Catatan Hidup Seorang Aku
Tuesday, March 31, 2009
hadiah buat diriku
Mudah-mudahan juga pokok-pokokku ini akan selamat dan terjaga di bawah jagaan aku pula. Walaupun aku selalu lupa untuk menyiram kamu,tapi aku harapkan hujan-hujan akan tetap membasahi kamu. Azam baru tahun ini, aku akan laburkan sedikit duitku untuk menanam semula pokok-pokok kerana aku merasakan aku sudah kekurangan Oksigen berada di bumi KL ini.
Aku dah beli sepasang kasut baru untuk aku terbang tidak lama lagi. InsyaAllah.
Thursday, March 26, 2009
Belasah aje
"Hey, how are you?" he said. Argghh dia cakap mat salleh.
"Ok i'm fine, thank you."
"Where are you going?"
"Back to my office, there," i said as my hand showed the location to him at the same time.(as if he doesn't know where is xx)
"Then why you are here?"
"Jarang2 sekali je datang sini."
"Yup, then why you are in here?"
.. i smiling till the ears. My hand at my mouth. He was laughing at me.
"ops.. suppose to go down, ok tak pe, tak tengok lif tadi."
"that's why i said why you are in here."
"you are here?" i asked him back.
"yes. Ok bye"
"okay."
Conversation with my old classmate when we were 18.Still young. 11 years running as quickly as PutraLRT. The differences is he is now positioned as Manager and i still as previously. Heheheh.. Very slow as katak puru of me.
Then yesterday, when i went to Palestin talk by wife of Assyahid Dr Rantissi. Someone smile at me and i smiling back to him. Conversation took place while we are both walk in crossly.
"Hi yyyy, lama tak nampak?"
"A'aah menyepi diri sikit"
Both laughing and both continue walk to our destination-our own path. Period : 1 minute. Last we are together in the same group was 8 years ago. Then i still remember something. He was a good friend and acting as elder brother. He was now AGM while i still as previously. Hahahaharuuunn.. Very slow as komuter of me.
But then, they are all very talented. They are supposed to become what they are today. And i, i am happy with what i am doing right now. A bit slower than them, since i myself start finding what i want to do in life at this age. Very poor of me, huh. But again i am happy with it.
This weekend, i will meet my old primary schoolmates. At the same day at different places. Both of them are my close friend when we are small. Kecik beleh. One now become Service Engineer and one is IT Engineer. Now, i am in contact again with my chilhood teammates. One have already married with twin kids while my regular customer (in my primary school) still doesn't find his soulmate yet.
Actually what a funny thing is i can't remember what kind of things that i sold to my friends previously. But being a customer, they remembered. Then i smile, big smiling. Since i myself doesn't know that i am already become a trader when i am standard 1. Then, that's why i am not become at the higher position in what i am doing today, because what i am doing now is not what i am happy. I am doing not with all my heart. I am doing what i'm not supposed to do. But then now, i know. InsyaAllah. I find the light. Hopefully the light is for me. At this time and at this phase of new life. I want to do what i like to do. To the best of my clients. Giving my service to them is a great pleasure for me. Sending cheque to them makes my bottom of my heart smiling. As i can help them when they are inneed. It doesn't matter although i also find someone who looks/act at me as if i am a beggar. May be. But its ok. Whatever they think of me, is not a big deal for me. Since if anything happened to them also doesn't link to my life anyway.
All this make me learn more about life. That not all have the same attitude and perception. I love it. I love to analyse people than analyse system.
19(p2)
Rumah-rumah di tepi kanan dan kirinya ada yang tertutup dan ada yang terbuka lebar. Tapi Aishah tidak juga menghiraukan rumah-rumah dan penghuni di dalam rumah itu, samada mereka ada atau tidak ada tidak penting baginya. Yang lebih penting lagi adalah sekalian penghuni dalam rumahnya sendiri. Itu yang lebih bermakna buat dirinya dan lebih dari segala-galanya, adalah sebaris askar-askar yang berderet di rumahnya yang dia tinggalkan tadi.
Benarlah, wanita kadangkala dipengaruhi emosi. Bukankah emosi adalah sebahagian dari hidup wanita pun. Jadi janganlah menafikan hal ini kawan.Samada diakui atau tidak, samada mahu menyedari atau tidak, kaitan emosi dan wanita adalah satu. Memang sahaja ada wanita yang mungkin sahaja menafikan, namun usah sahaja menentang fitrah. Kerana emosi dan wanita itu jangan sahaja dipandang dari sisi negatif. Sisi positifnya tetap ada. Bukankah ada kalam yang mengatakan, doa wanita lebih makbul di sisiNya kerana jiwanya? Dan kalaulah bukan kerana emosi yang menggunung, apakah ada naluri sayang yang berlebihan sedikit kepada si anak berbanding si ayah? Lalu bagaimana pula kalau airmata sering mengiringi wanita.Samada dia gembira atau kadangkala dia kesedihan, tetap ada airmata di matanya. Ya, ini semua kerana wanita dan emosi tidak dapat dipisahkan.
Namun, setiap keadaan, hanya ada dua kemungkinan. Di mana ada Yang, di situ ada Yin. Di mana ada siang di situ ada malam. Di mana ada kejahatan, di situ ada kebaikan. Emosi Aishah juga begitu. Kalau selama ini emosinya tenang, atau seringkali seperti tidak berperasaan, kali ini,atau lebih tepatnya tadi, yang membuak-buak adalah api kemarahan yang entah dari mana, tiba-tiba datang, meletus, membakar akal fikirnya jatuh ke laut Mediteranean, sejauh-jauhnya. Yang ada pada diri Aishah sekarang adalah rasa Vandetta.Aishah sudah menjadi Vishah. V for Vandetta!
Lalu, bicara mengenai emosi, Aishah memang dipengaruhi emosinya tadi. Hatinya tidak dapat mengawal keseimbangan fikirannya. Hatinya kalah dek penangan lara emosinya. Fikirnya juga rebah ke tanah, jatuh dan tidak dapat menerima neuron-neoron lagi, hanya kerana emosinya sudah menjuarai carta tingkat dalam dirinya. Dia tidak dapat berfikir mengenai sederet askar-askarnya yang dia tinggalkan begitu saja tadi.
Aishah membuka daun pintu. Perlahan. Pintu rumah yang memang jarang pun dikunci. Yang membenarkan siapa pun juga boleh keluar dan masuk. Yang membenarkan juga apa yang fikir akal logiknya mengatakan tidak sebelum ini pun telah sahaja berlaku di depan matanya tadi. Sungguh satu penderitaan dalam jiwanya tiap kali dia melihat layar di skrin kepalanya. Dia benar-benar boleh jadi gila kalau otaknya kembali membuka filem pada detik itu. Dia tidak mahu ingat, dia tidak mahu mengenang, tapi selagi otaknya ada disitu, selagi itulah imej itu di situ.
Tik, tik, tik...
Hanya gerakan jam besar di dinding rumahnya yang berbunyi. Dia memandang pada loteng rumahnya. Sunyi dan sepi. Tidak ada tanda-tanda askar-askarnya masih ada di situ. Dia melangkah perlahan, memijak lantai kayu berlapikkan plastik getak corak petak-petak kain pelikat hijau biru. Dia merebahkan badannya pada kerusi panjang yang baru dibeli oleh lelaki itu beberapa bulan yang lalu. Kini barulah dia dapat menafsir satu demi satu peristiwa. Dia senyum sendiri. Sedikit. Sinis dan senyum itu sebenarnya untuk dirinya sendiri, yang lembab dan lambat. Lembab mengkaji dan lambat pula berjumpa kenyataan. Argg kerusi, tentu kau sedang tersenyum padaku, melihat kebodohanku sendiri? Aishah senyum lagi. Kini barulah dia tahu kenapa lelaki itu baik hati membelikan dia kerusi set ini satu waktu dahulu. Dahulu memang dia fikirkan, sang lelaki yang amat dicintainya itu membelikan kerusi set itu dengan keikhlasan seorang suami, namun dia dapat membacanya kini. Layar demi layar yang bermain di matanya kini dapat menafsir mengapa pula sejak kebelakangan ini layanan suaminya kepada dirinya seperti ada yang tidak kena. Orang melihat dan dia yang mengalami adalah satu perbezaan yang jelas. Orang melihat keberuntungan dirinya kerana seperti disayangi lelaki itu sepenuh jiwanya, namun rupa-rupanya " Baik ada makna tu.."
Itulah kedatangan kerusi baru itu juga hampir sama dengan kedatangan Zarina, teman yang dia fikirkan sahabat sejatinya itu.Memang sahabat sejati!
Tuesday, March 24, 2009
18 (Part 2)
"Ha, Chah dari mana kamu ni?" tegur Pak Ya, pak cik tua yang selalu ditemani Sang Teman yang juga tersenyum simpul pada Aishah, di atas singgahsana basikal tuanya itu.
"Ohh, Pak Ya, Chah dari sana tadi," jarinya main menunjuk sahaja ke hala belakang sana. Alamak, hala mana aku tunjuk ni? bisik hatinya sendiri, sedikit gusar.
"Aik, kau dari mana ni Chah, tu kan semak samun tu," Pak Ya menyoal kembali. Matanya sedikit juling menandakan ada segaris ketidakpercayaan pada jawapan yang keluar dari lontaran mulut Aishah.
Aishah pun tahu, siapa pun juga akan memberikan reaksi sepertimana Pak Ya, apabila tangannya sendiri gatal menunjuk ke arah yang tidak sepatutnya. Semak samun di situ tidak ada apa-apa, hendak dikatakan ada pucuk-pucuk untuk dicari pun tidak ada, hendak dikatakan ada kulat pasu atau kulat yang tumbuh meliar selepas hujan di batang-batang kayu buruk pun, tidak ada. Kalau sekalipun ulam-ulaman ada di sana,m tidak ada pula walau secekak ulam di tangan Aishah hasil petikan jarinya.Jadi memanglah sesiapa pun yang mendengar jawapan darinya akan merasa kemusykilan yang amat tinggi. Apakah yang dilakukan oleh seorang wanita yang masih agak muda di situ? Di dalam semak, bersendirian, dan ada pula segaris bekas kesan air mata yang masih berbekas. Bukankah dia sendiri yang mungkin menimbulkan spekulasi dan fitnah ke atas dirinya sendiri.
Aishah membalas pertanyaan Pak Ya itu dengan hanya senyuman. Hanya senyuman yang mampu dia berikan pun, kerana dia pun tidak tahu bagaimana lagi dia mahu memutarkan ayat-ayatnya semula. Orang lurus sepertinya memang tidak pandai berbohong.
Pak Ya hanya menggelengkan kepala nya yang dilindungi dengan kain panjang dililit-lilit seperti serban. Biasa dipakai oleh orang-orang setempat, yang banyak pula kegunaannya. Selain melindungi kepala dari panas terik matahari,mungkin sahaja pada anggapannya kain itu sendiri dapat pula menjadi satu imej perkenalan pada dirinya. Kalau orang kampung bertanya, "Pak Ya mana?" Jawab pula rakan lain di meja kopi, "Ala, Pak Ya lilit kain panjang" atau "Pak Ya serban merah" dan yang sewaktu dengannya. Sedangkan di luar pengetahuan Pak Ya, (ataupun kalaupun dia tahu, dia sendiri tidak mengambil kisah akan hal itu), orang kampung memanggilnya dengan nama panggilan lain.
"Aku pergi dulu, dah Koko, moh kita gi dulu," matanya menjeling pada Sang Teman temannya yangs ama-sama mencari nafkah hidup dengannya itu. Koko, nama manja timangan Sang Teman Pak Ya, haiwan peliharaannya. Yang dijaga sepenuh hatinya, yang ditumpahkan segenap ruang jiwanya, yang dibelainya sepanjang waktu. Betapa besar jalinan hati yang terjalin antara dua makhluk berbeza jasad itu. Sang Teman itu hanyalah seekor beruk, namun semua orang tahu, Koko itu besar maknanya pada diri Pak Ya. Selain sebagai temannya untuk mencari sedikit wang buat perbelanjaan harian, yang koordinasi keduanya bagaikan seorang ketua sarkas dan dan pemain sarkas. Harmoni dan serasi. Pak Ya mengarah dan Koko diarah. Pak Ya menunjuk pokok manakah yang harus dipanjat oleh Koko, dan Koko terus memanjat, pantas memulas buah-buah kelapa untuk dijatuhkan sebiji demi sebiji. Semua orang pun tahu yang kasih yang terjalin antara Pak Ya dan Koko ibarat ayah dan anak. Yang mengajar sungguh-sungguh dan yang diajar pula patuh sekali. Kadangkala juga, bukan tidak menjadi buah mulut orang jalinan hati yang terjadi antara Pak Ya dan Koko, namun semua orang pun tahu Pak Ya pun sudah tidak ada teman lain di sisi. Semenjak isteri kesayangannya meninggalkan alam fana ini, Mak Milah santan,Kokolah sang pengganti suri hidupnya. Jalinan yang terjadi antara ketiga-tiga mereka ketika Mak Milah masih hidup amat rapat, sementelah sesudah pemergian Mak Milah.
Betapa sayangnya Pak Ya pada Koko. Pernah ada orang bertanya pada Pak Ya " Kenapa agaknya ya Pak Ya ni lain macam benar sayangnya pada Koko?" Lalu apa jawabnya Pak Ya?
Pak Ya hanya senyum menampakkan gigi tuanya yang sudah hitam pekat itu, "Koko ini, walaupun ia hanya seekor beruk, tapi ia mengingatkan aku kepada Mak Milah engkau." Hanya sebaris, tapi jelas dan dalam maksudnya.
Mengingatkan semua ini Aishah tersenyum sendirian. Senyumnya melebar mengingatkan betapa jarangnya menjumpai seorang lelaki sesetia Pak Ya. Aishah menoleh ke belakang. Pak Ya dan Koko terus meninggalkannya melawan arus perjalanan. Dan secara tiba-tiba Koko berpaling kepada Aishah, seperti dapat membaca apa yang terlintas di fikiran Aishah. Koko memandangnya, dengan mata bulatnya tapi sedikit sayu, kemudian juga melemparkan sengihnya. Matanya yang tadi bulat jadi mengecil. Aishah menutup mulut menyembunyikan ketawanya. Argghh Koko, kau pandai menghibur rupanya. Patutlah Pak Ya sayangkan engkau. Bisik hati kecilnya.
Jadi tidak hairan kalau orang kampung sebenarnya memanggil Pak Ya dengan nama gelar Pak Ya Beruk. Sedikit kasar bunyinya, dan yang sedikit bunyi halus di pendengaran, Pak Ya Koko.
Aishah kembali meneruskan perjalanannya. Dia mahu cepat sampai ke rumah.Dia mahu selesaikan apa juga yang tidak selesai. Dia mahu semuanya tidak lagi menggulung kepalanya dan menyakitkan saki baki hatinya yang tinggal. Dia mahukan kepastian.
Mimpi
Tapi hari ni aku nak tulis, supaya tersimpan dalam minda aku ni. Yang aku pernah bercita-cita macam ni.
Aku nak keluar dari Tanah Malaysia yang pelik ini. Aku yang kerdil hina dina ini tak boleh hidup rasanya dalam dunia Malaysia yang penuh kepelikan ini.Kah kah kah.. Aku nak gelak puas-puas.Tidak patriotikkah aku? Ya, aku memang bukan patriot, kerana apakah maknanya nilai patriotik kalau yang benarnya, hidup seorang patriot sebenar pun tidak pernah dijulang? Yang dijulang adalah orang lain. Lagi sekali nak ketawa pecah berdeari.. kah kah kahhh...
Moga-moga impian luarbiasaku (dan tak tau la macamana) tercapai ke tak.AMINNNN...
Monday, March 23, 2009
Tak apa. Biasalah tu.
Kerana aku tahu siapa yang lebih.
Aku pun tahu bukit yang tinggi itu, pendakiannya susah. Tapi aku mahu daki juga, jadi aku harus lalui kerikil-kerikil tajam itu.
Kalau mahu dibandingkan,ada beza juga aku dan dia.
Nak kata gaji, gaji aku lebih banyak dari dia, campur komisen aku lagi.
Dia ada sebiji kereta Jepun, aku ada dua biji kereta walaupun dua-dua nasional.
Dia ada sebiji rumah standard orang KL, aku ada dua biji rumah teres kat KL, satu medium satu low cost.
Nilai keseluruhan saving dia aku tahu.
Jadi tidak mengapa kalau ayatnya seperti itu, kerana aku tahu lebih lagi.
Jadi tidak mengapa kalau dia memandang aku pun sebelah mata kerana aku lebih tahu lagi.
Dan kalaupun dia seorang yang tidak mahu, ramai lagi di luar sana yang mahukan ini.
Jadi, tidak mengapa semua ini.
Aku akan tetap juga lakukan.
Kerana aku suka lakukan.
Dan aku pun tahu
Tiada gunanya memakai kereta besar, rumah besar, pakaian segak,cantik , jawatan macam best kalau sebenarnya fulusnya kureng.
Dan lebih dari itu, melakukan semua ini, aku banyak belajar perihal manusia. Perlakuan manusia.
Aku akan sambung pengajian aku lebih tinggi lagi dalam ilmu mengenal manusia. Surat dah sampai, tinggal aku isi borang dan submit.
Tuesday, March 17, 2009
16i
Ilusi optik itu terjadi adalah kerana kesalahan penangkapan mata manusia. Tentu sahaja anda pernah melihat satu imej dengan sisi cerita yang berbeza di dalamnya. Ada orang yang boleh melihat kedua-dua imej dan tidak sedikit pula yang hanya dapat melihat hanya satu sisi. Puas ditilik-tilik, ditunjuk orang lain, barulah dapat dilihat sisi imej lagi satu, atau lebih malang, terus-terusan tidak dapat melihat sisi itu sampai bila-bila. Bukan salah ibu mengandung, dan bukan salah mereka pun.Bukankah mata sering salah menilai?
Menelusuri lebih jauh, jumpalah pula dengan cabang ilusi optik ini. Anggapan mengatakan ilusi optik ini terbahagi kepada dua, ilusi fisiologi dan ilusi kognitif.
Bagi cabang pertama, ilusi fisiologi, adalah seperti yang dihuraikan di atas. Namun lebih tepat lagi, kalau dikatakan kesan gambar yang terjadi setelah melihat cahaya yang sangat terang atau melihat pola gambar tertentu dalam waktu yang lama. Ini mungkin kerana tindakbalas yang terjadi pada mata atau otak setelah mendapat rangsangan tertentu secara berlebihan.
Dan bagi cabang kedua dalam memperkatakan tentang ilusi optik ini, iaitu ilusi kognitif.Ilusi ini terjadi hanya kerana anggapan fikiran terhadap sesuatu di luar. Dan banyak pula ranting-rantingnya. Ambigu,disorsi, paradoks, juga fiksyen.
Apapun juga makna ataupun ranting atau cabang dalam memperkatakan tentang ilusi, jawapannya hanya satulah juga. Kesalahan dalam melihat. Tidak kira yang dilihat itu objek nyata atau tidak mungkin, atau garisan, ataupun watak dalam kehidupan itu sendiri.
Sungguh satu kesadisan dalam hidup kalau mata salah melihat, dan otak salah menafsir. Tidaklah mengapa kalau yang salah ditafsir itu adalah objek semata, bukan benda hidup yang punya perasaan, tapi apalah halnya pula kalau yang salah itu adalah manusia? Lebih tepat adalah watak-watak disekelilingnya sendiri? Yang punya sekeping hati dan perasaan. Yang punya naluri tapi naluri salah menafsir kerana menyalahi akal logik? Yang hatinya sudah hancur berkeping-keping dan jatuh berderai setelah mengetahui rupa-rupanya selama ini, apa yang dilihat hanya semata-mata ilusi optik? Rupa-rupanya dalam hidup, tidak perlu menjadi pakar optalmologist atau pakar optometris untuk mengalami atau mendalami bidang optik.
Dan rupa-rupanya sudah sekian lama Aishah berada dalam keadaan itu.Satu jangkamasa yang lama, dia sudah tertipu dengan permainan dunia. Permainan insan-insan lain yang pandai berpura-pura menayangkan kebaikan, dengan niat mahu menyembunyikan keburukan. Insan-insan yang cukup pandai membawa watak sebagai pelakon dalam pentas bangsawan yang besar ini. Dengan mereka jugalah sebagai pengarah, penerbit, penulis lakon layar, penulis skrip untuk berkata-kata, dan tidak lupa sebagai pelakon terbaik. Seorang memang layak untuk pelakon lelaki terbaik, dan yang seorang lagi memang selayaknya mendapat anugerah Golden Globe bagi anugerah pelakon wanita terbaik.
Dan dia? Dia hanyalah seorang manusia naif, yang selama ini seperti orang lain yang menonton lakon layar di depannya, namun apa yang dia nampak adalah tidak sama dengan apa yang orang lain nampak.Walaupun ada juga dia berfikiran seperti orang lain di sela-sela saat tertentu, namun baginya itu hanyalah paradoks dan anggapannya sahaja yang harus dibuang jauh-jauh dalam mempertahankan bahteranya. Sedangkan penonton lain, sudah pun lama dapat menghidu.Yang mana nyata sekali kemampuan menghidu itu adalah seiring dengan kemampuan melihat. Tapi kadangkala kalau menghidu tanpa melihat, otak sering menghantar isyarat yang berbeza dan menyimpang sama sekali. Itulah dia, yang selama ini terhijab pandangan matanya dan tertutup deria baunya dan terhadang deria telinganya dalam mendengar. Lalu walau bagaimana mahu diletakkan ilusinya selama ini dalam cabang mana sekalipun, adalah tidak perlu lagi, kerana kesemua makna dan cabang dan ranting-ranting dalam ilusi optik itu sendiri, semuanya terkena pada batang tubuhnya sendiri!
"Oh Abang," hanya itu yang terkeluar dari bibir mulutnya tatkala matanya melihat. Lututnya tiba-tiba menggeletar tidak berhenti, sendi-sendi lututnya bagai mahu tercabut dari pegangan otot-ototnya sendiri. Matanya tiba-tiba digenangi air yang datangnya entah dari mana, dari langit atau dari kolam jiwanya yang telah pun pecah berderai. Tidak usah lagi memperkatakan tentang degupan jantungnya, kerana jantungnya sendiri seolah sudah berhenti berdegup. Bukan lagi berhenti dari berdegup, tapi seolah sudah direnggut ganas seperti lagak mat rempit meragut si mangsa.
Kalaulah tidak kerana secebis dan sehalus kulit bawang iman yang ada dalam dirinya, mungkin juga dia sudah terjatuh tidak bangun buat selama-lamanya lagi.Pergi meninggalkan dunia yang fana ini dalam rembesan air mata dan kepedihan jiwa.
Mendengar sekeping suara yang terlontar dalam nada penuh pasrah itu, seorang lelaki dan seorang wanita di depannya itu juga turut terkejut. Kalau simptom yang ada pada diri seorang Aishah itu telah merenggut tangkai hatinya, simptom itulah juga yang ada pada diri seorang lelaki dan seorang wanita itu. Bezanya kalau simptom yang ada pada diri Aishah adalah kerana patahnya hati, simptom yang ada pada mereka berdua itu pula adalah tidak lain dan tidak bukan kerana terkejut yang amat sangat.
Mereka melepaskan diri sendiri yang sudahpun melekat antara satu sama lain.
Mereka terkejut kerana perbuatan mereka akhirnya ada yang melihat. Rupanya keterkejutan dan ketakutan apabila perbuatan maksiat diketahui oleh manusia lain adalah lebih menjadi keutamaan dalam hidup. Rupanya kemaluan yang terhasil, dari perlakuan buruk apapun, aibnya adalah lebih kepada manusia lain. Sedangkan manusia lain itu juga hanyalah makhluk ciptaan. Kenapa pula pada sang Pencipta, tidak pula mereka merasakan ketakutan itu? Apakah pakaian malu itu hanyalah untuk dipertontonkan kepada manusia, dan bukan kepada Sang Pencipta? Sungguh menghairankan dan sungguh lah ajaib perlakuan manusia.
"Ch... Chahhh.." dua suara dari dua tenggorokan, dari dua ciptaan berbeza berlalu keluar mengisi ruang udara.
Friday, March 13, 2009
buat anak cucuku, inilah yang nenek boleh lakukan.
Kalau aku balik ke kampung betul aku di nun utara semenanjung, berhampiran sempadan, di zaman kanak-kanak, itu adalah pengalaman terindah dalam hidupku. Kerana aku yang bukan budak kampung ini (compare ngan sepupu sepapat ku di sana) dengan riang gembiranya menjalani hidip pure kampung.
Di saat nenek kesayanganku masih gagah perkasa, aku dengan suka hati akan tunggu dia di sawah. Dan aku bersembunyi dalam belukar bersama sepupu di bawah rendang pokok getah, takut dimarahi oleh orang tua kerana telah jauh berjalan dan mengutip rebung.
Lalu walaupun aku jarang-jarang sahaja boleh menjalani hidup suasana kampung, aku tetap mengatakan aku budak kampung. Walaupun kini aku hidup di bandar besar, sebenarnya tetap jiwaku bukan jiwa bandar. Hanya kerana punca pendapatanku memaksa aku berada di tengah hiruk pikuk bandar, menjadikan aku pun seperti semut-semut yang menghurung gula di sini. Sedangkan jiwa sebenarku bukan di sini.
Kerana aku budak kampung, dan aku pun sudah mengalami jerih payah belajar Calculus, statistic, physic, dan sewaktu dengannya itu dalam medium bahasa inggeris. Aku lagi memahami penderitaan anak-anak belajar Sains dan Maths dalam medium itu.
Kalau aku yang berusia 18 tahun itu sudah sakit jiwa, dan murung, dan benci dengan kehidupan, dan tidak seronok dengan pembelajaran, apalah halnya pula dengan kanak-kanak 7 tahun. Tak perlu dibanding dengan anak- anak bandar kerana mereka memang sudah terbiasa dengan medium enggeris. Ibu bapa pun bercakap inggeris, memang tidak akan menjadi sesuatu yang sukar pun untuk bercakap bahasa itu. Tapi perlu diingat, Sains dan Maths itu bukan bahasa. Ia matapelajaran teras yang tidak akan mudah difahami kalau perantaannya menggunakan bahasa lain. Serius aku tidak memahami kenapa ada pejuang yang berjuang menyokong PPSMI.
Sains dan Maths itu adalah asas pada teknologi. Berapa ramai karyawan, saintis yang cemerlang di zaman ini, asalnya mereka adalah budak kampung? Mereka tidak pandai Inggeris pun satu waktu dahulu, tapi mereka faham Sains dan Maths. Bukan setakat faham, tapi cemerlang kerana faham konsepnya. Sains dan Maths itu memang mudah kalau pelajarnya faham konsep, tapi sekali tidak faham, selama-lamanya tidak akan faham. Dan untuk memahami konsepnya, tentulah dalam bahasa ibunda.
Bila mengatakan ini, memang aku tidak menafikan kepentingan bahasa inggeris, tapi yang aku paling tidak faham kenapa kalau belajar Sains dan Maths itu boleh menjadikan pelajar fasih inggeris? Tidak juga! Kerana Maths dan Sains itu hanya formula-formula. Sedangkan bahasa, tidak kira bahasa apapun, hanya melalui percakapan. 2 garis lurus yang tidak ada titik temu.
Oleh itu, aku tidak mahu ada lagi generasi selepasku yang merasai apa yang kurasa 10 tahun lalu.
Aku tidak mahu generasi akan datang yang otaknya bijak, tapi oleh kerana dasar pendidikan yang tidak membantu, mereka terpinggir.
Aku tidak mahu ramai yang mengulangi sejarahku.
Untuk itu, ingin aku tegaskan pendirianku dalam hal ini.
Aku menentang PPSMI!
p/s: Nabi-nabi diturunkan dan mengajar ilmu dalam bahasa percakapan mereka sendiri. AlQuran dalam bahasa Arab kerana Nabi Muhammad itu berbahasa Arab. Injil, Taurat, Zabur, dalam bahasa mereka.
Cuba bayangkan, sampaikan dakwah nabi kalau nabi yang orang Arab, bercakap kepada orang Arab, tapi menggunakan bahasa Parsi?????
Moga-moga tulisanku yang secebis ini dapat melepaskan aku dari seksaan kerana tidak berbuat apa-apa membantu bangsaku sendiri.
Sunday, March 08, 2009
Kisah benar Pok Stapa.
Teringat memoriku pada kisah seorang tua yang dizalimi oleh polis, nama polis itu Pok Stapa ''. Sebenarnya dalam kurungan itu orang kampung meletakkan gelar yang memang tidak sedap untuk telinga mendengar.
Kali ini, aku mengorek untuk kesekian kalinya kisah pak cik tua yang dianiaya oleh Pak Cik Polis Pok Stapa ini.
Aku mendengar dan mendengar. Dan geram dan geram. Dan nak marah dan nak marah.
Pak Cik tua itu memang tak boleh berniaga. Kerana hatinya lembut.Sebagai pemiutang, dia yang sepatutnya berkuasa tapi dunia sudah terbalik kerana dia pula yang dilenyek. Hairan bin ajaib!
Pak Cik tua itu memang tidak boleh berniaga.Kerana dia selalu memberi orang hutang. Dan dia tidak sampai hati , orang putih kata to say NO.
Pok Stapa salah seorang yang tahu kelemahan pak cik tua itu. Semasa kisah ini terjadi, masing-masing tidaklah tua lagi. Semuanya masih gagah perkasa. Muda belia, kerana kisah ini terjadi dalam lingkungan 25 tahun yang lalu. Suku abad sudah berlalu.
Pok Stapa memang selalu ke kedai pak cik tua ini. Bukan main manis mulutnya. Dan perilakunya pun baik. Nota kaki: Baik ada udang la katakan. hehehheh
Jadi selalunya Pok Stapa akan minta hutang. Kalau servis pak cik tua itu bernilai RM 50, Pok Stapa akan bayar berdikit dikit. Bayar juga tapi mungkin dua kali bayar atau tiga kali bayar.
Kali itu kisah ini menjadi satu kisah yang telah pun terjadi.
Untuk kesekian kalinya, Pok Stapa pergi ke kedai pak cik tua ini lagi. Servis-servis dan poppppppp, harga dikeluarkan. Seperti biasa, Pok Stapa minta hutang. Pak Cik tua beri hutang.
Hari jumaat pak cik tua tak berniaga. Kedai tutup. Esok hari sabtu supplier datang. Supplier datang bermakna cash flow. Supplier datang bermakna harus ada aliran tunai. Supplier datang bermakna tambahan barang. Tapi supplier datang bermakna harus ada juga pengeluaran wang dari poket.
Pak Cik tua susah hati.
Dipikir-pikir, tidur selepas solat Jumaat tidak lelap. Dia bangun, gosok-gosok mata. Basuh muka, dan dia hidupkan motor kesayangannya. Motor yang banyak jasa buatnya melihat dan menjelajah bumi semenanjung.
Hari jumaat selepas solat jumaat di jalan raya adalah lengang. Bukan sahaja jalannya lengang, buminya juga lengang. Kerana hari jumaat adalah hari orang beristirehat. Kedai-kedai ditutup dan gedung-gedung pun ditutup.
Enjinnya terus menala ke hadapan. Lurus membedah jalan raya. Dan sampai ke tempat dituju.
Motor diletakkan di satu sudut. Pak cik tua (yang masih agak muda), berjalan dan menaiki tangga ke rumah biru itu. Dia ketuk pintu.
Tok tok tok....
Pintu dibuka.
Sesuatu yang aneh terjadi.
Pok Stapa (penghutang) mengamuk sakan melihat Pak Cik tua (pemiutang).
(deskripsi dialog tidak diceritakan oleh pak ciktua)
notakaki :- "dia cakap apa?"
nota kaki 2:- " tak ingat dah la lama sangat. " Summary- habis la segala hemburan kata-kata dikeluarkan.
Pak Cik tua terkejut. Dan hairan. Arghh apakah ini? Dia tidak pernah melalui pengalaman ini. Malunya bukan kepalang. Dia tunduk berjalan. Mukanya seperti hendak jatuh ke tanah. Orang-orang dari muka pintu biru yang lain keluar setelah bunyi bising gegak gempita. Hanya ada satu suara. Dia sudah tidak fikirkan duit yang seharusnya dia dapatkan lagi dari Pok Stapa itu. Fikirnya biarlah sahaja. Ada benda lain yang lebih dihairankannya.
Pak cik tua turun dan menuju ke motor buruk yang banyak jasanya. Dia mahu pulang, dan biarkan sahajalah Pok Stapa dengan angin ributnya.
Oh rupanya cerita belum habis dan tamat di situ. Itu baru permulaan.
Pok Stapa sudah memegang motor dan tercegat di sebelah motor pak cik tua itu.
Bla bla bla.....
Lesen, dan geran pak cik tua tidak ada. Satu bonus buat Pok Stapa. Angin duriannya sudah membenam dalam dasar hatinya.
"Bawa motor ini ke balai," Pok Stapa mengarahkan.
"Kalau nak bawa ke balai, bawa la sendiri," pak cik tua juga sudah berkeras.
Sampai di balai, pertikaman lidah terjadi.
Pok Stapa meletakkan duit yang sepatutnya diserahkan kepada pak cik tua itu. Pak Cik tua ambil duit itu dan kembali melemparkannya ke muka Pok Stapa. Entah angin keberanian mana yang datang pada dirinya. Dia juga sudah hilang dirinya.Benarlah kata pujangga. Manusia apabila dalam keadaan sudah tertindas, keberanian akan datang juga. Di dalam balai, dalam berseorangan, pergelutan antara mentimun dan durian berlaku. Hari ini dalam sejarah!
"Awak lawan dengan saya, hari ni saya timun, awak durian, tapi saya tak kisah!"
Pok Stapa menulis sesuatu dalam buku besar polis. Pak cik sudah tidak kisah.
Pergelutan di lerai dengan bantuan polis-polis lain. Polis -polis lain juga kenal dengan pak cik tua itu.
Akhirnya, pertikaman dan pergelutan berjaya di kawal. Salah seorang polis kenalan pak cik tua itu menasihatkan pak cik tua " Awak balik dulu, jangan hiraukan dia. Motor pun bawa balik dahulu, tapi esok awak datang balik." Pok Mat juga kenalan pak cik tua itu.
"Tapi dia keterlaluan, bla blabla.....," pak cik tua menegaskan.
"Pasal tu, awak boleh buat report atas kelakuannya. Tapi bukan di balai ini. Awak perlu buat di balai polis lain,"Pok Mat mencadangkan. "Tapi sebab dia sudah tulis dalam buku besar itu, kami tak dapat buat apa-apa, esok awak datang semula ke sini."
"Dia dah memang macam tu," Pok Mat menyambung kata.
Pak cik tua tidak buat laporan di balai polis lain. Dia bukan orang setempat di situ.Dan dia bukan berasal dari daerah itu. Saudara maranya jauh di hujung sana. Dan dia bukan orang besar-besar yang boleh hello pada orang besar Pok Stapa pula. Biarlah apa yang berlaku. Dia tidak mahu panjangkan kisah itu. Walaupun memang boleh kalau dia buat laporan atas salah laku Pok Stapa.
The rest is history....
Benda apakah yang kita tidak buat apa-apa tapi dia terus juga bergerak laju?
Apa dia ? Kereta? Ohhh tidak tidak...
Cukuplah berteka teki. Hanya ada satu jawapan pada soalan itu.
Jawabnya adalah UMUR.
Umur meningkat. Daripada zaman gagah perkasa, umur akan tetap berjalan meninggalkan manusia. Kalau dulu 30, sekarang 55. Sudah pun tiba alam pencen.
Dan begitulah, manusia kalau di zaman hidupnya berkuasa, apa yang dikatakan orang mendengar, tapi apabila kuasa tidak ada, siapalah lagi yang mahu mendengar?
Itulah manusia, kalau di zaman hidupnya, terlalu bongkak dengan apa yang dimilikinya, apakah yang ada pada akhir hidupnya?
Itulah manusia, apakah penghormatan yang orang berikan itu , semata-mata kerana orang yang ingin berikan tanpa paksaaan atau hanyalah kerana ketakutan?
Hahahahhahahha...
Lalu inilah yang berlaku.
Betapa ramai orang yang dahulunya di ambang kuasa, apabila kuasa sudah terlepas dari genggaman, kokokannya kuat berbunyi?
Betapa ramai orang yang dahulunya di ambang kuasa, apabila zamannya sudah berlalu, gagahnya sudah lari pergi meninggalkan dia, dia tidak ubah seperti orang tua yang 10 tahun lebih tua dari umur asalnya? Mana perginya kehebatannya? dan mana perginya kesegakannya?
Hahahhahahhaha.. ops tukar macam saudara tukar tiub. kah kah kah... kah kah kah...
Lalu kisah benar ini terjadi juga. Memang sadis tapi memang sudah lumrah dunia. Tidak perlu merasa kasihan, dan tidak perlu merasa simpati, kerana dia memang layak untuk itu!
Selepas berdekad-dekad, dan pak cik tua memang tidak ambil pot kisah ini. (Tapi ada orang lain yang ambil pot, Ingat, ada ya tuan tuan dan puan-puan).
Pok Stapa buka gerai makan selepas era pencennya. Era habis kuasanya.Dan kuasanya? Kuasanya hanya setakat itulah sahaja. Mengabdikan dirinya pada keegoan kuasanya tidak pun menjadikan dia menambah calit pada seragamnya. Disitulah calit dan pangkatnya kekal tidak berubah.
Bagaimana dengan gerai makannya? Siapalah yang mahu datang kalau di zaman hebatnya, ramai orang menjadi mentimun? Tapi siapalah yang mahu minum dan makan dan borak-borak di gerainya, kalau pada zaman hebatnya, orang hanya takutkan dirinya? (untuk lebih memahami apalah maknanya penghormatan, tukartiub.blogspot ada jawapannya)
Gerainya bungkus.
Dan ada yang lebih sadis lagi.
Kalau orang kampung berkumpul dan minum-minum (pastinya di gerai orang lain), dan Pok Stapa ini lalu, dengan bertongkat kerana uzur, tidak ada orang yang menegurnya dan memanggilnya sama-sama bersembang. Apatah lagi untuk sama-sama minum.
Kah kah kah... kah kah kah... (p/s: ini ketawa orang jahat,ini ketawa seorang Castello).
Kalau pak cik tua itu yang tidak dijemput minum, tidaklah menjadi satu kisah sadis kerana dia hanya orang biasa-biasa. Kalau pak cik bilal masjid tidak di ajak minum pun bukanlah kisah sadis kerana dia hanya bilal, yang tugasnya tidak seberapa , hanyalah mengajak orang solat. Kalau pak cik tukang sapu bandaran tidak dipanggil minum pun tidak mengapa kerana dia hanya tukang sapu, yang mebersihkan kawasan dari kotoran. Tapi kalau seorang bekas polis tidak dipanggil minum oleh sekelompok orang kampung, adalah satu peristiwa paling sadis abad ini!
p/s: Patutla orang memanggilnya dengan nama Pok Stopa GILA. Gila ada bayak tangganya, tidaklah pula aku mahu menulis perihal dan tahap tangga perkataan itu. KErana perkataan yang tidak sedap di dengar itu tidaklah harus disebut-sebut dan diulang-ulang.
+++
Bukan niatku untuk menjatuhkan sesiapa, kerana tidak siapa pun yang tahu siapa Pok Stapa ini. Hanya aku yang tahu. Dan siapa pula pak cik tua itu.
Tapi kisah ini kutuliskan sebagai panduan kisah benar.
Kisah seorang yang pernah berkuasa di zaman awalnya tapi hilang kuasa dan maruah dirinya di akhir-akhir hidupnya.
Apakah ini yang kita mahukan?
Apakah kita mahu mengulangi episod seorang Pok Stapa?
Lalu kalau kita tidak mahu, ambillah iktibar dari kisah ini.
Bahawa penghormatan dari orang lain biarlah kerana dari dalam diri dan hati-hati mereka sendiri. Dan bukan kerana ketakutan!
Buat polis-polis, aku tahu tugas kalian. Tapi berpada-padalah dalam memegang tampuk kuasa!