Minggu lepas pula, aku lihat di hujung sana ada pula sepohon kecil pokok terhasil dari balingan kedua. Alhamdulillah. SYukur.

Tapi masalahnya,

Halaman rumah aku tu hanyalah sekangkang kera, tidak dapat menampung untuk dua pohon mangga yang orang jual dengan harga RM1/plastik di tepi-tepi jalan itu tumbuh subur.

Weekend nanti, selepas subuh dan agak-agak langit sudah cerah, sebelum aku keluar service my client, aku akan cabut dua pokok itu, dan aku akan pisahkan mereka.

Satu aku akan tanam semula di tepi padang bola rumah aku ni, di kiri aku.

Dan mungkin satu lagi aku akan tanam di tepi jalan hujung blok rumah aku ni, di kanan aku.

Menjadi teduhan pada orang yang lalu lalang, atau juga kereta-kereta yang diparking di situ, dan menjadi juga teduhan anak-anak yang bermain di padang itu. Selain aku boleh memakan buahnya tanpa perlu membeli dari orang lain atau mengucapkan salam di depan pintu rumah orang lagi!.

Buah betik di depan rumah aku pula sudah membesar dua biji. Sukanya, dulu ada orang tu kata, pokok tu tak akan berbuah, kerana pokok betik jantan. Alhamdulillah, kata-katanya tersasar dan harapanku benar belaka.

Kemboja di sisi betik itu juga mekar dan membesar. Mewangi dan membiaskan (sesuai ke perkataan ini) aroma yang indah terutama selepas hujan.

Ohh hujan dan kemboja, i love it!!....
Hujan dan kemboja adalah rasanya separuh dari kenyataan hidupku.

Beberapa tahun dulu, di rumah lama ibu bapaku yang akan kami tinggalkan tidak lama lagi. Juga tumbuh buah-buahan dan sayur-sayuran hasil campakan tanganku. Alhamdulillah ada antaranya yang tidak habis di makan dan diberi sahaja kepada orang.
Emak kata aku boleh jadi petani moden. Em cadangan yang bagus sebenarnya,. Mungkin kalau aku sudah berumur 45 ke atas nanti, aku akan bertukar kerjaya pula. Ketika itu mungkin aku sudah tidak perlu memikirkan apa yang harus aku fikirkan sekarang, dan aku boleh memberi tumpuan kepada ladang sayurku pula? Who know? Tapi masa tu mungkin aku tidak bolehlah menetap di rumah ini lagi, kerana tidak cukup tanah.Sounds to be nice. Mungkin sebab aku ini tanah dan kayu, maknanya aku sesuai menjadi tuan tanah-tanah itu. Atau yang best lagi kalau masa tu , aku dah ada rumah dan ladang sendiri kat Bukit Fraser, pakai topi besar, kasut but, di bawah naungan pokok anggur, memetik strawberry, jualkan di pasar-pasar, dan bertemu kawan-kawan lama yang bawa anak-anak dan famili mereka beristirehat di bukit itu? Tapi aku kena baiki skills campakan aku dan aku kena susun elok-elok bukan macam sekarang yang susunannya berterabur dan tidak cantik. Maunya nak cantik, tanpa perancangan pasti tidak akan cantik hasilnya kan.

Tapi mesti bezalah aku dengan mereka. Mereka mesti pakaian lawa-lawa sebab semua dah jadi GM, corporate, kaya, etc etc vs penjual sayur aka tauke sayur. Tapi tak apa. Aku suka. Sebab takkan duduk kat Fraser Hill nak pakai kebaya or office attire dan office blazer, high heels lagi.Nak tinggalkan semua yang tu. Masa tu aku akan pakai apa yang aku suka pakai, baju sejuk,tshirt, jeans dan kasut sukan(sbb sejuk) je atau belasah ajelah selipar jepun. Ambil gambar banyak-banyak dekat ladang, senyum dan peace.....

Sudahlah, kalau biarkan aku menulis, lagi banyak angan-angan merapuku terkeluar!....

tapi kan aku suka sungguhla rumah kat sebelah taska lama anak aku dulu, rumahnya ada macam-macam sayur walaupun ruangannya sempit. Sempit-sempit pun bolehlah lot banglo. Dah titik.
posted by Mirip at 12:45 PM 0 comments

Tuesday, December 23, 2008

Kisah benar riwayat kambing gila

Ada kisah benar aku nak cerita kat kau.
Macam ni pernah tak kau mendengar kambing gila? Kalau orang gila tentu sahaja kau selalu jumpa di mana-mana. Samada gila iseng atau gila harta atau gila cinta atau gila mengeluarkan hukum. Atau yang benar-benar gila sehingga apapun jua yang dia lakukan sudah tidak dihisab lagi.

Ya samalah dengan diriku. Aku selalu melihat orang gila, baik orang gila perempuan ataupun lelaki. Baik yang gilanya benar-benar gila atau buat-buat gila. Tapi berjumpa dengan kambing gila, belum pernah lagi dalam diari catatan hidup aku.

Tapi ada beberapa orang yang melalui situasi ini. Ya ini kisah benar bukan rekaan ya tuan-tuan dan puan-puan. Mak mertua aku mengalaminya, dan jiran-jirannya juga!

Jadi kisah ini bermula apabila anak kambing ini dilanggar oleh Pak Harun. Sedang Pak Harun syok-syok menunggang motor kapcai dia, dan mungkin masa tu fikirannya melayang entah kemana, teringat harga getah yang merudum jatuh akibat jatuhnya harga setong minyak dalam pasaran dunia, memikirkan apalah anak-anak kecilnya mahu makan hari itu dan belanja sekolah anak-anaknya itulah, kejadian sadis itu berlaku.

Prangggg!!!!!

Pak Harun jatuh dari motor kapcainya di atas jalan sempit itu.

"Aduhhh....motor aku," katanya sambil menggosok-gosok kepalanya yang tersembam.

Lalu matanya memandang kepada objek di depannya.

"Hahhhh???" Terkejut dia... Dia kenal milik siapakah harta di depannya.
Dia kenal haiwan berkaki empat itu milik siapa. Dia tahu sangat, kambing sederhana kecil, bermuka sedih, berjanggut sejemput, berkulit coklat muda, berantai tali kasa hijau di leher itu milik siapa.

"Habislah aku, marah lah Mok Su kali ni,"

Apakah yang telah dilanggar oleh Pak Harun.. ceng ceng cengg....

Haiwan itu adalah kambing peliharaan Mak Yam. Yang orang kampung panggil Mok Su, kerana beliau adalah bongsu dari kalangan adik beradiknya.

Dia mengahmpiri kambing malang tersebut. Mata kambing itu kuyu dan anak matanya ke atas menandakan kesakitan yang amat.

Dipendekkan cerita benar ini, Mak Su sedih kerana kambing peliharaannya sudah sakit begitu. Dibelai-belai kambing yang dibelinya menggunakan duit pemberian anak bongsunya. Sepanjang dia membela kambing inilah kali pertama kambingnya sakit. Hati sayu dan pilu sekali.

Akhirnya kambing yang kalau definasi manusia itu masuk ICU, kambing itu akhirnya kembali sihat. Ya boleh berjalan ke sana sini, makan dan minum. Tapi ada satu keanehan yang terjadi.

Apakah itu?

Kambing itu rupanya telah gila. Ya gila. Kenapa dipanggil kambing gila?

Kerana:-
1. Kalau kambing lain tidak akan masuk ke dalam rumah, tetapi kambing ini suka masuk ke dalam rumah. Ia mungkin tidak suka berada di atas tanah lagi. Mungkin kalau pakar jiwa memanggilnya sebagai fobia, atau traumatik melihat jalan dan tanah. kerana takut dilanggar lagi.

2. Kalau kambing lain tidak suka bermain dengan manusia, tapi kambing yang ini amat suka bermesra-mesraan dengan manusia. Selalu terjadi apabila pintu rumah di buka, ia sudah tercegat di situ membuatkan penghuni rumah, seorang remaja perempuan dan nenek tuanya terkejut.

3. Yang lebih tragis, sekiranya nenek tua itu (Mak Su) tiada atau keluar dari rumah sekejap, dan ointu utama rumah kampung itu terbuka, kambing itu sesuka hati berjalan dan menuju ke bilik anak gadis itu. Dan teruslah melompat-lompat dan menjerit-jerit si dara sunti itu akibat kegelian dan ketakutan. Kadang-kadang ketika dia tidur, si kambing itu tetiba menggeselkan bulu-bulu badannya ke arah remaja berkenaan. Dan rumah akan jadi riuh rendah.

4. Kalau terlepas pula ke rumah sebelah, si kambing akan duduk diam-diam di ruang tamu empunya rumah. Apabila tuan rumah datang, terkejutlah dia sambil menjerit " Isk Kambing ni memang sah gilo"... bla bla bla...

Pengakhiran pada cerita ini,
Setelah gila dalam tempoh yang agak lama, akhirnya Mak su telah terjumpa bangkai kaming ini di dalam bekasan unggun api. Apa lagi bertambah sedih la Mak Su kerana kambing peliharaannya sudah pergi selama-lamanya.

Assumption nenek tua itu
" hujan turun lebat., dan kambing gila ini tidak mahu berada di dalam kandangnya barangkali (kerana dia gila), ia pun tercegat di tengah2 alam dalam hujan lebat itu. Selepas itu,mungkin kerana kesejukan yang teramat sangat, jantungnya sudah tidak tertahan menanggung sejuk, dia mencari tempat di unggun api."

Sampuk cucu Mak Su
"Kalau ya pun sejuk, berdiang ajelah kat tepi api tu, janganlah pula masuk ke dalam api tu!"

Mak Su mempertahankan
"Dah ia kambing gila, memanglah, tak duduk kat tepi apilah, terus masuk dalam api.Macam manusia la kalau dah gila, mana boleh fikir lagi. Kambing tu pun macam tu la..."

--
Aku tak pandai nak bercerita, tapi inilah julungkalinya aku mendengar kisah benar perihal kambing gila. Kesian + Sadis + Lucu.
posted by Mirip at 5:41 PM 0 comments

Wednesday, December 03, 2008

Hidup Mulia @ Mati Syahid

posted by Mirip at 8:57 PM 0 comments