Catatan Hidup Seorang Aku
Thursday, January 29, 2009
..
Wednesday, January 21, 2009
15 (Part2)
Kebalikan dari hal tadi adalah bahasa pengaturcaraan, samada pascal,cobol, c, c++, membawa kepada pengaturcaraan zaman moden, java (sedapnya kopi panas itu),asp, jsp, dan berbagailah nama lain dan bahasa lain. Nampak seperti berbeza, namun sebenarnya lebih kurang sama sahaja.Perbezaannya hanyalah pada bahasa, struktur dan syntax-syntax yang harus difahami. Tidak kiralah dalam zaman mana,persamaannya tetap juga satu bahasa yang dicipta untuk pemahaman komputer. Supaya komputer, sebagai otak dalam sesuatu proses itu mendapat maksudnya, memproses dan akhirnya mengeluarkan hasil yang dimahukan oleh sang penciptanya. Sang pencipta yang namanya manusia itu, yang secara alamnya, tidak bersendirian menjalani kehidupan. Walaupun mungkin dia mahu hidup sendirian, sudah menjadi lumrah alam, dia tidak bersendirian, kecualilah dia adalah tarzan yang dibesarkan di rimba keseorangan, membesar bersama spesies lain kehidupan. Tapi akhirnya perlu diingat yang tarzan juga akhirnya mendapat teman sesama spesies, siapa lagi kalau bukan JANE.
Itulah, kalau tarzan juga akhirnya memiliki Jane, begitu jugalah semua manusia. Memerlukan dan ada disekelilingnya mahu atau tidak insan bernama sahabat, kawan, rakan, teman dan kenalan itu.
Dalam ramai-ramai yang dipanggil kenalan, atau teman, atau kawan atau sahabat itu, yang paling tinggi taraf untuk mendapat awardnya adalah sahabat. Betapa ramai kenalan yang kita ada di dunia ini, namun tidak sama ertinya dengan mempunyai sahabat sejati. Rakan yang dipanggil sahabat itu adalah teman paling dekat, dan teman paling setia dan teman sewaktu susah.
Hidup berputar ligat, ada masanya senang dan ada masanya susah. Sudah berkali-kali dipesan dan diingat oleh orang-orang tua yang sudah lama menelan garam kehidupan, yang bersama ketika susah itulah yang namanya seorang sahabat. Yang lain, hanya cukup sekadar teman, kawan, rakan atau kalau yang paling "kebawah" dalam susunan ranking anugerah adalah kenalan.
Betapa ramai yang kita fikirkan dia adalah sahabat kita, namun sebenarnya tidak. Betapa ramai yang tertipu oleh lakonan-lakonan sungguh hidup dari mereka. Saat ketawa, merekalah yang dekat,rapat dan sentiasa disisi, namun kalau memerlukan pertolongan, amatlah susah untuk dihulur. Atau kata-katanya sungguh manis untuk didengar, tidak ada sekelumit kata tidak enak dihulur buat kudapan telinga, tapi itu hanyalah di depan semata-mata.
"Chah, mak nak pesan satu rahsia pada Chah ni," satu malam ibu tua itu bersuara kepada Aishah ketika mereka sedang sama-sama makan malam berlampukan minyak tanah.
"Apa dia mak?" Aishah ingin tahu. Matanya tepat memandang ibunya. Kelihatan kedut sudah mula menghampiri ibunya.
"Chah nak tahu pasal sahabat?"
"Nak."
"Nak tahu bagaimana untuk mencari orang yang namanya sahabat?"
Angguk kepala.
"Chah, mak rasa selama ni mak tak cakap benda-benda ni pada Chah. Sebab mak tak mahu Chah pilih-pilih orang dalam berkawan. Mak nak Chah boleh berkawan dengan semua orang. Tapi rasanya sudah tiba masanya Chah tahu rahsia dalam persahabatan ni," ibu tua itu memulakan kata, sambil tangannya menyenduk lauk dari pinggan berbunga ros hitam itu.
"Heheehh mak ni tiba-tiba pula mak nak cakap, macam serius je bunyi," Chah ketawa. Dia jarang dapat berbual santai dengan ibunya dek kesibukan ibunya mencari nafkah hidup.
"Senang aje Chah. Chah pegang ni satu je. Kalau ada kawan-kawan Chah yang suka sangat bercerita pada Chah pasal keburukan kawannya yang lain, tak kiralah samada Chah kenal atau tidak orang yang dicakapkannya tu, ingat ya, dia bukanlah namanya sahabat. Mungkin sahaja dia hanya boleh jadi kawan Chah sahaja. Tapi tidak untuk sahabat."
Mulut Chah sedikit ternganga. Dia sebenarnya tidak menyangka yang ibunya pandai berkata-kata seperti itu. Nasinya tidak sampai ke mulut, terhenti separuh jalan. Matanya memandang tepat pada ibunya. Sungguh dia tidak sangka yang ibunya pandai bicara seperti orang sedang berfalsafah. Sedangkan selama ini ibunya hanya bercakap hal-hal penting sahaja dengannya. Ibunya lebih banyak diam dari bercakap.
"Satu lagi, kalau dia berjanji, dia pegang pada kata-katanya. Barulah Chah boleh percayakan dia sebagai sahabat. Kalau tidak, janganlah sesekali Chah menaruh kepercayaan pada dia. Tidak semua kisah atau masalah Chah, Chah boleh cerita pada dia. Ingat tu Chah," sambung ibu tua itu lagi.Nadanya berubah menjadi tegas, tanda dia mahu sekali yang kata-katanya diserap dalam kotak fikir anaknya.
"Mak...."
"Kenapa, Chah terkejut sampai tak makan nasi tu?" ibu tua itu menahan ketawa. Lucu hatinya mengenangkan riak wajah anak daranya itu.
"Hehehehhehe, Chah tak sangka la, " pecah deraian ketawa dua beranak itu.
**
Kenangan lalu datang dalam benak fikirnya.Air matanya menitik mengingatkan pesan ibunya.Titisan-titisan jernih yang turun mengering sendiri. Dia sedar diri yang dia sudah banyak melupakan dari mengingatkan.
Bagi seorang bernama Aishah, yang hatinya polos itu, dia menganggap Zarina adalah sahabat sehidup sematinya. Sudah sekian lama dia berkongsi cerita dan suka dukanya. Dia menghargai sebenar-benarnya kalau yang namanya sahabat itu. Baginya hidup harus juga berkongsi.
14(Part2)
Segala angan-angan nan indah, sahabat sejati, pokok-pokok buah yang berbuah lebat, bunga-bunga yang berkembang dan menebarkan keharuman ke seluruh alam, persekitaran yang tenang dan mendamaikan, ramainya insan-insan berhati mulia berbanding yang berhati syaitan, kebaikan akan dapat mengatasi kejahatan, rumah yang cantik dan meriah dengan rengekan dan ketawa manja anak-anak kecil, kenderaan untuk perjalanan sekeluarga, pekerjaan yang dapat menampung kehidupan dan banyak lagi. Tidak termampu untuk ditulis dan diperbincangkan. Namun intipatinya hanyalah satu, semua manusia normal inginkan yang baik-baik. Mungkin juga ada insan yang jiwanya tidak normal, lalu dia inginkan semua yang tertulis tadi dalam keadaan terbalik. Tapi perlu diingat, kalau ada orang yang berjiwa begitu, dia sesungguhnya tidak layak untuk dipanggil insan. Kerana taraf insan itu sendiri terlalu tinggi untuk dianugerahkan kepada mereka. Walaupun sekali lagi, yang menjadi kenyataan yang tak dapat disangkal lagi, betapa manusia yang tidak layak dipanggil insan ini semakin bercambah di muka bumi. Sepertimana spora-spora kulat yang berterbangan di bawa angin lalu. Mudah membiak dan memperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ada rasa takut menjengah diri, namun sudah suratan kerana itu adalah tanda-tanda bumi ini sudah terlalu amat tua untuk dapat bertahan lagi memerhatikan segala sifat durjana manusia.
Terlalu dalam maknanya semua ini ,yang dapat disimpulkan hanya satu, walaupun kepedihanlah yang dirasakan, adalah semuanya ini semakin menjadi satu fantasi. Realitinya bukan seperti ini. Realitinya kadang-kadang adalah kebalikan dari apa yang otak fantasikan. Sepertilah juga yang terjadi, kerja halal itu amat payah untuk mendapat hasilnya, peluh keringat membasahi, segala isi otak dicurahi, hasilnya tidak semudah mencuri dan merompak hasil keringat orang lain. Rompakan zaman ini bukan lagi rompakan secara lahiriah menggunakan parang panjang, (walaupun sudah semakin bermaharajalela), namun rompakan yang lebih besar sudah menjadi kebiasaan. Rompakan jiwa dan rompakan hak individu lain secara halus dan tersembunyi. Realitinya pahit untuk ditelan sungguhpun fantasinya enak untuk dimamah.
Begitulah juga dengan peperangan semakin menjadi agenda utama, rasa kemanusiaan sudah menghilang, dan masing-masing sudah terlalu mengejar segala isi dunia. Dunia sudah menjadi ainud. Dunia sudah menjadi mata ud. Dan akhirnya dunia ini sebenarnya hanyalah milik orang yang matanya buta, hatinya keras dan mulutnya bisu. Atau apakah satu hari nanti dunia ini sudah tidak mengasihani orang-orang yang terdampar seperti dia, mereka dan aku?
Aishah bermonolog sendirian. Wajahnya dihala ke jendela tingkap, memerhatikan burung-burung yang berterbangan, keluar mencari nafkah hidup. Dia juga begitu, membenarkan suaminya tersayang, keluar di pagi hari ke pejabat kecilnya. Sebagai kerani di sekolah rendah di pinggir bandar itu, cukup untuk menjadikan mereka dalam golongan sederhana. Dan Aishah mungkin juga antara yang bernasib baik kerana status strata ekonominya berubah dari golongan yang dipanggil miskin kepada sederhana kerana perkahwinan. Dia pun tidak tahu bagaimana akhirnya jodoh nya lekat dengan lelaki itu. Tapi dia percaya walaupun dia tidak sama sekali setaraf dengan suaminya, dia masih boleh bahagia selagi ada cinta.
Aishah bersyukur kerana dalam keadaan dia tidak sepandai orang lain, pelajarannya tersangkut di tengah jalan akibat desakan hidup, tiada ayah sebagai tempat bergantung, yang ada hanya seorang ibu tua yang berjuang untuk terus hidup membesarkan anak-anak sendirian. Mujur juga sedikit sebanyak membaca alif ba ta itu dia sudah khatamkan. Hanya itulah sahaja kalau mahu dibandingkan lebihnya dia dari sang suami. Yang lain semua kelebihan ada pada suami. Kacak, berkulit cerah, pekerjaan stabil walaupun tidak terlalu tinggi, bermulut manis, pandai mengambil hati dan semua-semualah yang menjadi idaman gadis Malaya hari ini. Kerana itulah dia sama sekali tidak meletakkan dirinya lebih tinggi dari sang suami akibat rasa keberuntungan mendapatkan suami seperti Ahmanuddin itu. Dia mahu sekali menjadi sepertimana ingatan Nabi akhir zaman, Muhammad SAW, "Sebaik-baik wanita adalah yang taat kepada suaminya." Itulah pegangan Aishah, gadis naif serba kekurangan itu.
Tuesday, January 20, 2009
kuliah
Kali ini aku merasa sedih dan tidak berdaya.
Ayah kuliahkan semula kepada kami sekembalinya dari masjid.
Intipatinya, adakah semua sumbangan sampai ke sana?
Hamas itu pejuang tapi Palestin itu sendiri ada lagi satu.
Situasinya sama seperti di Malaysia, antara UMNO dan PAS tidak ada titik persamaan (setakat hari ini). Jadi?...
Kita boikot product Israel, tapi jangan sampai duit derma yang kita salurkan pula digunakan untuk menembak anak-anak kecil itu.
Ini antara kuliah dari Professor UIA itu lagi.
1. Yahudi itu kan lebih bijak dari kita, Mereka sudah tahu apa yang Muslim sendiri tidak tahu.
A. Di palestin akan lahir anak muda yang berjuang. Kisahnya sama seperti Nabi Musa, apabila Firaun mendapat tahu dari tukang nujumnya akan lahir seorang pemuda yang melawannya di kemudian hari. Sebab itulah, sasaran Israel bukanlah pada pejuang Hamas, tapi utamanya adalah anak-anak kecil. Sekolah menjadi sasaran utama.
B. Akan ada 3 kuasa besar dunia Islam. Iraq, Palestin dan Afghanistan. Oleh itu misi mereka adalah serang dan serang.
C. Akan lahir dari kelompok Muslim yang benar-benar pejuang. Berpakaian serba hitam. Dan negara manakah yang majoriti penduduknya memakai pakaian hitam? Tanah Afghan. Bukanlah minyak yang dikata orang sebagai punca pada serangan besar-besaran Afghan, Iraq (plus Palestin), tapi inilah punca sebenar.
2. Penceramah juga menceritakan asal usul Israel. Penceramah minta semua hadirin sampaikan pada generasi muda, anak-anak supaya tidak salah anggap. Nama "Israel" itu sebenarnya adalah nama manja@timangan kepada Nabi Yaakub. Bukan bermakna Nabi Yaakub yang salah, tapi keturunannya ada yang sudah menyimpang dari ajaran. Penceramah bercerita mengenai kisah Nabi Yaakub. Salasilah. Doa Nabi Ibrahim yang inginkan zuriat yang soleh. Dan dari keturunannyalah kebanyakan nabi-nabi.
3. Masuk pada kisah Saiditina Khadijah. Khadijah sebagai wanita elit/berpelajaran yang memiliki pengetahuan yang luas. Kaum2 Yahudi ketika itu (yang warak kalau istilah hari ini) sudah mengetahui akan kedatangan nabi akhir zaman. Semua tanda-tanda pada badannya, rupa fizikalnya, begini dan begini orangnya sudah mereka ketahui. Dan Saiditina Khadijah mengetahui perihal ini. Khadijah telah meminta bantuan orang-orangnya untuk mencari apakah ada orang yang mempunyai ciri-ciri pemimpin akhir zaman ini. Sehinggalah akhirnya pencariannya berjaya apabila pembantunya telah menjumpai Muhammad S.A.W. Ketika itulah Khadijah terus meminta Muhammad SAW berdagang di Sham, untuk dia mengetahui apakah sifat sebenar orang yang dia jumpai itu bersamaan dengan ciri-ciri yang telah pendita zaman itu khabarkan. Kemudian Khadijah telah berjumpa dengan bapa saudaranya.
4. Dan oleh kerana Nabi akhir zaman itu bukanlah dari bangsa mereka mereka iaitu Yahudi, yang mana tersasar sama sekali dari anggapan mereka.Lalu jadilah seperti hari ini.Apatah pula Nabi Muhammad itu dari bangsa Arab, yang ketika itu masih dalam keadaan jahiliah dan tidak bertamadun.
Inilah serba sedikit yang boleh aku tuliskan. Maafkan aku kalau info ini ada kesalahannya dimana-mana, kerana aku tidak mendengar sendiri dari penceramah. Tapi aku merasa perlu untuk menulis sbg catatan peribadiku. Sepertimana Saidatina Khadijah yang menulis ciri-ciri yang ada pada Nabi akhir zaman ketika mendengar pengajaran dari pendeta.
***
Rasa yang dulu datang lagi. Tak tahu kenapa tapi mungkin kerana keadaan. Bukanlah keinginanku untuk merasa begini tetapi keadaan memaksaku. Lalu kesedihan itu hanya dapat aku hindarkan kalau diriku sibuk. Dan berusahalah aku untuk menyibukkan diri. Tapi masih juga sibuk itu tidak dapat menyahkan jauh-jauh hatiku yang satu.
Wednesday, January 14, 2009
13(part2)
Mungkin bahagia itu bagi sesetengah orang maknanya mempunyai segala-galanya yang boleh dimiliki di atas muka bumi ini.Peraasaan memiliki itu sendiri adalah rasa bahagia yang teramat sangat dan tidak boleh ditukarganti dengan apa pun juga.
Atau bahagia bagi seorang pelakon di pentas lakonan itu adalah berjaya menghidupkan watak dan peranan yang dibawa sesungguhnya. Kalau wataknya jahat, dia puas kalau penonton membencinya sehingga terasa ingin meludah pada paras wajahnya sehabis pementasan. Atau kalau wataknya gadis yang teraniaya, dia puas kalau sang penonton menangis teresak-esak tidak cukup kertas tisu di sebelah. Tidak cukup dengan kertas tisu, sapu tangan, hujung tudung , atau hujung lengan baju yang dipakai untuk mengesat air mata yang turun berjurai-jurai, tapi siap dengan dialog "kenapa mak tiri dia zalim macam tu?".
Atau "kenapa hero dia meninggal dunia ketika menyelamatkan heroin malang itu?" dan dialog-dialog lain yang sewaktu dan sezaman dengannya. Atau juga ayat biasa yang akan keluar "arrgghhh kasihan Puteri,mak cik akan undi puteri untuk menang anugerah nanti. Lakonanmu sungguh hidup Puteri.Kenapalah Pak Pengarah tak panggil mak cik berlakon sama?Kalau Mak cik ada sebagai penyelamat Puteri, tak adalah Puteri jatuh kolam nak...uhuk uhukk uhukkk..."
Ahh tinggalkan sahaja pada Mak Cik Esah yang menangis tidak cukup lengan untuk mengesat air mata. Bagi sang pelakon pemegang watak Puteri, tangisan Mak Cik Esah adalah tanda kemenangannya. Menang kerana dia dapat menjiwai sungguh-sungguh watak sang Puteri, dan sudah terbayang di fikirannya yang dia akan memegang trofi rebutan milik semua tahun hadapan dengan ayat khas akan terpacul "Ohh lihatlah dunia!"
Itu bagi sang pelakon. Bagaimana pula bahagia seorang guru? Tentu sahaja jawapannya mudah. Bahagia seorang guru tulen(ramai juga yang bukan guru tulen dewasa ini) adalah apabila anak didiknya telah berjaya dan masih mengingati dirinya.
Dan pada seorang usahawan, rasa bahagia itu apabila dia melihat perniagaannya berkembang maju. Jerih dukanya berbalas dengan pusingan wangnya yang berpusing dan bekerja sendiri. Dan dia tidak lagi bekerja kerana wang, tetapi wanglah yang bekerja untuknya. Keringat dan usahanya menampakkan hasil yang jelas yang ada di depan matanya. Yang perasaannya kalau dia dihina satu waktu dahulu kerana bekerja keras separuh mati itu telah bertukar menjadi satu kebanggaan pula. Biarpun bukanlah kebanggaan itu datangnya dari dirinya sendiri, selalunya dari orang-orang yang pernah menghinanya dahulah yang kini memuji-muji dirinya separuh mati. Ah Mr. Businessman, itu sudah tidak menjadi kudis lagi bagi dirinya, kerana sudah banyak kudis-kudis yang telah ditempuhnya selama ini menjadikan dirinya tegar. Dan menjadi tegar pada titisan-titisan peluh yang turun membasah bumi itulah satu kebahagiaan yang nyata buat dirinya.
Begitu panjang definisi bahagia, yang tentunya setiap orang ukuran bahagianya itu lain-lain. Namun bagi yang bergelar seorang wanita, erti bahagia hanya satu. Dicintai dan disayangi sepenuh hati oleh orang yang dia sayangi itulah makna bahagia yang satu.
Dan itulah yang dirasa Aishah saat dan tika ini,gadis muda yang baru sahaja meninggalkan zaman alam muda remajanya, dan dia telah serahkan semua perjalanan hidupnya yang akan datang pada kebijaksanaan seorang lelaki bergelar suami, Ahmanuddin. Dengan sekali lafaz "Aku terima nikahnya, Nur Aishah binti Zaid Abdullah dengan mas kahwinnya Satu Ratus Ringgit tunaiiiii," maka bermulalah satu lagi episod baru hidup seorang insan kerdil di muka bumi Tuhan ini.
Monday, January 12, 2009
Mati itu pasti
31 years old.
Perjalanan dia terhenti.
Aku rasa sedikit ralat kerana aku tidak sempat melakukan apa yang aku rancangkan.
Masa tidak mengizinkan.
Tapi apapun aku bersyukur kerana sempat melihatnya kali terakhir baru-baru ini.
Alfatihah to him.
Semoga rohnya bersemadi aman. Aku akan sentiasa mendoakan dia sebagai tanda ingatan dia pernah menjadi teman waktu kecilku.
Semakin umur meningkat, semakin ramai orang yang dikenali menyahut panggilan Ilahi.
Tanda-tanda bahawa mungkin pula satu hari nanti nama kita pula yang disebut-sebut orang, sudah kembali.
Tragis hidupnya akan aku kenang sepanjang hayat.
Thursday, January 01, 2009
1979-2009
Selama bertahun berada di kota raya, dan tidak pernah ada perasaan untuk melihat warna warni bunga api, di tahun ini, aku melihatnya.
Itupun kerana cepat-cepat berlari dan keluar dari halaman rumahku membawa putera melihat pancaran bunga api. Memang dari perumahan aku ini panorama bangunan mercu tanda Kuala Lumpur berlumba lumba menunjukkan diri. Dan terpancarlah warna-warni bunga api yang harganya mungkin saja mencecah ratusan atau mungkin ribuan atau jutaan? Waalahuallam. aku tidak tahu kerana aku tidak pernah bermain mercun. Bunga api 10sen sebatang memang pernah dan hanya itulah pun yang dibenarkan.
Melihat bunga api, mengingatkan aku sudah di tahun baru rupanya aku ini dipinjamkan seketika. Menginjak ke fasa lain kehidupan, 10 tahun zaman muda telah aku tinggalkan. Barulah aku perasan rupanya aku tidak sempat...
Angka baru dalam umur, (walaupun lambat lagi angka sebenar), mudah-mudahan azam aku tahun ini tercapai.