Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, September 25, 2008

Fall & Winter



Sama tak serupa.
posted by Mirip at 2:17 PM 0 comments

backup2




posted by Mirip at 1:52 PM 0 comments

Friday, September 19, 2008

Aneh

Sungguh hairan dunia ini. Atau akukah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan? Dengan situasi diri sendiri. Tidak berjaya menjadikan diriku seperti span yang dapat menyerap sebarang cecair yang ada dekat padanya? Kenapa aku masih juga begitu begitu? Atau aku menganggap dunia ini harus menjadi sepertimana pemikiranku? Sedangkan hakikatnya peredaran dunia tidak begitu. Dunia akan terus merangkak berputar sedikit demi sedikit sehingga sampai pada titik akhir yang telah ditetapkan.

Dunia tetap sahaja berputar pada paksinya. Dan galaksi Andromeda ini juga tetap berkembang dari satu saat ke satu saat. Berkembang bagaikan bunga mawar yang harum, sebelum apabila masanya nanti menguncup, atau kecut di makan usia. Dan luruh pula dari tangkai yang tajam berduri. Dan seperti juga mawar merah yang di makan usia, dunia juga akan begitu. Mawar itu cantik sekali. Dan dunia yang dipandang juga cantik. Mawar itu akan tiba saat mengecut dan bertukar warnanya dari merah ceria pada sehitam arang. Dan dunia juga, selepas melalui pengembangan (tanpa disedari), akan juga meletus, lalu apakah yang terjadi selepas itu? Armageddon yang mereka panggil itulah jawapannya. Hari akhir pembalasan. Hari yang mana walau menangis air mata darah sekalipun, tidak akan dapat membasuh doa taubat manusia-manusia yang hidup di atas muka bumi ini.

Kalau mawar pasrah menerima ketentuan dirinya dari menjadi pujaan seluruh manusia dan kumbang dan rama-rama, dan lalat terus akhirnya menjadi pengisi ruang dalam bakul sampah. Dan kalau dunia ini juga pasrah pada putarannya sendiri. Kenapa pula aku yang diciptakan dari titisan yang dipanggil orang sehina-hina benda ini tidak boleh meresap semangat mawar? Atau apakah aku harus menjadi seperti dunia yang mengembang mengembang sebelum apabila tiba waktunya meletus sendiri.

Lalu ada suara-suara yang membisik kepadaku.
"Siapa dirimu?"
"Entahlah, aku tidak kenal diriku sendiri."
"Masakan boleh jadi begitu?"
"Entahlah"
"Kenapa kamu benar-benar menjadi orang begini?"
"Entahlah"
"Apakah Entah itu jawapan yang sebenarnya?"
"Maksudmu?"
"Apakah Entah itu benar-benar kamu tidak tahu atau pura-pura tidak tahu?"
Diam.
"Kenapa diam, wahai manusia bermata dua?"
"Aku suka diam?"
"Atau kau mengakui persoalan yang aku tanyakan?"
"Tolong jangan kacau akuuuuu....."

"Hahahhahahahha.... Kau memang seorang penakut!"
"Berani kau katakan itu kepadaku?"
"Habis, kau ingat kau itu berani?"
"Yup, aku berani."
"Kau tipu....kau lah penipu besar."
"Apa kau mahu tendangan mautku? berani-berani katakan itu kepadaku?"
"Kau memang seorang yang egois"
"Tidak, pergi kau dari sini.."

"Aku tidak akan pergi selagi kau tidak mengakuinya."
"Mengakui apa, sang suara?"
"Kau harus akui kau seorang yang penakut. Kau seorang yang takut pada kehidupan"
Sob sob sob
Air mata pun berjejeran membasahi pipi mulusnya.
Matanya merah seperti saga.
"Kenapa kau menangis wahai sahabatku?" kata suara itu lembut.
"Aku.. aku..."
"Kau sudah sedar?"
Angguk.
"Kau sudah sedar diri yang kau seorang yang penakut?"
Angguk.
"Kau takut pada kehidupan kau sendiri, betulkah?"
Angguk.
(Angguk-angguk teleng-teleng ikut telunjuk)

"Kasihan sekali.Kau sedar tapi kau menangis?"
"Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan."

"Sahabat, inginkah kau aku beritahu sesuatu?"
Angguk-angguk.
"Kau kena bangun."
"Bangun? Aku tidak tidur, aku sudah bangun sekarang ini."
"Benarkah?"
"Iya benar"
"Tidak kau masih tidurrrrr."
posted by Mirip at 3:18 PM 0 comments

Tuesday, September 16, 2008

Mana datang cahaya,bukanlah tajuk berita

"Pintu sepiku yang bertahun terkunci
Terpaksa aku bukakan perlahan-lahan
Kerana ku khuatir, bisikan yang berbalah
Denganku seharian, akan menenggelamkan
Keakuan... aaa... aaa"

keakuan.... aaa aaa..
Mulut itu menyanyi mengikut rentak lagu yang didengar dari cuping telinganya. Terasa kena benar lagu itu dengan jiwanya.Jiwang-jiwang tak main la. rock beb. rock.

"( 1 )
Andai terjadi mana lagi tempatku
Nak aku pahutkan mimpi sediakala
Menunaikan janjiku, pada diri sendiri
Untuk ku memiliki
Cinta dulu asalnya, aku yang punya
"
Buku hijau pucuk pisang dipandang tajam. Tulisannya yang berbagai bentuk itu diselak-selak laju. Sudah tidak ada ruang kosong.Kalendar di hadapan mata dilekatkan di dinding diimbas sepintas lalu. Seperti mana sinar x-ray yang hanya lalu pada segaris masa, tapi mampu diterjemahkan dalam layar hitam berbalam putih membentuk susunan tulang temulang.

Di muka kalendar itu, ada bulatan-bulatan yang ditandai.Ada tulisan-tulisan kecil di sampingnya, menandakan itu hari-hari yang tak harus dilupakan dari kotak ingatan.

"( korus )
Mana datang cahaya
Bukanlah tajuk cerita

Mulut masih lagi menyanyi. Hairan sungguh kerana lagu Bengang nyanyian mantera ini bagaikan meresap dalam salur pembuluh darah seorang manusia. Seorang anak kecil yang baru mahu mengenal hidup.Ops sebenarnya bukan anak kecil, tapi mungkin boleh saja dipanggil anak kecil kerana dia pun bukannya besar sangat.

"
Siapa pun kau ku sudi terima
Biarpun dosa semalam
Sebesar gunung menembus awan
Yang penting hatiku dapat kau tawan"

Telinganya masih dikatup dengan seutas tali panjang berwarna hitam bercantum dengan satu kotak yang mengeluarkan bunyi-bunyi bising itu.
"
Mana datang cahaya
Bukanlah tajuk cerita....

Lalu ketika dirinya perasan membukit bahawa dialah sang pelantun lagu rock itu dalam dunianya sendiri, membuang segala macam batu bata kayu yang berselirat dalam kepala otaknya, pintu biliknya dimasuki orang.

"Ewahhh ewah kau ni Hany, tak sedar ke aku masuk? " tepuk Syila di belakang bahu seorang anak muda yang sedang mengikut irama rentak dari benda ajaib berkotak empat itu.

Dan orang muda itu pun tersentak!
posted by Mirip at 3:07 PM 0 comments

Monday, September 15, 2008

backup






posted by Mirip at 4:33 PM 0 comments

Usia remaja(lagi)

Waktu remaja atau muda belia itu selalunya dilimpahi dengan segala bentuk keceriaan.Apa lagi kenikmatan yang Allah berikan kalau bukan lima sebelum lima.
Sihat sebelum sakit.Muda sebelum tua.Lapang sebelum sibuk.Ada sebelum tiada dan hidup sebelum mati.Dan waktu remaja itu ada kesemuanya.

Umur belasan menghampiri angka 20-an, fizikal masih amat kuat gagah perkasa.Kalau kumbang, ia gagah berterbangan hinggap dari satu bunga ke satu bunga. Kalau bunga pula, ia manis sekali sehingga mungkin dihinggapi pula dari satu kumbang ke satu kumbang. Baik ia bunga mawar yang ada segala macam warna itu, atau bunga matahari yang hanya ada satu warna itu, warna kuning seperti juga cahaya matahari yang membias. Atau samada ia bunga tulip yang sinonim dengan negara Belanda itu. Sihat dan muda, dua dari lima sekaligus yang dibawa dalam diri.

Lapang- kalau pun mereka mengatakan hidup mereka sudah sibuk kerana bebanan kuliah, tapi sebenarnya bebanan di alam pekerjaan itu lagilah hebat.Mana datelinenya, atau mana pula pekerjaan hariannya. Iya, kalau namanya sudah pekerjaan, ianya tidak akan pernah habis. Kalau pekerjaannya itu doktor gigi, selepas selesai memeriksa gigi taring dan gigi geraham saudara Ezam, selepas itu berbaris lagi pesakit lain menunggu.Selepas pula ditampal gigi Ms Tan, ada pula gigi Rajoo yang harus dibetulkan. Jadi bila masanya seorang doktor gigi itu boleh dikatakan dia lapang. Atau kalau dia seorang Penganalisa Sistem, selepas satu sistem dianalisa, dibuat laporan, dikaji, diselidik, dirobek otaknya mencari jalan penyelesaian, lalu selesailah pekerjaannya. Tapi itu tidak mungkin, kerana selesai pula dia mengkaji dan menyelesaikan yang itu, pengkajian sistem lain pula menyusul.Jadi tidak pula ada ruang yang boleh dikatakan lapang dalam erti kata sebenarnya.

Dan selagi namanya pekerjaan, tidak pernah berhenti. Oh mungkin juga akan mengatakan bekerja sendirilah, barulah ada masa lapang sendiri. Tapi sebenarnya, bekerja sendiri itu lagi memerlukan segala ruang tenaga yang ada untuk dicurahkan.Yang namanya benar-benar lapang itu kalau sudah tidak ada pekerjaan, atau masih tidak bekerja.Dan umur seperti itu yang kerjanya hanya hadir kuliah memang dipanggil lapang.

Berada dan masih hidup. Berada samada wang sendiri atau wang biasiswa atau wang ibu bapa yang melimpah ruah.
Masih hidup dan diberi kesempatan masa dan ruang, menyedut udara di muka bumi ini.Walaupun tidak terlalu segar sepertimana udara di gunung, kerana ada juga debutanah merah yang berterbangan. Kadang-kadang di bawa juga oleh lori-lori pengangkut batu dan pasir, dan tanah merah yang sesekali jatuh bergolekan di atas jalan kecil itu. Melewati diriku yang berjalan sendirian, dari kuliah yang hingar bingar menuju ke rumah sewaanku.

Lori dan aku. Satu perbandingan yang aku kira dekat denganku, kena denganku. Lori itu besar sekali, muatannya pula banyak bertan-tan. Tapi aku pula hanya sekujur inilah berjalan perlahan-lahan. Ditinggalkan perlahan tapi bising oleh lori itu sendiri, ditinggalkan juga oleh deruan enjin kereta motor di belakang jalan besar.
Tentu lori itu kalau ia ada perasaan ia akan rasa gembira sekali kerana berjaya membawa muatan yang banyak, muatannya besar-besar digunakan menjadi bahan binaan, membentuk deretan rumah-rumah teres yang indah tersergam binaannya.Tentu juga ia merasa gembira juga kerana tumpahan batu kecil itu membias kepadaku, atau debu kuning merah bata itu melekat dalam helaian pakaianku. Ia tentu sedang senyum sinis kepadaku.Atau mungkin juga senyum sumbing melihat diriku. Yang berjalan bagai orang tidak bermaya. Sudahlah tidak bermaya, tidak berperasaan, tidak cantik, tidak anggun, tidak menarik, tidak dbomb, tidak pandai dan segala macam ketidakapa yang perlu disebut lagi.

Jadi kalau orang lain,kukatakan orang lain, selagi mana fizikal mereka tidak bercantum dengan fizikalku itu, tentu sekali akan memandang aku orang aneh. Aku orang pelik atau aku orang misteri. Dan aku sendiri tidak kisah andaikata keanehan yang dipandang orang.Atau kejelikan yang dipandang orang lain.

Mereka boleh sahaja katakan apa sahaja. Tidak menjadi nanah dan kudis kepadaku.Kerana kepalaku sendiripun sudah memberat dengan segala timbunan batu bata di atas kepalaku sendiri sehinggakan aku tidak ada masa sama sekali untuk menghiraukan apapun kata orang lain.

Orang muda lain ada lima sebelum lima. Sedangkan aku usahkan lima, satu pun tiada!(ada tapi seolah tiada itu bolehlah kukatakan seperti tiada).
posted by Mirip at 11:49 AM 1 comments

mamat egois.

Aku nak cerita satu kisah bengang pagi tadi.
Dekat line nak bayar tol, orang lain boleh beratur, tapi biasalah ada orang2 yg tak tahu bahasa, nak potong q,
Bila sampai part aku, takkan aku nak bagi mudah2 je, ni jalan aku kan,oo kau senang2 nak potong aku. aku jalan buat derk je ikut line aku, apa lagi membara agaknya mamat tu. lepas tu dah aku himpit dekat sangat, dia berjaya lalu kat depan aku. Agaknya sbb tak puas hati kat aku ke apa ke, ooh ye sbb dia nak bukak pintu kereta dia tu, dia dah jauh sangat dengan scanner touch n go tu. lepas tu mamat tu bagi isyarat kat aku suruh berhenti kat depan tu. citt tak kuasa aku. Lepas tu turn aku touch scanner TnG. Mamat tu jalan slow, bagi isyarat lagi suruh aku berhenti depan. Aku celik mata, mulut aku tanya Nape? yang aku faham walaupun mamat tu tak dengar sbb aku tak bukak tingkap, tapi dengan baca gerakan mulut aku dia dapat tahu kot.

Memang agaknya dia panas la tu kot sbb aku pompuan dia laki lawan dia, tercabar la keegoan dia yang letak kat hujung langit tu. Dengan bahasa yang aku pasti dengan bahasa kesat, tapi aku tak heran, dia tunjukkan aku tanda isyarat jadi lucah. Eleh, ingat aku heran, piiiraahhh.. sbb agaknya dia membara lagi sbb aku berpaling jugak kat dia dengan muka yang marah, dia baling aku ngan apa benda tah..
(aku tak ingat kronologi dia baling benda dulu ke dia tunjuk tanda lucah dulu. tapi yang pasti aku memang terkejut masa dia baling dan secara automatik aku jerit gak kat dia- tapi suara tak dengar jugak sbb tingkap tutup)

oo macam ni, dia baling,dan aku terkejut dan aku jerit lawan balik, dia tercabar kat aku, pastu dia tunjuk tanda lucah tu,. aku buat tak heran..
Kalau tak fikirkan benda ni akan jadi panjang, menyusahkan orang lain yang nak gi kerja kalau aku berhenti tengah jalan. dan menyusahkan aku gak lambat gi kerja, nak aje aku berhenti tadi.
Dalam kereta, aku kata kat hati aku sendiri.
Kalau kereta aku ni kemek jasa dia, aku nak sumpah hidup dia tak aman.
Dosa ngan Allah,ko boleh bertaubat minta ampun, dosa ngan manusia, selagi ko tak mintak ampun, aku akan tuntut kat padang mahsyar sebab dengan tangan ko, aku menanggung kerugian.

Sampai kat tempat parking,aku check kereta aku, mujur tak kemek. kalau tak dah kena tuntuan free kat padang mahsyar nanti.

Pada mamat yang bengong dan perasan bagus yang rasa tercabar tadi tu, ko ingat sebab aku perempuan, aku kena beralah ngan ko ye. Ego letak kat kepala lutut.

Masa aku taip ni aku terfikir juga kalau2 dia ikut aku sampai ke tempat ofis ni sbb masa dalam kereta tadi aku tak tengok pula cermin pandang belakang tu. Tapi tak apalah,aku tawakkal aje.

Muka aku toya sepanjang jalan sebelum aku sampai kat tol pagi tadi sbb aku terfikir kisah yang aku baca pagi tadi. Lagi kisah HAMKA yang sedih. Dan juga masalah aku sendiri. Alih2 jumpa plak mamat tak betul stesen yang boleh masuk tahap gila dan boleh hantar ke hospital tampoi sebab skizofrenia.
posted by Mirip at 8:04 AM 0 comments

Monday, September 08, 2008

M-A-T-I

Selepas berpusing-pusing tidak ketahuan, ke sana ke mari, seolah-olah orang kurang akal, akhirnya gerakan jemari kami berhenti pula pada huruf "T". Aku sudah dapat mengagak apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh gerakan tangan itu.

Empat sekawan itu tenang bagaikan air di kali. Seperti tidak berperasaan gundah seperti akupun. Hairan sungguh. Aku membeliakkan mataku kepada Yati, ya seharusnya hanya kepada dia seluruh persoalan ini aku ingin ajukan.

"Rilex, semua pun macam ni," Yati menenangkan.Yang lain mengangguk. Ada sedikit bayang-bayang gusar tetapi terlindung oleh bayangan 'excited' mereka ingin tahu cerita di sebalik alam ini. Cerita malam dan cerita kelam. Cerita yang wujud sebelum kami semua ditiupkan roh ke alam ini. Cerita yang telah berpuluh tahun menjadi sejarah atau mungkin ratusan, malahan cerita ribuan tahun dulu pun bagaikan ingin digali oleh mereka sedalam mungkin.

Setelah berpusing-pusing untuk kesekian kalinya, abjad terakhir yang mengungkap perkataan itu berhenti. Hurufnya tidak lain tidak bukan, huruf "I". Benar sangkaanku di awal tadi yang ungkapan itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan.

Huruf konsonan mengikut susunan tadi adalah M-A-T-I. Mati. Satu perkataan yang menggerunkan. Setiap orang yang jiwanya normal pasti akan merasa takut pada kematian, walaupun pada hakikatnya, mati itu pasti. Mati itu sebagai jambatan untuk ke alam satu lagi. Alam kubur, alam yang akan menjadi bagaikan syurga atau neraka sementara menanti alam akhirat, alam yang kekal tiada berpenghujung.Di mana segala amalan dihitung seadil-adilnya. Kalau dunia ini penuh dengan ketidakadilan, neraca timbangan akhirat tidak akan pernah menipu. Mengingati semua ini, badanku secara automatik terasa seram sejuk.

Aku sedikit sebanyak merasa berdebar, kerana aku tidak pernah lagi bermain permainan yang kurang akal seperti ini.

"Mengarutlah benda ni mana boleh percaya," aku suarakan kata hatiku pada mereka.

"Alah, siapa suruh percaya, kita main-main aje. Suka-suka. Bukan nak percaya pun," Yati membalas tenang. Dia senyum seperti kebiasaan.Orangnya memang ceria dan penuh dengan segala perancangan. Tidak hairan, kami semua menobatkan dia sebagai penolong ketua kelas.

"Aku tak selesa," aku keluarkan juga kata-kata itu pada mereka.

"Tapi kau nak tahu ceritanya bukan?" Jea meningkah.

Aku diam. Tapi jemari terus berpusing-pusing tidak ketahuan lagi.

Antara baik dan buruk. Antara ingin tahu cerita apa yang berlaku dan juga pengetahuan semua ini bukan sesuatu yang seharusnya kami lakukan. Antara riangria zaman remaja yang ingin tahu segala-galanya dan ketakutan zaman gelap. Semuanya bersarang dalam hatiku. Manusia kalau berada dalam persimpangan, fikirannya akan buntu. Akal warasnya kadang-kadang akan bertukar menjadi sudah tidak waras. Tidak dapat lagi berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya.Sel-sel saraf dalam otaknya tidak dapat menghantar isyarat yang benar. Yang ada mungkin sahaja pengaruh orang lain yang menguasai dirinya. Kerana itu, umur-umur yang tidak matang begitu, pengaruh rakan sebaya amat besar. Remaja, umur yang berada dalam persimpangan.Kalaulah hidup ini boleh dibuat pilihan, tentu sahaja aku ingin memilih zaman anak-anak kecil yang panjang, dan kemudian terus melompat kepada alam dewasa. Tapi alam dewasa itu sendiri pula berapa tahun? 20 tahun? 30 tahun? atau 40 tahun? Tapi kalau hendak dikatakan yang tahap kedewasaan itu bergantung kepada umur, bagaimana halnya dengan orang yang 40-an atau 50-an masih juga tidak kunjung dewasa? Fizikalnya berubah, tapi kenapa perangainya masih seperti anak-anak? Atau pakaiannya juga tidak melambangkan dia sudah menginjak ke fasa lain kehidupan?

Benar, luaran sesekali tidak menggambarkan dalaman pun. Berapa ramai orang yang gila pada luarannya, tapi sebenarnya dia tidak gila. Atau berapa ramai juga orang yang pura-pura cerdik tapi sebenarnya dialah orangnya yang paling tidak cerdik. Dan betapa ramai pula orang yang cakapnya berdegar-degar itu ini, tapi cakapannya itu kosong, tidak terjadi pun apa yang dia cakapkan, malahan keadaan yang terjadi adalah 360 darjah belokonnya.

Sekali lagi sungguh aneh kehidupan. Tidak ada sebarang kayu ukur yang jelas untuk menafsirkan sesuatu. Hidup ini misteri. Tapi akhirnya akan terungkai sedikit demi sedikit. Peta hidup sudah tercipta. Yang tinggal hanya melakar peta yang masih berbaki.
posted by Mirip at 1:06 PM 0 comments