Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, July 31, 2008

Sejambak mawar merah, sebuah puisi

Surat darinya aku terima lagi. Ringkas sahaja bunyi ayatnya. "A friend in need is a friend indeed". Ada jambangan bunga mawar merah dalam pasu di atas meja berlapikkan kain kotak-kotak. Tulisan itu pun berwarna merah juga. Kelopak bunga mawar merah itu besar-besar dan nampak segar. Ada titisan air jelas kelihatan pada kelopaknya. Kalaulah bunga itu boleh dimakan, kurasakan aku sudah memakannya dan sudah pun diproses oleh segala mekanisme enzim di dalam saluran esofagusku.

Aku membaca, ada rasa gembira menerima jambangan bunga walaupun hanya sekeping kertas. Kelopak bunga itu memang terasa membunga juga di hatiku. Namun menjadi perempuan desa, aku tidak tahu untuk menafsirkan. Kalau ianya ikatan persahabatan, aku seolah dapat mengagak kalau kiriman bunga yang dikirimkan, rasanya itu bukan persahabatan biasa. Dan kalau ini namanya ikatan persahabatan yang ingin menjurus ke dalam perkenalan jiwa, rasanya aku tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Masa seperti rasanya belum tiba, dan aku takut sekali kalau aku akhirnya jatuh juga dalam kancah mainan perasaan. Argh tapi mungkin saja ini hanya kiriman kad berbunga dan berpuisi indah biasa. Ya, kalaupun diberinya padaku sebagai permulaan jalinan persahabatan, mungkin kad, bunga dan ayatnya juga diberi pada gadis-gadis lain. Jadi jangan menganggap kad itu mewakili hatinya pun. Jangan mudah percaya pada kata-kata orang yang namanya Adam. Jangan jadi gadis perasan yang mudah memberi hati pada orang lain, Hany hanya kalau mendapat kad bunga secantik itu. Hidup juga masih panjang. Cita-cita jauh lagi. Jalan sebaiknya hanya ada satu.

Lalu aku carikan kad yang sesuai untuk aku balaskan surat dan kad darinya. Rasanya lebih natural kalau di kad itu hanya ada tulisan besar yang boleh menggambarkan rasa hatiku menerima kad cantik itu. Sebagai balasan tidak dikata dia sebagai manusia sombong atau angkuh dengan pemberian orang. Cukup sekadar itu rasanya.Cari dan cari akhirnya aku memilih kad warna kuning muda, ada gambar kartun-kartun sedang berlompat sesama sendiri di situ. Ada gambar awan putih, ada rumput hijau melatari padang rumput seperti dalam kartun 'Teletubbies' itu. Dua imej kartun itu sedang berlompatan sesama sendiri sambil mulut masing-masingnya tersenyum lebar.

"Ya, rasanya ini yang sesuai," bisik hatiku.

Kadnya sudah dipilih, apa pula perkataan yang paling sesuai untuk aku tuliskan ya?

Okeh, menjadi diriku seorang yang simple begini, ayat pun harus sesimple yang mungkin. Lalu kutuliskan.
"HSIEH-HSIEH XIE-XIE
- From,
Hany,"

Apa maknanya itu tuan-tuan dan puan-puan. Rasanya kalau aku menulis SHUKRAN, sudah ramai yang tahu. Kalau aku menulis THANK YOU, pun seluruh dunia juga tahu, jadi aku ambil keputusan menulis perkataan itu. Dan pandai-pandailah dia sendiri mencari maknanya kalau dia ingin tahu. Kalau dia tidak ingin tahu, biarkan ayat itu menjadi misteri. Atau campakkan sahaja kad kurang umurku itu ke dalam tong sampah di mana-mana.

Dan akhirnya surat dan kad bergambar bunga mawar merah itu kubalaskan dengan kad kartun tidak cukup umur bertulisan sebaris ayat itu buat dirinya. Seperti ada kejanggalan dua imej yang berbeza itu, namun kurasakan itu yang terbaik. Aku lemparkan senyum semanis maduku itu lalu aku poskan pada dirinya sebagai maklumbalas dariku.
posted by Mirip at 5:32 PM 0 comments

Thursday, July 24, 2008

Tribute to them

Kenapa tanganku masih gatal-gatal mahu menulis lagi. Adakah aku sudah tidak ada kerja lain selain dari itu? Sedangkan masa 24 jam itu sudah terasa benar tidak mencukupi untuk aku tanggung. Kepalaku akan jadi sakit kalau aku pendamkan dan tidak aku luahkan segera. Jadi penulisanku tentunya akan berbaur emosi.

Kali ini aku ingin menulis lagi. Kenapa manusia memandang sesuatu itu secara tidak adil. kenapa sekali lagi aku mengutarakan isu keadilan sedangkan aku sendiri tahu yang keadilan itu kan tidak ada. Adil bagi A , belum tentu adil pula bagi B. Dan cerita mengenai keadilan tentu tidak akan pernah habis. Selagi tiupan sangkekala tidak berbunyi, selagi namanya manusia, jangan diharap pada keadilan.

Aku menulis lagi. Selepas simpatiku tumpah pada 3 hero perwira, yang aku tahu orang akan menganggap mereka sejahat manusia. Baiklah akan aku tuliskan kenapa aku memandang mereka sebagai hero biarpun berjuta umat yang lain memandang mereka sebagai pengkhianat.
Biarlah di kurun ini mereka menghembuskan nafas dengan jelingan dan pandangan mata masyarakat yang mereka ada sejahat-jahat umat tapi percayalah, kalau anda boleh hidup seratus tahun lagi, generasi akan datang itu akan dapat melihat, mereka bukan petualang. Aku ingin sekali menulis novel untul dedikasi pada mereka, malangnya aku tidak pandai mengolah ayat menjadi satu cerita. Yang aku tahu, aku akan segera menulis apa ada dalam hatiku tanpa pengolahan tokok tambah. Kalau namanya novel tentu(mungin) ada tokok tambahnya.

BALI. Satu tempat yang dikunjungi oleh seluruh pelosok pelancong. Kota masyhur menjadi tumpuan. Tapi kenapa, mungkin kalau orang lain menyukai tempat aku langsung tidak menyukainya. Mungkin kerana terlalu banyak aku tidak menyukai apa orang ramai menyukai, menyebabkan aku kadangkala terasing dalam duniaku sendiri.

BALI. Aku tidak nampak di mana keindahan yang harus nikmati, kalaulah keindahan alam ciptaan tuhan itu terlalu dicemari dengan segala pula biasan manusia. Mungkin aku sudah tidak bersikap adil, kenapa aku membenci sedangkan aku sendiri tidak ke sana? Mungkin sekali lagi orang akan berkata, memanglah aku akan berkata begitu, kerana aku tidak pernah lagi ke sana. Cuba kalau aku pergi, tentu aku pun tertegun dengan keindahan Bali. Tapi sayang seribu kali sayang, menjadi aku, aku tidak sekadar mendengar, biarlah kalau orang lain mengatakan kota itu menyimpan jutaan keindahan, tapi aku melihatnya dari kaca mata lain.

Aku ini orang pesisir. Walaupun bukanlah aku ini dibesarkan berdekatan benar dengan pantai. Tapi pantai dan aku amat akrab di zaman kecilku. Bau, udara dan suasana pantai memang dekat dengan jiwaku. Aku akan selalu tidur di pantai, memerhatikan bintang-bintang. Aku dengan rela hati, suka hati tidak kisah makan dalam keadaan sekadar makan di pulau. Mempunyai ayah yang sama denganku, aku selalu tidur malam berbunyikan ombak pantai. Kalau orang katakan aku anti pantai, itu jauh sekali dan sama sekali tidak benar.

Melihat ombak menderu dalam suasana malam, melihat susunan bintang saat pembaringan, sambil telinga-telingaku mendengar cerita-cerita silam dari ayahku sendiri, satu saat dan detik yang tidak aku lupakan. Membakar ikan panggang, memasak nasi panas, bunyi kayu kayu bakaran supaya nyamuk tidak hinggap, aku sudah biasa itu. Jadi jauh sekali kalau katakan aku tidak menyukai keindahan pantai.

Tapi yang sebenarnya terjadi. Pantai tidak pernah bersalah. Pantai sebenarnya satu didikan alam dari Tuhan untuk orang-orang yang memerhati erti kehidupan. Pantai ada seribu kisah. Terlalu banyak yang kita pelajari dari pantai. Tapi yang menjadikan pantai telah tidak mengajar kisah kehidupan lagi adalah kerana orang-orangnya. Orang-orang bukan orang tempatan, orang-orang asing tapi sebenarnya telah menjadikan orang-orang tempatannya sendiri sudah bertukar wajah. Betapa aku tidak akan membawa lagi anak-anakku ke tempat yang aku biasa dahulu. Sungguhlah semakin hari anak-anakku hilang nikmat pelajaran alam, kerana alam sekarang ini, sudah tidak dapat memberi pengajaran baik lagi. Yang tinggal hanya debu-debu kotor orang-orangnya.

Kalau matamu seringkali melihat orang hanya berpakaian sedikit dan secarik sahaja, berhari-hari, apakah yang terjadi. Kalau matamu melihat ciuman itu berada di mana-mana secara terbuka, dan yang melihatnya adalah anak kecil, apakah yang terjadi? Kalau matamu melihat togokan arak itu adalah seperti meminum air sirap biasa, sungguh lama-kelamaan anda akan seronok dengan situasi itu. Bukankah semua itu keseronokan dunia. Badan putih-putih melepak itu adalah seni katamu. Perlakuan tidak bermoral itu pula adalah hak peribadi sendiri-sendiri yang tidak perlu siapapun ambil berat. Dan tidak apa-apapun kalau menogok air kencing syaitan itu.

Sungguh aku melihat sendiri kebobrokan dalam masyarakat setempat dengan adanya ini. Jiwaku jiwa mengembara, aku bukan anti pengembaraan, aku bukan anti pelancong, kerana aku juga sebenarnya pelancong di tempat orang satu hari nanti. Tapi pelancongan itu kalau membawa sekali budaya kuning dan biru itu, akan terjadilah apa yang terjadi. Masyarakat akan hancur bersepai. Hancur dengan satu suasana pulau atau pantai yang sepatutnya indah itu sudah membingit dengan pusat karaoke, atau pusat hiburan.

Sebab itulah kalau diperhatikan, sudah menjadi kerosakan pula sekarang ini. Kerosakan moral yang amat dahsyat hasil dari pendirian yang katanya global itu. Wahai adik-adik perempuanku di luar sana. Berhati-hatilah kalau kalian ke pulau. Apatah lagi kalau pulau itu pulau terkenal. Tolonglah jangan sekadar bertiga kalau mahu snorkelling atau apa sahaja. Bahayanya terlalu besar. Akan ada orang yang memarahiku kerana soal ini, tetapi pandangan hatiku, aku harus memberitahu jangan terlalu mudah memberi kepercayaan.

Kerana aku melihat apa yang terjadi di pulau berdekatan denganku sendiri, jadi aku tahu apa yang terjadi pada BALI. Senarionya sama. Mungkin lebih teruk lagi kerana BALI itu satu dunia pun tahu.

Dari satu segi, orang akan memandang Imam Samudera, Mukhlis dan seorang lagi itu tindakannya tidak patut. Biarlah orang menganggap mereka terrorist, Allah jualah yang mengetahui. Di sebaliknya pula yang terjadi, adalah mereka-mereka yang berada di situ sebenarnya telah terlalu banyak meninggalkan kerosakan yang tidak tertanggung. Anda tidak akan memahaminya kalau anda tidak melihatnya sendiri.

Kalaupun aku akan dicemuh kerana lontaran emosiku ini, aku hanya ingin mendoakan kebahagiaan buat 3 warga tersebut. Moga-moga dengan niatnya mereka peroleh syahid. Mungkin aku akan dihumban ke dalam gaung pandangan serong selepas ini, tapi biarlah...
posted by Mirip at 12:32 PM 2 comments

Hukum karma alam

Mataku tertancap kemas pada wajah kaku dan batu sekujur badan. Rupanya saling sudah tidak tumpah seperti keturunan Firaun, Tutankhamen yang diawet itu. Kalau kukatakan 100 peratus sama, mungkin aku sudah menokok tambah penglihatanku, tapi bolehlah kukatakan 95% tepat.

Beberapa tahun dahulu, ketika aku mengetahui dia sedang koma, aku melonjak kesukaan. Ada rasa puas hati di hatiku. Jahatkah aku? Zalimkah aku kerana menyukai pada satu kesakitan orang lain. Ohh tidak, tidak sama sekali. Bagiku dia seharusnya menerima sebegitu. Apa yang dia terima itu hanya secebis dari segala perlakuan maha hebat yang pernah dia lakukan ketika dia di ambang kuasa. Manusia, sekiranya kuasa berada di tangannya, takhta di pundaknya, wanita apatah lagi juga akan dengan sendiri jatuh di kakinya. Dia yang ketika berkuasa, dengan sesuka hati membalun orang siang dan malamnya tanpa ada sedikit pun perikemanusiaan.

Shabra dan Shatila, tragedi berdarah 1982. Tahun yang sama dengan kelahiran adikku. Pembantaian yang amat dahsyat tapi hanya dipejamkan mata oleh seluruh dunia. Dunia bagaikan buat-buat tidak nampak. Dunia membisu dan sengaja memekakkan telinga tidak mendengar tembakan dan dentuman peluru. Wanita diperkosa seenaknya, anak-anak ditembak. Kelihatan kepedihan di mana-mana. Seorang nenek tua yang kehilangan sekelip mata 27 orang ahli keluarga dalam satu pagi adalah satu perkara yang benar menusuk. Kucingku mati, aku pilu sekali. Apatah pula 27 orang dalam sekelip mata. Aku bagai berada dalam diri mak cik tua itu. Seorang jururawat yang ditembak 57 das tembakan. Kalau biarkan tanganku menulis lagi, akan tuliskan lagi dan cerita ini takkan berhenti di sini, terlalu panjang dan terlalu memedihkan. Dan siapakan orangnya di sebalik semua ini. Dia benar-benar berkuasa sehingga seluruh dunia ini rupanya dan perlakuannya seolah miliknya seorang.

Beberapa tahun dahulu juga, ketika mataku tidak lepas dari menonton Berita Edisi luar negara, Dunia jam 10 atau Dunia jam 11 aku sudah lupa waktu siarannya yang berubah-rubah itu. Waktu siaran sudah tidak penting, yang penting di sini ialah aku sekali lagi merasa ketidakadilan dunia pada segenlintir orang. Sekali lagi aku mendoakan orang yang terlibat itu, tidak lagi mendapat balasan manusia sendiri, tetapi yang lebih tepat adalah balasan dari Yang Maha Berkuasa, pencipta seluruh alam, hanya satu, iaitu Allah SWT. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas orang-orang yang tidak berperikemanusiaan ini.

Itulah orangnya, ARIEL SHARON. Satu-satunya orang yang aku paling aku tunggu-tunggu balasannya di dunia ini. Aku selalu berdoa supaya dia tidak meninggal dunia ini secara mudah, tetapi biarkan peninggalannya atau pengakhiran hidupnya di dunia ini meninggalkan satu pengajaran mudah. Meninggalkan satu kisah hebat bagi yang ditinggalkan dan menjadi sejarah sehingga berkurun-kurun. Jangan menganggap aku ini seorang terrorist kerana mendoakan atau mengharapkan yang sebegitu, aku tidak pernah membenci umat lain, tapi seperti mana-mana ajaran asas agama manapun, perlakuan dia memang tidak harus diterima. Mana-mana budaya atau agama sekalipun, tidak suka pada pembunuhan percuma. Sesenang hati membantai, mencabut nyawa, mengorek mata, mencabul kehormatan orang dengan meninggalkan trauma sepanjang hayat, dan segala kejahatan dunia.

Kini, setelah beberapa lama, aku bersyukur doa ketika aku kecil atau doa ketika kesedihan begitu dimakbulkan Allah jua. Tubuhnya membusuk sedangkan dia masih hidup. Petikan dari email yang aku terima.
"Diberitakan bahawa para doktor di Hospital Hadasa telah memasukkan Ariel Sharon (Bekas PM Israel yang Yahudi)ke ruang operasi untuk dilakukan pembedahan. Ia memiliki luka membusuk dan tidak sedarkan diri selama beberapa minggu.. Operasi tersebut dilakukan untuk menyambung bahagian-bahagian ususnya yang telah membusuk dan telah menyebar ke bahagian tubuh lain.Demikianlah kita saksikan keadaan musuh Allah Subhanahu Wata'ala dan musuh islam yang gemar menumpahkan darah.

Penyumbatan yang terjadi di otaknya menyebabkan kerusakan di sekujur tubuh.
Ini sebagai akibat penindasannya terhadap umat Muhammad Shalallahu alaihi wassalam yang berlangsung terus menerus siang dan malam. Akhirnya ia menderita kelumpuhan di seluruh tubuhnya dan tidak bisa menggerakkannya walaupun hanya menggerakkan mata. Dialah yang memimpin para tentara untuk menyerang Sinai dan Lebanon . ia juga yang menyembelih para tawanan Mesir. Saat ini ia tidak sedar sama sekali dan tidak mengetahui sekelilingnya.
Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala memperlihatkan kepada kita keadaan thaghut yang suka menumpahkan darah ini dengan ayat-ayat Allah Subhanahu Wata'ala yang agung, iaitu membusuknya jasad sedangkan ia masih hidup.

Demikianlah, mereka (para doktor) akan mengamputasi anggota tubuhnya satu demi satu hingga terakhir sedangkan ia masih hidup.
Benarlah firman Allah SubhanahuWata'ala :"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Qur'an itu benar "(Fushilat:53)
Dipetik dari: Majalah Qiblati, vol.01/no. 09/Mei-Juni 2006 terbitan Jeddah, KSA.
* Tambahan : Berdasarkan berita terbaru minggu ini sampai saat ini Sharon masih koma (tidak sedarkan diri) dalam ruang ICU.
"

Kalau ini yang dipanggil hukum karma, dia telah menerimanya. Doa berjuta orang yang teraniaya dimakbulkan. Pengajaran moralnya Allah tidak menerima setiap doa dalam masa sekejap, tetapi mengambil masa bertahun-tahun. Balasan di dunia ini pun sudah begini hebat, apatah lagi pula balasannya di akhirat.

Apakah manusia hari ini masih lagi tidak mengambil pengajaran? Ingatlah sekali lagi, doa orang yang teraniaya itu memang dikabulkan. Tidak kira siapapun kita, ambillah pengajaran dari kisah ini. Jangan sekali-kali berlaku zalim. Bagi sesiapa yang sedang di ambang kuasa, di mana mudah sahaja berlaku kezaliman, samada disedari atau tanpa disedari, beringatlah.

Aku sebagai anak dari ibu dan bapa yang menetap di Terengganu, tidak menghalalkan airmata dan keringat yang keluar dari ibu bapaku dipermainkan. Aku tidak redha pada sebarang penyalahgunaan yang berlaku di sana dengan isu yang berlaku sekarang ini. Kalaupun aku tidak punya kuasa apa-apa, kerana aku orang kecil, tapi cukup kalau aku katakan, berhati-hatilah saat anda di ambang kuasa. Selalu terjadi, apabila kuasa di tangan, mata jadi rambang.
posted by Mirip at 10:44 AM 0 comments

Wednesday, July 23, 2008

Tenggelam manusia dalam nafasnya sendiri

Jatuh bangun kehidupan itu satu lumrah. Aku melihat terlalu ramai orang yang hidupnya jatuh tersungkur, ada yang tidak bangun-bangun, dan aku melihat ada pula orang yang hidupnya dari buangan, atau senang kata dari longgokan sampah, namun Allah berikan nikmat kehidupan kejayaan milik mereka. Itu dengan mata kepalaku sendiri. Bukan omong kosong atau sekadar dari bacaan tulisan orang lain.

Perjalanan hidup ini memang indah kalau dilihat dari sudut keindahan. Dan ia juga tidak kurang pedihnya kalau pula dilihat dari sudut kepedihan. Semakin banyak kita berjalan, semakin banyak kisah kehidupan kita pelajari. Sungguh banyak yang boleh dipelajari, tidak terhitung luasnya alam, luasnya ilmu dan luasnya juga segala susunatur kehidupan, tapi masih juga ada segelintir atau sebilangan orang yang tidak juga peroleh sebarang manfaat darinya.

Aku teringatkan Zainuddin pada cintanya Hayati dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu. Betapa dalam dan luhur cintanya. Dan betapa pula beruntungnya Hayati sempat mendapatkan rasa itu walaupun pengakhirannya tidak seperti diharapkan. Seperti yang aku katakan dulu dan selamanya- keadilan mutlak itu tidak pernah akan ada di muka bumi. Yang ada hanyalah di akhirat.
Simpatiku tumpah pula padanya. Yang aku kira sedikit sebanyak Zainuddin itu adalah biasan Pak Hamka sendiri. Itu di tahun 1936 sebegitu, tetap ada kisah cinta terhalang dua darjat, kalau boleh aku andaikan begitu. Rupanya kuasa wang itu sudahpun bermaharajalela sejak zaman berzaman, apatah pula di zaman ini. Yang kerakusan material semakin menjadi-jadi, dan budi leluhur pun ditolak ke tepi. Orang akan sanggup melukakan malah mencarik hati orang yang selama ini berbudi. Budi apapun sudah tidak dipandang lagi. Malahan yang nampak di matanya adalah ketololan dan kebodohan orang berbudi itu pula. Sungguh satu keanehan yang samasekali jelas, sakit tapi itu yang terjadi.

Yang sering terjadi, mereka akan menganggap mereka berjaya atas usahanya sendiri. Orang lain semuanya pemalas! Tidak pandai mengambil peluang. Lembab dan terkedek-kedek ditinggalkan kemajuan. Padahal yang terjadi hanyalah dengan belas ehsan Allah Taala jualah. Tanpa belas kasihan Allah Taala, walau sekuat mana usaha yang dipikulnya, tidak juga menjadi buah. Tapi mereka tetap juga tidak menyedari bahawa merekalah sebenarnya yang Allah telah katakan Istidraj itu. Diuji dalam limpahan kemewahan. Tidak sedar-sedar, yang apabila sudah sedar nanti, semuanya sudah terlambat. Dari hero sudah bertukar menjadi zero.

Aku melihat semua ini dari mataku. Jauh dan dalam. Dari lubuk paling dalam tersimpan kukuh yang semua ini bukan keadilan. Sungguh tidak adil. Tapi apalah dayaku kerana keadilan itukan tidak pernah akan ada. Sejauh itu, tertanam kukuh dalam hatiku, tidak ada apa-apa yang aku harapkan di dunia ini melainkan semuanya sendiri. Dan sedikit demi sedikit, aku tidak akan memberi hatiku pada insan bernama lelaki selagi masanya belum tiba.

Dan itulah yang terjadi. Sejarah pun terjadi begitu-gitu juga. Lakon layar bermula. Pelakon di pentas kehidupan. Semakin orang mendekat, aku menjauh. Semakin orang datang, aku berlari. Semakin orang berlari, aku bersembunyi. Dan aku tidak ingin sekali kalau yang datang itu memberi bunga-bunga warna kehidupan. Yang sebenarnya terjadi aku takut sekali pada bunga atau keindahan kehidupan. Kerana yang kurasakan di sebalik warna-warni bunga, akan ada duri tajam menusuk. Yang aku rasakan di sebalik indahnya cinta, akan ada hukum alam yang pedih, dan perit yang tidak tertanggung. Aku meletakkan kata putus di situ.

Kerana itu aku menjadi pekak, buta dan bisu pada Azlan. Pekak tidak mengerti pada nada suaranya yang bercampur baur, hatinya terguris. Buta pada apa yang dia telah lakukan. Dan sedikit bisu pada olahan pertanyaan. Akal fikirku tidak dapat mencerna kebaikan yang dia lakukan padaku, yang lebih aku nampak dan membayangi lebih hebat lagi adalah kepedihan. Walaupun yang sebenarnya terjadi, dia tidak memberikan aku kepedihan pun, tapi pelajaran kehidupan jua.
posted by Mirip at 4:36 PM 0 comments

Tuesday, July 22, 2008

Sejarah telah tercipta

Zaman anak-anak, apa yang dihadapkan kepada kita, itulah yang kita percaya. Zaman sekolah, apa yang ada di dalam buku teks itulah yang kita percaya. Tapi kini menjejak alam lebih dewasa, kita akan lebih memahami sesuatu situasi.

Berbeza dengan subjek-subjek lain, subjek Sejarah adalah satu-satunya subjek yang paling tidak relevan. Bukan maksudku meletakkan subjek ini di kelas paling bawah tapi sebenarnya subjek ini sebenarnya boleh berubah-rubah. Ia sangat bergantung pada persepsi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Yang sering terjadi ialah, sudut sejarah yang dijadikan teks dalam buku itu hanya satu sudut pandang sahaja , sedangkan sejarah itu sendiri terjadi kerana beberapa perkara. Ia bukan satu benda yang berlandaskan fakta-fakta mapan yang tetap tidak berubah, berbeza dengan subjek-subjek sains tulen yang lain. Atau berbeza dengan subjek Geografi yang mengukur atau apa-apa sahaja info berkaitan sesuatu tempat. Subjek-subjek ini semuanya berdasarkan fakta yang tetap akan sama tidak berubah.

Berbeza sekali dengan Sejarah. Beribu tahun dulu, rakyat Melaka akan menuduh Hang Jebat itu penderhaka, tetapi zaman ini orang cerdik pandai akan melihat Hang Jebat itu perwira yang mendahului zamannya. Sejarah itu adalah putaran peristiwa. Apa yang berlaku , dilihat dari perspektif yang sangat berbeza.

Kalau dalam buku teks Sejarah dahulu, hanya dikatakan Perikatan= UMNO sahaja lah yang memperjuangkan kemerdekaan negara, itu hanyalah kata-kata dan sudut pandang pemerintah. Sedangkan perjuangan orang-orang lain yang dikatakan berhaluan kiri itu bagaimana?. Kadangkala merekalah yang lebih berjuang dengan air mata dan darah. Atau dengan maruah yang selah-olah dihinjak ke tanah. Aku mengerti perjuangan dan matlamat mereka adalah sama tapi pendekatan yang digunakan adalah sama sekali berbeza.

Menelaah biografi pemimpin-pemimpin yang digelar berhaluan kiri pada masa itu, simpatiku jatuh pada mereka. Hidup dalam buangan, atau hidup sekadar hidup tanpa ada sedikit pun penghargaan, aku lebih mengerti bahawasanya memang hidup ini sememangnya begitu. Ketidakadilan itu berada di mana-mana. Ia sungguh bergantung pada perspektif masing-masing.

Apapun, semuanya telah menjadi sejarah. Samada sejarah itu kita ambil dan jadikan pedoman, atau mengulangi kembali putaran roda yang sama.

p/s : Aku sungguh hairan, tidak masuk akal, rasa mahu berguling-guling dengan ketawa bercampur kemarahan kerana negaraku yang tercinta ini dipimpin oleh orang yang mengatakan DNA 10 tahun itu terlalu lama.

Baiklah aku katakan- walaupun aku tidak sempat jadi doktor perubatan sekalipun, tapi dalam subjek SPM ada dikatakan= Benda asas yang tidak pernah berubah dalam diri manusia adalah DNA. Kalau dinosour itu boleh lagi diukur tahun kewujudannya berdasarkan sedikit fosil gigi yang dijumpai, beribu tahun lamanya itu, apatah lagi nilainya 10 tahun?

Kalau begitu, cop jari dalam IC itu terlalu lama, harus diambil setiap satu tahun. Kerana ianya lama. Begitukah analoginya.

Dunia benar-benar akhir zaman. Aku berada di dunia yang berada di penghujungnya. Berada di bawah satu sistem yang sama sekali tidak masuk akal.
posted by Mirip at 10:24 AM 0 comments

Monday, July 21, 2008

What do you want?

Aku sekarang dalam fasa ketagihan. Ketagih membeli apa yang aku suka beli selama ini. Bulan ini paling banyak aku beli secara online. Aku dah banyak membeli online kerana aku sudah tidak ada masa survey-survey dan cari-cari di kedai sebenar. Masa aku makin suntuk, tapi banyak yang aku tak tahu lagi dalam dunia ni.

Aku ketagihan. Macam ni la agaknya orang yang ketagih dadah tu agaknya. Dia tak boleh hidup kalau tak pekena benda tu. Ketagih ni rupanya tabiat kita sendiri. Pada apa-apa pun.

Walaupun ketagihan aku ini menyebabkan duit aku melayang-layang macam tu aje, tapi aku rasa apa yang aku dapat lebih lagi dari nilai duit yang terbang tu. Dan aku juga ketagih pada satu lagi benda. Aku ketagih kerja. Hahahahha... Agaknya kalau dunia ni ada 30 jam, agaknya 30 jam jugaklah aku ni bekerja. Aku rasa aku ni dah tahap tak ada kerja cari kerja. Tak ada penyakit cari penyakit. Tak ada beban cari beban. Tapi masalahnya bila aku dah makin ketagih dengan kerja aku, aku makin nampak yang aku tak suka dengan rutin harian aku.

Apa nak jadi dengan aku sekarang ni? InsyaAllah , doa dan tawakkal.
posted by Mirip at 11:34 AM 0 comments

Tuesday, July 15, 2008

ketua ketua kelas itu

Kalau kita jadi ketua kelas, dan ada ketua kelas lain mahu mempertikaikan apa jua keputusan yang telah kita putuskan, seperti keputusan time table tanggungjawab kelas kita, adakah kita akan menyerahkan tugas itu kepada penolong ketua kelas? Dan penolong ketua kelas secara lazimnya adalah perempuan. Seimbangkah nanti pertemuan itu? Kenapa tidak kita saja sebagai ketua kelas mewakili kelas kita sendiri.Kisah ini adalah dengan anggapan ketua kelas itu adalah lelaki sejati. Tapi jangan risau kisah ini hanya kisah silam 777 tahun dahulu.

Oh ya terlupa pula. Apabila pihak sekolah telah memberi kesempatan mereka meluahkan persepsi berdasarkan fakta masing-masing, apakah satu kecerdikan penolong kelas itu lebih banyak menyerang peribadi pihak satu lagi? Ini bukan padangnya, tapi ini adalah medan untuk menjelaskan fakta yang dikatakan betul itu. Ahli-ahli kelas masing-masing, seluruh pelajar, guru-guru, pengetua malah pengarah pendidikan sendiri memerhatikan hujjah itu. Penilaian dibuat.Tolonglah berikan penjelasan itu dengan ayat yang mudah difahami oleh semua orang, bukan berbelit-belit atau hanya mengulang-ngulang ayat yang sama, malahan tidah memahami pula pokok persoalan. Ini benar-benar menunjukkan penolong ketua kelas itu benar-benar masih belum layak untuk menjadi salah seorang barisan pemimpin. Secara tidak langsung mencerminkan perwatakan atau prinsip ketua kelas itu sendiri. Tapi boleh diberi credit pada penolong ketua kelas ini kerana dia berani luar biasa mewakili ketua kelasnya.

Ada satu lagi insiden yang agak melucukan, rupanya ada ahli kelas yang nampak nyata gegaran tangannya ya, ketika diberi peluang menyoal ketua kelas yang satu lagi. Mungkin kerana dia sendiri tidak confident pada persoalan dia sendiri. (Lagi ilmu baca gerakan orang)
posted by Mirip at 11:07 PM 0 comments

Di simpang empat itu

Pagi itu seperti biasa, agak tenang walaupun tidak putus-putus kenderaan melalui jalan besar yang betul-betul di hadapan kedai Ayah. Di simpang empat itu, bagai menjadi tumpuan orang kerana dikelilingi oleh barisan-barisan kedai yang kesemuanya dimiliki oleh bumiputera.Iyalah lagipun di sini tidak ada masyarakat majmuk pun, kesemuanya dari ras yang sama.

"Mak, tolong adik mak," tiba-tiba keheningan pagi itu diganggu oleh jerit pekik adikku yang terlolong-lolong tidak ketahuan. Aku yang berada di dalam kedai Ayah, cepat-cepat keluar.
Aku melihat adik lari lintang pukang, gaun kembang skirt paras lututnya kembang ditiup angin. Habis barang-barang dalam tangannya dia pelantingkan begitu sahaja.
Adikku dikejar Pok Mat Gila. Kasihan, pasti anda sudah tahu siapa Pok Mat melihatkan pada hujung namanya sahaja.

"Huish dia ni lagi," serentak aku mendengar suara Pak Noor. Dibalingnya selipar jepun hijau itu ke arah Pok Mat. Balingan terkena pada bahunya. Memang tepat balingan Pak Noor itu kerana bukan niatnya untuk dibalingkan selipar itu di wajah, tapi cukup sekadar menakutkan Pok Mat.

"Jangan kacau budak kecil ni lagi," Pak Noor menyergah Pok Mat. Dia berhenti dari mengejar adik kecilku. Perlahan dia berjalan berlalu pergi menghilangkan diri di sebalik deretan kedai.

Adik menerpa aku dan Ibu di belakang Pak Noor.
"Kecik aje Mak tengok adik lari tadi, macam halusss je, laju betul anak mak ni lari ye," emak sempat mengusik adik yang kini berada dalam pelukannya.

Pak Noor senyum. Dia sudah biasa dengan perangai Pok Mat. Sebenarnya itu sahajalah caranya yang harus dilakukan supaya Pok Mat tidak berkeliaran dan mengacau lagi orang-orang di situ. Nampak sahaja Pak Noor ini sedikit kasar, tapi selalunya dia jugalah yang akan mengajak Pok Mat makan di warung Mak Cik Ani.

Di simpang empat itu, yang sebenarnya menjadi alamat pengenalan untuk dihantar sebarang surat menyurat, di antara deretan kedai-kedai itu aku, adik dan juga anak-anak penghuni selalu akan berlari-larian, tidak tahu mengejar apa, mungkin kerana larian itu sudah sebati kalau namanya anak kecil.

Deretan kedai kami, ada 6 kedai yang berbagai-bagai jenis urusniaga. Kedai-kedai ini bersambung di belakangnya menjadikan ianya rumah kediaman. Ada juga pemiliknya yang tidak menetap di situ kerana sudah ada rumah lain, tapi kebanyakannya menetap di situ. Di sebelah kedai Ayah,paling hujung ada rumah kedai yang agak istimewa berbanding kedai-kedai lain. Ku katakan istimewa kerana rumahnya panjang sampai ke hujung dan mempunyai loteng khas dibahagikan dengan beberapa bilik. Berbanding kedai-kedai lain, bahagian belakang yang dijadikan kediaman agak pendek dan tidak berbumbung walaupun keluasan kedainya memanjang. Tapi akhirnya kesemua pemilik memasang bumbung mempergunakan had maximum kediaman itu. Kembali kepada rumah kedai di sebelahku yang agak istimewa itu, telaga rumah kami berkongsi dengannya. Sebenarnya setiap dua rumah kedai itu berkongsi dengan satu telaga. Paip air kegunaan rumah kami yang diambil dari telaga itu, airnya sangat sejuk menusuk tulang. Berbanding telaga dan pemilik rumah lain, telaga milik rumah hujung itu mempunyai satu lagi benda yang menarik yang tiada pada pemilik rumah lain.

Benda memanjang itu sungguh ajaib kerana air yang keluar dari gerakan atas dan bawah hujungnya yang satu lagi itu akan mengeluarkan hamburan air yang maha kuat. Kalau mandi di bawahnya akan terasa seperti mandi air terjun, apath lagi kalau mandinya di waktu panas siang hari. Memandangkan telaga lain tidak ada benda yang kuanggap ajaib itu, aku selalunya akan gembira sakan kalau dapat mandi di situ. Sebenarnya bila aku besar sedikit, akhirnya kutahu alat itu dinamakan tuas. Kalau secara tradisinya orang mengangkut air secara manual menggunakan tenaga manusia, dengan adanya tuas ini, tenaga hanya diperlukan untuk mengangkat dan menurunkan tuas di hujungnya dan air akan keluar selaju mungkin dari hujung satu lagi , menghasilkan air berkali-kali ganda berbanding kaedah manual itu. Teknologi yang amat mudah dan simple tapi hasilnya berbeza.

Berpeluang mandi di situ hanya sementara kerana pada satu masa kemudiannya, ada orang yang menyewa di kedai hujung itu. Tentulah kami semua tidak lagi berpeluang mandi manda lagi di situ. Sebenarnya rumah hujung itu agak istimewa kerana menjadi tempat persinggahan pemilik deretan rumah sewa itu. Pemilik itu yang kukenal namanya sebagai Pak Noor dan isterinya yang kecil molek kupanggil dengan nama gelar Mak Cik Ani. Mempunyai banyak rumah kedai untuk disewa setiap bulan pada zaman itu sudah menunjukkan tahap keberadaan keluarga Pak Noor. Ketika aku masih sangat kecil, tetapi memori sudah terkumpul dalam kotaknya, aku masih ingat ada warung kopi kecil berhadapan dengan kedai hujung itu, dimiliki oleh Mak Cik Ani. Selalu menjadi tumpuan pelanggan dan juga pemilik kedai ini untuk melapik perut di waktu pagi. Dan waktu operasi warung kopi kecil itu seingat aku berlanjutan sehingga selepas sedikit waktu makan tengahari. Jadi sebenarnya kawasan itu cukup lengkap dengan segala urusniaga dan keperluan orang ramai. Tetapi akhirnya pada suatu hari, secara tiba-tiba ada jentolak yang merobohkan warung kecil Mak Cik Ani. Rupanya warung kecil itu dirobohkan kerana pihak perbandaran ingin membesarkan longkang di jalan utama itu selepas banjir besar melanda kawasan itu pada tahun 1985. Banjir yang menyebabkan aku dapat mandi manda dengan senang hati di dalam rumah tanpa memikirkan yang ibu Ayahku sedang resah kerana air sudah makin meninggi ke paras pinggang. Pertama dan terakhir kali kawasan itu banjir besar sebegitu. Banjir yang pada mulanya menjadi kegembiraan pada kami tapi akhirnya kami (aku dan adik) berpelukan ketakutan pula berdiri di atas katil yang dialas dengan batu-bata melihat air tidak surut seperti kebiasaan. Akan aku ceritakan di lain kali perihal banjir besar tahun itu.

Oh ya, rumah persinggahan Pak Noor ini, di depannya menjadi bengkel membaiki kereta dan segala alat keperluan jentera-jentera kenderaan yang besar-besar. Tapi selepas Pak Noor meninggal dunia, kedai ini menjadi kedai jahit milik sepasang suami isteri yang lain pula.

Di sebelah kedai ayah, selalu bergantian orang. Rumah kediaman kosong, tapi di depannya jiran sebelah Ayah yang satu lagi selalu mengambil tempat itu untuk menjadi premis tambahan perniagaannya. Di sebelahnya pula, bengkel membaiki kereta, selalu tidak putus-putus orang dan kereta berderetan di situ. Aku pun tidak pasti samada kereta itu memang kereta-kereta pelanggan yang memang rosak atau sememangnya kereta yang sengaja diletakkan di situ sebagai salah satu strategi perniagaan. Pemilik kedai hebat ini namanya Bang Ali, umurnya dalam 30 an. Bang Ali mempunyai ramai pekerja, dalam empat atau lima orang setiap masa, menandakan perniagaannya memang maju. Seperti juga Pak Noor, bidang khusus Bang Ali adalah segala perkara teknikal berkaitan kereta. Dari pembaikan luaran kereta sehinggalah ke pembaikan lubang-lubang enjin hitam sebarang kereta dapat dibaiki Abang Mat dan pasukannya. Pekerja Abang Mat ini sering silih berganti juga, aku sendiri tidak dapat mengecam yang mana satu pekerja tetap dan yang mana satu pula pekerja yang sementara kerana mereka semuanya lelaki-lelaki muda dan aku kadangkala takut pula melihat mereka. Mungkin perasaan takut itu kerana sebilangan besar orang-orang di situ semuanya berlawanan jantina denganku walaupun mereka semuanya baik-baik belaka dengan Ayahku. Kadang-kadang aku selalu mendengar mereka menyanyi-nyanyi entah lagu-lagu apa di waktu-waktu malam, sambil mengecat kereta-kereta di kedai kosong yang bersebelahan dengan kedai Ayah itu. Kalau waktu hari Jumaat, selalunya aku dan Emak akan masuk melalui pintu belakang kedai kosong itu dan melihat apa-apa benda yang ada di situ. Kalau ada tin-tin cat kosong yang di buang merata-rata, di hujung kedai tidak berbumbung di belakang, Emak akan ambil dan letakkan di satu tempat di penjuru atau terus buangkan. Cat-cat kosong sebegitu, kalau dibiarkan bertakung, bukankah akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Budak-budak muda ni macam ni la, larang tak makan saman, baik mak buat sendiri," kekadang keluar juga semburan emak pada anak-anak muda ini. Tapi semburan itu hanya diluahkan kepada aku sahaja.

Di dinding kedai, aku melihat contengan anak-anak muda itu. Cat yang harus digunakan untuk kereta dihabis atau disengajakan membentuk tulisan-tulisan luahan hati anak muda di dinding kedai itu. Habis lah rosak kedai. Aku kadangkala jadi hairan juga, samada Pak Noor tahu atau tidak ambil tahu keadaan rumah kedainya yang satu ini.

Habis deretan 5 kedai itu. Ada lorong kecil menjadi laluan jalan kaki. Hanya kecil memuatkan dua orang kalau berdiri sisi. Selalunya lorong kecil ini menjadi laluan aku untuk ke kedai runcit Abang Harris dari pintu belakang rumahku. Ketika masih anak kecil, aku tidak kisah untuk terus melintasi anak-anak muda atau pelanggan yang ada di depan deretan kedai untuk ke kedai Abang Harris, tapi meniti usia yang sedikit remaja, aku jadi malu sendiri. Walau jaraknya dekat, berjalan sendirian sambil diperhatikan sekumpulan anak muda, atau pelanggan yang kebanyakannya lelaki, fitrahnya aku jadi malu. Walaupun kalau mereka sendiri tidak ada masa memerhatikanku, seboleh mungkin aku jarang akan lalu di depan mereka. Untuk membeli keperluan dapur, aku akan keluar melalui pintu belakang rumah, dan berjalan di belakang deretan rumah kedai itu, melalui lorong kecil itu, dan tup, aku akan berada di depan kedai Abang Harris.

Kedai runcit Abang Harris luas, warnanya biru muda, berbeza dengan warna deretan kedai kami yang semuanya warna coklat. Pemandangan yang kontras itu memudahkan orang mengenali Abang Harris. Orangnya masih amat muda, dalam lingkungan awal 20-an. Amat baik hati, putih melepak, berkumis nipis dan amat baik dengan Ayahku.

"Abang Harris tu budak baik," sering aku mendengar Ayah berkata begitu pada Emak.

"Dia nak ikut kita pergi Pulau Perhentian," satu hari aku dengar Ayah mengeluarkan kata-kata itu pada kami.

Sepanjang yang aku kenal Abang Harris ini pun, memang dia sedikit berbeza dari anak muda yang ramai di sebelah ruamhku itu. Penampilannya dan perwatakannya memang berbeza. Kalau dia putih melepak, seolah tidak menggambarkan dia orang Melayu, anak-anak muda di sebelah rumahku itu berwajah Melayu Asli yang agak sedikit kecoklatan atau sedikit gelap, ditambah dengan corengan minyak hitam yang terpalit di wajah. Selain perbezaan pekerjaan yang memungkinkan terjadinya perbezaan fizikal itu, perwatakan mereka juga berlainan. Abang Harris sedikit pendiam manakala budak-budak muda itu tadi sedikit kecoh dan melaung-laung itu sudah menjadi satu bentuk kelaziman. Dan satu lagi Abang Harris ini suka berkawan dengan orang yang lebih berusia. Dia selalu bertandang ke rumah kami di waktu petang untuk sama-sama makan keropok lekor yang digoreng Emak. Kebetulannya dia juga menetap di situ, di belakang kedai runcitnya didirikan bilik khas untuknya. Masih bujang ketika itu. Mengingat dirinya juga, hatiku jadi pedih mengenangkan dia orang baik, tapi nasibnya kini tidak sebaik mana. Kalau diukur yang nasib baik itu kedudukan duniawi, Abang Harris tidak termasuk dalam orang yang bernasib baik tapi juga bernasib walang.

Di hujung kiri kalau di lihat dari jalan utama itu, bersebelahan dengan kedai runcit Abang Harris, terdirinya kedai makan. Menceritakan kedai makan ini, aku melihat beberapa transformasi berlaku. Tempatnya yang dipenjuru dan luas itu, di penjuru kedai dan di penjuru simpang merupakan satu tempat yang agak strategik. Kalau dikatakan tempat strategik itu salah satu faktor utama perniagaan, memang ianya menepati kehendak. Namun yang terjadi adalah kedai di situ sering bertukar-tukar pemilik. Dan juga bertukar bentuk perniagaan. Jadi kalau dikatakan faktor kedai yang strategik dalam menentukan kemajuan satu-satu perniagaan, kedai di penjuru itu terbukti bukan.

Satu waktu, kedai itu dijadikan restoran, dimiliki oleh sepupu jauh Ibuku. Tidak tahu kenapa, tidak lama kemudian diambil alih orang lain. Ditukar namanya menjadi RAMLEE CAFE. Di waktu itu, konsepnya sama sekali berbeza dengan restoran makanan lain. Ia bagai menjadi satu fenomena di kawasan itu kerana semua orang tahu Ramlee Cafe. Dengan dekorasi dalaman yang agak canggih, (sebenarnya orang hari ini memanggilnya dekorasi moden ala-ala cafe style). Warna dinding yang terang, lampu-lampu yang mahal, dan sebenarnya tidak ada lagi kedai lain yang sebegitu.

"Cepat-cepat pastikan anda datang ke Ramlee Cafe, di simpang empat..." Tidak pernah ada dalam sejarah tempat perkampungan (atau perbandaran, aku tidak pasti) yang pembukaan kedainya sampai diiklan di radio. Radionya di 2 negeri berbeza, kerana tempatku itukan sedikit unik. Dua dalam satu. Satu dalam dua.

Pembukaan cafe baru itu dipenuhi ramainya orang. Ada belon-belon warna warni percuma untuk anak-anak kecil. Ketika itu aku jadi hairan juga kenapa orang jadi seramai itu, melebihi hari-hari biasa. Rupanya ramai pelanggan hari itu dapat menikmati makanan percuma. Menunya aku sudah lupa tapi antara menu utama kedai. Seperti aku katakan tadi, kedai ini bukan restoran biasa, makanannya sedikit berbeza dari tempat lain. Roti-roti yang bila dimakan akan berderai kulitnya itu diberi percuma sahaja kepada pelanggan. Anak-anak kecil seperti aku menerima tambahan satu scoop aiskrim. Aku tidak tahu nama roti itu tapi akhirnya aku tahu roti itu kalau zaman ini dipanggil croissant. Satu menu baru, yang berbeza sama sekali bagi budaya masyarakat di situ.

Tapi malangnya, Ramlee Cafe itu juga tidak bertahan lama. Di awal-awalnya mungkin ya, ramai pelanggan datang, tapi dari sehari ke sehari, pelanggan makin menyusut. Mungkin kerana makanan yang disediakan itu tidak dinafikan sedap, dan menarik, cantik dan tertarik, tapi agaknya ia bukan makanan harian masyarakat di situ. Atau mungkin kerana ianya menarik dan tertarik, harganya agak sedikit mahal, walaupun kalau hendak di kira mungkin bagi pemilik kedai, ianya tidak semahal mana berbanding upah dan kos segala pengurusan cafe yang agak moden itu. Pengajaran perdagangan hari ini adalah, tidak semua teori dalam buku management business studies itu tepat dalam alam realiti. Dalam buku, mungkin katanya terjun dalam 'blue ocean' itu bagus kerana masih tidak ada orang yang memasuki pasaran itu, tapi sebenarnya selain dari terjun begitu, perlu kajian tambahan yang lain. Kalau di nilai semula, lokasi Ramlee Cafe itu dengan jenis perniagaan itu amat tidak terlalu sesuai dengan masyarakat kami yang makanan utamanya adalah nasi juga dan tidaklah boleh diganti dengan roti atau apa-apa jenis croissant sekalipun. Dan kalau dibeli satu jenis sahaja untuk dialas perut, itu belum mengenyangkan kalaupun tidak pada sebahagian besar guru-guru. Apatah lagi lah bagi penduduk yang kerjanya menggunakan sepenuh daya tenaga. Sekeping croissant tidak cukup, dan harus dibeli beberapa keping lagi, jumlah sekali beli itu sudah berapa ringgit. Kalau sehari dua, boleh lagi mencuba tapi kalau hari-hari, jawabnya pokailah orang-orang di situ. Itu penjelasan logik akalnya kenapa perniagaan Ramlee Cafe itu tidak dapat bertahan lama walaupun dari segi promosi dan marketingnya, amat bagus kalau dinilai dari pandangan mata kasar. Aku tidak pernah mendengar lagi perihal pemilik Ramlee Cafe itu, mungkin pihak pengurusannya pun sudah membuka Cafenya di tempat atau di bandar-bandar besar yang lain kalau diambil pengajaran dari jatuhnya Ramlee Cafe di situ. Selepas jatuhnya Ramlee Cafe, sudut itu selalu bertukar-tukar corak dan pemilik perniagaan. Dan aku pun sudah tidak perasan atau mengingati lagi apa yang terjadi di situ selepas aku berpindah sekolah asrama dan ibu bapaku sendiri berpindah dari situ.

Tidak ketinggalan ,membentuk huruf L, bersebelahan Ramlee Cafe, ada satu lagi kedai makan kecil berasaskan Tomyam. Dimiliki sepasang suami isteri yang kedua-duanya pandai memasak. Sampai hari ini pun, kedainya masih ada beroperasi.
posted by Mirip at 11:20 AM 0 comments

Monday, July 14, 2008

Ubat itu pahit

Apabila hidup sering melihat kepahitan, akan ada dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, kepercayaan akan jadi sedikit demi sedikit merudum dan terus tenggelam dalam kepahitan yang sama. Tidak akan mempercayai walau datang beratus motivator. Katalah apa saja, kata-kata motivator itu tidak membekas pun di hati. Itu hanya kata-kata orang cari makan. Kemungkinan kedua adalah yang lebih baik sedikit, bangkit dan cuba melawan kepahitan. Menganggap kepahitan itu satu keadaan normal dalam menjalani kehidupan. Boleh jadi ianya seolah menelan ubat pahit untuk menyembuhkan penyakit dalam badan.

Dua pandangan berbeza dalam satu situasi yang sama.
posted by Mirip at 3:30 PM 0 comments

Thursday, July 10, 2008

permata negara

Zaman kecil adalah zaman penuh keindahan. Siapa pun tak akan menafikan akan hal ini. Saat inilah yang seharusnya diisi dengan segala macam input dan bekalan agar satu hari nanti, anak-anak kecil ini yang akan menjadi generasi baru setiap bangsa, output yang terhasil adalah membanggakan. Anak-anak yang terhasil inilah yang akan membentuk negara kita satu hari nanti. Betapa sekiranya anak-anak kecil ini diasuh dengan sesempurna mungkin, ya itulah yang akan negara kita dapati. Rakyat yang memahami akan setiap tugasannya, akan setiap tanggungjawab yang harus dia laksanakan. Bukankah anak-anak kecil ini yang akan menjadi tiang negara satu hari nanti.

Kerana itu, aku jadi simpati pada anak-anak kecil yang hidupnya mengalami trauma. Atau anak-anak kecil yang hidupnya sekadar hidup.Ramai sekali. Ramainya antara mereka adalah anak-anak mangsa perpisahan ibu bapa. Membesar tanpa ada sesiapa membantu menunjuk arah apakah jalan A itu benar, atau apakah jalan B itu benar. Tidak ada sesiapa yang membantu. Alih-alih, dari tahun ke tahun, anak-anak kecil ini tetap juga membesar. Ya, setiap tahun pun begitulah. Membesar sendirian. Akhirnya apa yang ditakuti selama ini tetap terjadi. Anak-anak kecil ini yang satu ketika dulu dibiarkan, hidup sekadar makan dan minum, tanpa ada bantuan tangan-tangan mengasuh, bertukar menjadi satu barah. Barah ini merebak dalam masyarakat. Mereka bertukar menjadi remaja bergelandangan, atau remaja yang terbiar menentukan arah sendiri. Sayang sekali anak-anak kecil yang dahulunya bersih sudah bertukar rupa menjadi sang kutu rayau, sang pencopet, merempit dan segala macam perlakuan yang masyarakat hari ini istilahkan dengan gejala sosial. Tidak kurang juga remaja atau anak muda yang inginkan kesenangan cara pantas tanpa menghiraukan cara dipilihnya itu amat songsang. Hilang sudah permata negara, hilang sudah srikandi negara. Yang ada hanya masyarakat kucar kacir tidak ketahui mana hujung dan mana pangkalnya. Tidak tahu di mana salah puncanya.


Mujurlah aku antara insan bertuah, yang sempat menikmati alam kanak-kanak penuh bahagia. Walaupun tidak terlalu manis, tapi sesungguhnya alam kanak-kanak itu banyak sekali mengajar aku erti kehidupan. Melihat sesuatu bukan dari permukaan, tapi lebih dalam lagi kerana berpeluang melihat sendiri keadaan. Sungguhpun bukanlah terlalu indah, kerana mungkin ada lagi insan lain yang zaman kanak-kanaknya penuh keindahan, dan zaman kanak-kanak aku pula disulami dengan berbagai ragam kehidupan, sebenarnya zaman ini banyak membentuk diriku menghadapi alam dewasa.

Aku ada mengenali seseorang yang kisah hidupnya amat tragis. Mengenali dirinya hatiku jadi pilu kerana asalnya dia kanak-kanak lelaki yang baik. Namanya Sham. Usianya tua setahun dariku. Malang baginya kerana nasib baiknya itu tidak berterusan sehingga alam kedewasaannya. Dia tewas dengan kehidupannya sendiri. Mengenali dirinya di zaman kanak-kanak, hatiku akan jadi pedih mengenangkan nasib dirinya. Sehingga kini, aku masih mengharapkan masih ada jalan pulang buat dirinya.
posted by Mirip at 5:20 PM 0 comments

Wednesday, July 09, 2008

Gunung Ledang

"Hany, Hany," panggil rakan sefakulti, Eny. Wah nama yang hampir sama rupanya. :)

Ketika itu kelas belajar-belajar bahasa. Bukan bahasa percakapan harian, tapi sejenis pelajaran bahasa komputer. Kemampuan dan skill menggabungjalinkan antara Logic dan peraturan. Bahasa yang aku pun tak tahu kenapa akhirnya aku terjebak dalam mempelajarinya. Kepala sudahlah pusing dengan segala jenis void, atau printf atau scanf, lalu dengan malasnya aku berpusing 180 darjah pada Eny.

"Ha Eny, kenapa?" aku senyum pada Eny dan kawannya. Aku kenal namanya walaupun tidak selalu berurusan dengannya. Kak Ita dan Eny senyum padaku. Disikunya tangan Eny, memberikan isyarat.

"Macam ni, kami ada projek bagus punya, kau nak join tak?" Eny si kecil dan berparas seperti sedikit kecinaan itu menuju pada point sebenarnya, tapi masih tidak mahu berterus terang.

Aku capai beg sandang. Sangkut ke belakang. Ambil buku-buku dan nota sambil terus bertanya soalan yang semua orang pun akan tanya semula kalau diajukan soalan pertama tadi, "Iyalah, projek pun projek la, cakap la dulu."

"Jom keluar kelas dulu," Kak Ita mengajak. Dia dan Eny sebenarnya tua setahun dariku, tapi kerana masalah kegawatan ekonomi tahun 1997 itu menjadikan dia dan ramai lagi pelajar yang seangkatan dengannya seperti mundur 1 tahun ke belakang. Maknanya mereka akan sekelas bersama-sama dengan rakan-rakan yang muda setahun dari mereka. Jadi ramai rakan-rakanku yang sekelas, satu batch yang berbeza umur. Ada yang di panggil Kak di depan namanya, atau ada juga yang sekadar 'ber aku engkau' tanpa mengira pangkat usia.

Kak Ita dan Eny itu sebaya sahaja. Tapi yang berbeza aku memanggil Eny tanpa panggilan Kak di depan namanya, berbeza dengan Kak Ita, walaupun yang sebenarnya antara si Eny dan Kak Ita ini tidak pernah berenggang. Kemana-mana sahaja berdua. Lecture subjek tentulah sama, kelas tutorial pun sama. Macam belangkas la kalau perumpamaannya. Sebilik pula tinggal di hostel.

Kami bertiga berjalan keluar kelas tutorial, di celah-celah himpitan raksaksa mamat-mamat besar rakan-rakan sekelasku yang lain. Kami yang kecil-kecil ini rasa macam terperonyok sahaja kalau berebut-rebut begitu.

Blok kuliahku itu panjang. Kalau waktu tiada orang, boleh juga di rasakan seperti berada di penjara kerana sunyinya itu dan gelapnya kalau hanya dipasang lampu-lampu kecil di atas boleh juga mengecutkan hati yang tidak kuat iman. Mungkin kerana blok yang panjang menjadikan cahaya luar tidak masuk ke dalamnya, jadi harus di pasang lampu di syiling. Bilik-bilik kecil berderetan di kiri kanan itu boleh di anggap sel-sel penjara. Tetapi apabila masuk ke dalamnya, segala gelap itu akan menjadi cerah, kerana disinari oleh cahaya siang hari dari balik tingkap yang besar-besar itu.

Keluar dari pintu besar blok yang menempatkan bilik-bilik kecil untuk kuliah itu, Bangggg. Terkejut aku dibuatnya. 3 kepala serentak berpaling ke belakang. Pintu blok di tutup dengan sangat tidak bertimbang rasa. Serentak tersengih-sengih di sana Ravi, pelajar paling pintar di kelasku ketika pre-u, Nazmi, budak tinggi lampai dari Kota Tinggi dan Krishan, budak chindian mix antara ibu berbangsa cina dan ayah berbangsa India. Biasalah budak-budak tak cukup umur lagi, bukannya kira tutup pintu secara itu akan menyebabkan orang-orang yang ada penyakit jantung akan luruh jantungnya, akan putus urat-urat sarafnya kerana terkejut.

Kami bertiga tercegat di tepi itu. Membiarkan orang-orang reda. "Terkejut ke?" Nazmi bertanya sambil tergelak-gelak. Entah apa yang menjadi lelucon padanya. Padahal kami bertiga berdiri di situ kerana akan membincangkan projek rahsia kami itu.

"Kau nak ikut kami tak?" sekali lagi Eny bertanya. Aku dan dia tidaklah serapat mana, tapi aku tidak pasti kenapa kali ini mereka mengajak aku menyertai projek mereka.

"Pergi mana?" itu soalan dariku.

"Macam ni, aku dengan Ita nak pergi satu tempat. Tapi kami dua orang aje girls. Boys tak akan benarkan kami ikut serta kalau aku tak cari orang lagi," sambung Eny.

"Jadi, korang nak ajak aku la ni?"

"Iyalah, nak ajak la ni, ko nak pergi tak?" Kak Ita pula mencelah. Baju hijau yang dipakainya terbang-terbang ditiup angin.

"Kau tak cakap lagi nak pergi mana?" angin tak ada ribut tak ada, terus nak ajak aku ni.

"Gunung Ledang, ko nak tak?" Eny terus menjawab. Agaknya tadi dia lupa nak menerangkan duduk perkara sebenarnya.

Ohhhh Gunung Ledang rupanya.

"Nak." pendek aku menjawab.

"Kan aku dah kata, ajak Hany mesti dia nak punya," Kak Ita memandang pada Eny.

"Kenapa? Takkan tak ada orang nak pergi dah. Kalau campur aku baru 3 orang?" aku bertanya. Agak musykil kerana tidak ada pula poster-poster di mana-mana. Mengajak sesiapa yang berminat ikut serta.

"Ni plan bebudak laki je. Aku dengar Epi cakap team diorang nak pergi. Aku cakap la kami nak ikut.Aku dah lama nak ikut benda-benda ni," Eny menerangkan sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke arah Kak Ita. Kak Ita seperti biasa mengangguk-angguk tanda persetujuan.

"Tapi diorang tak kasi kami pergi, kalu kami dua orang aje," sambung Kak Ita.

"Jadi?" soal aku.

"Aku dah ajak geng-geng aku, tapi diorang tak nak ikut. Last-last cadang aku tanya ko aje, nasib ko nak." Eny terang penuh semangat. Seolah pasti yang rancangannya mahu ikut serta team Epi berjaya dengan kemasukan aku ke dalam teamnya.

"Aku nampak nama ko dalam list student persatuan rekreasi dan outdoor," Kak Ita menyambung." Tu yang aku rasa macam nak ajak kau"

"Oooh,aku, no problem," memang aku ada menyertai kelab itu di awal-awal pemilihan ahli dahulu. Tapi aku pun tidak ambil hirau sangat pada aktiviti dan siapa ahli-ahli penting jawatankuasa tertinggi kelab tersebut.

"Dah tu 3 jelah," lagi aku bertanya, inginkan kepastian.

"Setakat ni kita tiga orang je lah, nanti aku cari-cari lagi siapa lagi nak join." Eny menunjukkan semangat kental dan tidak putus asa mencari orang untuk menjayakan misinya menawan Gunung Ledang.

Aku tidak pernah ke sana. Malah Gunung Ledang yang terletak di Johor, satu-satunya negeri yang kakiku tidak pernah jejak lagi di Malaysia ini. Tidak pernah ada urusan dan tidak ada saudara mara yang menetap di sana. Negeri-negeri lain sudah selalu aku dan keluarga berjalan dan travel. Jadi mendengar sahaja akan melakukan ekspedisi ke Gunung Ledang itu, walaupun aku pun tidak pernah tahu ketinggiannya, hatiku melonjak ingin ke sana.

Gunung setinggi 1,276 meter itu sebenarnya mengajar aku satu lagi erti kehidupan.
----
Hari yang ditunggu-tunggu tiba. Kami semua berkumpul di depan pintu pagar utama taman ilmu itu. Pagar yang memisahkan samada kami berjaya mencapai cita-cita atau tidak.

Dalam ramai-ramai selain dari Eny dan Kak Ita, ada seorang lagi kaumku yang akan ikut serta. Aku tidak kenal dia. Jadi jumlah peserta perempuan adalah seramai 4 orang.Aku akan ceritakan mengenai kawan baruku ini kemudian.

Peserta lelaki pula dalam berbelas-belas orang juga. Aku tidak bilang jumlahnya. Ramai yang aku tidak kenal, kecuali dua orang. Firdaus, juga teman sekelas ketika pre-u, dan Faizal jiran kelasku juga ketika pre-u. Mereka kukenal kerana sama-sama menyertai aktiviti Usrah. Berbanding Firdaus, yang selama 3 semester itu menjadi teman sekelasku, aku lebih baik sedikit dengan Faizal, mungkin kerana kami bercakap dalam dialek yang sama. Lagipun rumahnya ketika di taman ilmu kami yang pertama adalah di belakang rumahku. Dan selalu juga apabila pulang ke rumah masing-masing, kami menaiki bas yang sama. Bas apa lagi zaman itu kalau bukan Bas Budaya. Antara aku dan Firdaus pula, kedua-duanya ada berlian dalam mulut, jadi jarang sekali aku dan dia berurusan walaupun sekelas dan rakan baiknya yang seorang lagi adalah rakan baikku.

Oh ya, selain dari Firdaus dan Faizal, ada seorang lagi senior lelaki. Abang Mat namanya. Dia seniorku ketika di kolej dan ketika ini aku tahu dia sebenarnya teman istimewa teman rapatku. Walaupun aku tahu dia itu teman istimewa kepada kawanku, Amy- (juga tua setahun dariku, tapi dia lebih menyukai berkawan dengan geng kami dari geng batch asalnya) tapi kerana aku dan dia tidak pernah ada urusan, jadi seolah-olahnya aku dan dia pun macam tidak mengenali antara satu sama lain.

Selain dari mereka bertiga, aku tidak mengenali rakan-rakan ekspedisi yang lain. Ada yang tidak diketahui kewujudan mereka. Mungkin mereka pun sama, berperasaan begitu terhadapku. Sama-sama tidak mengetahui kewujudan masing-masing.

Kami menaiki bas yang dipandu oleh seorang lelaki pertengahan usia yang akhirnya kutahu namanya Pak Cik Akhil berusia dalam lingkungan 40-an. Misainya lebat, bibirnya hitam menandakan dia seorang yang kuat merokok. Rambutnya berkeluk-keluk lebat mengingatkan dia pada Ayahku. Wajahnya agak sedikit menyeramkan sekali pandang kerana matanya yang sedikit cengkung masuk ke dalam, mungkin kerana pekerjaan sebagai pemandu bas itu kerapkali berjaga malam. Tapi sebenarnya aku dapat rasakan mungkin dia seorang bapa yang penyayang pada anak-anaknya kerana dia akan tersenyum pada setiap dari kami membayangkan dia gembira ikut serta dalam perjalanan kami.

“Saya Hanany, panggil je Hany” kuhulurkan salam persahabatan pada teman baruku tadi. Tidak pernah aku lihat kelibatnya lagi sebelum ini.
“Oh, saya Mariam,” balasnya seraya menyambut huluran salamku. Tahulah aku yang rupanya sahabat baruku ini sama sepertiku, beragama Islam walaupun parasnya lebih kepada Sri Devi, pelakon Bollywood itu. Atau Kajol Mukherjee pelakon Kuch Kuch Hota Hai yang amat meletup satu waktu dulu.

Aku duduk bersebelahan, Mariam sahabat baru kenalku tadi di tempat duduk paling hadapan, betul-betul di belakang Pak Cik Akhil.
Setelah cukup kiraan ahli, bas bertolak menuju Tangkak. Maka bermulalah perjalanan kami.

“Saya memang suka kalau dapat join aktiviti begini,” Mariam menyambung bicara selepas masing-masing bercerita perihal diri masing-masing. Lebih tepat dari fakulti dan course apa memandangkan kami saling tidak mengenali sebelum ini.

“Saya pun, tapi dah lama saya tak ikut mana-mana aktiviti sekarang ni.” Sememangnya kali terakhir aku terlibat dengan aktiviti hutan begini pun ketika di maktab. “Awak biasala ek join benda-benda macam ni?” aku menyambung Tanya.

“Aa’h selalu. Saya memang suka naik turun gunung ni,” Mariam menjelaskan.
“Iya?”
“Sebelum ni Gunung Tebu, kat Terengganu tu, hutan-hutan lain pun masuk juga, naik kuda pun dah selalu,” Wah hebatnya dia. Berpeluang menunggang kuda.
“Mariam nunggang kuda?” semakin aku bertanya.
“Aa’h, terjun parachute pun pernah,” Mariam senyum. Matanya menala keluar cermin tingkap.Sekilas aku memandang dia dan kembali memandang ke hadapan jalanraya di depanku.Oohh bukan calang-calang orang si Mariam teman baruku ini. Kecut juga hatiku, memandangkan aku pun tidak pernah tahu ketinggian Gunung Ledang itu atau sesukar mana pendakian kami nanti. Aku pun sudah lama benar tidak masuk hutan keluar hutan, tidak ada aktiviti-aktiviti seperti itu aku sertai selepas tamat maktab. Dan aku juga tahu pendakian itu memerlukan stamina yang bukan sedikit. Tentu urat-urat kakiku akan kejang. Namun tidak mahu terus berfikir yang bukan-bukan, aku percaya aku akan dapat menawan Gunung Ledang itu juga nanti.

**
Eny dan Kak Ita sudah jauh meninggalkan aku di depan sana. Sungguh akrab mereka berdua kerana sampaikan mendaki dan berhenti rehat di sepanjang pegunungan inipun mereka tetap tidak berpisah. Aku kagum dengan kuatnya ikatan persahatan mereka.
Aku kini berada di sini. Di tengah-tengah antara kelompok peserta yang secara sukarela menyusahkan diri menyerahkan jiwa raga pada pendakian ini. Pendakian ini secara seorang-seorang membentuk satu garis lurus. Atau sesekali ada peserta-peserta lelaki itu melintasiku. Sekejap bertanya khabarku dan mereka juga meneruskan dakian masing-masing setelah aku mengatakan aku masih boleh lagi.
“Jauh lagi ke nak sampai?” Aku akan bertanya Abang Mat, dia selaku kepala team kami. Di depan sana ada Wak Seli, Azli nama betulnya tapi semua orang menambahkan nama Wak di pangkal namanya selaku ketua ekspedisi ini yang bertugas menebas dan membuka jalan pada kami di belakang ini.
“Sebatang rokok je lagi,” Abang Mat melaung. Seperti zaman dahulukala pula jawapan dari Abang Mat mengingatkan aku seperti pengembaraan orang-orang terawal membuka penempatan.Benar agak mudah perkiraan orang zaman dahulukala. Dengan masa sebatang rokok dari mula dihisap itu sampai akhirnya habis sebatang itu menjadi ukuran jarak jauhnya perjalanan. Aku rasa sejak aku bertanya jaraknya untuk sampai ke puncak, sudah berapa kali aku bertanya , tapi jawabnya masih juga sebatang tu juga la. Tidak pernah berkurang. Nampaknya laungan Abang Mat itu tidak boleh dipercayai pun selagi mata ini sendiri yang belum melihat puncak.


Peluh memang sudah menjurai-jurai keluar dari wajahku. Betul kataku di awal perjalanan tadi, pendakian ini bukan seperti hiking yang lain. Kalau hiking yang lain, tanahnya landai, tapi apabila disebut pendakian, bezanya kita akan berjalan melewati hutan-hutan itu dalam keadaan makin meninggi. Namanya pun pendakian gunung kan. Kaki perlu berhati-hati mencengkam tanah agar tidak terjelepuk jatuh terseliuh, menyusahkan pula rakan-rakan lain. Hujung tapak kaki harus cekap memilih antara selirat akar membentuk tangga semulajadi itu untuk langkah-langkah seterusnya. Tangan pula harus kuat memegang akar kayu yang memanjang atau dahan-dahan di tepian agar badan tetap seimbang mengimbangi tubuh dalam keadaan tanah yang curam itu.

Bertahun meninggalkan hutan dan ini kali pertamaku mendaki gunung memang benar-benar menguji kesanggupanku sendiri. Air pun sudah berdeguk-deguk diminum bagi menghilangkan dahaga, dan coklat yang dipesan oleh Eny sebagai bekal juga sudah habis aku telan. Sekejap-sekejap mendaki aku akan duduk berehat.
Di mana Mariam? Tidak kunjung-kunjung tiba atau setidak-tidaknya nampak bayangnya di bawah sana.

Rupanya Mariam itu masih nun di bawah sana. Aik, tidak kusangka yang rupanya Mariam sudah pancit di bawah sana, aku sudah tidak nampak kelibatnya lagi. Akhirnya aku tahu keadaannya apabila kutanyakan pada peserta lelaki yang melintasiku seorang demi seorang. Sekumpulan lagi peserta lelaki di bawah sana menemankan dan membantu Mariam meneruskan perjalanan. Yelah, terlalu zalim seandainya ditinggalkan si Mariam itu terkontang kanting di tengah hutan begitu. Bukan namanya ekspedisi berkumpulan kalau tidak ada kerjasama dan bantu membantu. Mahu tidak mahu, ada beberapa peserta yang mengikuti kelambatan Mariam mendaki. Ada kehairanan juga di hatiku kerana perjalanan masih jauh, tetapi Mariam sudah beberapa kali pancit dan tidak terdaya mendaki, sedangkan di awalnya tadi dia mengatakan sudah bias8a.

Apabila memikirkan sampai bila aku harus berehat duduk begitu, penat masih juga tidak hilang tapi perjalanan masih juga berbatang-batang rokok, aku akan bangkit semula dan memulakan lagi pendakian.Hingga akhirnya setelah banyak kali aku berhenti dan banyak kali pula aku meneruskan dakian, yang tinggal padaku hanya semangat. Semangat yang aku harus sampai juga ke sana menurut jejak kawan-kawan lain. Tidak akan menyusahkan mereka kalau aku juga tidak berdaya lemah seperti Mariam lagi. Mujurlah akhirnya aku akhirnya tiba di puncak. Anehnya melihat pemandangan dari ketinggian sebegitu, menghirup udara segar dan sejuk di pergunungan itu, rasa lelahku yang tadinya membuak-buak tidak mahu berhenti akhirnya hilang. Aku akhirnya berjaya menawan Gunung Ledang. Gunung yang banyak pengaruhnya dalam masyarakat sehinggakan ada 3 filem dan teater muzikal mengenainya sahaja. Teringat aku kalau benarlah kisah itu, memang kuat juga Hang Tuah dan teamnya, dan memang agak demand permintaan Puteri Gunung Ledang kalau mahu dibina jambatan dari puncak gunung ledang ke istana melaka.

Pengalaman hidup yang satu ini membuka mataku pada realiti kehidupan di alam ini. Di sepanjang pendakian itu aku dapati pengajaran baru di perbukitan itu. Sebagaimana sukarnya kita mendaki gunung untuk sampai ke puncak, sebenarnya begitu jugalah kehidupan. Semakin tinggi gunung yang akan kita daki, semakin nikmat perasaan yang kita dapati di puncak sana. Perasaan akan terasa hebat mengenangkan yang kita telah pun menawan gunung. Yang kalau dibandingkan gunung dan manusia itu, manusia itu hanyalah setitik saiz dan nisbahnya dari gunung itu sendiri. Tapi akhirnya setelah segala penat lelah pendakian dilalui, kita akhirnya berada juga di puncak. Mungkin juga perasaan sama yang menjadikan orang akan rela mendaki gunung sesukar Gunung Everest sekalipun. 8848 meter bukanlah satu ketinggian yang sedikit, tapi masih juga ada manusia yang akan menempuh segala sudut curam, suhu beku, atau cuaca tidak menentu. Ada yang berjaya dan tidak kurang yang berkubur tanpa nisan. Nikmat berada di puncak itulah sebenarnya target akhir segala susah payah itu. Seperti itu jugalah, kehidupan ini dilalui. Semakin sukar dan payahnya mendaki tangga-tangga kejayaan itu, sebenarnya makin besarlah nikmat yang akan didapati dari setiap kesusahan itu. Begitu sukar, dan banyak pula dugaan dan cabaran besar yang perlu ditempuh, kalau impian kita kalau boleh diibaratkan besarnya itu sebesar gunung. Kalau mengharapkan tanah yang landai, ya sudah tentu tidak banyak peluh dan tenaga yang harus dikeluarkan, tapi pastinya nikmatnya juga begitu-begitu sahaja. Dan yang pastinya semua orang pun boleh menghadapinya. Berbeza sekali kalau impian kita itu seolah setinggi gunung, terlalu sukar ke puncak, dan bukan semua orang yang akan mampu melaluinya. Kalau pendakian, akan ada yang pancit di tengah jalan, di alam realitinya, akan ada orang yang berhenti terus, tidak berdaya lagi melakukannya. Kalau pendakian itu bermula dengan langkah-langkah kecil bermula dengan tanah landai pada mulanya dan perlahan-lahan makin meninggi, begitu juga halnya dengan alam realiti ini. Semuanya tidak akan bermula tanpa langkah-langkah awal dan makin susah dan sukar sehingga matlamat sebenar tercapai. Tangga-tangga semulajadi dari akar selirat itu sebenarnya juga tangga-tangga dan fasa kehidupan yang harus kita lalui. Berada di syurga itu nikmat dan puncak segala matlamat, tapi jalannya sukar, ibadahnya, amal jariahnya, solat malamnya malahan seluruh kehidupan ini seharusnya mengikut landasan yang sepatutnya. Berbeza dengan neraka, agak senang untuk tercampak ke dalamnya, dibakar dengan api hangatnya, bahan bakarnya dari manusia-manusia ingkar itu sendiri. Kerana jalannya juga agak mudah. Mencuri itu mudah kerana akan dapat hasil dari usaha atau penat orang lain. Menzalimi orang kecil itu mudah kerana si zalim itu sedang bermaharajalela sedangkan orang kecil itu tidak ada apa-apa. Rasuah itu mudah,kerana ada habuan yang tersedia atas segala apa timbal balas diberikan. Menabur fitnah itu juga mudah kerana hanya sekadar berkata, yang menanggung malu 7 keturunan adalah yang jadi mangsa. Semuanya mudah, mudah kerana adanya sisi nafsu itu sendiri dalam sekujur tubuh manusia itu. Kalau meletakkan nafsu lebih besar dari meletakkan akal, iya tentu sahaja keputusan akhirnya nanti adalah neraka jahannam. Itu perumpamaan kalau di akhirat. Alam kepastian yang pasti akan tiba. Kalau alam dunia hari ini, orang mungkin memandang kejayaan itu dari sudut material, mahu jadi kaya ayat paling mudah. Dan untuk jadi kaya itu sendiri, banyaknya cabaran dan dugaan yang bakal dia tempuhi. Kecuali bagi orang-orang yang mahu jalan pintas, tidak mahu merasai kesusahan barang sedikit. Mungkin tercapai juga hasrat mereka, berada di puncak tapi tidak perlu susah payah mengeluarkan segala peluh,urat-urat yang bagai mahu terkeluar, kaki yang bagai mahu kejang. Memang ada juga caranya, janganlah terkejut dan mengatakan mustahil. Satu-satu caranya, meminta orang menghantar mereka ke puncak menggunakan helikopter. Ya matlamat kedua-dua mereka tercapai, tapi methodnya berbeza. Mungkin bagi mereka yang berpendirian begitu, matlamat menghalalkan cara, tapi hakikat sebenarnya ialah tidak ada maknanya kejayaan itu kalau caranya semudah itu. Kalau jatuh, tidak ada pilot yang akan menghantar sekali lagi ke puncak. Berbeza kalau naiknya ke puncak itu dengan usaha daya sendiri, kalau jatuh sekalipun akibat tergelincir, tidak ada masalah untuk kembali naik dan daki semula. Kalaupun bukan gunung yang sama, masih terlalu banyak lagi gunung lain untuk didaki!

Kembali dari ekspedisi, aku keletihan teruk. Kakiku jadi keras, tanganku juga jadi kejang. Rasanya seperti anda berbulan-bulan tidak bermain badminton, dan satu petang, anda bermain badminton dengan gerakan tangan dan kaki, malah seluruh badan dengan sesungguh hati, anda akan rasa kesakitan itu bukan? Dan sakit itulah yang aku rasakan. Kesakitan seluruh badan itu menyebabkan aku tidak dapat bangun dari katil pada hari berikutnya sekembalinya aku ke kampus.

Dan itulah, pendakianku yang pertamakali. Pendakian yang mengajar aku erti sebenar kehidupan. Jadi kalau ada antara orang yang mengatakan padaku, aku akan membazirkan masa dan tenagaku dengan hobi tidak menyenangkan itu, jawapanku ringkas sahaja. PENDAKIAN ITU ADALAH PROSES HIDUP. Dan pelajaran di sebaliknya juga, aku merasakan kesakitan yang amat di seluruh badan.




posted by Mirip at 12:27 PM 3 comments

Monday, July 07, 2008

ilmu baca wajah

Aku tidak mengenali kedua-dua pasangan ini.

Tapi melihat raut wajah, penjelasan, kesedihan, atau air muka, atau kalau boleh dikata 1% ilmu makrifat, sedikit sebanyak aku dapat membaca.
Aku ini perempuan, walaupun mungkin kadangkala sifatku ala-ala bukan,heheh tapi yang pasti aku ini perempuan.
Dan kerana aku perempuan, kadang-kadang aku pun tidak faham kenapa ini seharusnya terjadi.

Antara primadona alaf baru vs Aktor tak tahu untuk aku klasifikasikan tahap terkenalnya,
Dan
Antara kedua-dua selebriti popular ini,
Masing-masing aku dapat rasakan perasaan yang sama.

Yang sarat menanggung beban cinta tak sampai adalah kaum lawan jenisku.
Yang terasa-rasa bercakap benar adalah orang yang selalu aku anggapkan tidak boleh dipercayai.

Ya, antara mereka, hanya mereka sahaja yang mengetahui. Orang lain hanya dapat menafsir, entahkan betul entah tidak. Termasuklah aku ini. :)Jauh di sudut hati, aku merasa sedih juga dengan perpisahan mereka, walaupun aku pun langsung tidak mengenali mereka secara dekat, apatah lagi mereka mengenaliku- itu jauhlah berkali-kali lagi.

Tafsir kawan itu pada wanita dan lelaki itu mungkin sebenarnya berbeza-beza.
Atau penafsiran kawan rapat itu juga sebenarnya berbeza-beza.
Atau penafsiran teman istimewa juga berbeza-beza.

Aku pun bukan pakar psikologi. Atau segala pakar yang ada.
Tapi apa yang boleh aku nampak dari peristiwa ini
sebenarnya tafsiran persahabatan itu sebenarnya tidak sama antara kaum adam dan hawa.

Kadang-kadang,
Yang perempuannya terasa dirinya kekasih hati pada lelaki kerana dilayan istimewa, tetapi yang sebenarnya si lelaki hanya menganggap perempuan itu kawan biasanya.
Atau
Yang lelaki terasa dirinya istimewa di hati perempuan kerana dilayan istimewa oleh perempuan, tapi mungkin pada diri si perempuan, lelaki itu sama juga seperti lelaki-lelaki lain.

Garis jelas tidak ada.

Bermain dengan hati adalah satu perkara yang sukar.
Bagiku sendiri, hati bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main.
Kerana tidak pernah ada soal main-main dalam hal ini.
Kerana bagiku, segala sesuatu itu perlu jelas.Muktamad. Tidak ada unsur bolak balik atau main tarik tali.
Sekali berkata, itulah yang sebenarnya ada.
Sekali pecah, tidak ada gam yang dapat membetulkannya lagi. Forever and ever.
posted by Mirip at 11:45 AM 0 comments

Friday, July 04, 2008

Tersebutlah kisah,

Ada satu kisah.
Pada zaman dahuluuu...
Ada seorang budak kecil anak penghulu kampung ni dah mencuri buah rambutan dekat rumah Mak Som. Mak Som ni orang takut sebab dia ni ada kuasa psikik, siapa yang curi buah rambutan dia nanti badan akan naik bintil-bintil.Nama budak pencuri ni Norsham.Ada la pulak kawan sekampung dia yang lihat dengan mata kepala dia.Budin nama budak ni. Budin pun cerita la kat orang kampung. Orang kampung percaya la juga sebab si Norsham ni, perangai dia bukanlah baik benor. Tu semua orang pun dah tahu la sebab dulu-dulu pun dia banyak gak mencuri buah durian Mak Su la, buah manggis Mak Teh la.

Tapi, Norsham ni takut la juga kan. Ayah dia kan penghulu. Apalagi dia pun gunalah kuasa veto dia pujuk ayah dia. Ayah dia pun panggillah si Budin ni, tanya-tanya sikit, sergah-sergah sikit. Dia malu la anak dia orang kampung tau jadi pencuri buah. Bukan sikit kemaluan yang ada kat muka dia sekarang ni. Si Budin ni pun takut la juga.Maklum la dia budak kecil aje. Kat depan dia ni penghulu kampung. Kalau dia pertahankan apa yang dia nampak tu nanti Ketua Kampung nak dedahkan pula kes Ayah dia tak habis LCE. Lepas tu lebih teruk dan dia risau, Ketua Kampung ayah si Norsham ni nak halau keluarga dia dari Kampung Terkucil tu. Budin ni pun cakap balik la kat orang kampung yang apa yang dia nampak hari tu bukan Norsham. Mungkin yang dia nampak tu hanya monyet, mata dia yang silap nampak.

Kes pun selesai.Norsham selamat. Dia budak nakal tersengih-sengih sendiri. Mujurlah dia anak ketua kampung. "Sukanya aku, siap kau Budin. Nanti aku kerjakan," bisik hati kecil Norsham.

Ketua kampung tak de la malu sangat, sebab macam terbukti si Budin yang reka-reka cerita aje. Tapi mata dia tak terlepas dari perhatikan Budin dan Mak Ayah dia tu. Kalau Budin buat lagi cerita, siap la keluarga miskin kat hujung kampung tu dia kenakan nanti.

Budin redha je la sebab dia orang tak ada apa-apa. Tapi dia doa je dalam hati, supaya satu hari nanti orang kampung tahu dia tak pernah nak menipu orang kampung. Orang kampung je yang tertipu. Budin rasa nak aje keluar dari Kampung Terkucil ni tapi dia tak tahu pula nak gi mana.

Itulah, tersebutlah kisahhh....
posted by Mirip at 4:23 PM 0 comments

Meow-Meow - Cinta pertamaku

Manusia dan binatang itu sebenarnya hidup dalam satu ekosistem. Maknanya manusia dan juga segala jenis binatang, malah tumbuh-tumbuhan itu saling berkait antara satu sama lain. Oksigen yang dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan hijau hasil dari proses fotosintesis itu disedut semula oleh manusia dan haiwan.Sebaliknya gas Karbon dioksida yang dihembus keluar pula akibat dari diafagram manusia dan binatang itu pula amat perlu dalam kehidupan tumbuh-tumbuhan itu. Perkaitan yang nyata dan ciptaan yang Maha Kuasa yang tidak perlu diragukan lagi.

Sebenarnya ekosistem yang telah dengan rapi disusunatur itu tersembunyi hikmah lain. Hikmahnya adalah manusia dan juga haiwan/tumbuhan itu sebenarnya saling bergantungan antara satu sama lain. Sekiranya terjadinya kepincangan salah satu dalam putaran roda ekosistem itu, yang terjadi kemudiannya adalah satu fenomena tunggang langgang. Sama halnya seperti segala orbit dan planet-planet yang berputar pada paksinya yang tersendiri. Sekiranya hanya satu meteor atau asteroid yang terawang-awang itu sudah hilang daya tarikan pada paksinya sendiri, ia akan melanggar planet-planet lain dalam sistem cakerawala ini. Maka dentuman atau perlanggaran yang terhasil itu akan segera mengacaubilaukan segala struktur yang ada. Yang pasti, fenomena maha menakutkan ini akan berlaku, cuma kita sebagai manusia ini tidak tahu bila sebenarnya ia akan terjadi. Yang boleh kita ambil sedikit pengajarannya adalah mengamati tanda-tanda kecil atau besar yang Nabi Muhammad SAW, penghulu segala nabi itu telah sabdakan. Tidak harus ada keraguan lagi, sebenarnya berdasarkan tanda-tanda itu, dunia ini memang sudah terlalu tua dan sudah makin hampir ke penghujungnya.Armagedon yang disebut-sebut oleh orang Barat itu sesungguhnya adalah hari kiamat yang pasti akan terjadi.

Begitulah yang terjadi juga pada diriku satu waktu dulu. Aku pernah merasa kehilangan yang maha hebat. Itulah kali pertama aku merasakan dan memahami erti kehilangan. Adalah lebih baik kita tidak mempunyai atau memiliki apa-apa pun, kerana hakikat sebenarnya adalah, apabila kita sudah memiliki, akan ada keterikatan emosi antara kita.Itu pelajaran kehidupan yang aku dapati dari kisah ini.

Peristiwa yang menyedihkan itu terjadi ketika aku masih dalam sekolah rendah. Antara aku dan Meow-Meow memang akrab.Aku namakannya Meow-Meow pun secara spontan kerana itulah yang selalu aku panggilkan dia. Aku menjumpainya apabila dia secara tiba-tiba berada dan merayau-rayau di bawah pokok jambu air di belakang rumahku. Badannya pada dasarnya berwarna putih bersih, ada sedikit tompok-tompok hitam kecil pada badannya. Ketika dia merayau-rayau di situ, mungkin dia hanya baru sekitar beberapa minggu atau bulan, aku tidak pasti. Meow-meow-meow. Desir suaranya dan pandangan matanya itu jelas menggambarkan dia kelelahan.

“Adik, cepat, minta dengan mak mana-mana nasi lebih,” aku segera memberikan arahan pada adikku, yang juga teman sepermainanku itu. “Dan baki-baki ikan” laung aku cepat-cepat pada Adik yang segera masuk ke dalam rumah.

Meow-Meow menggeselkan badannya padaku. Hatiku luluh melihat pandangan mata sayunya. Mata hijaunya itu bagai menceritakan dia telah sesat dan kehilangan jejak ibunya dan adik beradiknya yang lain.

“Nah kak,” adikku datang membawa pinggan plastik. Ada sedikit nasi bercampur lauk di dalamnya.

“Letak aje situ,” aku memberi arahan. Kakak la katakan.

Ketika Adik meletakkan pinggan berisi hidangan lazat itu, terus dengan lahapnya disantap oleh Meow-Meow. Aku memahami perasaannya kerana dia seperti kita juga yang ada perasaan lapar.

Itulah saat-saat pertama pertemuan dan takdir pertemuan antara aku dan Meow-Meow.Adik juga kelihatan gembira dengan kehadiran Meow-Meow. Sejak itu rumah kami memang tidak diganggu dengan sang tikus lagi. Walaupun Ayah seringkali akan demam kalau bulu-bulu Meow-Meow itu terkena badannya, tapi kami semua tetap juga menjaga Meow-Meow. Ia pandai sekali membuang hajatnya di luar rumah. Ia akan menguis-nguis pasir-pasir halus di luar rumah itu lalu bertonggek di situ. Tidak pernah lagi Ibuku merungut rumahku kotor kerana kehadiran Meow-Meow. Sudah menjadi adat agaknya, selepas kami memelihara Meow-Meow, secara fitrahnya semakin lama semakin banyak pula zuriat keturunan hasil dari Meow-Meow dan teman Jantannya yang aku sendiri tidak tahu kepunyaan siapa. Ibu memang tidak gemar dan tidak mahu memelihara yang jantan kerana tabiat mereka yang tidak pandai membuang hajat itu. Kadangkala apabila si Meow-Meow sudah melahirkan beberapa ekor lagi anak barunya, aku selalu mengintai kotak tempat dia melahirkan anak-anak itu. Badan kecil-kecil berwarna pink itu walaupun agak menggelikan hatiku, tapi aku suka melihat mereka. Tapi janganlah sekali-kali menunjukkan anak Meow-Meow yang baru lahir itu pada Ayahku, kerana Ayah akan terus diserang demam lagi sekiranya dia melihat makhluk-makhluk kecil halus berwarna pink itu. Katanya tak ubah seperti binatang satu lagi yang haram dimakan itu.

Kalau anak-anak Meow-Meow sudah semakin ramai, dan dengan keadaan Ayahku yang tidak boleh terkena bulu-bulu binatang itu, aku selalu akan melepaskan dan memisahkan beberapa ekor darinya dari Ibunya.

“Kak buang jauh-jauh sikit. Kalau tak, nanti dia balik semula ke rumah,” selalu itulah pesanan Ibuku. Beberapa anak kucing yang sudah terlebih itu, kami masukkan dalam guni, aku ikat guni itu sekadar tidak mahu mereka jatuh. Aku letakkan di dalam raga basikalku. Dan aku akan mengayuh basikal jauh-jauh. Dulu aku selalu kehairanan kalau kita membuang kucing tanpa menutup matanya atau jaraknya relatif dekat, tak lama kemudian, secara tiba-tiba, haiwan itu akan kembali lagi. Akhirnya aku faham, mungkin itulah anugerah yang telah Allah berikan pada haiwan-haiwan itu. Mungkin saja mereka tidak punya akal untuk berfikir walaupun punya otak, tapi ada kelebihan lain yang ada pada mereka. Instinct barangkali lebih tepat. Atau pandangan mata haiwan-haiwan ini memang memungkinkan mereka dapat mencari jalan pulang sendiri. Berbeza dengan manusia yang kadang-kadang hanya punya mata tapi tidak dapat melihat selain dari apa yang dilihat di dunia fizikal ini semata. Walaupun sedih , aku harus melakukan pengorbanan. Aku sayangkan Meow-Meow tapi keadaan tidak memungkinkan aku memelihara kesemua anak-anak Meow-Meow yang banyak itu. Sekali lahirnya adalah dalam empat lima ekor, dan si Meow-Meow ini aku rasa teramatlah suburnya. Agaknya kalau manusia itu, bolehlah diibaratkan si Meow-Meow ini akan kembali bunting selepas tamat tempoh pantang. Itulah pula masalahnya kalau memelihara kucing betina. Kerjanya hanya menambah bilangan zuriat sahaja. Tapi tidak bolehlah kalau menyalahkan si Meow-Meow ini semata-mata, kerana yang pastinya kucing-kucing Jantan itu pastinya akan segera menerkam si Meow-Meow ini sekiranya ada saja peluang. Agaknya cantiknya si Meow-Meow ini dalam dunia kucing-kucing itu, si Meow-Meow ini layak menjadi ratu sang kucing.

Aku hidup aman bahagia dengan Meow-meow tanpa ada sesiapa yang menghalang.Hinggalah satu hari yang menyedihkan itu datang. Dan merenggut kegembiraan aku hidup bersama-sama Si Meow-Meow. Hari itu aku baru kembali dari percutian panjang kami dari menziarahi keluarga Ayah di Utara. Kebiasaannya pun, kami tidak risaukan Meow-Meow kerana dia tidak akan ada masalah untuk makan mahupun minum di rumah jiran-jiranku. Tapi hari itu memang menjadi sejarah.

Ketika kami berempat sampai di rumah, aku terus ke dapur. Aku masih ingat, aku dahagakan air dan terus ke sinki. Di tepi sinki ada baldi biru dalam keadaan terlangkup. Kebiasaannya baldi itu tidak berkeadaan seperti itu. Tapi siapalah yang hairankan sang baldi itu.
“Meow-Meow, mana ni,” seperti kebiasaan, selepas segala-galanya reda, aku baru perasan yang si Meow-Meow ini tak kunjung-kunjung datang padaku. Aku tercari-cari. Memanggil-manggil. Menjenguk di luar rumah, melaung-laung kalau-kalau dia ada di rumah si Rudy sana. Tidak ada.

Aku berlarian ke rumah Rudy. Kebiasaannya Rudy yang akan mengambil alih menjaga Meow-Meow kalau aku tidak ada di rumah. Aku memang tidak ada pesanan khusus kali itu pada Rudy, tapi kuanggap masing-masing sudah mengerti.

“Rudy, awak nampak tak?” aku tergesa-gesa.Tercegat di depan pintu dapur rumah Rudy yang terbuka. “Kenapa Hany?,” ohh bukan Rudy di situ tapi kakak Rudy yang tua tiga tahun dariku. “ Ada nampak Meow-Meow tak Kak Jie?” Aku tetap menanyakan walaupun jawapannya sudah dapat diagak.

“Tak ada pula Kak Jie nampak. Rudy pun tak tahu ke mana hilangnya,” Kak Jie yang sedang membasuh pakaiannya itu hampir padaku. Dia pun tahu kalau aku yang datang tergesa-gesa begitu, Rudylah yang aku cari.Rasa bimbang menyelinap dalam segala urat darah. Aku berlari kembali ke rumahku.

Ibu langsung tidak menghiraukan aku. Adik sudah senyap tidak bergerak di kerusi. Tidur mati di situ. Agaknya keletihan perjalanan yang jauh masih menyebabkan dia ingin terus menyambung tidur. Ibu mengemas-ngemas dapur.

“Ya Allah,” Ibuku menjerit. Dia terpempan ke belakang.

Aku tersentak. Kurasakan sudah ada yang tidak kena. “Mak, kenapa mak,” cepat aku meluru ke situ. Ibuku menunjukkan ke arah baldi biru tadi yang kulihat sudah terpelanting bukan di kedudukan asalnya tadi. Di situ, ada sesuatu terbujur membuatkan aku terduduk.

Di situ Meow-Meow yang kucari berada. Dia mengerekot. Ada ulat-ulat kecil di badannya bermakna sudah beberapa hari dia meninggalkan kami semua. Matanya terkatup rapat.Aku jadi hairan bercampur ajaib bagaimana dia boleh masuk ke dalam rumah dan matinya ia di bawah baldi biru itu.

Ibu bagai membaca fikiranku, “Agaknya baldi tu tertangkup atas badannya. Dia tak dapat keluar. Lemas….” Aku angguk. Apapun yang terjadi masa perpisahan antara aku dan Meow-Meow sudah tiba.

“Cepat, ambil suratkhabar. Tanam kat sana,” Ibuku menunjukkan ke arah belakang rumahku.

“Adik, bangunnn…” aku kejutkan adik dari lenanya. Aku tidak mahu dia tidak berkesempatan melihat saat-saat akhir Meow-Meow.
Adik mamai-mamai lagi.

Kupegang telinga Meow-Meow, aku letakkan di atas kain buruk dan aku bawa ke tempat yang Ibu tunjukkan tadi. Tanah di situ agak lembut. Tanah hitam itu agak senang untuk dikorek dengan cangkul. Aku gali tanah hitam itu. Aku masih ingat, aku sengaja mencari tempat yang teduh untuk menjadi kuburan Meow-Meow. Aku mencari posisi di sebelah tadikaku itu supaya aku senang melihat kuburan Meow-Meow. Dalam sudut 90 darjah dari rumahku, di timur laut terletaknya tadika Kemas tempat aku belajar tadika. Di belakang tadika itu, sambungan bilik kecil itu dijadikan kutubkhanah desa. Di tepi kutubkhanah itulah lubang kuburan Meow-Meow terletak.

Ketika aku letakkan Meow-Meow dalam kuburan gelap itu, sekali lagi hatiku luluh. Aku teringatkan beberapa tahun dulu ketika dia menggesel pada kakiku.Aku terkenang matanya yang bagai mengucapkan terima kasih kerana memberikannya makanan. Aku tatapi pokok jambu air yang makin sedikit daunnya itu, dan makin tidak ada pula buahnya,tempat pertemuan pertama kami. Ya baru aku sedar, seperti pokok jambu air yang sudah di makan usia itu, tentunya juga usia dalam perkiraan umur kucing, Meow-Meow ini sudah dianggap tua. Lagipun dia pun sudah banyak kali melahirkan zuriat-zuriat baru. Ajalnya sudah tiba dengan cara sebegitu. Aku tidak harus sedih. Setiap yang bermula itu pasti akan ada akhirannya.

“Kak…” tiba-tiba Adikku berdiri di belakangku. Matanya juga basah. Adik mengambil puntung kayu kecil. Dipacaknya di kedua-dua hujung kuburan tadi seolah-olah nisan bagi penanda.

Aku kembali lagi menatap kuburan kecil Meow-Meow. Tidak tahu mengapa, mungkin kerana perpisahan selamanya ini dalam keadaan tiba-tiba, dan aku sudah tidak bermain-main dengannya hampir dua minggu, dan kematiannya yang begitu menyebabkan aku jadi sedih tidak keharuan pula. Itulah kali pertama aku menghadapi saat kematian. Kematian seekor kucing comel itu benar-benar berupaya menyebabkan hatiku rawan seketika. Ketika itu, aku sudah memahami erti sebenar dan sakitnya perpisahan. Hatiku seolah berkata alangkah bagusnya kalau aku tidak pernah pun berjumpa dan serumah dengan Meow-Meow. Supaya aku tidak seharusnya bersedih hanya kerana perpisahan ini. Namun di sisi lain, aku makin sedar yang semua pertemuan pun akan ada juga akhirnya. Aku bertemu dan berpisah dengan sepupu-sepupuku. Ayah berpisah dengan Ibu dan Ayahnya.Juga kampung halamannya. Perpisahan itu sudah menjadi satu kemestian. Bukan namanya pertemuan kalau tiadanya perpisahan. Sekali lagi aku mengerti hakikat kehidupan walaupun mataku juga basah mengenangkan perpisahan pertamaku itu. Kalau perasaan itulah yang dinamakan cinta, bolehlah aku katakan yang cinta pertamaku pada makhluk hidup ciptaan Allah itu tumpah pada Meow-Meow. Di dalam hatiku, sudah kusemat dihatiku, aku tidak akan memelihara lagi kucing-kucing selepas ini. Sehinggalah aku besar panjang begini, tidak ada lagi kucing-kucing menjadi peliharaanku.
posted by Mirip at 9:15 AM 0 comments

Thursday, July 03, 2008

Cikgu Shukri

Guru itu pembimbing anak bangsa. Guru itu satu pekerjaan yang paling mulia pada pandangan mataku. Mana-mana gurupun, tetap di panggil Cikgu di pangkal namanya walaupun mereka sudah pencen dan tidak lagi mengajar. Hidupnya akan tetap dipanggil Cikgu. Sejak aku sekolah rendah, sehinggalah aku ke sekolah menengah rendah, malah sampai sekolah menengah atas, aku selalu bertemu dan ditakdirkan mempunyai guru-guru yang baik-baik belaka. Guru yang memang mengajar kerana seluruh kehidupannya sudah terserah pada alam itu. Kalau hendak diceritakan mengenai guru, terlalu banyak yang perlu aku tuliskan tapi kali ini, aku ingin sekali menulis perihal Cikgu Shukri. Cikgu yang bagiku terlalu istimewa.

Cikgu Shukri ini orangnya kecil sahaja. Warna kulitnya agak gelap, mungkin kerana terlalu jauh perjalanan dan panas matahari yang dia lalui ketika pulang dari tempat kami. Dahinya agak jendul. Orang tua ada mengatakan, kalau dahi seseorang itu jendul, orangnya agak pintar dari orang kebanyakan. Dan Cikgu Shukri ini memenuhi piawaian ISO itu. Dia membuka banyak tali-temali kehidupan. Memang dia mengajar aku pelajaran Matematik, tetapi pelajaran ilmu hisabnya itu diselangselikan dengan ilmu kehidupan. Sebenarnya Cikgu Shukri ini mengajar di sekolah menengah di negeri lain, tetapi beliau dengan rela hati berulang alik entah berapa puluh kilometer pada setiap hari minggu untuk mengajar aku dan kawan-kawan dalam kelas tambahannya itu.

Jadi pada setiap pagi Jumaat dan Sabtu, aku tidak boleh bersenang lenang, terbaring kemalasan di tempat tidur. Sama seperti hari persekolahan yang lain, aku harus bersiap-siap ke kelas tambahan itu yang mulanya pada pukul 8.00 pagi sampai 10.00 pagi untuk sessi pertama. Dan pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari sessi kedua. Kelas tambahan berbayar ini mempunyai 2 sessi kerana aku belajar Bahasa Inggeris dan Matematik. Kadangkala sessi pagi dimulai dengan kelas Teacher Haleeda dengan matapelajaran Bahasa Inggeris dan kadangkala dimulai dengan Cikgu Shukri dengan matapelajaran Matematiknya. Antara dua, aku memang lebih menggemari kelas Matematik Cikgu Shukri kerana aku akan belajar banyak benda baru.Beliau ibarat Einsten pertama dalam hidupku.

Apa yang istimewa ada pada Cikgu Shukri, yang kelihatan pada mataku ialah pengajarannya yang unik. Selalunya beliau akan mengajarkan kami kaedah-kaedah yang pantas, yang akan menyebabkan kami semua akan dapat menjawab soalan matematik dengan cepat. Sebenarnya matapelajaran matematik ini kuanggap paling mudah berbanding subjek-subjek lain. Kukatakan begitu kerana, sekali kita mengetahui rumusnya dalam kepala, datang soalan yang bagaimanapun, kaedahnya tetap sama. Kita hanya tinggal untuk mengira kembali di atas kertas dan tup, jawapannya akan keluar. Ini berbeza dengan matapelajaran lain, yang kebanyakkannya berdasarkan fakta, terutama Sejarah atau Geografi itu yang para pelajar harus membaca untuk mengetahui segala ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya.

“Saya tidak dapat mengajarkan kaedah ini di sekolah, dan kamu semua pun tidak akan mempelajari kaedah ini dalam pembelajaran harian,” katanya sambil tangannya laju menulis rumus-rumus itu di papan tulis.
Kami menyalin nota. Matematik di tangan Cikgu Shukri memang amat menyenangkan. Terasa kepala bagai span yang menyerap segala ilmu-ilmu yang dia curahkan yang pasti tidak akan kami pelajari di sekolah harian.

“Tidak kira bagaimana kaedah sekalipun, kaedah tidak penting tapi yang pentingnya,” matanya memerhatikan keseluruh wajah anak-anak murid sebangsa dengannya ini. “Yang penting adalah jawapannya tepat dan pantas,” dia menyambung.Lagipun pada peringkat umur sebegitu, ujiannya masih dalam bentuk objektif. Matanya kembali menatap wajah anak-anak kecil ini. Dia bersemangat mengajar, apabila dia sendiri melihat anak-anak itu rela mengorbankan pagi hari minggu mereka dengan datang ke kelasnya.
“Apabila kamu semua dapat menjawab dengan pantas tapi tepat, masa selebihnya boleh digunakan untuk semakan semula jawapan,” dia menegaskan kembali.

“Tapi…..”

“Jangan pula masa berbaki itu digunakan untuk tidurrr,” kembali dia menyambung nasihat keramatnya.

Jadi, masa satu jam tiap-tiap pagi minggu terasa seperti terlalu cepat berlalu. Tidak pernah ada perasaan mengantuk di hatiku, mungkin juga semangat yang sama dirasai teman sekelasku yang lain.

Ya seperti semua orang sedia maklum, matapelajaran Matematik itu hanyalah solution. Tidak kira kaedah atau rumus yang bagaimana sekalipun, asalkan jawapannya ditemui, kaedah yang mana satu digunakan tidak perlu dipersoalkan lagi.

Cikgu Shukri menunjukkan cara-cara yang seharusnya kami para pelajarnya ikuti kaedah spesifik tertentu mengikut syllabus pelajaran, yang amat singkat jalan kiranya itu, kami akan segera jadi kagum dan tambah menikmati pelajaran ini. Di sebelah kaedah yang sama, dia akan segera membandingkan kaedah yang biasa digunakan di sekolah.

“Kenapa tidak diajarkan saja cara ini di sekolah, kan lebih mudah,” rakan sekelas bertanya.

“Tidak boleh diajarkan cara ini di sekolah biasa, ” dia menjawab menambahkan kehairanan di hatiku. “Guru-guru perlu mengajar mengikut kaedah yang ditetapkan kementerian.” Jawapan ringkas tapi akhirnya kami faham. Karenah birokrasi itu berada di mana-mana. Memang pada waktu itu aku sendiri merasa alangkah ruginya kerana kaedah ini tidak diajarkan di sekolah kebangsaan, tapi tidak tahu mengapa, tidak pula persoalan ini diajukan terus terang lagi pada Cikgu Shukri. Tapi akhirnya aku faham mengapa hal ini mungkin berlaku. Kebarangkaliannya mungkin saja seperti ini. Ya di sekolah kebangsaan itu, murid-muridnya adalah dari pelbagai latarbelakang pemahamannya, jadi tidak memungkinkan kaedah cara pantas diajarkan. Sekiranya diajarkan juga, langsung menjadi ketidakadilan pula pada sebahagian kelas.

“Dan jangan ditunjukkan cara ini pada guru kelas. Kalau di kelas itu, buatkan sahaja mengikut ajaran guru kelas kamu,”

“Yang penting, kita melakukan kaedah ini dengan matlamat cepat menjawab soalan, dan bukan mencabar guru.” Amanatnya diteruskan. Dan kami terus mendengar.

Jadi sepanjang tiga tahun pembelajaran dalam matapelajaran matematik itu, kami sebenarnya telah melakonkan seperti tidak ada apa-apa yang kami tahu selain dari apa yang Cikgu kelas ajarkan. Di kelas harian, kami masih juga melakukan kaedah seperti diajarkan oleh guru-guru sekolah kebangsaan, di hari minggu kami belajar kaedah yang lebih senang, malah pantas. Yang pasti kami akan menggunakan kaedah Cikgu Shukri ini apabila menjawab soalan peperiksaan. Dan memang hasilnya, murid-murid Cikgu Shukri yang dari kelas-kelas berbeza itu akan menunjukkan prestasi yang mengesankan.

Apa yang mengagumkan aku, selain dari pengajiannya yang dirasakan amat mudah, selalu dalam kelas-kelasnya akan ada nasihatnya yang makin membakar jiwa.

Kelasku itu berada di hujung bangunan sekolah. Sederet bangunan setingkat, agak sedikit usang berbanding blok-blok lain di bahagian hadapan pintu pagar utama sekolah. Berdekatan pagar belakang yang kecil, bersebelahan padang tempat anak-anak bersukan. Di sekeliling padang bola itu, tersusun pokok besar-besar, yang aku sudah lupa namanya. Pokok-pokok ini ketika berbunga, menghasilkan pemandangan yang indah kerana akan diseliputi oleh bunga-bunga kuning kecil. Dari kejauhan, kelihatan seperti musim bunga dan berada di negara mana-mana yang mempunyai empat musim itu. Pokok-pokok besar itu menjadi teduhan di sepanjang jalan kecil itu yang di penghujungnya adalah asrama sekolahku. Asrama di mana sebahagian teman-temanku di kelas harian menetap di penggal persekolahan. Di kawasan asrama sekolahku itu juga terletaknya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Jadi di pangkal jalan berbatu itu, ada pintu pagar besar yang akan ditutup menjelang maghrib, bagi menjaga keselamatan anak-anak pelajar yang tinggal di asrama sana. Tapi sebelum dapat memasuki kawasan PPD dan asrama sekolah itu, ada lagi satu pintu pagar kecil terakhir. Di sepanjang jalan dari pintu pagar besar di muka jalan besar itu sehingga ke penghujung asrama itulah, pohon-pohon berbunga kuning itu berada sejajar. Menjadikan perjalanan tidak terasa terlalu panas walaupun jaraknya agak jauh kalau berjalan kaki, mungkin dalam 28 minit kalau berjalan lenggang kangkung atau 15 minit kalau berjalan seperti lipas kudung. Landskap yang indah dan menyejukkan pandangan sesiapa saja yang berada di situ.

Di bawah jejeran pohon-pohon teduhan inilah, selalunya sampah atau daun-daun pokok yang telah gugur berserakan. Sampah itu tidak lain tidak bukan tentu saja dibuang oleh pelajar-pelajar yang tidak mempelajari subject Pelajaran Moral, senang-senang melemparkan sampah sarap, mungkin dari pembalut gula-gula, pembalut aiskrim, atau sebarang pembalut mainan lompat tikam yang dibeli dari penjaja-penjaja di luar pagar sekolah ketika berjalan untuk keluar dari pagar besar di muka jalan. Berjenis-jenis bahan buangan. Kadang-kadang juga segala benda-benda yang tidak masuk akal pun secara tiba-tiba kelihatan berada di sudut-sudut tertentu sepanjang jalan itu. Iya, tetiba ada meja pelajar yang robek atau patah satu kakinya tercampak di sana. Atau ketika sepuluh minit perjalanan pula ada pula kerusi patah dalam keadaan tertonggeng. Landskap alam semulajadi ciptaan Tuhan yang indah, tapi kadangkala tercemar dengan pemandangan tidak menarik itu, gara-gara ada makhluknya yang tidak peka pada persekitaran. Atau juga menandakan tidak ada kesempurnaan dalam dunia ini. Seperti kebaikan yang ada kalanya tertumpuk keburukan sebagai lawannya,seperti itulah keindahan tercemar dengan kejelikan pemandangan. Tapi dari sudut pandang lain, ketidakseimbangan itu sebenarnya menjadi rahmat pada sebahagian orang. Orang-orang yang dengan adanya mereka dengan tanggungjawab besarnya kembali membersihkan segala kotoran dan sampah sarap itu supaya pemandangannya kembali sedap dipandang mata. Orang-orang yang mungkin kehadirannya dalam masyarakat tidak disedari pun, tapi tanpa mereka, pasti pemandangan alam ini makin hari makin teruk. Seolah mempamerkan diri-diri manusia hari ini yang semakin hilang asas agama dan jati dirinya. Orang-orang yang mendapatkan nafkah sehariannya dengan mencuci, menyapu, menebas atau segala adik beradik pekerjaan seumpamanya itu, yang peluhnya akan berjejeran di bawah terik matahari, yang matanya kadangkala selalu dimasuki habuk-habuk jalanan, atau hidungnya yang harus dipekup rapat agar tidak mengeluarkan muntah hijau saat kerja-kerja pencucian kotoran dijalankan.

“Lihat di sana,” tangan Cikgu Shukri menghala ke luar, mengarahkan semua mata yang dari tadi khusyuk mengadap latihan memperbaiki skill-skill pemprosesan otak, menyambung neutron-neutron dari saraf-saraf medula olangata ke satu arah yang beliau tunjukkan.

Dari balik tingkap nako kami melihat, seorang lelaki warga tua, yang terbongkok-bongkok mengutip barangan besar yang secara tiba-tiba ada itu. Aku kenal pak cik tanpa nama itu. Dia selalu kelihatan menebas-nebas lalang yang makin tegak meninggi, atau sekadar menyapu daun kering yang jatuh atau sampah sarap buangan manusia-manusia lain.

“Apa perasaan anak-anakku melihat itu?” Cikgu Shukri bermain psikologi.

Diam. Mata tidak lepas dari memandang pak cik tanpa nama itu. Tenaga kinetik yang dipamerkan jelas menunjukkan dia bukan lagi layak untuk pekerjaan seperti itu.Jelas terpamer kelelahan di wajahnya yang berkedut menandakan dia bukan lagi muda belia.

“Kasihan?” perkataan itu sengaja ditekankan.

Sebilangan pelajar mengangguk, sebahagian lagi tidak menunjukkan sebarang reaksi fizikal walaupun pasti emosi di dalam mengiakan kata-kata cikgu ilmu perkiraan itu.

“Kalau anak-anak tidak mengambil kesempatan masa ini untuk belajar, anak-anak ingin menjadi seperti itukah satu hari nanti?” ilmu psikologi kalau digunakan secara tepat dan kena pada masanya memang bisa menjadi ubat mujarab.

Serentak kepala-kepala menggeleng.150 darjah barangkali. Masih juga ada yang tidak menunjukkan sebarang reaksi fizikal walaupun pasti emosi di dalam juga mengiakan kali kedua amanat keramat cikgu ilmu kira-kira ini.

“Pekerjaan itu memang mulia…..”

“Tetapi kalau anak-anak ingin berehat-rehat, bersenang-senang di waktu ini, tidak mustahil nasib anak-anak akan seperti pak cik itu,” Cikgu Shukri menyambung.

“Mungkin zaman pak cik itu tidak semudah, tidak seberuntung seperti zaman anak-anak semua, jadi bukan salah dia…”

Ya, bukan mudah sebenarnya menyatakan kebenaran, tapi itulah hakikat kehidupan. Aku tahu maksud Cikgu Shukri, dia bukan sekali-kali meletakkan gred-gred tertentu pada apa jua kelas pekerjaan, tapi dia ingin memberikan semangat pada kami, motivasi melawan kehendak satu lagi yang mungkin terasa enaknya bersantai-santai di pagi minggu tanpa perlu meletihkan akal fikir lagi setelah seminggu bersekolah.

“Anak-anak terasa ingin menolong pak cik tua itu?” soalnya lagi. Memandang satu persatu-satu sekalian pelajarnya. Meneruskan kuliahnya.

“Ya, kalau satu hari nanti, anak-anak sudah berjaya, sudah kerja bergaji besar, gunakan itu semula untuk membantu pak cik itu.Itulah yang lebih afdal.” Seperti aku katakan tadi, Cikgu Shukri bukan sahaja mengajar ilmu kira-kira, tapi beliau mendidik anak-anak bangsanya ilmu kira-kira kehidupan. Besar pahala yang tidak putus-putus diterima oleh Cikgu Shukri selama hayatnya, juga ketika dia di alam sana nantipun, pahalanya akan tetap mengalir, kerana banyak sekali pesannya pada anak-anak muridnya. Pesan yang datang seikhlas hatinya itu juga, memang membekas pada hati anak-anak didiknya.

Sessi kuliah berlanjutan. Cikgu Shukri di mataku bukan lagi guru kira-kira tapi berubah bagai seorang ustaz berjanggut sejemput,memakai jubah panjang putih, berkopiah putih bersih, memegang tongkat, berada di mimbar masjid sedang memperdengarkan khutbah jumaat sebelum solat jumaat di hari jumaat.

“Tidak semua orang bernasib baik, bersekolah, dihantar kelas tambahan, hargailah peluang ini.”

“Tangan yang di atas itu lebih mulia dari di bawah.”

“2.5 % zakat yang dikeluarkan itu tidak mengurangkan kekayaan material anak-anak sekalian.”

“Sedekah jariah yang diberikan kepada yang selayaknya itu dapat membasuh hati anak-anak dari segala kotoran dunia.”



Atau ketika pada waktu-waktu tertentu, kalau kami mendengar pula loceng penjual aiskrim, atau motor pak cik India penjual roti, dialog yang sama diutarakan. Dan kami tidak pernah jemu-jemu tetap mendengar, walaupun orang yang menjadi subjek motivasi itu selalu bertukar rupa.

Namun ada satu lagi nasihatnya yang menjadi pembakar semangatku menjadi nyalaan api yang terbakar kuat dalam hatiku.

Satu pagi, ketika kelas transit antara slot Bahasa Inggeris dan Matematik, aku masuk awal ke kelasnya. Ada beberapa orang pelajar lain juga ada yang awal sepertiku, tetapi yang berbeza mereka tidak mengikuti kelas Teacher Haleeda.

“Hany, sekejap,” panggilnya. Tangannya melambai ke arahku supaya hampir pada mejanya. Aku suspens. Berjalan cepat-cepat ke arahnya.

“Ya Cikgu,”

“Cikgu nak cakap sikit dengan Hany,” matanya berselang seli sekejap-sekejap ke arah beberapa orang rakan lain yang membuat hal masing-masing dan sekejap-sekejap ke arah buku di depannya. Tangannya menandakan tanda ‘right’ pada kotak-kotak menandakan kehadiran para pelajar. Kehadiranku di buku itu semuanya penuh, tiada telur ayam pun.
Aku berdiri di tepinya menunggu kata hikmat seterusnya.

“Hany jangan lupa ambil kelas sains pilihan nanti ya,” Cikgu Shukri senyum. “Nanti pilihan kerja luas.”

Aku senyum dan mengangguk. “InsyaAllah cikgu.”

“Cikgu lihat Hany ada potensi. Jangan sia-siakan peluang.” Cikgu Shukri kali ini memandang tepat ke arahku. Lalu menyambung “Kalau akhirnya Hany minat juga pada bidang sastera, itu boleh diuruskan kemudian hari.”

Dan seperti hari-hari sebelumnya, dia memberikan aku kata-kata nasihat dan motivasi sehingga pelajar semakin ramai di dalam kelas. Aku beredar ke tempatku hari itu dengan semangat yang berkali-kali ganda banyaknya dari kebiasaan.

Sehingga akhirnya aku telah pindah sekolah seperti apa yang diinginkan oleh Cikgu Shukri, aku sudah tidak bertemu dengannya lagi, guru terhebat itu, apalagi sejak ibu bapaku berpindah dari situ. Sebelum ibu bapaku berpindah, sesekali ketika adikku tetap menggunakan khidmat Cikgu Shukri, aku menghantar cenderahati atau kad ucapan kepadanya melalui adikku. Sehingga adikku sendiri sudah tamat sekolah menengah rendah aku langsung sudah terputus hubungan dengannya. Namun ingatan dan pesannya masih aku ingat sampai hari ini.
posted by Mirip at 5:19 PM 0 comments