Catatan Hidup Seorang Aku

Tuesday, April 14, 2009

Three blind mice, see how they run

Melihat suasana politik hari ini,tanganku gatal untuk menulis. Dari pemerhatianku, dapat kusimpulkan bahawa:-

Di satu pihak-di ambang kejatuhan.
Di satu pihak-di ambang kemenangan (tapi sebelum kemenangan datang, ujian dan mehnah datang bertalu-talu.

Kenapa:-
1. Untuk melihat sesuatu pertubuhan/persatuan/negara yang kuat- lihatlah pada penyokong mudanya. Andaikata pemuda pemudi negara menyokong A, di situlah kekuatan sebenar. Mungkin lambat dan tidak tahu bila, tapi itu adalah pasti dan itu adalah kenyataannya.

2. Yang muda semakin hari semakin bertambah. Yang tua semakin hari semakin menuju senja. Senja menunggu waktu untuk masuknya waktu mahgrib. Maghrib menandakan siang akan bertukar malam.

3. Yang tua-tua sudah tidak boleh di buat apa. Cakap dan cakaplah, kebarangkalian untuk menerima adalah kurang berbanding yang baru. Sepertimana di zaman Nabi dahulu, orang-orang tua memang tetap dengan pendirian mereka, berhala itu tuhan mereka. Hatinya sudah tertutup. Yang mudah menerima adalah anak muda, anak kecil (Saidini Ali) yang akalnya masih kosong dari pengalaman lampau.

Mungkin kerana pada pemahamannya, dunia tetap sama seperti ketika mereka muda. Ya memang, mungkin ketika mereka muda belia, apa yang mereka lihat itulah yang mereka percaya dan yang berlaku, tapi masa yang berlalu meninggalkan mereka, telah membuatkan mereka lupa. Yang pada zaman ini, apa yang mereka lihat dan percaya belum tentu sama dengan apa yang berlaku.

4. Dahan-dahan dan ranting-ranting yang tua, lama kelamaan akan lupus juga dimakan masa. Akhirnya yang tinggal hanya batangnya. Tapi batang sahaja tidak akan mampu untuk hidup, tanpa akar umbi, dahan dan ranting. Lalu akhirnya, pokok itu akan menyembah bumi.

5. Bibit-bibit perpecahan dalaman adalah ketara. Perebutan kuasa bermaharajalela. Penyu pun sudah puas bertelur. Negeri sekangkang kera pun sudah heboh dengan persengketaan. Pemimpin sendiri dijatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

6. Buat yang akan berkuasa kemudian nanti. Iktibar dari peristiwa yang berlaku amat banyak. Ya, aku yakin generasi pertama kepimpinan yang sudah melalui keperitan dalam perjuangan, akan menghargai dan menjaga amanah yang diberi. Kemenangan yang terjadi adalah hasil dari air mata dan kesukaran. Tapi belum tentu apabila generasi kedua dan ketiga mengambilalih, tetap sahaja mereka dengan pendirian nenek moyang mereka. Ketika itu mereka sudah benar-benar selesa. Sokongan melimpah ruah. Sokongan tanpa merasai sendiri keperitan adalah sama sekali berbeza berbanding generasi pertama. Tidak mustahil, tanpa keimanan yang teguh, apa yang berlaku hari ini akan berlaku lagi pada zaman itu. Pusingan roda tetap bulat. Kalau boleh, aku tidak mahu melihat keadaan itu. Mungkin ketika itu umurku yang lanjut sudah 80 atau 90 tahun. Itupun kalau masih hidup. Aku pasti, kalau kemenangan datang, banyak air mata yang luruh. Aku doakan aku tidak akan sempat untuk melihat kejatuhan selepas kebangkitan.Kerana aku tidak sanggup menangis kesedihan lagi setelah menangis melihat kejayaan.
posted by Mirip at 8:23 PM 0 comments

Friday, April 10, 2009

tak apa2

Sepanjang hidupku ini, aku telah melihat siri-siri kejatuhan. Samada ada kaitannya secara langsung dengan diriku ataupun tidak. Yang terkena denganku ataupun aku hanya melihat. Menyebut kejatuhan, tentu sahaja orang akan merasa sedih, empunya diri merasa sedih, dan orang yang tumpang melihat juga merasa aura kesedihan itu. Namun satu kesimpulan yang kudapat, mereka mempunyai ciri-ciri yang sama. Ciri-ciri yang membawa mereka ke alam kejatuhan.

Jawapannya:- mereka adalah orang yang berlaku zalim (baca:- tidak meletakkan sesuatu di tempatnya) ketika era kekuasaannya. Kebiasaannya orang yang berkuasa(pemimpin). Tidak kira samada dia pemimpin kecil atau besar. Tidak kira samada kuasanya itu kecil atau besar. Samada dia ketua dalam organisasinya, atau ketua kumpulan kecilnya, ketua masyarakatnya, ketua keluarga, atau ketua negara.

Rupa-rupanya kezaliman itu tidak dibayar secara harfiah. Hanya orang yang terkena atau pernah melalui era kezalimannya sahaja yang dapat merasakan, rupanya masa adalah satu hukum kepada mereka. Masa pantas bergerak, meninggalkan orang-orang yang pernah dizaliminya (dan juga mereka sendiri). Kebanyakannya berpunca kerana mengejar matlamat mereka sendiri. Tanpa menyedari atau pura-pura tidak sedar atau sengaja tidak mahu menyedari perlakuan zalimnya itu.

Aku tidak mahu mendoakan keburukan kepada mereka, tapi sepertimana orang yang tertindas, tentu sahaja berdoa pada benda yang sama. Mohon diberi kekuatan dan petunjuk.Dan pada orang yang pernah berlaku zalim kepadanya, hanya Allah yang berhak membalasnya. Kerana pembalasan Allah itu lebih adil lagi dari pembalasan manusia.

Mengingatkan ini, hatiku tenang. Tidak mengapa kalau semua ini terjadi. Kerana aku sudah melihat sendiri siri-siri yang tidak terjangka. Mungkin sahaja kerana aku ini orang yang lemah, tapi tetap pendirianku begitu. Bukan kerana aku terlalu baik, (maaf:-kerana aku mungkin sahaja menjadi manusia paling jahat,mulutku juga jahat), tetapi selagi aku boleh bersabar, selalunya benda-benda yang boleh mendatangkan kemarahan pada orang lain, aku masih tidak merasa keperluan untukku bertindak seperti selayaknya.

Annozofati minal iiman wa ssobaru minal iiman.
posted by Mirip at 7:45 AM 0 comments

Thursday, April 09, 2009

Tak apa

Saluran dunia memang ada. Tapi tak mengapa aku mahu gunakan saluran akhirat.
Dunia memang cepat, dan akhirat tak tahu bila.
Tapi tak mengapa.

Tak mengapa kalau begini caranya kau bermuamalat.
Tak apa, buatlah lagi. Kalau tak buat kat aku pun, buat kat orang lain.
Memang cepat kau gapai apa yang kau nak.
Buatlah lagi sampai ko rasa bahagia dengan cara kau.
Buatlah lagi sampai apa yang ko cari menimbun.
Buatlah lagi sampai ko capai matlamat hidupmu.
Buat dan buat lagi.
posted by Mirip at 2:58 PM 0 comments

Wednesday, April 08, 2009

satu kisah di ufuk timur

Hari ini aku telah bertemu dengan satu keajaiban. Aku banyak belajar dari peristiwa ini. Kutuliskan kisah ini bukan untuk memberitahu, tetapi sebagai memenuhi kejadian blog ini. Tempat di mana aku meluahkan perasaanku kepada semua benda.

Dalam menuju cita-cita, rupa-rupanya ada orang yang sanggup melakukan perkara begini. Mungkin baginya nilai wang adalah lebih penting dari nilai persahabatan. Ya mungkin sahaja aku ini tidak pun dianggap sebagai sahabatnya.Tapi itu tidak mengapa, kerana bukan itu isunya. Isunya adalah kesanggupan manusia melakukannya.

Prinsipku mudah. Memang kuakui aku seorang usahawan (walaupun masih kecil-kecilan), tapi kurasakan dalam kita menjual produk kita, (produk aku), aku tidak akan mengatakan ianya 100% sempurna. Bagiku (bagi orang, lain kira) sesiapa sahaja yang mengatakan produknya adalah 100% sempurna tanpa cacat cela, aku tidak akan membeli daripadanya. Bagiku, tidak ada produk yang lengkap, complete kesempurnaannya. Tentu sahaja di mana-mana sudut ada pro n contranya. Ada sisi-sisinya yang bagi individu A, baik bagi mereka tapi belum tentu baik bagi individu B. Dan sekiranya seseorang penjual itu mengatakan kesemua jenis produk yang dijualnya adalah bagus untuk semua orang, aku amat-amatlah tidak akan percaya.

Contohnya mudah. Antara Proton dan Toyota. Kalau Proton itu dikatakan orang amat teruk kualitinya, kenapa masih ada orang yang membelinya? Kalau sudah terlalu teruk, janganlah beli. Tapi dikutuk-kutuk pun masih ada di jalanraya (trend penjualan yang menurun usah diambil kira). Pointnya masih ada orang membeli. Mungkin sahaja mereka ada alasan tersendiri. Mungkin kerana harganya yang masih agak murah berbanding kereta import lain. Dan bagi orang yang mahu membeli Toyota, kalau kewangannya mampu, belilah tidak ada orang yang menghalang pun. Tapi janganlah pula memperlekehkan sesiapa yang membeli proton.

Mungkin sahaja analogiku tidak begitu tepat pun dengan apa yang berlaku. Tapi tak mengapa ini kan en blogku.

Walaupun aku sedikit terkejut dengan permainan dunia ini. Namun kukira ia ada hikmahnya buatku.

Sebagai usahawanita, apa yang kulakukan adalah menerangkan, dan memberikan servis yang terbaik buat pelanggan-pelangganku. Ku lakukan pekerjaan inipun kerana aku merasakan keperluan untuk aku sebagai seorang Muslim mengembangkan bidang yang penting ini. Ku jalankan tugasku, dan keputusan akhirnya tetap juga di tangan pemilik. Aku juga memahami dilema yang dialaminya. Tidaklah salah untuk menerangkan juga kepada pelanggan kebaikan produk kamu, namun meminta/menasihati/mempengaruhi pelanggan untuk berhenti, mungkin tidak secara kasar, namun secara halusnya tetap ada , tentu sahaja menyalahi. Dan lagi pula, kamu tentu tidak mendapat apa-apa pun dari ini. Komisen kamu tidak akan berjalan kerana pelanggan telah memberhentikan apa yang dia sedia ada.

Sepanjang pengetahuanku yang cetek ini, apa yang dilakukan itu adalah menyalahi etika proffesionalisma dalam bidang ini. Tapi apalah maknanya etika, kalau yang masuk itu lebih lebat.

Setelah selesai tugasku nanti, apa pun juga hasilnya, ku serahkan sahaja pada yang Kuasa. Kalau kamu mendapat ketenangan dalam perniagaan dengan cara ini, yah terpulang sahaja. Terima kasih kerana membuat aku lebih kuat untuk melakukannya lagi.
posted by Mirip at 7:20 PM 0 comments

Thursday, April 02, 2009

arghhhh

Mana hilangnya kau? Mana perginya kau?
Ohh rupa-rupanya kau hanya ada kalau rasa itu ada.
Masalahnya sekarang rasa itu tidak ada.
Bagaimana aku mahu habiskannya?
Supaya tidurku tidak terganggu
Supaya lenaku segar

Tolonggg.. apa dah jadi dengan diriku? Alhambra- tolong aku..... Andalus, tolong aku juga.. Roma, Petra, Uwarrhhhhh... aku nak pergi aku nak, aku nak aku nak..,tapi aku tak tahu camana,... huhuhu
posted by Mirip at 4:16 PM 0 comments

20(P2)

Bunyi derap tapak kasut sayup-sayup kedengaran. Lama-kelamaan makin jelas. Bukan hanya dua tapak, tapi kedengaran juga derap tapak yang lebih kecil-kecil. Aishah membatukan dirinya sendiri di atas kerusi panjang itu. Dia sebenarnya tidak tahu untuk berbuat apa-apa melainkan berserah sahaja.

Pintu terkuak.

"Eh mak.."

Ada debaran juga di dada Aishah.

Kaki-kaki kecil berlari laju menuju ke arahnya. Dia tahu itu, tapi sengaja dia pura-pura tidak sedar. Bukankah dia sekarang sedang tidur?

"Emak, bangunlah.. mak ke mana? " tangis anak kecil itu sambil menggoyang-goyang badan Aishah.

"Ehhh," Aishah terkejut.Menggosok-gosok matanya. Pura-pura terkejut kerana dikejutkan oleh anak sulungnya. Pura-pura yang dia sebenarnya tidur yang amat lena sehinggakan tidak tersedar apapun.

"Ohhh... anak-anak mak dah balik ya," Aishah meriba Khairul, askar sulungnya itu yang baru menghirup udara dunia selama lima tahun. Di sebelah Khairul, berdiri dengan muka sepuluh sen, Khairil, adiknya yang lahir selepas 2 tahun kelahiran abangnya. "Maakkk.." Diambilnya Khairil dan diletakkan di sisinya pula. Aishah mengusap kepala kedua-dua anaknya. Khairul dan Khairil keduanya senyap di ribaan ibu mereka. "Anak-anak mak ni dah makan?" Aishah melihat tepat ke dalam mata anak-anaknya. Menusuk dalam ke dalam tangkai hatinya. Arghh kasihan mereka. Aku tinggalkan mereka seketika tapi aku tahu aku tidak boleh berpisah denganmu, anak-anakku.

"Chah.." ada suara berbunyi. Aishah tahu itu. Dia berpaling ke arah suara itu. Tapi bukanlah memandang pada empunya suara. Dia memandang tepat dan menghulurkan tangannya pada seorang lagi anak kecilnya, yang mahu turun dari dukungan si Ayah.

"Mari dekat Mak, dik.." Anak kecil itu cepat ingin menerpa ke arah ibunya. Aishah memeluk erat anak bongsunya itu. Kesedihan hatinya tidak dapat ditahan-tahan. Tapi dia tidak boleh menangis di sini. Dia mengalihkan duduknya ke hujung tempat duduk di sudut paling tepi.

Dari ekor matanya, dia dapat menangkap lelaki yang duduk di kerusi berhadapan dengan muka pintu itu kelihatannya juga seperti tidak keruan. Mukanya monyok sedikit, di luar kebiasaannya yang ceria, banyak bercakap dan asetnya yang paling bernilai bermulut manis. Ahh mulut, banyak sekali anasir yang kau bawa, hanya kerana sepasang bibir atas dan bibir bawah.

Tapi itu semua tidak penting buat Aishah. Samada muka lelaki itu monyok atau tetap ceria, tidak membawa sebarang makna buat hatinya. Bukankah dia sudah tidak berhati lagi? Hatinya telah pun jatuh berderai-derai ke tanah,jatuh ke bawah lantai rumahnya dan bakinya yang tinggal di bawa pula oleh alur deras air sungai tadi, tidak sempat untuk dia kutip kembali pun. Yang tinggal kini hanya sekujur jasad tidak berhati lagi.

"Chah, abang nak cakap ni," suara itu bergema lagi. Mencengkam suasana yang memecah kebisuan seisi rumah itu. Askar-askarnya yang selama ini pun tidak pernah tahu erti duduk diam, seolah dapat memahami angin yang menerpa rumah itu. Fitrah anak-anak kecil itu bagaikan mengerti pula ribut yang datang melanda rumah kecil itu. Pandai pula mereka bertiga hanya meneleku mampir dan memadatkan diri mereka pada tubuh sang ibu.

Oh, dia mahu bercakap? Aku juga mahu bercakap. Dia ingat, hanya dia sahaja yang mahu bercakap, apakah aku ini bisu? Memang pun kali ini kau membisu, Aishah, bisik hati kecilnya lagi.

Apakah hanya isi hatinya seorang yang mahu diluahkan? Habis, hati aku ini mahu diluahkan ke mana? Aishah, bukankah kau sendiri yang mengatakan hati kau sudah tidak ada? Eh suara, boleh tak kau tolong diam kali ini? Kalaulah aku boleh berdiam Chah, tapi aku tidak boleh diam, aku adalah kamu. Ingat itu?

Aishah berperang dengan dirinya sendiri. Dia berkata-kata dengan hatinya sendiri walaupun dia sendiri mengatakan hatinya yang satu itu sudah tidak ada. Ya, tentu sahaja pada pandangan lelaki itu, dia membisu dan dia tidak berkata-kata pun, tetapi sebenarnya dia sendiri sedang berlawan cakap dengan dirinya sendiri.

" Abang nak bercakap ya? Tunggu kejap. Chah datang semula selepas ini," akhirnya Aishah bangun dari duduknya yang terasa pijar itu, mendukung si kecil yang tembam itu, tangan kirinya memimpin Khairil. Khairul mengekornya dari belakang. Keempat-empat mereka menuju pintu, memakai sepatu,menuruni anak tangga berwarna merah bata dan melangkah keluar dari rumah kecil itu.

Lelaki itu hanya diam terpempan di kerusi itu. Matanya hanya menala terus ke muka pintu.

Aishah dan Vishah. Mana satukah antara dua?
posted by Mirip at 11:29 AM 0 comments