Catatan Hidup Seorang Aku
Monday, June 30, 2008
Pembetulan
Aku tak de la macam yang korang anggapkan tu.
Aku cuma takut aje dulu ngan kaum adam , tah le bila kadar estrogen aku dah tinggi tu aku jadi takut la.. kalu orang tu aku tak kenal aku tak senyum . Jadi bila aku tak senyum orang kata aku sombong la kot.
Sebab tu la aku kena tulis,, kekek aku berazam nak siapkan artikel/journal/kajian saintifik yang menolak anggapan-anggapan klasik tu.
Yang sebenarnya
Cewahh ni nak mempertahankan diri ke apa.
Aku ok.
Aku boleh je cakap ngan orang. So jangan lah takut. Aku tak makan orang
Cuma dulu aku ketar aje kalu orang nak berkawan dengan aku. Tangan aku jadi automatik terketar-ketar. Bukan aku nak gitu pun. Tapi aku jadi lagu tu kalu orang tu berterus terang nak kawan dengan aku. Teruk nya aku walaupun sebenarnya tak ada apa2 pun kalau orang tu sekadar nak berkawan kan. Tapi tu lah mungkin trauma kot.
Berbalik kepada kawan aku tadi. Senior aku tadi. InsyaAllah anak dia akan jadi clients aku pula nanti. Lawak la plak sebab dia boleh aje jadik kamceng dengan aku padahal tak de la kenal pun sebelum ni. Walaupun dia kenal aku 10 tahun lepas. tapi dia kenal muka aku aje.
Satu lagi.
Ring tone aku ni ring tone lagu Saleem. Lagu lama. Jadi ada akak ni cakap kat aku dia suka la lagu ni. Sebab lagu masa zaman dia.
Jadi analisis diri orang ISTJ yang kata suka lagu lama tu memang betulla kena ngan aku ni.
politikus malaya
Sedangkan yang sebenar-benarnya politik itu keperluan. Dalam apa-apa masyarakat pun, tanpa ahli politik, tidak terjadi pembentukan satu negara.Jadi bukan politik yang menjadi masalah. Dan bukan politik yang menjadikan sejarah itu kotor.
Yang mengotorkan adalah tangan-tangan yang tidak faham apa itu politik. Mereka mungkin faham yang politik itu hanya satu platform kekuasaan. Kuasa yang boleh membuat apa saja. Sedangkan hakikatnya politik itu bukanlah sehina apa yang aku nampak hari ini. Politik itu juga satu cara hidup, benar kalau digunakan dengan landasan atau platform ke arah kebaikan. Politik itu amat diperlukan untuk membuat satu-satu tindakan ke arah kebaikan. Contohnya menyuruh wanita bertudung itu kadangkala tidak akan tercapai kalau kuasa itu masih bukan dalam genggaman.
Apabila orang meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi segala-galanya, terjadilah apa yang terjadi pada hari ini.
Diulang lagi perkara yang sama sekali lagi walaupun ternyata orang pun sudah muak. Berita itu sudah basi. Tidak tahukah dia yang berita itu sudah basi.
Aku ada terbaca dahulu. Samada dalam perniagaan atau kekuasaan sekalipun, sesuatu organisasi/kumpulan/perniagaan itu tidak akan berkembang melebihi 100 tahun. Akan tiba saat kehancurannya. Kerana apa? Yang mudahnya adalah, orang yang terawal mengusahakan itu, matlamat atau kesakitannya sudah tidak sama dengan yang terkemudian. Orang yang kemudian itu hanya menerima apa yang sudah sedia ada. Jadi mereka tidak akan pernah merasai sendiri keperitan orang-orang awal.
Perjalanan manusia itu amatlah rugi kalaulah tidak diambil iktibar.
Buatlah sedikit penyelidikan, tentu kebenaran akan terserlah.
Tidak takutkah pada saat hari pembalasan. Berapa ramaikah balasannya sudah nampak di dunia nyata ini lagi?
Tidak perlulah aku menyebut nama-nama mereka.
Kerana keaiban itu tidak perlu untuk dibuka kembali.
Masih tidak nampak?
Atau pura-pura tidak nampak?
Bukan kerana lain
kerana mengisi tembolok sendiri.
kisah manusia biasa yang luar biasa
Satunya akan ada banyak bahasa siam kerana komunikasi mereka dalam dunia sebenar adalah bahasa itu.
Satunya mungkin sudah jadi bahasa melayu. Walaupun orang itu bukan orang Melayu.
Moga ada kesempatan masa dan ruang.
Boxing kampung=Muay Tai
Din ini sebenarnya anak Mak Cik Yam, tetapi kerana satu-satu sebab, dia diserahkan kepada kakak Mak Cik Yam, ku panggil Mak Cik Yah. Sebenarnya ada cerita disebalik penyerahan ini, tetapi ceritanya akan aku ceritakan di lain waktu.
Anak tunggal Mak Cik Yah sudah dewasa ketika itu, namanya Sen. Sudah tidak tinggal di rumahnya. Dan yang menjadi kelakarnya , sebenarnya anak tunggalnya Sen itu tidaklah membesar di rumah Mak Cik Yah, tetapi membesar di rumah Mak Cik Yam. Jadi oleh kerana Sen itu sudah menjadi 'hak milik' Mak Cik Yam, dan bukan Mak Cik Yah, jadi sebagai timbal balasnya, Din itu harus tinggal dan tidak akan dibenar izinkan untuk tidur walaupun semalaman di rumah Mak Cik Yam. Anda sudah pening, janganlah mudah pening kawan. :)
Ketika itu aku berusia 10 tahun dan Din itu berusia 12 tahun. Din ini penuh dengan aktiviti yang di luar dari alam persekolahan. Banyak juga ilmu survival aku belajar darinya. Sebagai kanak-kanak lelaki, Din ini amatlah berminat dengan ilmu-ilmu mempertahankan diri. Dan aku walaupun aku ini perempuan, tetapi kerana aku ini berkawan dengan Din, jadinya aku pun jadi suka pada benda-benda sebegini.
Din ini pula umurnya sahaja baru 12 tahun, tetapi kerana badannya besar dan dia pula ada abang yang tua empat tahun darinya, jadi kawan-kawannya adalah orang-orang yang juga sebenarnya lebih dewasa darinya. Mungkin kerana dia perasan yang dirinya besar, dan aku pula perasan yang aku ini lelaki, jadi kami bolehlah dianggap sekepala dalam melakukan aktiviti luar sekolah.
Sekiranya ada kelapangan masa, aku selalu mengikuti Din ini ke satu tempat. Dia akan membawa aku ke rumah Pok Nik Li Kayu Buruk. Kenapa nama orang tua itu dipanggil begitu? Nama sebenar pak cik ini ialah Ghazali, tetapi kerana pekerjaan sehariannya adalah mengukir arca dari kayu-kayu buruk, jadi orang memanggilnya dengan nama itu. Sungguh sadis sebenarnya panggilan orang-orang pada orang lain. Arca itu diukir, disyelek dengan varnish, menjadi kilatan anggun membentuk apa-apa sahaja yang kadangkala aku sendiri tidak dapat menafsirkan. Mungkin kerana hasil Pok Nik Li Kayu Buruk itu terlalu tinggi tahap seninya atau mataku yang terlalu buta dalam menilai hasil seni orang lain.
Tempat yang akan Din bawaku ialah satu halaman luas. Sebenarnya itu adalah halaman rumah Pok Nik Li inilah. Di tepi rumahnya ada pokok-pokok besar, yang menjadikan kawasan itu satu tempat teduhan. Rumahnya ada pagar mengelilinginya. Ada pondok-pondok kecil yang aku tahu ada haiwan ternakan ayam itik angsa Pok Nik Li. Kali pertama aku ke sana, aku tidak tahu kenapa ada benda-benda pelik di depan kawasan rumah Pok Nik Li ini. Ada palang kayu seperti dalam tv yang kulihat orang-orang gimnastik dalam SUKMA gunakan itu. Ada banyak kayu. Dan ada lagi gantungan kayu berbentuk huruf T. Kayu kecil itu digantung pada tali keras. Tali-tali keras itu pula digantung pada 2 batang tiang kayu tinggi. Pemandangan yang asing, tapi indah. Pengalaman yang sesekali mengerikan tetapi ada perasaan ingin tahu di situ.
Kalau hari cuti, selalunya hari Sabtu, aku akan ikut Din ke sana. Kawan-kawannya rupanya sudah siap menunggu dia. Aku selalunya akan duduk di tepi sahaja kerana aku rasa takut pula melihat lelaki-lelaki gagah perkasa juga ada di sana.
"Awak duduk sini je, jangan pergi mana-mana," begitu arahan Din, lagak seorang suami memberi arahan pada sang isteri.
Aku pula lagak sang isteri patuh, boleh pula tercongok dan melihat mereka beradu tenaga.
Kali pertama aku tiba, Pok Nik Li mengerling pada Din, bagai menanya siapa aku. Si Din ini hanya sengih-sengih. Dan aku jadi geram. Kerana aku juga ingin belajar perkara sama dengannya. Lagipun dia yang bawa aku ke sini selepas aku menang pertandingan basikal tadi.
"Kenapa datang sini?" Pok Nik Li hampir padaku. Dia senyum. Wajahnya memang lembut. Kalau orang tidak tahu dia, agaknya orang akan kata dia ini pijak semut pun tak mati. Sudahlah badannya pun agak kecil, umurnya dalam 40-an.
"Nak tengok aje," aku balas. Sebenarnya nak aje aku balas begini, "Nak belajar juga, sebab Din dah janji," tapi tak terkeluar pula.
"Hari ni je datang, esok jangan datang lagi. Ni untuk budak lelaki saje ye," lembut tapi tegas Pok Nik Li menutur. Aku telan liur. Melepaslah aku, tapi tak apa, aku akan tetap tengok. Kawan-kawan besar si Din sudah tersenyum senyum sumbing. Ada yang kenyit-kenyit mata. Aku balas jelir lidah pada mereka. Mesti mereka akan cakap kurang asam boi betul budak kecik ini. Yang sebenarnya budak-budak itu kini sudahpun menjadi kawan-kawan aku, yang akan menolong aku pula pada satu hari nanti.
Jadi bermula hari itu, aku melihat si Din dan kawan-kawan besarnya berlatih seni mempertahankan diri. Namanya boxing kampung. Tapi kini dikenali dengan nama Muay Tai. Jadi sebenarnya kalau orang zaman kini kenal Muay Tai, aku sudah kenal lebih lama boxing itu. Sejenis seni mempertahankan diri yang tangkas dan pantas.
"Tidak akan ada upacara lumur minyak,"
"Tidak akan ada upacara mula-mula."
"Kita belajar ini hanyalah untuk mempertahankan diri kita, jadi tidak akan ada semua-semua benda tu.." Pok Nik Li akan menutur ayat sebegini sebelum memulakan sessi latihannya.
Sebenarnya upacara-upacara itu seperti juga seni silat, ada adat-adat untuk memulakannya, tetapi Pok Nik Li tidak mahu mengajarkan itu kepada anak-anak buahnya.
Selalu aku mendengar kata-katanya, " Jangan sesekali mulakan pergaduhan. Jangan cari pasal dengan orang lain,". Banyak lagi nasihatnya yang masuk dalam tempurung otakku, walaupun aku sekadar menjadi sang pemerhati.
Aku selalu melihat Din akan berlawan dengan Si Seman anak Mak Cik Munah. Semua orang harus sentiasa berwaspada setiap saat. Ini kerana Pok Nik Li ini akan sentiasa membawa kayu panjang dan berdiameter 5 cm di tangannya. Kayu ini digunakan untuk menentukan ketangkasan mata anak buahnya. Sesiapa yang lalai, alamat akan kenalah dengan kayu ini apabila gagal mengelak gerakan kinetik yang kupanggil hayunan benjolan ini. Pok Nik Li akan menentukan siapa lawan siapa.
Kayu-kayu di halaman tadi sebenarnya untuk melatih kekuatan bahu sang perajurit-perajurit muda itu. Bagai-bagai bentuk dan jenis latihan yang dilakukan adalah berdasarkan pada kayu-kayu itu. Kadang-kadang aku jadi tergelak sendirian melihat Abang Don yang badannya besar itu berusaha meliuk lentukkan badannya. Rupanya seni meliuklentukkan badan itu perlu dalam mana-mana seni mempertahankan diri manapun. Sebenarnya seni itulah yang diperlukan untuk menghalang dari terkena apa jua serangan tidak dijangka.
Kayu huruf T tersangkut di tali itu pula untuk latihan regangan tangan. Mereka akan menghayun-hayun badan sendiri, atau kaki mereka akan diletakkan besi berat segenggam dan hayunan-hayunan itu menguji pula kekuatan tangan masing-masing.
Aku akan duduk memerhatikan sahaja perbuatan mereka. Hendak ikut serta sudah tentu tidak diberi keizinan oleh Tuan Guru Pok Nik Li ini. Hendak sahaja aku ini menjadi Tun Teja, menyamar berpakaian lelaki, letakkan misai-misai sedikit di atas bibir, dan pakai baju hitam macam samurai ninja atau beli saja baju silat, dan masuk dan join aktiviti mereka itu.Namun semua itu hanyalah bayanganku sahaja kerana sudah pasti Pok Nik Li itu tidak akan menerima aku sebagai anak muridnya pun. Sejak itulah aku berazam akan menyertai mana-mana seni mempertahankan diri pun, walaupun Pok Nik Li ini tidak sudi pun mengambil aku. Sebenarnya Pok Nik Li ini bertindak bijak, masakan dia akan membenarkan aku menyertai sekumpulan budak-budak kampung ini kerana mereka ini bukanlah lawanku. Seni boxing itu sebenarnya pantas, dan laju dan bagai-bagai lagi yang terlalulah tidak sesuai sekali untukku.
Fikirku waktu itu, aku harus belajar seni ini. Sudah jatuh tahap wajib. Aku perlu tahu bukan untuk menunjuk pandai, atau mencari gaduh walaupun aku seringkali juga bergaduh dengan si Din atau si Rudy kawanku yang seorang lagi itu. Aku perlu tahu supaya aku senang mempertahankan diriku dari sang penjahat macam dalam tv yang sering aku lihat itu. Aku jadi benci apabila melihat perempuan-perempuan berskirt itu yang terpekik terlolong apabila ada orang yang mencuri beg tangannya. Atau perempuan-perempuan di tv yang sering sahaja menangis sedu sedan tidak tahu hendak berbuat apa-apa apabila ada sang penjahat mengacau atau mengusik-ngusik mereka. Aku jadi fobia melihat mereka menangis begitu-begitu sahaja. Tidak ada tindakan. Fikiran kanak-kanakku tidak dapat memahami kenapa reaksinya begitu. Kenapa tidak dilawan sahaja mereka-mereka yang jahat itu. Bukankah kita juga punya kaki untuk juga menyepak terajang sang penjahat-penjahat itu. Ketika itu, aku masih tidak terfikirkan lagi yang tenaga itu tidaklah sama antara lelaki dan perempuan. Allah sudah jadikan yang lelaki itu pelindung dan perempuan itu seperti teduhan, untuk dilindungi. Fikiran kecilku masih tidak mampu menangkap perbezaan-perbezaan yang telah menjadi hukum itu. Fikiranku masih juga menganggap semua samada lelaki atau perempuan itu sama sahaja sifatnya. Sedangkan hakikat sebenarnya jauh dari itu. Perempuan itu yang namanya perempuan itu tidak ada hormon testosteron dan lelaki yang namanya lelaki itu tidak ada yang hormon yang namanya estrogen. Atau kalaulah susun atur dan nisbah hormon itu sudah bungkal balik, itulah yang jadinya manusia itu berubah menjadi transeksual atau juga pengkid. Mujurlah tahap kegilaan aku tidak sampai ke tahap itu dalam menyedari hakikat yang Allah telah tetapkan.
Berkawan dengan Din memberikan aku pelajaran baru. Pelajaran seni mempertahankan diri. Dari situlah aku minat akan hal ehwal seni itu. Hingga akhirnya apabila aku berpeluang memilih, antara sukan ini ketika di sekolah menengah atasku. Aku telah memilih seni Tae-Kwan-Do. Sekali lagi bukan untuk aku mencari lawan, tapi kerana masih ada saki baki dalam diriku, bahawasanya siapapun kita, kitalah yang akan menjaga diri kita sendiri. Tidak ada salahnya mempelajari seni ini selagi aku masih dapat membezakan yang mana seharusnya menjadi diriku dan bahagian mana pula yang akan menjadi pertahanan terakhir diriku.
tikus-tikus yang takut itu...
Sungguh tidak masuk akal kenyataan seorang dari orang yang berlagak pandai ini. Lagaknya mengalahkan sang beruk-beruk di tepi jalanan. Dari kata-katanya tergambar yang dia bercakap tidak pakai otak tapi pakai kepala lutut.
Tidak belajarkah dari sejarah?
Sejarah itu sebenarnya putaran roda.
Kalau masih tidak diambil pengajarannya, teruskan sahajalah, dan rasakanlah bila saat itu datang.
Tunggu sampai engkau akan jatuh lingkup, dan ketika itu baru kau tahu langit itu tinggi rendah.
Akan dipijak-pijak orang, atau mungkin ketika itu barulah mulut kau terkunci rapat.
Friday, June 27, 2008
Business pertamaku
“Mak, tengok Kak ni,” selalunya itu sahajalah modalnya kalau tidak puas hati padaku.
“Kakkkkk,” suara Emak mendehem. Perlahan tapi dalam.
Dengan suara Emak itu, aku bagai putera raja yang kelu melihat puteri cantik bergaun kembang, bermahkota di kepala, jadi patuh, dan akan perlahan-lahan akan memberikan segala apapun yang Adik mahukan.
Dia sudah menang.
Aku kalah dalam pertarungan sengit ini.
Sob, sob….
Aku mahu menangis, tapi ketika memandang yang Adik terlalu gembira dengan kemenangan ini, aku secara tiba-tiba juga tidak jadi menangis. Secara spontannya, aku pun tumpang gembira sekali dengan kegembiraan yang Adik aku dapati dari kekalahan aku itu. Dan kemudian serentak, kami akan berbaik-baik semula.
Menyanyi-nyayi lagu Arwah Sudirman, tidak putus-putus, “Ho ho hoooo balik kampung, hatii girangggg,” berulang-ulang, sambil goyang-goyang kepala. Ketawa bersama sebelum kembali berebutan, atau bergaduh semula pada benda yang sama. Dan kemudian kembali lagi episod sama berulang, dan aku pun beralah lagi. Ya, moralnya, menjadi anak sulung itu, anda harus selalu beralah pada adik anda. Kerana dia masih hingusan!
Tapi sebenarnya di sisi lain, menjadi anak sulung itu, di sebalik segala-gala bebanannya, ada satu kuasa yang siapa pun anak sulung dalam dunia ini menghargainya. Apa itu?
Kuasa!
Ya, kuasa veto yang diperolehi. Hehehehe… Gila kuasa kah anak sulung ini?
Tidak, cuma kadangkala di sebalik kebertanggungjawaban yang selalu diberi oleh Emak dan Ayahku, tentunya kuasa yang sedikit itu akan menjadi imbangan pada segala apa perkara yang tidak aku sukai menjadi anak sulung ini. Memang, selalunya aku perlu beralah pada hal-hal tertentu pada adik-adikku (ketika itu aku hanya ada dia seorang sebagai adikku), tapi dalam hal-hal yang lain, Emak dan Ayahku, jua adik-adik akan selalu mendapatkan pandangan atau kata putus dariku. Sebenarnya kuasa yang sedikit itu, bukanlah aku seorang yang mengalami perasaan ini, tapi kurasa semua orang yang dilahirkan sulung dalam keluarga pun mengalaminya. Jadi kalau hendak dikira semula, bukanlah hebat sangat pun aku ini selain dari menjadi pembuli pada adik-adikku. :)
Ayah bukan selalu berpeluang balik menjenguk orang tuanya di tanah kelahirannya itu. Kadang-kadang mungkin hanya setahun sekali atau dua tahun sekali atau kadang-kadang kalau ada rezeki lebih, setahun dua kali. Tidak tentu bila aku akan pulang ke kampung Ayah. Kadang-kadang yang menyedihkan apabila Ayah tidak berpeluang pulang bertahun-tahun. Apabila pulang ke kampung Ayah, memang aku akan teramat suka kerana akan banyak aktiviti-aktiviti yang jarang dapat aku lakukan ketika berada di rumah sendiri.
Perjalanan yang jauh dan meletihkan akan hilang serta merta ketika sampai di rumah Tok. Mataku tidak akan lelap lagi kalau kehijauan jelapang padi itu menjadi hidangan mataku. Sepanjang-panjang perjalanan, sejak kulihat tanah hijau saujana mata memandang itu, aku akan hanya membiarkan sahaja Adikku menyanyikan lagu tema kami itu tadi sendirian. Sudah tidak ada suara lemak merduku lagi mengisi ruang kereta kami itu kerana aku sudah sendirian menikmati pemandangan yang amat indah itu. Sungguh aku menyedari yang sifatku yang satu itu, iaitu menyukai perjalanan yang panjang dan menikmati keindahan alam itu semuanya berpunca dari pengalaman-pengalaman masa kecilku yang berjalan jauh. Atau sifat ini juga diwarisi dari Ayahku yang kuat merantau. Keindahan melihat burung-burung hitam kadang-kadang berlarian apabila orang-orangan yang berdiri di tengah petak-petak sawah itu bergoyang di tiup angin. Satu azam halus menusup dan melekat di hatiku, yang suatu hari nanti, saat aku memiliki wang sendiri, aku akan menjelajahi sebanyak mungkin tanah orang. Melihat kebudayaan atau cara hidup orang lain memang kurasakan dapat membasuh hatiku dalam mengenali orang lain. Dalam usia masih di sekolah rendah itulah, azamku sudah tertanam dalam.
Kadangkala kami semua, sepupu sepapat sebaya ini akan berkumpul dan bermain bersama-sama. Namun kadangkali kami juga berpuak-puak. Budaya Assabiyah itu menular kalau aku, Linda dan Yen dengan aktiviti kami. Manakala Bang Chik berdua-duaan dengan Hadi tidak tahu ke mana menghilang. Dan Adikku dan Adik Milah sibuk dengan mainannya sendiri. Razif tidak tahu kemana kerana selalunya dialah yang tidak termasuk dalam kelompok kami kerana jurang usia yang terlalu jauh. Sama halnya juga dengan Kak Not, yang waktu itu sudah besar menjadi anak dara dan aku sendiri pun sudah jarang-jarang bertemu dengannya. Dia sudah terlalu ‘dewasa’ untuk bersama-sama dengan kami.
“Yen, apa kita nak buat hari ni?” satu hari setelah kebosanan melanda, aku ingin sekali memecah perasaan bosan yang datang menyerang urat sarafku itu. Kebiasaan yang terjadi, aku lebih banyak menghabiskan masaku bersama-sama dengan Yen memandangkan rumahnya yang bersebelahan sahaja dengan rumah Tok.
“Entah,” dia menjawab acuh tidak acuh padaku. Tangannya sibuk menyapu-nyapu sampah di lantai rumahnya. Walaupun ketika itu kami masih bersekolah di sekolah rendah, tapi rutin hidup Yen sedikit berbeza denganku.Dia sudah ada jadual tugas seharian yang harus dia laksanakan setiap hari.
“ Ada apa lagi ya kerja yang belum beres?” Aku yang sudah tahu rutin tugasnya bertanya. Buku komik yang kubaca dari tadi milik Bang Chik aku letakkan di sisi. Walaupun kami sebaya tapi, Yen memanggilku dengan gelar Kak di depan kerana sudah diajar oleh Tok begitu. Memandangkan aku anak sulung, jadi kesemua sepupu sepapatku ini memanggil aku dengan nama gelar itu di depan namaku, walaupun Kak Not yang usianya berbeza lima tahun dariku itu. Begitu jugalah dengan Adikku yang tetaplah dipanggil Kak Na oleh Yen dan yang lain-lain walaupun dari segi usianya Adikku itu masih amat muda. Tidak layak dipanggil ‘kak’ di depan namanya pun. Linda pula dipanggil Kak Linda juga oleh Yen kerana Linda itu pangkatnya kakak pada Yen dan yang lain. Sebaliknya Linda juga memanggil Kak pada Yen kerana Yen itu anak sulung pada Teh. Dan Linda sendiri tentunya memanggil Kak pada kakaknya yang kupanggil Kak Not. Akhirnya dalam kesemua kami, sebenarnya masih-masing memanggil Kak di depan nama masing-masing.Di sana ‘kak’ dan di sini ‘kak’.
“Kak pi mana?” Linda merujuk kepada Yen sebenarnya, tapi yang kelakarnya Cu ingatkan ‘kak’ yang dimaksudkan itu Kak Not. Kekeliruan yang kadangkala wujud kerana panggilan yang sama.
Itulah pelajaran penting yang kudapat dari Tok. Yang ikatan kekeluargaan itu penting sekali. Kami faham yang Tok mahu kami merasakan ikatan sepupu itu seperti hubungannya dengan adik beradik juga. Tok mahu kami saling merasa keterikatan yang kuat antara satu sama lain.
Yen senyum mendengar pertanyaan polosku itu. Mulutnya dijuihkan ke dapur.
Aku menjenguk dapur. Selonggok pinggan berada di dalam besen di tepi bilik air itu.
Aku faham isyarat itu.
“Kak Ni buat,” terus aku menuju ke dapur. Duduk mencangkung di atas bangku kecil itu.
Yen menyertaiku kemudian.
Sebenarnya aku tidak terlalu tahu ke mana Teh Perempuanku waktu itu. Yang kutahu dia tidak ada di rumah, dan tugasan rumah seperti itu ditugaskan kepada Yen untuk membantunya. Yang sebenarnya Teh Perempuanku itu samada keluar bekerja menoreh getah di kebun getahnya, atau dia ke dusun buah-buahnya atau kadangkala dia berada di rumah emaknya, yang berdekatan kampung itu juga kerana menjaga ibunya yang lumpuh.
Emak selalu memuji perlakuan Yen yang ‘jurus’ itu. Suaranya memang agak perlahan. Tidak perlu disuruh-suruh, selalu tahu apa yang harus dia lakukan. Bagi ibuku, aku harus mencontohi sifat adik sepupuku itu. Barangkali juga ibuku pun hairan dengan sikapku. Perwatakan yang ala-ala kelelakian walaupun fizikalku dibalut keperempuanan. Rambutku sahaja yang panjangnya bagai mahu mencecah kaki, tapi masyaAllah perangaiku agak tidak berpadanan dengan fizikalku. Agaknya aku ini sudah mengalami kecelaruan identiti. Tapi yang sebenarnya Linda itu lebih lagi lasaknya dariku. Itu yang selalu aku balas semula walau hanya dalam hatiku, kalau Emak sudah berkata begitu.
**
Barangkali minatku pada tulisan itu telah mencetuskan idea baru buat aku dan Yen. Sedang kami asyik dengan lukisan di depan kami, tiba-tiba.
“Kita buat majalah nak?” Yen mencetus idea bernas.
“Kita tulis-tulis,” aku menyambung.
“Setujuuu,” sambil jari telunjuk ditala ke mulut. Matanya mengerling pada Adikku dan Adik Milah yang sibuk dengan aktiviti warna mereka juga. “Tapi tulis apa?”
“Apa-apa sahaja”
“Kita jual..” aku menambah lagi.
Serentak dengan itu, aku dan Yen seolah-olah sedang membuat pakatan rahsia. Kami membongkok , dan mendraf,menulis yang aku pun tidak tahu apa yang kami tulis itu. Di ruangan tertentu kami lukiskan gambar seperti kartun sedang berbual. Kertas lukisan itu kami lipat dua membentuk lipatan seperti majalah.Akhirnya membentuk empat atau enam helai mukasurat. Ada karangan-karangan, di muka depannya diselit kata-kata yang kami ambil dari mana-mana buku yang kami rasakan sesuai. Terasa seperti kami ini seperti team majalah yang sedang menyiapkan majalah sebelum dateline terakhir. Kami bentukkan layout seperti majalah-majalah yang kami selalu lihat. Dan akhirnya.
“Nak letak nama apa?”
Masing-masing sudah kering idea.
Akhirnya mata kami terpandang angsa Tok di belakang rumah Tok.
Serentak kami tahu.
“ANGSA”
“Angsa, angsa, ANGSAR la, tambah R sikit, tak ada la nampak macam angsa,”
Akhirnya makalah kecil itu yang kami namakan ANGSAR siap.
Tapi jangan lupa pada satu lagi team editorial yang letaknya hanya bersebelahan kami. Adikku dan Adik Milah pun sudah menghidu aktiviti kami, dan seperti biasa, mereka juga tidak puas hati kalau tidak melakukan hal yang sama. Dan kerana kami menamakan majalah kami ANGSAR bersempena dengan nama Angsa, tidak semena-mena mereka menerbitkan pula makalah ITIS, bersempena nama Itik. Sungguh duplicate. Dan sungguh aktiviti plagiat yang sudah terang lagi bersuluh!.
Akhirnya kami menentukan harganya adalah lima puluh sen waktu itu.
“Siapa yang nak beli?” aku akhirnya menyedari yang kami telah melakukan pekerjaan tanpa penyelidikan. Pelajaran perdagangan hari ini ialah sebelum menghasilkan sesuatu produk, kaji pasaran dahulu.
“Jangan risau,” seperti biasa, Yen seperti selalu yang bertindak seperti air selalu sahaja ada idea penyelesaian.
“Kawan-kawan Yen kan ada,” Yen telah mengira-ngira dengan jarinya berapa ramaikah kawan-kawan yang berpotensi untuk membeli makalah kami itu.
Zaman itu, manalah ada lagi mesin fotostat di kampung-kampung seperti sekarang. Dan kami bagai kelam kelibut membuat beberapa salinan sepertimana bilangan kawan-kawan Yen tadi.
Oh ya, jangan dilupakan team editorial satu lagi yang sering memasang telinga dan akan meniru apa sahaja cadangan dari kumpulan kami.Kalau kami meletakkan harga lima puluh sen, kami tahu mereka telah meletakkan harga makalah ITIS mereka sebanyak dua puluh sen. Kalau kami kelam kabut menyalin semula salinan daripada master copy, mereka pun begitulah juga.
Setelah semuanya siap, aku dan Yen menunggang basikal. Sudah tentu aku meminjam basikal BMX Hadi, dan Yen basikal merahnya yang lebih feminin itu. Seperti dirancang, kami pergi dari satu rumah ke satu rumah kawan-kawan satu persekolahan dengan Yen supaya mereka membeli makalah keluaran jabatan kami. Aku sudah tidak ingat berapa ramai pelanggan kami yang sebenar tapi yang kami ingat, makalah itu habis dari simpanan kami berdua. Semua kawan-kawan Yen itu tidak ku kenal, tapi apabila sahaja kami ke sana, aku bercakap seolah-olah aku ini pun kawan mereka. Sungguh aneh, kenapa aku boleh pula bercakap dengan mereka kerana aku ini memang terkenal dengan tidak banyak bercakap kalau di rumah. Itulah, kita pun sebenarnya tidak tahu , semua terjadi begitu-begitu sahaja.
Balik semula ke rumah, kami menghitung semula wang hasil jualan kami yang aku sendiri sudah lupa jumlah salinannya. Tidak lah banyak , kerana kami pun hanya membuat empat atau lima salinan sahaja. Jadi jumlah kutipan perniagaan kami waktu itu antara dua ringgit atau RM2.50.
Kami tidak perasan pula berapakah pendapatan yang diperolehi oleh team editorial satu lagi itu. Entahkan laku ataupun tidak kami pun tidak ambil peduli sangat. Egoistiknya kami sampaikan langsung terlupa pada mereka. Mungkin pasaran mereka, kawan-kawan Adik Milah yang baru tadika itu!
Itulah urusniaga pertamaku melibatkan wang.
Anak-anak kecil itu
Adik kedua ayah yang kupanggil Pak Ngah muda tiga tahun dari Ayah. Orangnya ketika aku kecil-kecil dulu wajahnya sangat mirip kepada seorang pelakon drama tv yang agak popular di kaca tv satu waktu dulu. Pak Ngah ada tiga orang anak. Dua perempuan dan si bongsunya lelaki. Anak sulungnya yang dipanggil dengan nama gelar Not amat disayangi oleh Ayahku. Maklum ketika itu, hanya ada Kak Not penghibur hati Ayah dan keluarga. Ayah dan Emak baru berumahtangga ketika itu. Kak Not yang berusia 5 tahun, yang sungguh comel dan petah berkata-kata selalu menjadi buah hati pengarang jantung Ayah. Benar, Ayah anak yang sulung, tapi kerana dia merantau jauh, dan lewat pula berkahwin berbanding adik-adiknya. Jadi ketika ayah baru berkahwin dengan Emak, Ayah sudah ada seorang anak menakan yang selalu dia usik-usik. Selalu menjadi penghibur hatinya.
Kebiasaannya, sekiranya Ayah tidak bekerja pada hari itu, Ayah dan Emak akan pulang ke rumah Tok. Jauh juga rumah sewa Ayahku kerana mereka pengantin baru itu menetap di daerah lain. Selalunya juga apabila Ayah pulang, Ayah akan segera mengambil Kak Not dari rumahnya untuk dibawa pulang ke rumah Tok. Rumah Pak Ngah agak berdekatan dengan rumah Tok. Hanya lima minit berbasikal.
“Not, mari dekat Pak Long,” selalunya sambil minum-minum kopi pekat buatan Tok yang sedap itu, dan berbual-bual di anjung rumah Tok waktu-waktu petang begitulah, Ayah akan membawa Kak Not pulang ke rumah Tok.
Kak Not yang berwajah bulat, bertocang satu bunga raya di kepala, akan segera berada dekat dengan Ayah. Dia anak sulung pada Pak Ngah, seterusnya cucu sulung pada Tok, memang amat-amat disayangi oleh seluruh ahli keluarga. Tok apatah lagi, dalam usianya yang sebegitu memang amat mengharapkan mendapat cucu. Mujurlah anak keduanya (Pak Ngah) itu berkahwin awal, kalaulah harapkan anak sulungnya itu (Ayah), entah bilalah dia akan menimang cucu. Mujur juga, sekarang anak sulungnya itu sudah terbuka hati untuk berumahtangga dengan gadis pilihannya. Walaupun gadis pilihannya, Emakku itu cara bercakapnya amat berlainan, kerana dia orang luar, tapi sebagao orang tua, orang yang pernah makan garam dulu, dan pernah pula hidup di zaman Jepun, dia memahami anak menantunya. Itulah adatnya, sudah anaknya itu seorang yang merantau jauh, sudah menjadi adat juga kalau dia mendapat menantu yang bukan orang tempatan. Tapi mujur juga dia tidak kisahkan sangat hal ini walaupun memang jauh di sudut hatinya memang mengharapkan yang anaknya akan bertemu jodoh dengan orang senegeri. Bukannya apa supaya anaknya sentiasa dekat dengannya. Semua ibu pun mahukan yang sama sebenarnya tapi apapun asalkan anaknya sudah bertemu dengan pasangan yang serasipun sudah memadai baginya. Apatah lagi kini anak sulungnya itu sudahpun menetap di negeri jelapang padi itu semula setelah bertahun-tahun keluar negeri, merantau jauh-jauh tidak pulang-pulang.
“Pai Nai, Teeh (Nak pergi mana Mak Teh ?)” Mak Cik Limah rumah hujung sana menyapa dia satu hari itu, ketika dia baru pulang dari bendang. Mak Teh itu nama gelar yang orang kampung panggil untuk nenekku yang aku panggil Tok ini.
“Pai Rai, ( Nak pergi kedai sekejap),” Dia menjawab sambil memberhentikan basikal tuanya.
“Lim Pradai?” selalu jiran-jirannya bertanya begitu padanya.
Dia diam.
Bukan tidak mahu menjawab. Tapi lidahnya kelu.Tidak ada jawapan yang pasti samada anak sulungnya yang satu itu masih hidup atau tidak. Tidak ada perkhabaran berita langsung darinya.
Akhirnya orang-orang kampung pun tidak bertanya apa-apa lagi perihal anak sulungnya itu. Orang kampung pun tahu yang Mak Teh sesungguhnya tiada jawapan untuk itu. Usahlah lagi ditambah penderitaan batin sang ibu yang kehilangan anak tanpa nisan itu.
Bertahun-tahun Mak Teh berkeadaan begitu. Siang malam dia berdoa supaya kalau anak sulungnya itu panjang umur, khabarkanlah beritanya, dan kalaupun anaknya itu sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, dia selalu bermohon doa ke hadrat Ilahi supaya ada orang mengkhabarkan berita itu padanya.
Tapi semua itu adalah kisah lama. Sekarang Halim pun sudah berada di depannya. Menetap semula di negeri kelahirannya selepas hilang bertahun-tahun. Baginya Halim telah hilang kerana tiada perkhabaran berita langsung, sedangkan pada Halim, dia tidak menganggapnya begitu.Dia bukan langsung tidak mengingati kampung halamannya , apatah lagi ibunya tapi pada waktu itu, akhir tahun 60-an begitu tiada perhubungan komunikasi yang boleh dia lakukan untuk perkhabaran. Dan dia bukanlah seorang yang puitis menulis surat dan lagi dia tahu mereka di kampung itu tidak akan tahu membaca. Satu-satunya alat adalah komunikasi tapi malang sekali bahasa pertuturan yang selalu dia cakapkan, tidak pula dia tahu untuk menulisnya. Aneh. Ya kampung itu memang aneh. Penduduk kampung tidak bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka bercakap dalam bahasa Siam sepenuhnya.
“La.. la.. laaaa,” Not bernyanyi-nyanyi dan menari-nari tergelek-gelek.
Lamunan Mak Teh pada kisah silam pudar. Di depannya kini ada cucu sulung kesayangannya, ada anak sulungnya dan menantu ‘luar negerinya’.
“Pandainya Not ni, ini yang Pak Long sayang ni,” lalu Ayah meriba Kak Not, mencium pipi kecilnya itu bertalu-talu.
Not tersenyum-senyum. Gembira bukan kepalang.
**
Anak kedua Pak Ngah kami panggil Linda. Dia seusia denganku. Dan ada Raziff, adik bongsu nya yang bagiku ketika itu, orangnya terlalu kecil fizikalnya. Tapi kerana jarak umur yang agak jauh antara kami dan Raziff, selalunya Raziff tidak termasuk dalam kelompok permainan kami. Sudah berpuak-puak kami itu waktu itu ya.
Adik ketiga Ayah yang kupanggil Pak Teh ini, paras wajahnya saling tidak tumpah dari paras Ayah. Berbeza dengan Pak Ngah yang agak berisi berbanding abang dan adiknya itu yang agak kurus walaupun tidaklah melidi. Rambut kedua-dua adik beradik berparas sama ini pun sama, kerinting. Juga berkaca mata. Nama Pak Teh ini yang sebenarnya Zainol Abidin, tapi orang memanggilnya dengan nama timangan Non. Ya, baru aku perasan kesemua nama adik beradik ayah adalah berbeza sekali dengan nama sebenar mereka. Kalau Pak Ngah nama sebenarnya adalah Mansor, dan dipanggil orang dengan nama Shot. Mungkin juga dari Sor, Sor terus akhirnya menjadi Shot. Sama kes seperti ayah yang nama sebenarnya ada Abdul di depan pangkal namanya, tapi dipanggil orang dengan nama Lim, bukan Lim Kit Siang tapi kependekan dari nama Halim. Bila besar begini, aku merasa ada keberuntungannya mempunyai dua nama yang sama sekali berbeza ini. Ya, mungkin saja kita boleh menyamar menjadi dua orang yang berbeza. Atau di sisi lainnya, sebenarnya orang tidak pernah tahu pun nama sebenar mereka!
Pak Teh ini seorang yang amat pendiam. Ketika aku kecil-kecil begitu, itulah impresi pertama yang telah aku justifikasikan pada Pak Teh. Sebagaimana aku sayangkan Pak Ngah kerana sifatnya yang kelakar, aku juga menyayangi Pak Teh kerana sifatnya yang pendiam. Wajah ‘copy cat’ Pak Teh ini sering membuatkan adik-adikku yang masih kecil satu waktu dulu tertukar orang. Dipanggilnya Pak Teh aku ini sebagai Ayah mereka kalau mereka bertemu. Itulah jadinya kalau jarang-jarang sekali bertemu dengan bapa saudara. Ayah sendiri pun tertukar. J Ketika itu Pak Teh adalah salah seorang kontraktor yang hidupnya sering kelihatan sibuk. Aku tidak mengetahui kontraktor di bidang apakah yang Pak Teh telah ceburi itu, hingga baru-baru ini sahajalah aku mengetahuinya. Tidak mengapa, aku akan ceritakan itu di lain waktu. Ketika itu yang aku tahu, walaupun Pak Teh hanya mengeluarkan sedikit-sedikit perkataan yang terpacul keluar dari mulut diamnya itu, tapi hatinya amat baik. Dia selalu memberikan not RM50 kepadaku. Satu not yang agak besar pada zaman 80-an sebegitu. Amat-amat besar bagi anak kecil sepertiku itu.
Pak Teh mempunyai dua orang anak. Lengkap sepasang. Yang sulungnya yang nama dalam kad pengenalannya agak panjang, ku panggil Yen sahaja. Yen ini sebaya denganku. Sang Adik kami panggil Bang Chik. Bang Chik ini umurnya muda dua tahun dariku. Tapi tetap kupanggil dia ‘BangChik’ Dalam keluarga kami, memang menitikberatkan panggilan hormat. Kerana itulah di depan namaku di panggil “Kak” memandangkan aku adalah anak sulung pada Ayah yang juga sulung. Oleh kerana rumah Pak Teh ini bersebelahan sahaja dengan rumah Tok, secara tidak langsungnya aku rapat dengan dia kalau pulang ke rumah Tok.
Adik bongsu Ayah , dan bunga tunggal Tok aku dipanggil Cu.Abang-abang dan orang kampung memanggilnya Shah. Beruntungnya dia kerana dia satu-satunya bunga dan adik bongsu pula. Memandangkan dia anak bongsu perempuan, Tok sudah awal-awal lagi menetapkan syarat yang bakal menantu lelakinya juga harus menetap di rumah itu. Tidak ada kompromi. Tok tidak akan membenarkan sekali-kali anak perempuan tunggalnya itu ‘dilarikan’ orang.
“Cuma ada satu permintaan” itu antara ayat terakhir Tok Wan (mewakili permintaan Tok sebenarnya) pada rombongan peminangan yang datang.
“Kami ini hanya ada satu bunga ini sahaja, kalau boleh kami tidak rela berpisah dengannya,” Tok Wanku mewakili. Ayat yang sebenarnya seharusnya berbunyi begini “ Setujukah anak teruna yang tinggal di sini,” Tapi itulah adat orang Melayu ini, kadangkala yang disampaikan itu berbeza dengan maksud sebenarnya. :)
Diam.
Tok sudah tahu jawapannya.
Datang pinangan yang lain.
Soalan yang sama diulang.
“Kami akan berfikir dahulu,” dan Tok sudah tahu jawapannya.
Tolak.
Permintaan yang keterlaluan.
Ahh mana boleh menantu lelaki tinggal di rumah Mertua.
Tidak Mahu.
Banyak lagi…
Budaya orang Melayu itu memang terkenal dengan sopan santunnya. Kadang-kadang hanya dengan air muka sahaja orang sudah tahu jawapannya. Tidak perlu bahasa-bahasa yang keluar dari mulut. Dan Tok bagai orang yang boleh membaca fikiran orang, tahu apakah permintaannya yang satu itu dapat ditunaikan atau tidak hanya dengan melihat reaksi mereka sahaja.
Dan akhirnya pada pinangan yang ke 18, Tok menerima pinangan itu. Bukan kerana Tok sudah putus asa, Tok yang kukenal tidak pernah mengerti erti putus asa dalam menjodohkan bunga tunggalnya, permata hatinya itu. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih itu amat-amatlah bertepatan dengan Tok. Orang Putih pula kata “If there is a will, there is a way”. Nasib memang menyebelahi Tok. Akhirnya jejaka bertuah dari kampung berhampiran setuju dengan permintaan Tok. Cu aku itu orangnya sopan, dan manis pula, kerana itulah barangkali pinangan tidak henti-henti dia terima. Walaupun sudah masuk kali ke 18.
Cu – kedua-dua pasangan ini aku panggil Cu sahaja. Bukan Mak Cu dan Pak Cu. Tapi cukup sekadar Cu. Kalau mahu merujuk mereka pada orang lain, aku bahasakan mereka dengan panggilan Cu Laki dan Cu Pompuan. Arhh panggilan yang agak pelik kalau didengar orang lain. Mereka ada sepasang anak. Sulungnya lelaki pembela bangsa dan si adiknya puteri tiang negara. Anak sulung Cu ku yang kami panggil Hadi itu muda setahun saja dariku. Dan adiknya itu muda setahun dari adikku.
Itulah sepupu sepapatku yang boleh dikategorikan sebaya itu. Agak sedikit sepupuku dari salasilah ayahku ini kerana masing-masing adik beradik ayah mempunyai anak yang sedikit.
Thursday, June 26, 2008
Andai ku tahu
Andai Ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku
Andai Ku tahu
Kapan tiba masaku
Ku akan memohon
Tuhan jangan kau ambil nyawaku
Chorus:
Aku takut
Akan semua dosa-dosa ku
Aku takut
Dosa yang terus membayangiku
Mungkin tahu
MalaikatMu kan menjemputku
Izinkan aku
Mengucap kata tobat PadaMu
Ampuni aku
Dari segala dosa2 ku
Ampuni aku
Menangis minta tobat PadaMu
Aku manusia
Yang takut neraka
Namun aku juga
Tak pantas di surga
Andai Ku tahu
Kapan tiba ajalku
Izinkan aku
Mengucap kata tobat PadaMu
_Dia ulang lagi dan lagi lagu yang dimainkan dalam handset nipis motorola hitam itu. Dia amat suka lagu ini. Sekejap sahaja lagu itu sudah lekat di mulut kecilnya itu. Dia yang bila mendengar sekali lagu terus dengan mudah dapat mengingatinya.
Siapakah dia itu?
Dia anak kecil berusia 6 tahun itu.Aku tahu bakatnya ke arah itu. Tapi hatiku tidak sanggup memikirkan kalau dia memilih itu sebagai jalan hidupnya. Mungkin aku harus mengalihkan sedikit perhatiannya.Dia ternyata memiliki bakat seni itu. Yang entah dari mana aku pun tidak tahu. Mungkin dari keturunannya dari belah sana itu. Kerana kalau dari salasilahku , tidak ada yang berpatat siput banyak dijari. Orang tua ada berkata, kiranya orang berseni ini mempunyai banyak lingkaran siput di hujung jarinya.
"Mari mak bilang berapa patat siput ada kat tangan kak," dulu-dulu waktu kecil, mak selalu cakap macam tu. Aku hulur tangan.
"Berapa mak?" anak kecil yang ingin tahu kalau-kalau dia ini ada bakat seni.
"Enam..." ujar emak
"Adik nak tau jugak" adiku juga ingin tahu. Tangannya cepat-cepat dihulur pada emak. Ahh ingin tahu juga dia ya.
"Adik .. entah 2 kot," Mak senyum.
Adik mendengus. Adik marah. Patat siputnya sedikit dariku. Aku tahu mesti di fikirannya berkata "Nak enammmm jugaaa"...
Orang tua selalu berkata begitu. Kalau tangannya ada 10 simpulan bulat siput yang berkeliling membentuk garisan-garisan bertemu itu, wahhh anak ini sungguh berbakat dalam seni.
Tapi aku tidak tahu apa ukuran skala 6 dari 10 itu berseni atau tidak. Yang aku tahu kalau aku melukis, selalu tidak menjadi. Atau kalau dilukis orang, boleh fahamlah yang dilukis itu orang tapi orang menyangka budak kecil bersekolah tadika yang melukis.
Cuma pernah sekali lukisan aku terpampang dijadikan contoh dalam kelas. Pertama kali dan terakhir sebenarnya. Aku pun tidak tahu kenapa hari itu lukisan corak cantingan batik itu dipilih cikgu. Ketika itu kelas melukis batik.
Macam-macam yang dilukis orang. Sebagai 'anak seni', aku mati kutu hendak kulukiskan apa di kertas itu. Subjek pilihan itu bukannya semua orang ambil kertasnya dalam peperiksaan SPM, tapi aku masih juga tidak sedar-sedar diri ingin mengambilnya. Padahnya orang lain tenang-tenang sahaja ingin menjawab segala soalan peperiksaan, tapi aku sudah kelam kelibut kecut perut. Ternyata jangan sesekali menyusahkan diri sendiri kalau anda tidak berbakat, adalah pelajaran paling berharga buatku.
Saat termenung-menung begitulah, mataku terpandang pada seekor burung cantik yang sedang terbang rendah itu. Di belakangnya ada gunung ganang dan pokok-pokok. Di tepinya ada sekumpulan ayam sedang mematuk-matuk makanan di tanah.
Tup!. ON.
Suis di kepalaku terbakar.
Apalagi dengan khusyuk, ku lukis semula segala apa di objek di depanku itu. Salin jangan tak salin. Khusyuk. Tidak menghiraukan orang lain lagi. Cantingan batik di depan dimasukkan lilin. Membentuk lakaran-lakaran tepi lukisan yang aku anggap paling seni antara seni-seni lain yang pernah aku buatkan.
"wahhh... menarik, lain dari yang lain..." tiba-tiba Cikgu Othman sudah tercegat di sisiku. Aku terpempan. Baru kali ini lukisanku dipuji orang. Kembang semangkuk aku dibuatnya.
"Mari semua, cikgu tunjukkan caranya," Cikgu Othman yang baik hati dan sangat berbakat dalam lukisan itu menyambung.Kawan-kawan lain sudah berkumpul di tepi mejaku.
"Wooo" suara budak-budak lelaki kelas aku. Yang terkenal dengan kenakalan masing-masing. Kenakalan terlampau pun ada yang membuatkan guru kaunselor melakukan sessi terapi khas untuk ahli majlis kelas aku pun ada.
"Bila colour kena buat macam ni, barulah nampak ada identiti batiknya tu," mulutnya mengajar dan tangannya Cikgu Othman dengan cekap meletak secalit warna di bahagian atas lukisanku.
"Letak sikit sahaja warna, lepas tu tarik, macam ni.." tangannya dengan pantas melakar warna biru itu menjadi langit-langit yang cantik. Ada gumpalan-gumpalan awan itu dibentuk seolah-olah membentuk lukisan 3D pula. Yang mendamaikan sesiapa pun yang memandang.
Pelajar-pelajar lain mengangguk. Aku diam. Perasaan seperti dianugerahkan mahkota puteri dewataraya, kerana lukisanku yang diambil Cikgu Othman untuk dijadikan contoh. Perasan amat lah anak dara 17 ni.
"Ok, Hany sambung," Cikgu Othman memberikan berus itu kembali kepadaku. Wahh sungguh bersemangat aku kali ini. Terus aku menyambung. Mewarnakan gunung-gunung dan sungai yang mengalir sepi itu. Latarnya ku warnakan dengan warna kuning lembut, itu ajaran pertama Cikgu Othman, latarnya hendaklah warna apapun asalkan warna lembut. Kemudian barulah diwarnakan dengan warna apa yang kita mahukan sekalipun di atas subjek lukisan.
Sayap burung itu kuwarnakan dengan warna warni. Gambaran hatiku yang berwarna warni itu. Selalunya kalau dalam kelas lukisan, akulah yang selalu tidak senang duduk. Sekejap berjalan ke sana, ke sini. Kepala terteleng ke arah orang lain.Sekejap duduk di tempat dudukku semula. Pegang lukisan, pegang colour, tapi satu apa pun tak menjadi. Suka melihat hasil kerja orang lain. Tapi hasil kerja sendiri tidak siap-siap. Tapi hari itu, wah kemain lagi aku ya. Semangat bagai hasilnya akan kupersembahkan pada anak raja.
Setelah siap, cepat-cepat aku menghantarkan lukisan gambar pemandangan itu kepada Cikgu Othman. Konsep pelajaran kelas hari itu adalah bercorak batik. Berbagai-bagai batik ada hari itu. Pelajar puteri ramai yang melukiskan corak bunga-bungaan, sesuai dengan jiwa mereka yang lembut dan halus itu. Pelajar lelaki, arhh aku tidak pasti kerana hari itu aku tidak sempat memanjangkan leherku melihat hasil kerja orang lain.
"Ok, Hany orang pertama siap ya," Cikgu Othman tersenyum. Kertas lukisanku dibelek-belek. "Bagus."
Aku tersipu-sipu senyum. kui kui kui...
Mata-mata memandang kepada lukisanku dan aku sekali.
Ada yang tercengang. Hairan agaknya. Kawannya ini yang terkenal dengan tidak ada bakat seni tapi kali ini amboi, orang pertama yang hantar. Dah la tu, cikgu pun ambil lukisannya jadikan sample tadi, begitulah agaknya bisikan mereka. Aku bagai menerobos dalam fikiran mereka dan membaca kata-kata yang terpancar dari sinar mata mereka semua itu.
Loceng berbunyi. Kawan-kawan lain cepat-cepat menghantar hasil lukisan masing-masing.
Ketika berebut-rebut ingin keluar dari bengkel yang dijadikan markas kolej kami mengadakan kelas lukisan itu, Ah Seng teman sekelasku dan geng-gengnya hampir dekat denganku. Sebenarnya Ah Seng ini orang Melayu pun, tapi kerana mukanya yang ada iras-iras cina itu, jadinya seluruh warga sekolah lebih mengenalinya sebagai Ah Seng berbanding nama sebenarnya, Azhar itu. Nama yang diabadikan untuk sebuah Universiti ternama dunia itu, seharusnya dia berbangga dengan nama azalinya, tapi itulah kami. Memanggil gelar orang itu kadang-kadang main ikut sedap mulut sahaja. :)
Aku mengemas-ngemas peralatan lukisan. Kenapa tidak dari tadi aku kemaskannya. Itulah, khayal lebih. hahaha
"Looooorr patut aa lawa, dia tiru lukisan ni,"jarinya menunjukkan ke arah kotak lukisanku. serentak geng-geng lelakinya pun ketawa sama.
Kantoi. Memanglah lukisan itu aku tiru dari kotak pensil besiku yang ada semua objek-objek itu. Aku hanya menyalinnya ke atas kertas lukisan dan jadikan ia pemandangan batik.Lagipun otakku sudah beku tadi, tidak tahu melukis apa. Jadi terpandang saja lukisan di kotak penselku itu, aku terasa seperti itu sajalah nyawa dan ilham yang Allah titipkan.
Geng-geng budak tu gelak-gelak.
Aku pun tumpang sekaki gelak juga.
Kantoi beb.
**
Jadi kalau dia minat seni sekalipun,.:)Kenapa aku harus takut? Seni itu langsung tidak bersalah pun.Muzik pun tidak salah.
Seni muzik itu tidak pernah dipersalahkan. Tidak harus salah pun sebenarnya. Kerana ciptaan knot-knot bunyi itupun sebenarnya asalnya adalah dari huruf-huruf Al Quran itu sendiri.
Bukankah DO RE MI itu pun asalnya dari huruf DHOD, RO dan MIM.
Dan ketika golongan Ansar menyambut ketibaan Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya, Abu Bakr as Siddiq dari Mekah ke Madinah pun mereka menyambutnya dengan alunan suara yang sesiapapun mendengar akan terusik jiwanya.Shahdu sekali.
Jadi tidak adil kalau muzik itu disalahkan seratus peratus.
Yang menjadi masalah hari ini, adalah pencinta-pencinta muzik itu sendiri yang menyalahkan, menafsirkan sendiri dan membuat fatwa-fatwa mereka sendiri dalam menghalalkan apa yang telah diharamkan.
Yang salah hanya orang-orangnya.
Fikirku lagi.
Biarlah kali ini kalau dia cenderung ke arah seni. Aku tidak akan menghalangnya lagi. Cuma aku harus membentuk dia ke landasan muzik yang bagaimana dia harus ceburi. Kalau ditakdirkan yang memang ke arah itu bakatnya.Tapi harapannya biarlah seni itu yang dapat menunjukkan dirinya ke jalan yang lebih dekat dengan Sang Penciptanya.
Editorial Team, please....
Kalau tidak diberi gaji sekalipun aku sanggup melakukannya. Pekerja paling dedikasi. Menyerahkan segala ruang lingkup kehidupannya membaca apa sahaja, lalu mengedit, memperbetulkan kesalahan ejaan di sana sini. Tidak adakah?
Kerana sekarang ini pun aku ini bagai editor tanpa gaji.
Kebelakangan ini aku melihat terlalu banyak kesalahan ejaan dalam mana-mana buku terbitan.Aku tidak faham mengapa perkara ini yang seharusnya terjadi dalam mana-mana cetakan pun. Mungkin kerana mataku walaupun rabun kalau tidak berkaca mata,tapi dalam hal-hal seperti itu, aku mudah mengesannya.
Benar seperti apa analisis diriku. INSPECTOR.
Aku sejujurnya harus menjadi seorang editor.Banyak kesalahan ejaan yang aku temui itu bukan kerana aku mencari-cari kesalahan dalam mana-mana terbitan. Tapi mataku ini terlalu cepat menangkap kesalahan itu.
Alangkah indahnya hidupku kalau aku dapat menjadi seperti apa yang aku harapkan.
Tapi hidup tidak selalunya indah!
USIA TUA
-Andai kuhidup ke usia tua;
Kupinta supaya berpunya sedikt budi, wibawa dan daya jenaka;
Supaya tidak disingkir bila telah kecut berut dan lesu tidak bermaya;
Tetapi dihargai dan dijagai baik umpama antik saujana-
fall in love with this simple quote. Ku jumpa dalam satu buku yang pernah aku baca.
Bukan kerana hari ini usiaku bertambah setahun lagi. (walaupun memang detik-detik usia memang sentiasa bertambah).
Semalam ada kelapangan waktu, ketika berkemas, telah kujumpai diary hijau lama kepunyaanku. Membelek-belek, membaca helaian demi helaian yang tercatat, bibir akan secara automatik tersenyum sampai ke telinga. Atau kadang-kadang terkekeh-kekeh sendirian. Ketawa mengenangkan episod-episod lalu yang kutulis sendiri.Mengimbau kenangan zaman lepas. Zaman yang sudah 10 tahun aku tinggalkan. Cepat masa berlalu.
Kenapa aku menulis? Kenapa aku suka mengabadikan catatan-catatan kenangan itu pada diary?
Dahulu aku sedar, catatan-catatan diary itu adalah luahan perasaan aku. atas apa juga peristiwa yang terjadi.
Dalam diary itu ada tulisan cakar ayam, menggambarkan tanganku terlalu laju untuk menulis berbanding kelajuan otakku yang ingin mengingati semula peristiwa yang berlaku.
Atau ada tulisan yang besar-besar menggambarkan harapanku.
Ada tulisan yang cantik, kemas dan sebiji-biji menggambarkan hatiku yang sedang berbunga.
Tulisanku berubah-rubah mengikut emosi si penulisnya. Kini setelah aku mempelajari sains tulisan yang dipanggil graphology, aku sedikit sebanyak mengetahui memang terlalu banyak kaitannya tulisan dan peribadi. Dan kerana itu, aku suka membaca tulisan orang. :)
Kembali pada persoalan kenapa aku menulis?
Sungguh bagi orang seperti aku, tulisanlah satu-satunya caranya aku dapat berkongsi cerita. Bukan aku tidak percayakan orang lain, tapi rasa-rasanya sifatku yang reserve itu tidak memungkinkan aku bercerita segala-galanya pada orang lain. Untuk itu, hanya di permukaannya sahaja yang orang tahu mengenai diriku. Kerana itu tidak hairan aku dikenali dengan perwatakan 'tidak berperasaan'. Ungkapan yang terlalu sering diungkapkan oleh teman-teman serumahku.Ungkapan itu sungguh kejam sebenarnya, tidak adil untuk dilemparkan kepadaku, tetapi kerana di permukaannya aku kelihatan sungguh tidak berperasaan, jadi tidak bolehlah untuk meletakkan kesalahan itu pada sang pemanggil.
Malangnya, yang kalian, kawan-kawanku tidak tahu, aku jadi manusia yang seolah tidak berperasaan kerana segala perasaan itu telah aku tumpahkan pada teman karibku, sang diary berwarna hijau itu. Kalau sekalipun aku sedih atas segala kejadian, kesedihan itu tumpah dalam tulisan itu. KErana itu, kalian tidak akan pernah tahu kalau-kalau aku menangis mengenang segala peristiwa sedih apapun!
Bagi orang seperti aku ini, barulah aku mengerti kenapa aku menjadi seperti itu. Bagiku yang tidak suka bercakap ini, satu-satunya cara aku mengatakan apa pun adalah melalui tulisan. Di situ ada kemarahan, atau ada kelucuan.Saat menulis kita tidak pernah menyedari hakikat itu, tapi seandainya dibaca kemudian, (pastinya bukan dalam jarak masa yang relatif dekat) akan terserlah segala misteri kehidupan itu.
Tanpa aku sendiri sedari,
Ketidakupayaan aku untuk bercakap itu rupanya mengundang sesuatu yang tragis.Maafkanlah aku.
Bila kukenang kembali dan kubaca sekali lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku, aku kini makin faham mengapa rentetan peristiwa itu terjadi. Tidak ada peristiwa yang terjadi tanpa sebab. Ada sebabnya, cuma yang sering terjadi, ketika kejadian itu berlaku kita tidak menyedarinya dan sering tertanya sendiri, mengapa ia terjadi.Sedangkan yang sebenarnya terjadi adalah, kita yang tidak dapat mencari jawapannya.
Kini setelah 10 atau 11 tahun aku tinggalkan, mozek kehidupan nampaknya sedikit demi sedikit tercantum.Membentuk. Aku sendiri tidak mengetahui bentuk mozek itu di masa hadapan. Rasanya segala yang terjadi saat ini pun, mungkin akan kufahami apabila usiaku menjelang 40 atau 50 tahun nanti. Sehinggalah mata ini terpejam dan badan ini pun sudah dimakan ulat tanah, di ketika itulah, mozek kehidupan yang lengkap terhasil.Membentuk satu-satu objek yang jelas. Ketika itu tidak akan ada lagi ungkapan atau 'labyrinth' kehidupan. Semuanya jelas seperti yang sudah tercatat di Luth Mahfuz.Catatan kehidupan pun sudah berakhir. Yang ada hanya hari pembalasan.
Tuesday, June 24, 2008
Batu Nang
"Hello, hello", kata sang pemanggil, bunyi suara sedang menggelabah.
"Ya," jawab sang operator
"Ni nak buat report ada eksideng kat batu nang" adu si pemanggil dalam keadaan termengah-mengah.
"Batu apa?" tanya operator, nampaknya dia bukan orang pantai timur.
"Batu nang." jawab lagi sang pemanggil, sabar.
"Batu apa?" tanya lagi operator, benar-benar dia tak pernah mendengar nama tempat itu.Kalau tidak pasti nama tempat, bagaimana dia mahu buat report dalam sistem di depannya.
"Batu nangggg..." ada sedikit suara geram tidak puas hati sang pemanggil.
"Batu apa?" ooh si penerima masih tidak pernah mendengar nama tempat itu. Setahunya tiada tempat dalam peta dalam dunia ni yang bernama batu nang.Dia pasti tidak tahu hendak route ke mana talian pemanggil itu.
"Batu pe*" terus gagang diletakkan dengan kasar.
Serentak, naluri spontan aku sudah menyebabkan bibir aku tersenyum sampai ke telinga.Automatik aku jadi ketawa sendiri.Macam-macam.
Aku tidak tahu hendak mengklasifikasikan situasi ini bagaimana, aku merasakan kedua-dua pihak dalam cerita ini merasa geram, marah, tidak puas hati antara satu sama lain.
Sang pemanggil geram kerana operator masih tidak dapat 'menangkap' dimanakah tempat yang dimaksudkan dengan "Batu Nang". Bagi orang pantai timur itu, lebih tepat lagi orang di pesisir pantai itu, Batu Nang itu tentulah merujuk kepada satu tempat bernama Batu Enam. Bukankah slang negeri terkenal dengan penyu itu ada slang huruf G nya di belakang.
Pelajaran hari ini, pinggan yang digunakan untuk makan itu disebut 'pinggang' dalam dialek bahasa itu. Enam disebut Nang, dan banyak lagi. Ini berbeza dengan jirannya satu lagi yang makin pendek sebutannya berbanding tulisan. Pinggan menjadi Pingge.Enam menjadi Ene. E itu berbeza ya anak-anak.
Disebalik semua ini, moralnya- fahami bahasa orang lain itu kadangkala menyenangkan kerja kita juga :)
Bagi pihak operator itu pula, tentu dia terkejut besar mendengar ayat terakhir. Kalaulah dia faham. Atau nasibnya lebih baik sedikit kalau dia tidak faham atau tidak pernah mendengar ayat terakhir itu dalam kamus hidupnya. Kalau dia tidak faham ayat itu, adalah lebih baik baginya kerana kalaulah dia faham, rasanya mungkin hatinya akan koyak rabak dihiris-hiris. Atau mungkin saje dia terasa sakit jiwa. Tidak mahu lagi bekerja di situ.hhehehe.Kerana dia betul-betul tidak tahu di manakah terletaknya Batu Nang itu.
Peristiwa ini salah satu misscommunication dalam kehidupan seharian. Banyak lagi sebenarnya, kali ini hanya secebis yang aku mahu kongsikan.Tungguuuu.
Friday, June 20, 2008
bakat 1
Salah satu bab yang menyebabkan aku ‘totally fall in love with Laskar Pelangi’ adalah kerana satu bab di dalamnya. Satu bab yang aku pasti ditulis oleh saudara Andrea berdasarkan pemerhatiannya dari sekeliling. Sebagaimana aku teramat sedih dengan nasib menimpa Lintang, perasaan itu juga yang datang apabila aku habis membaca bab itu. Bab apakah itu yang menyebabkan aku jadi sentimental hanya kerana satu bab dalam buku top seller negara seberang, Indonesia?
Bab itu tidak lain tidak bukan, bab BAKAT. Sungguh aku teramat yakin akan segala yang tertulis. Bukan yakin membuta tuli, tapi yakin berdasarkan pengalaman. Bukankah pengalaman itu sebenarnya pelajaran yang paling mahal? Kerana bukan semua orang mempunyai pengalaman. Pengalaman itu pula bukanlah boleh dipelajari kalau tidak dialami sendiri. Walaupun mungkin kita boleh mengambil iktibar dari pengalaman orang lain untuk dijadikan sempadan kehidupan sendiri, pengalaman itu samada manis atau pahit, tetaplah sesuatu pelajaran yang paling mahal hanya untuk orang yang mengalaminya. Seperti juga pengalaman orang yang frust cinta pertamanya tidak kesampaian, terlalu ramai orang yang mengalaminya, tapi masing- masing kesan dan impaknya amat berbeza antara satu sama lain. Ada orang boleh saja terus melalui kehidupannya,melupakan terus kenangan pahit malah menjadikan apa yang berlaku itu pengajaran agar di lain waktu dia bertemu dengan cinta lain yang lebih baik. Tidak ada dendam dan sakit hati. Namun ada pula yang lain, traumanya bagaikan orang ‘yang sudahlah miskin dan tua dan sepi sendiri di pondok tua yang bagai runtuh’. Bagai tidak ada masa depan yang harus dituju lagi, dan terus menerus menyesali takdir perpisahan itu.
Kita juga boleh sahaja mendengar, dan menyerap segala pengalaman orang lain. Diambil iktibar dari apa yang berlaku. Kerana umur kita bukanlah terlalu panjang bagai orang di zaman nabi terdahulu yang tempoh hidupnya relatif panjang dari umat akhir zaman ini. Sekiranya kita yang harus melalui pengalaman itu sendiri, tidak cukup umur kita semua ini untuk mengalaminya sendiri. Tentunya pengalaman oranglah yang mengajar kita. Tapi sekali lagi, mendengar, seterusnya mengambil pengajaran darinya tentulah sama sekali tidak sama dengan orang yang merasainya.
Kerana aku tahu sekali apa yang diperkatakan dalam bab itu benar-benar betul, berhari-hari aku mencari apa sebenarnya yang diistilahkan bakat itu. Apakah jelmaan bakat itu? Apakah sebenarnya bakat itu. Kenapa ada orang yang terlalu menonjol dan kenapa ada orang yang biasa-biasa sahaja hasil pekerjaannya? Walaupun aku tahu apa itu bakat, dan semua orang pun tahu, tapi bagaikan tidak puas kalau tidak membuat penyelidikan khusus.
Jadi hasilnya, bakat itulah sebenarnya yang menjadikan seseorang itu unik. Seunik-unik manusia yang tidak akan sama antara satu dengan yang lain. Sepertimana dalam kalam Allah yang tertera jelas, “Dalam diri manusia itu ada sifatnya yang tersendiri”. Beribu tahun lampau Allah telah berikan ilmunya di dalam kitab kita, dan di zaman moden ini manusia telah pun mengaplikasikan ciri-ciri fizikal yang membezakan identiti seseorang itu. Tidak lain dan tidak bukan lakaran-lakaran yang ada dalam ibu jari kita. Sepertimana semua benda itu berpasang-pasangan, kalau fizikal ciri-ciri unik yang ada pada manusia sudahpun dikenalpasti, bagaimana pula dengan ciri-ciri dalaman, atau rohaninya? Atau jiwanya.
Dan jawapannya aku temui.
Ceng ceng ceng….
Pejam mata, tarik nafas dalam-dalam, hembus……
Tarik lagi..
Hembus….
Jawapannya.
BAKAT.
Ya, itulah sebenarnya. Bakat yang bukan semua orang mampu cari dan gali. Dan kenalpasti. Bak kata saudara Andrea, ada orang yang meninggalkan atau tidak mengetahui bakatnya sampai bila-bila pun apabila nasib baik tidak bertemu dengannya!
Tidak semua orang bernasib baik seperti Britney Spears yang sudah mengetahui bakatnya sejak umurnya 6 tahun. Itupun mungkin dia sendiri tidak tahu bakat yan ada dalam dirinya kalau ibunya tidak menghantarnya ke kelas dancing, ballet dan sewaktu dengannya. Tentu dia tidak berjumpa dengan sang bakat itu kalau dia tidak pun menyertai uji bakat Mickey Mouse sedari usianya 8 tahun itu. Mungkin dia kini hanya pelayan di restoran, atau kerani atau jurutera atau apa-apa sahaja yang dia jadipun, tapi dia merasakan dia tidak menjumpai dirinya yang sebenar. Dia mungkin sahaja senang tidak diganggu, hidup biasa-biasa di daerah terpencil , orang melihat dia bagai gembira dengan hidupnya tetapi dia sebenarnya selalu merasakan dia bukan orangnya kerana dia tidak ada kepuasan. Tentulah hidupnya selalu tertanya-tanya, kenapa aku tidak merasa puas? Kenapa aku merasa kosong?Kerana apa? Kerana bakatnya itu adalah menjadi penyanyi/penari/penghibur. Mujurlah, dia sebenarnya sudah tahu bakatnya yang satu itu sedari awal. Dan walaupun hidupnya dalam pandangan mata kasar manusia lain bagai tidak gembira, apatah lagi dengan apa yang berlaku dalam tempoh tiga empat tahun ini. Dia sebenarnya puas dan gembira dengan dirinya. Dengarlah setiap kata-katanya. Tidak pernah dia berkata dia menyesal menceburi bidang seni itu. Tidak pernah kan. Walaupun terlalu banyak juga bend aburuk yang berlaku kepadanya, dia tidak pernah menyesal. Apa yang dia sesalkan hanyalah kerana serangan paparazzi yang tidak pernah memberi dia ruang!
Dan itulah sebenarnya bakat. Britney Spears adalah sinonim dengan muzik pop. Itu bidangnya dan itulah yang seharusnya dia ceburi. Bukan sebagai guru, jururawat atau apa-apa kerja sekalipun. BS=penyanyi. Itu calculation matematiknya. Dan “!BS”. Bukan semua orang pun boleh menjadi Britney Spears. Itu calculation programmingnya. Dan bukan semua orang boleh menjadi penyanyi.(Walaupun berlambak dan berduyun-duyun orang mahu menjadi penyanyi dewasa ini :)
Dan yang pasti bukan semua orang bernasib baik mengetahui bakatnya.
Mari kita belajar apa itu bakat.
Bakat= sesuatu yang terasa senang bagi sang pemiliknya. Tanpa banyak menggunakan tenaga, apa yang dibuatnya terasa senang/cekap/mudah walhal bagi orang yang melihatnya terasa kagum “bagaimana seh dia bisa membuatnya!”
Minat= Passion. Terasa sukanya nak buat. Walau tak disuruh-suruh, terasa enjoy apabila membuatnya. Namun sisi benarnya, tidak semestinya apa yang kita minat itu, itulah bakat kita.
Bakat + Minat = 100% Kejayaan.
Tiada Bakat + Minat = Kurang berhasil (mungkin 60% sahaja hasilnya walaupun sudah berusaha 100%).
Bakat + Tiada Minat = Tidak berjaya (Amatlah malangnya orang sebegini. Sudah dikurniakan bakat tapi tidak minat?)
Tiada Bakat + Tiada Minat = 0 (sudah tahu jawapannya). Kasihan...
Tapi berapa ramai yang minat sesuatu, rupanya dia tidak ada bakat walau sedikit? Kalau anda mahu tahu, tontonlah siri-siri awal pencarian bakat Akademi Fantasia, One in a Million, Gang Starz, Malaysian Idol (American Idol, Singapore’s Idol, atau atau segala mak nenek tempat Idol dalam dunia ini). Betapa ramai yang masih tercari-cari bakat sendiri, atau berapa ramai yang berusaha sungguh-sungguh namun hasilnya hanya kesedihan yang mendalam dan hati bagai dirobek-robek oleh sang pedang pahlawan gaban kerana kritikan juri yang tidak berhati perut (walaupun benar), ataupun gelengan kepala sang penonton atau lelehan air mata kelucuan penonton semata. Yang mereka ada adalah minat. Sayang sekali mereka tiada bakat.
Jadi seharusnya bagaimana untuk mengesan apa bakat sebenar yang kita miliki? Dan dapat mengerjakan sungguh-sungguh? Tidak menjadi satu kesalahan tidak mengetahui bakat diri sendiri kerana bukan anda seorang yang mengalaminya. Mungkin di luar sana, masih terlalu ramai yang masih tidak tahu bakat sendiri. Mungkin kerana tiada peluang untuk menunjukkan bakat, atau tiada kesempatan masa kerana kekangan rutin harian dan berjuta alasan lagi. Jadi satu-satunya cara ialah kenali diri sendiri. What? Is that so easy? Tidak, tidak.. kenal diri sendiri itu nampak sahaja bagai senang membaca A, B , C namun sebenarnya benarkah begitu. Benarkah mengenali diri sendiri itu semudah itu. Kalau semudah itu mengenali diri sendiri, betapa ramai orang yang masih tidak juga kenal-kenal dirinya sendiri sampai akhir hayatnya. Kalau semua orang kenal dengan diri sendiri, tidak akan ada penagih dadah, tidak akan ada perompak,penjenayah dan adik beradiknya yang lain, tidak ada sang penguasa yang zalim, tidak ada sang guru yang terasa terpaksa mendidik anak bangsa bukan kerana sungguh-sungguh mahu mengajar tapi hanya kerana imbuhan wang gajinya. Tidak akan ada ahli politikus Malaya terakhir yang cakapnya sekejap A dan sekejap B dan sekejap C dalam masa 3 hari berturutan. Siapakah mereka-mereka ini sebenarnya? Siapa?
Mereka adalah orang-orang yang tidak mengenal dirinya sendiri!.
Mereka mungkin sahaja hanya tahu namanya seperti di dalam kad pengenalannya, atau dia tahu yang matanya ada dua, tapi sering berperlakuan seperti bermata satu, dia tahu telinganya ada dua, tapi sering berperlakuan bagai orang tidak mempunyai telinga, atau dia tahu dia ada satu mulut, tapi perlakuannya seolah-olah banyaknya mulut yang ada di mukanya.
Atau saja ayat yang lebih mudahnya ada mata tapi buta, ada telinga tapi pekak , ada mulut tapi samada bisu atau terlebih dos mengeluarkan kata-kata merapu tidak tahu hujung pangkalnya dengan niat untuk memperbodohkan.
Bukankah terlalu kejam pernyataan itu? Kejam kejam kejam.
Kenyataan yang sebenarnya, walau siapapun mereka (atau aku sekalipun), sekiranya masih juga tidak sedar yang manusia ini diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi Allah ini, selagi itulah akan masih wujud golongan-golongan itu. Dan yang pastinya, di akhir zaman kenyataan yang terpaksa kita terima adalah semakin ramai orang yang tidak kenal diri sendiri berbanding dengan yang menyedari hakikat kehidupan. Sungguh menakutkan hidup di akhir-akhir zaman begini. Aku bagaikan mahu terbang diam-diam dan duduk dalam kelompok umat terdahulu supaya aku tidak tergolong dalam umat akhir zaman. Namun itu semua hanya berada dalam khayalanku. Realitinya aku harus juga hidup di zaman ini, zaman porak peranda di mana sesuatu yang tidak logik berada di mana-mana. Di sekeliling umat ini ketidaklogikan itu sebenarnya satu kenormalan yang harus dianggap kebiasaan pula!. Bukankah sesuatu yang pelik sekiranya seseorang itu sebenarnya mahir dalam bidang linguistik tapi akhirnya dia menjadi rujukan dalam bidang statistic,economic atau finance? Oh itu hanya salah satu contoh sahaja. Bukanlah aku mempertikaikan kemampuan orang boleh belajar apa sahaja yang dia mahu, tapi bukankah cabang bahasa dan finance itu sesuatu yang berbeza. Kenapa tidak sahaja dirujuk pada orang yang benar-benar ahli dalam bidangnya? Atau mungkin saja seseorang yang dahulunya terkenal dengan siri-siri rompakan ala cerita-cerita koboi, tetapi di akhir-akhirnya dihormati, disanjung malah diangkat menjadi pimpinan. Bukan kerana keinsafan yang lahir dari hatinya, atau seperti kisah umat terdahulu yang insaf setelah membunuh 99 nyawa, tetapi di akhir hayatnya tetap masuk syuga kerana segunung penyesalan dirinya. Tapi sungguh berbeza kerana orang sudah takut pada kezalimannya. Sungguh, bukankah ini sesuatu keluarbiasaan. Luar biasa yang sudah dianggap biasa satu hari nanti ini sudah pun menjadi kebiasaan zaman ini. Sungguh menakutkan. Lupakan sahajalah alam yang menakutkan ini,terus sahajalah dengan diri sendiri tapi bolehkan kita hanya membiarkan alam ketakutan ini terus menerus?.
Kembali pada pokok persoalannya tadi. Sebelum terlupa (kerana sudah terlalu jauh topik ini berlari), biar aku ulangi kembali. Jadi bagaimana mengenali bakat itu ya?
Bukan aku.
Bukan aku yang harus memberitahunya. Kerana persoalan itu ada pada diri insan yang bertanya.Cuma teruskan sahaja pencarian itu. Kadangkala harus dikorek,digali dalam dalam barulah sang bakat itu ditemui, Kadang-kadang dalam lapisan pertama galian, sudah ketemui sang bakat itu,kadang-kadang dalam lapisan kedua, namun seringkali yang terjadi galian lapisan yang ketujuh itu barulah sang bakat itu dijumpai. Atau yang lebih malangnya setelah habis digali hingga tidak ada lagi air di tubuh yang harus keluar, masih juga sang bakat itu tidak ketemu. Panasaran. Tapi mungkin ini hanya kes-kes terpencil.:) Sering terjadi, sang bakat yang ada itu tidak disedari oleh si pemilik diri sehinggalah orang lain yang bertemu dengannya. Atau nampak potensi yang ada dengannya. Kerana bakat itu sesuatu yang misteri, jadi teruskanlah penggalian itu tanpa henti. Sehingga satu hari ianya bersinar. Mula-mula kecil sahaja cahaya itu, namun lama-lama ia merebak, membesar dan mungkin sahaja cahaya itu akan menjadi cantik seperti percikan bunga api di malam tahun baru. Cantik, tiba-tiba, menarik dan tertarik. Sudah bertemu dengan jawapannya apa itu sang bakat? Galilah dan gali lagi. Bertuahlah bagi sesiapa yang bekerja sebagai ahli geologist kerana pekerjaan sehari-hari mereka adalah gali dan terus gali. Mudahan-mudahan akan keluar percikan bunga api dari galian mereka.
**
Mengikut kajian, berapa ramai orang yang tidak mengoptimakan kemampuan dirinya yang sebenar. Hanya kerana dia sendiri tidak mengetahui bakatnya. Atau dia telah tersalah menceburi bidang. Samada aliran takdir hidup atau pilihan dirinya sendiri. Sungguh misteri nasib seseorang.
Itulah yang terjadi pada ‘temanku’. Teman yang paling aku sayang. Teman yang tidak ada galang gantinya. Teman yang urat-urat tangannya timbul kerana kerja kerasnya. Teman yang tidak pernah sekali memukulku sepanjang aku hidup di dunia ini kecuali sekali. Seingat aku, sekali itulah pun aku telah terkena pukulannya. Itupun bukan meninggalkan kenangan pahit buatku tapi kenangan manis. Kerana sekurang-kurangnya aku boleh bercerita semula kepada anak cucuku bahawa satu waktu dahulu “nenek ini sebenarnya pernah dipukul oleh moyang kamu semua kerana satu sebab.”
“Sebab apa nek,”
“hehehehhe sebab tidak ambil selipar,”
“Itu je ke nek, garangnya moyang nek,”
“Eh mana ada, nenek sayaaaang sangat kat dia,”
“Peliklah nenek ni, orang pukul pun sayang,”
“Yelah, kalau nenek tak kena pukul sekali tu, nanti tak ada la pulak kenangan nenek kena pukul dengan dia..hehehhehe”
Nenek ini sedang duduk-duduk di tepi sungai belakang rumahnya.Rumahnya di tanah yang dulunya batas sawah padi itu. Bercerita-cerita kisah zaman dulu-dulunya pada cucu cucu kecilnya.Sungai itu pun kecil sahaja. Cukup-cukup untuk dipanggil cucu sungai, bukan anak sungai.
To be continued
Tuesday, June 17, 2008
ISTJ
I know why “This nonverbal style of affection often gets ISTJs in hot water because it can be perceived as uncaring; they are often described as having "ice for blood."”
To those who seeing me as I am ice for cold sometimes ago, please forgive me. :)
Years ago, sometimes I feel weird why others always saying me like this and like that, that is totally 360 degree from what is actual.
I know why…..
Actions truly speak louder than words.
Friday, June 13, 2008
Pok Teh ii
Bila aku sudah besar sedikit lagi, akhirnya aku tahu kenapa ayah dan Pok Teh bersahabat baik. Mereka mempunyai pekerjaan yang sama dan minat yang sama! Di rumah Pok Teh ada banyak buku-buku. Teratur dalam rak di dinding. Dan Pok Teh suka berkawan dengan ayah kerana nasib ayah dan Pok Teh yang akhirnya melibatkan diri dalam bidang-bidang pembaikan. Kalau dalam bahasa saintifiknya – menhanical engineering tapi dalam bahasa kampung kami mekanik. Bezanya Pok Teh lebih kepada pembaikan kereta dan jentera-jentera besar manakala ayah lebih kepada yang kecil-kecil sedikit iaitu motosikal dan motor. Itu dari segi pekerjaan sehari-hari untuk menampung kehidupan kami, dari segi hobi pula kedua-duanya suka membaca. Di perkampungan nelayan (aku tidak pasti untuk memanggil apa perkampungan di situ, tapi aku anggap kebanyakkan orang di situ adalah nelayan kerana keadaan geografinya yang di pesisir pantai), Pok Teh selalu merasa terpinggir. Satu kerana dia seorang yang warna kulitnya lain. Kedua kerana budaya hidupnya lain. Ketiga kerana hidupnya yang bertukar 360 darjah. Ketiga-tiga perkara yang aku sebutkan tadi ada persamaannya dengan ayah. Ops kecuali yang pertama kerana ayah tetaplah orang Melayu walau di mana pun ayah berada. Ayah orang dari luar yang menetap di situ, bahasanya sedikit sebanyak berbeza dengan orang tempatan. Tidak banyak, tapi sedikit perbezaannya tetaplah ada. Dan hidup ayah yang juga bertukar.
Tapi persamaan itu tentunya menjurus kepada satu lagi faktor utama. Pok Teh merasa selesa bercakap dengan ayah kerana mereka bercakap dalam satu bahasa yang sama. Hidup di kampung begitu, Pok Teh merasa sukar untuk dia terus berkomunikasi dengan bahasa lidahnya yang asal dengan orang lain. Manakala ayah pula berasa selesa bercakap dengan Pok Teh kerana boleh memperbaiki bahasa yang sekian lama dia tinggalkan. Bersekolah di sekolah Inggeris menyebabkan ayah lancar dan fasih bertutur bahasa Inggeris itu walaupun malang sekali anak-anaknya tidak pula sefasih ayah!. Aku tahu kadang-kadang Ayah selalu merasa rendah diri, kadang-kadang juga Ayah merasa orang mengata dirinya “Alah, sekadar orang macam dia, tapi eksyen sahaja lebih membaca suratkhabar berbahasa Inggeris,” tapi selalunya kami hanya ketawa sahaja kalau ayah berkata begitu kerana kami tahu Ayah sejak dulu-dulu memang membaca semua surat khabar. Ketika zaman ayah muda-muda dahulu semua surat-khabar dibaca olehnya, tapi kini memandangkan Ayah hanya membeli satu suratkhabar sehari, Ayah hanya membaca New Straits Time Press. Aku tahu Ayah bukan berlagak, tapi kerana sudah kebiasaan dirinya begitu. Aku selalu juga membalas kata-kata Ayah yang tadi dengan balasan “Alah, tak pelah orang nak kata apapun Ayah,”. Selalunya bila usia menginjak dewasa ini, kalau diingatkan nasib Ayah, aku selalu merasa sedih. Terasa kadang-kadang nasib tidak berhati baik pada Ayah. Tapi selalu juga akan ada lintasan lain yang berkata “Usah dipersalahkan takdir, kerana pasti ada hikmahnya.” Walaupun aku tahu nasib seseorang amatlah kompleks, kerana kita tidak mengetahui nasib masing-masing, selalunya aku juga akan berkata, kita janganlah mendahului nasib. Bila mengingati Ayah, aku selalu ingatkan diri supaya menjadi lebih kuat dan tabah mengharungi kehidupan. Oleh kerana aku tidak mahu aku juga menurut jejak nasib Ayah, sekurang-kurangnya aku harus jadikan apa-apa juga yang berlaku di belakang hari itu adalah sejarah. Dan ya sejarah memang boleh berulang. Tapi sekurang-kurangnya aku masih ada peluang untuk memperbaiki sejarah kea rah yang lebih baik.:)
Kembali pada cerita Pok Teh. Selalunya apabila kami mahu pulang ke rumah, Pok Teh akan meminjamkan beberapa bukunya pada Ayah. Selalu juga Pok Teh menyuruh aku membacanya. Oh aku memanglah suka membaca buku-buku yang banyak itu, namun malangnya bagi budak seperti aku, aku tidak faham sama sekali apa yang ditulis di dalamnya. Sungguh sadis hidupku waktu itu. Di saat kanak-kanak lain di kota mungkin sudah membaca buku-buku cerita sedemikian, aku masih juga tetap dengan siri Nancy Drews, Hardy Boys dan Enid’s Blyton yang tentunya edisi terjemahan rupa-rupanya.
Bila mengenang Pok Teh, aku pun selalu jadi sedih. Seperti Ayah, aku merasa nasibnya tidak juga lebih baik dari Ayah. Ya, sebab itu aku katakan tadi, persamaan itulah yang membuatkan Ayah dan Pok Teh serasi sekali. Bila malam menjelang, dan jarum jam menunjukkan ke angka sepuluh, seperti biasa Ayah akan selalu bercerita kepada aku dan adik. Suatu malam akhirnya aku tahu yang satu waktu dulu, semasa aku masih tidak wujud pun lagi dalam dunia ini, masih di alam roh akan kisah hidup Pok Teh. Kisah yang menyebabkan sesiapa pun yang dekat dengannya akan merasa kita ini bukanlah siapa-siapa pun. Hanyalah insan kerdil yang segala sesuatu yang terjadi pastilah di bawah kekuasaan yang satu jua. Allah SWT.
Pok Teh
Emak selalu juga kata perangai aku menyerupai ayah.Sekali fikir mungkin tidak, tapi dua kali fikir mungkin ya juga.Boleh mengadap buku berjam-jam. Aku rasa ini perangai yang aku 'duplicate' dari ayah.
Bercerita pasal ayah, aku teringat seseorang. Dulu, masa aku masih kecil, masih sekolah rendah.Ayah ada seorang kawan. Aku tidak tahu nama sebenarnya. Aku dan adik hanya memanggilnya Pok Teh. "Kenapa panggil Pok Teh, mak?" ."Sebab dia orang putih," emak menjawab selamba. Dengan jawapan emak, aku tidak lagi bertanya apa-apa soalan berkaitan nama sebenar kawan ayah yang kugelar Pok Teh hingga hari ini.
Sebagai kawan ayah, ayah, emak aku dan adik kerap juga menghabiskan hari Jumaat kami di rumahnya. Hari Jumaat satu-satunya hari ayah tutup kedai, hanya ada satu makna hari Jumaat itu pada kami waktu itu.Hari Jumaat sama dengan hari jalan-jalan.Horayy...
Pok Teh ini orangnya lebih tua sedikit dari ayah. Dalam 5-6 tahun agaknya. Aku tidak berapa pasti akan hal ini. Namun yang aku pasti, ayah dan Pok Teh memang kamceng. Orangnya bersaiz Mat Salleh biasa, berkulit putih merah, berambut perang, badan standard saiz orang sana itu. Cakapnya melayu. Tapi masih kuat pelat Mat Sallehnya.
Biasanya lepas solat Jumaat ayah akan bawa kami ke rumahnya. Dalam 30 minit perjalanan aku kira dalam kelajuan biasa ayah membawa kereta 80 km/j.Rumah Pok Teh di pesisir pantai. Bila aku besar sedikit nanti, barulah aku tahu kenapa Pok Teh orang baik yang amat berlainan sekali dengan kami ini menetap di sini. Tapi ketika itu, aku hanya tahu aku suka ke sana kerana aku dapat mandi laut!
Bila mandi, aku dan adik akan mandi sungguh-sungguh. Emak hanya mengawasi kami di gigi pantai. Biasanya ayah dan Pok Teh akan berbual-bual, entah apa yang dibualkannya, aku tidak pernah ambil tahu. Kerana sudah menjadi pantang larang emak, budak-budak kecil tidak boleh mendengar orang tua berbual. Biasanya kami mandi di kawasan depan rumah Pok Teh sahaja. Tikar di hampar, ada sedikit air, buah-buahan (rumah Pok Teh ada begitu banyak buah-buahan), dan biasanya emak yang akan membawa makanan untuk dimakan bersama. Kebiasaannya makanan yang senang dibawa. Menunya agak sama juga, kalau tidak nasi goreng pasti meehun goreng. Seingat aku hanya dua menu ini sahaja yang kami makan kalau kami makan di bawah teduhan pokok ketapang besar depan rumah Pok Teh. Diajar oleh emak, agar tidak pernah memilih makanan, kami waktu itu sering tidak kisah walau menu yang emak bawa selalu sama. Yang kami tahu, lepas aje kami mandi, samada nasi goreng atau meehun goreng itu pasti tidak pernah cukup dibelasah oleh kami yang tengah lapar membuak-buak.
Kadang-kadang aku mandi sampai ayah sudah panggil-panggil supaya naik ke atas. Selalu juga apabila aku sudah naik 'syekh' mandi, muka aku akan jadi berminyak-minyak dan dah jadi hitam legam.Hhahahaha."Ha, eloklah tu, nampak gigi aje," dia selalu mengusik aku dengan ayat yang akan menyebabkan muncung mulut aku ajan jadi panjang 14 inci kalau ketika dia datang ke rumah kami dan muka aku dah tak macam anak dara sunti yang lain.
Lepas mandi, dan makan-makan selalunya juga emak, ayah dan Pok Teh akan berehat-rehat di dalam rumah Pok Teh. Aku dan adik selalunya tidak masuk. Kami lebih suka bermain-main sendiri di luar. Kami berasa boring kalau masuk ke dalam rumah, kerana menjadi pantang no 2 emak aku adalah, 'bermain-main di dalam rumah orang.' Jadi daripada kami hanya duduk diam tidak berkutik di atas kerusi, lebih baik kami tidak masuk dan permainan di luar lebih menyeronokkan.
Dulu aku selalu pelik kenapa rumah sebesar Pok Teh tidak ada orang lain selain dia setiap kali kami datang.Cuma sesekali ada sekejap ada dan sekejap tidak ada seorang perempuan lain.Secara automatiknya fikiran kecil aku menangkap wanita itu adalah isteri Pok Teh.Di sisi lain sebenarnya itulah sebabnya aku suka ke rumah Pok Teh kerana tidak ada orang selain kami!Sungguh individualistiknya fikiran kami, aku dan adik tentunya.
Thursday, June 05, 2008
minyak oh minyak
sebelum 1990 - RM 0.89
Tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 – RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)
(05/06/2008) - RM 2.70 (kenaikan RM 0.78 )
-Aku ni bukan pakar ekonomi kepala gila terror ada phd segala, tapi aku tak sungguh berbangga kerana ada orang ATAS yang macam ni. Komen orang rambut putih dalam tv tu tak ada modal lain. ni ajelah. KITA BAGI REBET RM625 SETAHUN KETIKA BAYAR ROADTAX DI PEJABAT2 POS. Ada akal ke tak de depa ni? TAU KE BUAT BUAT TAK TAHU KALAU MINYAK NAIK,SEMUA PUN NAIK LA weii..
Kira hangpa ni baik la nooo sebab nak bagi rebet banyak tu.
Mai aku kira, maths senang je la.. RM625 setahun, RM52 sebulan, RM13 seminggu, (stop maths sampai takat ni jah la sebab anggaplah kita beli petrol seminggu sekali).
rebet RM13 seminggu. Tapinya tu beras,segala mak nenek barang dapur,kain baju, semua-semua lah tak larat nak tulis tak ke naik jugak.
Lepas tu yang aku musykil tu nak bagi tru pejabat pos- money order, dapat time tu gak ke rebet RM625 tu? tah-tah untuk tahun 2008, tahun 2009 baru dapat. Bukan aku tak tau, kalau bab nak bagi kat kita ni bukan main slow, tapi kalau bab nak ambik yang kita punya ni, amboiii laju la noo...
Tak tau la kot orang economy atau orang bijak pandai kat sana fikir macam lain kan. tapi kalau kepala mudah aku ni dok fikir, daripada dok bagi rebet yang pelik camtu, baik la duit budget utk rebet semua2 tu subsidi semula. Yang pentingnya cover balik kos seliter. Jadi tak de la mencanak naik 78 sen tu. Kalau ye pun tak boleh dah nak cover, at least la jangan mendadak macam tu.Orang bukan pakai seliter, orang pakai berliter-liter sebulan cik abang, cik kak kat atas nuuu. Point aku kat sininya, walaupun naik 78sen seliter, tu kos-kos lain yang secara AUTOMATIKnya akan naik.
Hangpa kat atas hangpa tak rasa la kan, sebab hangpa semua dapat elaun segala. Elaun tu elaun ni. Orang yang tak dak elaun cam kami-kami ni camna? Orang-orang yang hidup sekadarnya ni camana. Belum masuk orang orang dalam Bersamamu tu. Mau menitik air mata teringat.UBAH GAYA HIDUP yang hangpa dok kata tu, try la cakap nak ubah camana lagi. Nak suruh bergelap sebab nak jimat elektrik la kot.
Malam tadi semua stesen minyak penuh. Sesak. Tak terfikir ke hangpa yang orang rela bersesak-sesak, beratur tunggu giliran sebab nak dapat petrol harga murah? Aku tak antara orang tak sempat.Tak sempat nak masuk dalam stesen minyak pun sebab orang dah penuh sangat.Kalau orang tak terasa dengan kenaikan minyak ni, tak adanya orang aku tengok rela la menunggu-nunggu nak isi.Bukan aku sorang yang sakit jiwa jalan sesak teruk, semua pemandu lain pun macam aku. Muka sorang-sorang macam berak kapur. Jadi lepas ni budak-budak yang nak ambik SPM tu bolehlah buat karangan Bahasa Malaysia ke Melayu (tah sekejap Bahasa Melayu sekejap Bahasa Malaysia). DARI KAJIAN TERBARU DAN SURVEY 4 JUN 2008, SEJAJAR DENGAN KENAIKAN HARGA MINYAK, KADAR KESESAKAN JALAN RAYA MENJADI TERUK DAN TIDAK TERKAWAL.STESEN-STESEN MINYAK DIPENUHI DENGAN PELBAGAI KENDERAAN TIDAK KIRA 3000CC,2000CC ATAU 1000CC, TERMASUK JUGA MOTOSIKAL,BASIKAL DAN SEGALA LORI BALAK,LORI BERAS, LORI GULA DAN YANG SEWAKTU DENGANNYA BERATUR PANJANG MENGISI TANGKI MASING-MASING.
"Ya Allah ya Tuhanku, seandainya orang-orang yang berkuasa itu membawa kebaikan kepada kami, engkau lanjutkanlah usia mereka. Tapi seandainya mereka tidak membawa kebaikan sebesar zarah pun kepada kami, Engkau tunjukkanlah kekuasaanMu.Engkau makbulkanlah doa orang-orang yang teraniaya ini. Aminnn"
Kalaulah orang tahu beratnya tanggungjawab menjadi pemimpin, nescaya akan bergegar jantung-jantung semuanya tidak mahu menjadi pemimpin. Kerana itulah Allah menjanjikan antara orang yang pertama masuk syurga adalah pemimpin yang adil.
Agaknya Malaysia ni nak tunggu jadi macam Indonesia ke? Bila tahap survival dah meruncing, demonstrasi jalanraya meningkat. Digulingkan,huru hara. Isk isk aku tak tau la nak kata apa. Nauzubillah.
Kepada orang-orang yang menggunakan kereta jabatan untuk tujuan peribadi, sebagai orang yang bayar income tax, aku tidak halalkan mereka membelanjakan duit yang aku bagi untuk tujuan-tujuan yang tak berfaedah, untuk tujuan peribadi etc etc. Faham ke tak faham maksud tak halal tu? Tak halal tu maknanya aku tuntut kat akhirat kat mana hangpa belanja duit yang aku bagi tu? Kalau hangpa takut akhirat, hangpa guna la elok-elok. Kalau hangpa tak takut akhirat, tunggulah nanti.
Anarki.
Kesan automatik aku dapat malam tadi.
Nasi goreng biasa+Nasi goreng USA+ Mee kungfu + Sate RM5 (8 cucuk) +Air nescafe tarik + Nescafe Ais + Milo Ais = RM24.00 , (anggaran satu pinggan RM5 dah sekarang)
p/s Ini catatan emosional aku orang marhaen ni.
LAGI
Wednesday, June 04, 2008
Laskar Pelangi- harapanku pada Lintang!
Novel inspirasi berdasarkan kisah benar yang tidak diniatkan untuk diterbitkan pun oleh Si Ikal ini. Memoir yang dikemaskini berdasarkan penceritaan kisah batin Andrea Hirata ini telahpun mencetuskan fenomena di Indonesia.(juga di Malaysia). Dalam masa 10 hari di pasaran Indonesia, sudah kehabisan cetakan pertamanya. Setakat yang kutahu ini pun, LP di sana sudah mencecah 500,000 buah.Setengah juta. Bukan angka yang kecil untuk menggambarkan LP ini satu fenomena. Bagaikan mozek-mozek yang disusun,(Edensor) begitulah indahnya kisah seorang Andrea yang tidak semua orang berpengalaman sepertinya.
Aku mengharapkan filemnya nanti akan seindah novelnya walaupun setakat ini kebanyakan filem yang digarap berdasarkan novel masih belum mampu mengatasi atau paling tidak menyamai kepuasan yang dimiliki dari pembacaan.
Kuharap filem Laskar Pelangi tidak menjadi sepertimana filem AAC, yang juga menjadi fenomena sebelum LP, cuma dalam bentuk yang lain.
Dalam filem ini nantinya, paparkanlah walau hanya sedikit komentar anggota LP, atau paling kurang wajah-wajah mereka di akhir cerita. Oh ya tidak lupa juga pada Ibu MUslimah, kerana cerita ini pun sebenarnya didedikasikan untuknya.
Dan terakhir sekalinya, paparkanlah Lintang. Pengharapanku akan ada orang yang membela nasib Lintang selepas ini. Pasti ada pekerjaan lain yang lebih layak untuk orang segenius Lintang walaupun dia tidak punya apa-apa qualification apapun di atas kertas.Kertas yang kadangkala tidak membawa erti satu apa pun pada orang yang memilikinya tapi kertas itulah yang tidak dapat tidak, kertas itu jugalah yang diinginkan orang zaman ini.Itulah segulung kertas bernama certificate,diploma, ijazah, masters malahan doctorate.(Heboh pula ada DR cap ayam rupanya sekarang..hehehe)Walaupun harapan ini mungkin tinggal harapan, namun selagi boleh bermimpi, mimpilah- Sang Pemimpi.
Paradoks -jalan-jalan dan nasib kehidupan manusia .
To Lintang, walau di mana pun anda berada,mungkin ada mozek baru tercipta buatmu selepas ini!InsyaAllah.Teruskan berjiwa besar.Aku doakan itu buat saudara.
Sungguh optimis ayat yang kutaip dan kutulis ini, namun yang sebenarnya aku sebak sekali. Terasa-rasa Lintang itu sungguh dekat denganku.Aku ingin bertemu dia....