Catatan Hidup Seorang Aku

Thursday, August 28, 2008

Part X

Hari perpisahan sudah menjelang tiba. Perpisahan yang mungkin antara kami sudah tidak akan bertemu lagi. Jelas terpancar kesedihan di wajah masing-masing. Banyak kenangan dan kisah di sebalik tirai langsir Ammarian.

Kisah kami bermula dengan persengketaan. Sengketanya bukan kecil dan sedikit. Tidak pernah ada dalam sejarah, itu kata guru kan. Benarlah, ada hikmahnya di sebalik segala kisah duka. Oleh kerana mulanya kami begitu, ada ikatan emosi yang kuat antara kami ketika di akhirnya.

Peperiksaan utama sepanjang 11 tahun berhempas pulas belajar sudahpun tamat. Masa untuk keluar dari pintu gerbang itupun sudah tinggal hanya beberapa hari. Masing-masing akan membawa haluan sendiri.

Kebanyakan kami mengedarkan buku kecil masing-masing untuk di beri kepada rakan-rakan lain sebagai catatan. Aku di antaranya. Apatah lagi aku sukakan kalau diberi peluang menulis dan juga membaca catatan orang. Dengan menulis di buku catatan orang lain, aku dapat menulis kata hatiku yang tak mungkin dapat aku ucapkan dengan kata-kata.

Tapi malang sekali, di malam akhirnya, buku itu hilang entah ke mana. Kali terakhir aku melihat buku itu berada di tangan Nun, jiran dorm panjangku. Kalau buku itu masih ada, tentu akan ku salin dan kuletakkan di sini sebagai tandamata kenangan.

Antara yang aku masih ingat, dan tetap kekal menjadi misteri kerana aku tidak tahu siapa penulisnya.Tajuk di mukasurat buku nota kecilku itu bunyinya begini. -Matamu Menggoda-Sedikit memalukan diriku pada ketika itu tapi mungkin baginya amat puitis dia kira. Puitis tahap seniman anak muda nakal. Mungkin dia ada menyimpan impian mahu menjadi sasterawan negara satu hari nanti.

Kemudian ayat-ayat di dalamnya aku sudah tidak ingat. Tidaklah terlalu jiwang bagiku tapi terasa kelakar kerana ayat akhirnya berbunyi begini.

Matamu selalu dalam ingatan,
Kerana matamu seperti mata ayam.

Hahahahhah... Sampai hari ini, setelah 11 tahun aku tinggalkan, aku tidak tahu siapa penulis curi catatan itu. Mungkin satu hari nanti, ketika aku berusia 35 , atau 40 atau 50, aku akan dapat mengetahui siapalah orangnya yang mengatakan mataku ini seperti mata ayam?

Molekul udara di seluruh kawasan kolej di pasang dengan lagu
-Masihkah Kau Ingat- Nyanyian kumpulan Kopratasa, penyanyi kegemaranku. Dari pagi membawa ke tengahari, berlanjutan kepada malam hari.
Diselang selikan dengan ucapan dari pelajar-pelajar dari speaker bilik penerangan.
posted by Mirip at 9:07 AM 0 comments

Wednesday, August 27, 2008

Angin sentimental datang.. Ayah, Ayah dan Ayahku


Ayah + AnakAyah = Sama Tak?

Hari ini, baru ku tahu yang A.Kadir Jasin , yang bukunya banyak di rak bukuku itu rupanya satu sekolah dengan Ayah.


Setahun yang lalu, Ayah membawa aku sekeluarga ke rumah seorang sahabat lamanya. Baru ku tahu yang sahabat Ayahku itu, yang tentunya sebaya dengan A.Kadir Jasin itu seorang bekas duta Malaysia.


Satu pembohongan kalau aku katakan yang hatiku tidak menangis.


Hari ini, aku melakukan kerja gila ini di depan komputer. Meletakkan gambar Ayah sendiri. Mungkin kalau nanti sentimentalku ini hilang, aku akan buang semula gambar Ayah dari persada internet. Kalau Ayah tahu, aku meletakkan gambar lamanya ini di sini, tentu Ayah gelak besar. Tapi kerana aku tahu Ayah tak akan pernah tahu kewujudan en blog ini, aku lakukan juga.


Semoga aku diberi kesempatan masa untuk melakukan apa yang aku rancangkan.

posted by Mirip at 2:18 PM 0 comments

Tuesday, August 26, 2008

Part IV

Menyedari akan perkembangan yang tidak menyihatkan ini, guru Mentor A1 dan A2 telah mengambil inisiatif mencari puncanya. Lalu pada sessi sepertimana yang ditetapkan satu sessi setiap minggu itu, iaitu perjumpaan mentor-mentee, masing-masing Cikgu Kamariah dan Teacher Hana menjadi orang tengah. Mengoreksi apakah puncanya terjadinya perkembangan tidak bagus itu.

Ketika masing-masing kami, kumpulan A2 berkumpul di tepi tangga dewan, Cikgu Kamariah di tengah dikelilingi mentee ini, guru menanyakan. Tapi sekali lagi tuduh menuduh antara putera dan puteri terjadi. Penyelesaian yang dijangka dapat ditemui tentu sukar digapai kalau rundingan itu dipenuhi dengan kata-kata antara satu sama lain. Kedua-dua pihak pun tidak mengakui kesalahan sendiri. Aku hanya diam, walaupun tidak berpuas hati dengan tindak tanduk putera yang sama sekali berbeza sifatnya dengan teman-teman putera dalam kelas lamaku di sekolah menengah rendah, namun untuk aku mencampuri seolah-olah aku terlibat adalah tidak mungkin. Kerana aku tidak tahu kenapa jadi begitu. Memang apabila sudah merasai puing-puing ribut itu, amat kusedari aku tidak mungkin dapat menyamakan sifat-sifat teman baruku ini dengan teman lamaku. Teman putera lamaku semuanya bersongkok, iya songkok itu bukan perlambangan kesopanan dan kesusilaan pun, tetapi bertahun bersama mereka, aku dapat merasakan ketenangan berada dalam kelompok anak muda bersongkok. Bukan memburukkan, tetapi aku harus menyedari realiti hidup yang aku kini sudah berada di tempat lain. Sekelilingnya lain, dan teman baruku ini latar belakangnya lain sekali.

Setelah kuteliti deretan peristiwa yang terjadi,dapatlah ku buat kesimpulan bahawa:
Pertama:
Majoriti teman baruku yang putera ini (11 orang kesemuanya)datangnya dari pantai barat. Bahasa mudahnya datang dari Kuala Lumpur dan Selangor. Hanya Azim dan Rashdan yang seperti kami datangnya dari pantai timur.Juga Buyol yang dari kelas SE itu.Dan Kuza juga dari pantai timur, kategori diam juga.
VS
Majoriti teman baruku yang puteri ini pula (10 orang kesemuanya) datang dari pantai timur.Hanya Yani dari Johor.Dan Azma dari Utara.
=
Pertembungan budaya di situ. Diamnya puteri tidak bermakna mereka sombong tetapi kebanyakan dari kami memang sejak azalinya adalah pendiam.
Berbeza dengan puteranya yang banyak mulut, bercakap lepas, nakal mengusik dan macam-macam lagi. Lupa kukatakan, walaupun Si Buyol itu datangnya juga dari pantai timur seperti kami, tapi kan dengan kehadiran putera-putera pantai barat itu, kepala mereka bersatu. Menjadi ngam dan begitu kamceng sekali. Antara putera-putera itu, yang kelihatan diam dan tidak bersekongkol dengan perbalahan ini hanya Azim,Kuza,dan Rashdan. Azim itu bagaikan Ustaz kepada kami. Baik dan tenang. Dan sering di awalnya dibuli oleh geng-geng kepala geng tadi.

Kedua:
Asalnya dari penceritaan kedua-dua belah pihak perbalahan kecil itu bermula dari Buyol dan Azu. Tetapi akhirnya kerana putera menyokong Buyol, dan puteri menyokong Azu, maka terjadilah peristiwa seterusnya. Putera sudah tentu mengatakan si Buyol itu betul dan tepat sekali, hero mereka manakala sang puteri merasakan si Azu itu pasti benar dan sahih. Dua garis selari yang tidak akan ada satu titik pertemuan pun.

Lalu kerana rundingan damai genjatan senjata itu tidak berjaya, pada suatu hari, aku menerima sekeping nota pesanan.

Hany, jumpa saya di bilik guru.

Ada sedikit getaran berombak di dalam dadaku.
posted by Mirip at 6:12 PM 0 comments

Part III

Aku tidak tahu bagaimana asal mulanya peristiwa ini berlaku. Ia terjadi tanpa disedari. Seperi kanser, yang kehadirannya tidak dapat dirasai, ianya merebak, membesar, memakan sel-sel badan, sehingga antibodi badan sendiri yang tugasnya menjaga empunya diri sudah mengangkat bendera putih tanda mengalah. Sel- sel kanser ini yang pada mulanya memang kecil, tetapi dalam jangkamasa sekejap, ia sudah menguasai sel-sel baik dalam badan. Bolehlah juga ku umpamakan sepertimana penaklukan Yahudi pada tanah Palestin itu. Mula-mula sedikit sebagai pendatang, kemudian menguasai tanah itu, memperlakukan seolah-olah tanah itu tanah sendiri. Sesuka hati mengusir penduduk setempat. Lalu yang tinggal akhirnya hanya cebisan-cebisan tanah kecil, hanya sebahagian sahaja yang tinggal pada peribumi asal, Palestin itu. Itupun masih dengan dentuman bom dan bedilan mesingan yang tidak pernah putus, rakyatnya berjuang untuk membebaskan tanah air sendiri tapi sungguh tidak berdaya. Begitu juga halnya lah dengan sel baik dalam badan manusia itu sendiri. Dimakan dan dikuasai oleh sel jahat kanser itu. Analogi yang kurasakan amat tepat sekali pada apa yang terjadi pada teman-teman sekelasku.

Oleh kerana aku biasanya tidak menyedari asal mulanya kejadian, aku tidak merasa apa-apa pun. Kalau ada 2 puak yang berkelahi, bermusuhan sesama sendiri, tapi bagiku selagi mana-mana pihak itu tidak melakukan sesuatu yang buruk kepadaku, adalah tidak elok untuk aku mencari gaduh atau apapun. Kerana itulah aku tidak menyedari ada sesuatu yang tidak bagus telah pun terjadi pada teman-teman sekeliling.

Sehinggalah akhirnya keadaan sudah menjadi terlalu runcing. Apabila aku ketahui dan sedari hal ini, semua orang sebenarnya sudah tahu. Seperti kebiasaan, aku jadi hairan pula kenapa ia terjadi. Sedangkan orang lain pula yang menjadi hairan pada kehairanananku sendiri.Fikirku, kenapa boleh sampai ke tahap ini dan pada fikiran mereka pula, aku sungguh tidak berperasaan kerana tidak merasai perbalahan dingin ini.

Kerana aku sudah tahu ceritanya pada pertengahan cerita, makanya aku juga harus bercerita pada pertengahan cerita juga. Anda tentu ingin tahu peristiwa apakah terjadi pada kami sehinggakan aku digelar tidak berperasaan ini.

Kisahnya hanya kecil. Tapi seperti mana aku katakan di awal tadi, yang kecil-kecil itulah yang membesar seterusnya membarah. Jadi kelasku yang pada awalnya tenang damai itu rupanya sudah ditimpa tsunami. Tsunami itu memanglah sudah kurasai sedikit sebanyak puing-puing dan tiupan angin ributnya, tetapi pada fikiranku, ribut itu pasti akan berlalu. Rupanya tidak sama sekali. Tsunami yang datang memang amat menggegarkan. Kelas tegang. Tidak ceria. Guru dapat merasainya. Namun masing-masing membisu tidak mahu memberitahu situasi sebenar. Aku pasrah menjadi orang tidak ketahuan punca.

Rupanya tsunami yang datang itu adalah perbalahan dingin antara putera dan puteri. Asalnya perang dingin, dingin sekali menusuk tulang hitam dan kemudian tetiba menjadi tsunami.Kalau tsunami politik pada tanggal 8 Mac 2008 itu menggegarkan negara, tsunami perang mulut antara putera dan puteri sudah menggegarkan kerusi meja. Kerusi mengecut, meja mengucilkan diri, langsir kelas menggeleng-gelengkan kepalanya kehairanan, marker pen berloncatan sesama sendiri terkejut bagai terkena renjutan elektrik voltan 200V yang maha tinggi, dan guru terpana mengurut dada.
posted by Mirip at 5:47 PM 0 comments

Part II

Teman keduaku, Nurul Huda, juga anak seorang guru. Aku tidak terlalu mengenali Huda kerana asalnya kami tidak bersekolah rendah yang sama. Dia bersekolah di pekan, di sekolah ayahnya mengajar. Ketika di Sekolah Menengah Rendah, dia sekelas dengan Buyol, tidak denganku. Ketika di SMTM itu, aku antara beberapa kerat pelajar dari SRTM yang memilih untuk ke kelas Khas Arab(KA). Manakala selebihnya, pelajar lain memilih aliran SE(Special English). Hanya aku dan Yati sahaja dari kelas Seroja di SRTM yang memilih untuk ke kelas KA.

Ketika itu, sistem di sekolahku, antara sekolah yang mempunyai dua aliran para pelajarnya. Satunya SE- iaitu lebih pada sastera inggeris, dan satu lagi KA, lebihnya pada bahasa arab. Tapi orang sedikit sebanyak memandang rendah pada kelas KA itu, kerana pelajar yang UPSRnya bagus akan memasuki kelas SE, dan yang kurang bagus sedikit akan memasuki kelas KA. Semasa mula-mula Ayah daftarkan aku ke kelas itu, aku sedikit sedih kerana semua orang tidak kukenal, manakala kawan-kawan sekolahku semuanya kelas SE. Tapi akhirnya aku faham, dan aku berterima kasih kerana Ayah mendaftarkan aku dalam aliran ini.

"English itu, dimana-mana pun boleh, tapi kalau bahasa Arab itu, tidak semua orang dapat kuasai," pujukan Ayah yang ternyata ada kebenarannya. Lagipun akan pupus pula ilmu yang sedikit itu kalau aku tidak teruskan kerana, ketika dalam darjah lima dan enam, ayah sudah menghantar aku ke kelas tambahan Bahasa Arab yang jauh dari rumah. Jadi tidak berbaloi kalau aku tidak teruskan sahaja ilmu itu walaupun tidak memasuki sekolah berasrama agama. Asalnya Ayah mahu aku memasuki sekolah berasrama penuh agama yang letaknya jauh berbatu-batu dari rumahku itu, sekolah-sekolah agama itu di kota ibu negeriku. Memandangkan aku masih kecil, dan Ayah menukar fikiran tidak mahu menghantar anak gadisnya yang baru menginjak alam remaja itu berjauhan darinya, lantas dia hanya menghantar aku di sekolah depan rumahku itu sahaja. Mujur juga, prestasi sekolah itu antara yang terbaik di seluruh negeriku, sampailah ke hari ini.

Ketika di kelas KA, ada pembahagiannya pula. KA1, KA2 dan hujungnya aku tidak pasti sampai KA berapa. Aku dan Yati berada dalam KA1. Jadi nama kelasku agak cantik. 1KA1. IKAI. Cantik, mujur bukan IKAL. Aku tidak terlalu mengenali pelajar kelas KA lain. Kenal pada muka sahaja, kadang-kadang nama mereka tidak aku ketahui. Selalunya kami akan senyum-senyum sahaja. Jadi di sepanjang kelas KA itu, aku mendapat kawan-kawan baru dari sekolah rendah lain. Kawan-kawanku dari sekolah rendah asalku, kebanyakannya kelas SE, dan kelas YT dan tah apa-apa kelas lagi. Terlalu banyak kelas ku kira pada waktu itu.

Huda dan Buyul yang sekelas ini tentunya lebih rapat daripada aku yang kelasnya jauh sedikit. Ketika dalam kelas KA itulah, aku mengenali ramai teman-teman baru yang semuanya baik-baik belaka. Lelakinya walaupun sedikit nakal, tetapi kuakui amat bersopan baik pada cikgu atau pada teman sekelas. Oh ya ada seorang lagi teman lamaku dari sekolah rendah. Namanya Tengku Halim. Putih orangnya. Tapi Tengku Halim ini aku tidak pasti pula ketika sekolah rendah samada berada dalam kelas Seroja atau tidak. Di usia-usia begini, ingatan alam kanak-kanak kadang-kadang timbul kadang kadang tenggelam.

Ketua kelas kami, namanya Nassar. Dan aku pernah menjadi pembantunya. Sepanjang tiga tahun dalam kelas KA, ketuanya adalah sama. Cuma pembantunya yang bertukar. Tahun pertama dan kedua, aku menjadi timbalannya, dan pada tahun ketiga, aku meletakkan jawatan, diambil alih oleh orang lain, dan aku menjadi bendahari pula. Switching Job itu bagus dalam mempelbagaikan pengalaman kan. Nassar ini anak kepada Ustazah Bahasa Arabku. Selama tiga tahun Ustazah ini mengajarku, kami memang rapat antara satu sama lain. Ustazah yang bertudung labuh ini selalu sahaja meminta bantuanku, atau selalu meminta aku menulis pada papan hitam.
posted by Mirip at 4:36 PM 0 comments

Askar-askar SRTM

Syahrul atau lebih dikenali dengan nama Buyol, nama glamournya di sekolah lama kami. Sebenarnya sahabatku ini mempunyai sepasang kembar seiras. Sekali lalu, orang melihat rupa mereka sama, tidak ada bezanya, tetapi pada mana-mana pasangan kembar sekalipun, pasti ada perbezaan sedikit. Kembarnya bernama Syahril, di kenali dengan nama Buyil. Oleh kerana aku dan adik beradik Buyol dan Buyil ini sudah bersekolah rendah bersama-sama, jadi aku sudah mengenali dia bertahun-tahun, walaupun aku dan dia tidaklah terlalu kamceng. Dia kenal aku, dan aku kenal dia. Buyol dan Buyil ini mempunyai adik beradik yang rapat-rapat. Seingat aku, aku mengenali kesemua adik beradiknya, kerana jarak mereka yang dekat-dekat itu. Ketika kami bersekolah rendah, aku selalu melihat, mereka adik beradik berbaris akan turun dari van milik ayah mereka, Cikgu Sham. Buyol dan Buyil ada seorang abang yang tua setahun dari kami. Abang mereka sedikit berbeza perwatakannya kerana seorang yang bersopan, mungkin juga kerana dia anak sulung pada pasangan Cikgu Sham dan Cikgu Hasni ini. Aku masih ingat nama glamour abang mereka, si Bujal. Ketika kelas fardhu ain ketika di sekolah rendah dulu, aku selalu melihat kelibatnya. Ketika itu kelas fardhu ain hanya dihadiri oleh beberapa kerat pelajar sahaja.

Ketika zaman sekolah rendahku, kelas fardhu ain ini yang 'disunatkan' untuk pelajar darjah empat, lima dan enam ini , hanya segelintir pelajar dari keseluruhan kelas sahaja yang hadir. Kutuliskan perkataan sunat kerana ia sesungguhnya tidak diwajibkan pun. Terpulanglah pada pelajar samada mahu hadir atau tidak. Jadi kalau pada sessi paginya kelas darjah empat itu mempunyai 5 kelas dengan setiap kelas mampu menampung seramai 40 orang pelajar secara purata, di dalam kelas fardhu ain ini hanya ada satu kelas sahaja bagi setiap darjah. Nisbah kehadiran pelajar adalah terlalu sedikit. Guru-guru yang mengajar pula ada yang dari sekolah yang sama dan ada pula yang tidak kuketahui dari mana datangnya. Agak menjadi sedikit keanehan kerana pelajaran fardhu ain itu adalah wajib, tetapi orang selalu mengambil mudah. Aku selalu mendengar Ayahku merungut mengatakan kenapa sekolah tidak sahaja mewajibkan pelajar datang ke sekolah untuk hadir ke kelas itu, sedangkan kalau aktiviti kokurikulum yang lain, boleh pula sekolah mengambil pendekatan memaksa pelajar untuk datang pada waktu petang. Kelas fardhu ain itu tidaklah sepanjang hari, hanya pada hari Ahad, Isnin dan Selasa sahaja. Dan waktunya kalau tidak silap aku bermula pada pukul 2.3o petang. Kelasnya banyak sekali. Ada kelas tajwid, feqah, sejarah dan lain. Aku masih ingat, aku harus membeli buku log berkulit tebal, dan harus mengikis tepi-tepi buku itu membentuk susunan anak tangga supaya menjadi lima anak tangga. Anak-anak tangga itu lalu dibahagikan sama rata menjadi bab-bab setiap pelajaran ilmu ketika kelas fardu ain itu.

Ada ketikanya aku jadi malas juga untuk datang ke kelas itu. Kerana pengaruh cerita Moero Attack begitu menyengat diriku dari menghadirkan kelas. Ketika itu, cerita bersiri itu amat popular. Di mana-mana pelajar bercakap mengenainya. Aku yang bukan kaki sukan sekalipun seperti berangan-angan kalau aku ini watak utama cerita itu yang diberi kelebihan menampar sekuatnya bola tampar itu dengan pusingan putar-putar selaju mungkin dan menyebut Moero Attack. Pong. Bola terhempas. Kumpulan menang. Aku pun bagai ingin sekali menjadi Yun, aku sudah lupa nama watak itu. Yun itukan rambutnya panjang sekali, dan diikat satu di salah satu rambutnya. Ketika itu juga, aku mempunyai persamaan dengan si Yun itu. Lalu dalam gambar-gambar album kenangan ketika aku masih kecil, banyaklah yang pattern rambutku seperti si Yun. Dan adik perempuan ku itu seperti watak yang seorang lagi. Watak ini mengikat dua rambutnya di kiri dan kanan. Betapa besarnya pengaruh cerita dalam hidup kanak-kanak sehinggakan aku yang bukan kaki sukan pun bagai ingin sekali menjadi ahli sukan walau menyedari tiada langsung bakatku di situ.

Ayah seperti selalu, bersikap tegas, jangan harap aku boleh menonton Moero Attack itu kalau pada hari-hari ada kelas fardhu ain. Mujur jugalah, kelas-kelas itu berjaya dibawa oleh ustazah dan ustaz-ustazku dengan jayanya, sehinggakan aku terlupa pada Moero Attack apabila sudah sampai pada pengajaran kelas. Mereka mengajar dan aku gembira belajar. Tapi apabila aku ke sekolah semula pada keesokan harinya dan kawan-kawan bercerita perihal Moero Attack, aku hanya mendengar. Tumpang mendengar sahajalah, sekurang-kurangnya aku tahu jalan ceritanya dan tidaklah aku tidak faham apabila menonton pada hari Rabu dan Khamis itu. Jadi begitulah seterusnya sehingga siri Moero Attacks itu habis, aku melihat dalam erti kata cerlang cerluk sahaja. Tiga hari miss, dan dua hari pula dapat menonton. Sayang sekali, aku tidak pernah menjumpai CDnya sampai ke hari ini. Dan ceritanya pun tidak diulang tayang lagi.

Begitulah juga halnya dengan cerita OSHIN. Aku hanya mendengar sekiranya orang bercerita perihal oshin itu best, tapi sekali lagi aku tidak langsung berpeluang melihat. Rasanya ketika itu OShin ditayangkan di TV3, dan rumahku pula pada waktu itu, masih tidak dapat siarannya. Mujur juga baru-baru ini tv9 ada menayangkan siri ini pada hujung minggu, pukul12 tengahari. Sempatlah aku mengikuti kisahnya, yang banyak pelajaran itu. Seperti Moero Attack, aku mencari CD siri ini untuk menjadikan koleksi peribadi dan khazanah generasi akan datang, malangnya tidak dijumpai. Sudah kupesankan pada temanku di Tokyo, supaya membelikan CD ini walau berapa harganya sekiranya dia terjumpa di sana.

Kembali kepada Buyol tadi, selain tiga tentera itu, mereka ada dua lagi serikandi. Kecil-kecil sahaja saiz badan adik-adik Buyol, tetapi semuanya pintar-pintar. Haslinda itu muda setahun dariku, dan Hasliza itu pula muda dua atau tiga tahun darikku. Di bawahnya si bongsu yang amat kecil sekali saiz fizikalnya, tidak diketahui namanya. Ketika itu si kecil itu darjah satu ku kira. Memandangkan aku hanya ada seorang adik kecil ketika itu, aku selalu hairan bagaimana Cikgu Hasni menjaga dan mengawal kesemua askar dan serikandi mereka itu. Bermula dari darjah enam sampai darjah 1. Genetik Cikgu Hasni itu diwarisi oleh Haslinda dan Hasliza, kecil dan comel dan sopan santun, pendiam tapi pintar amat. Dan aku perasan satu keistimewaan pada keluarga ini. Anak-anak perempuannya dimulai dengan nama H, nama sempena ibunya, Hasni, dan nama anak-anak lelakinya diberi S, sempena pangkal nama Cikgu Sham. Ironinya seperti itu juga saiz anak-anak lelaki itu, genetiknya mewarisi si Ayah. Cikgu Hasni, antara guru yang paling kusayangi ketika itu (Cikgu Hasni adalah guruku sendiri) kerana dirinya yang lemah lembut dan aku jadi hairan juga kenapa anak-anak lelakinya itu tidak pula mewarisi sikap Cikgu Hasni, tetapi amatlah lasak dan nakal.Berkali-kali ganda nakalnya berbanding pelajar-pelajar lain.
posted by Mirip at 3:52 PM 0 comments

Mentor Mentee

Ketika pembahagian kelas, namaku tersenarai untuk ke kelas A. Agak senang pembahagian nama-nama kelas di Kolej Cari Ilmu aku ini. Kelasnya bermula dengan nama A sampailah ke kelas N. Pembahagian nama dan kelas adalah secara rawak, kerana pencapaian kami semuanya adalah sama sahaja. Hasil keputusan peperiksaan tahun lepas itu grafnya akan menjadi satu garisan lurus sahaja antara kami. Walaupun ada segelintir pelajar lelaki yang diberi kelonggaran kerana bilangan huruf sedikit berkurang dalam keputusan peperiksaan itu, kerana sudah menjadi kebiasaan, pelajar lelaki diberi sedikit kelonggaran berbanding pelajar perempuan.

Berbalik kepada susunan kelasku tadi,jadi apabila aku tersenarai berada di dalam kelas A, itu tidaklah bermakna aku ini top student di sekolah itu. Kolej Cari Ilmu ini juga meberi sepenuh ruang kebebasan kepada rakyat jelatanya sendiri untuk memilih nama yang sesuai pada negeri sendiri. Pemilihan nama kelas kami nanti akan aku ceritakan kemudian.

Ketika sessi pendaftaran tadi, aku menerima sekeping kad manila kecil tertera tulisan A2. Akhirnya tahulah aku yang kad itu mewakili mentor group yang telah dibahagi-bahagikan oleh pihak pengurusan kolej. Ketika selesai segala urusan, dan taklimat dan segala proses-proses yang bersangkutan dengannya di dalam dewan besar itu, kami kesemua rakyat jelata ini diarahkan berhimpun mengikut huruf-huruf yang terpapar dalam kad manila kecil tadi.

Lalu, mata masing-masing mencari-cari dimanakah tempat masing-masing. Ada guru-guru, wanita dan lelaki masing-masing memegang kad manila besar dan tertulis dengan huruf-huruf tersebut. Kedudukan lokasi guru-guru itu pula selari dan dalam keadaan yang agak senang untuk dicari kerana sudah tersusun atur dalam susunan abjad. Kad A berada di hujung kiri dewan, Kad F berada di hujung kanan dewan, dan seterusnya. Susunan yang mudah ini tidak menyukarkan rakyat mencari negeri masing-masing dan seterusnya pengumpulan rakyat pada negeri masing-masing menjadi pantas. Mujurlah kad ku adalah A2, kerana aku mudah sekali mencari kad yang dipegang oleh seorang wanita lingkungan 30-an tersebut. Sudah ada beberapa pelajar mengelilingi guru tersebut. Di sebelah guru wanita itu pula, ada tulisan besar A1, dipegang oleh seorang guru wanita yang masih muda, dalam lingkungan 20-an. Setiap huruf dari A-M itu dibahagikan pula kepada 2 sub-kecil. Jadi dari A menjadi A1 dan A2, B menjadi B1 dan B2 dan seterusnya sehingga ke kelas M. Ketika itu mataku hanya dapat menangkap huruf terakhir yang berada di sekeliling dewan itu adalah huruf M.

"Hany, sini, sini," Huda melambai tangannya saat dia melihat kelibatku menuju ke sana.
"Huda, awak pun kat sini," Aku bersalam pada kenalanku di sekolah lama itu.
"Ooo awak Hanany ya," sapa guru wanita yang berwajah jernih itu.
Aku angguk kepala.
"Kita tunggu yang lain dulu ya," ujar guru wanita berbaju kurung kuning kunyit itu seraya memandang ke seluruh anak didiknya. Kami serentak mengangguk kepala.
"Lagi berapa orang cikgu?" soal anak muda berwajah kecinaan di belakangku tadi. Nampak dia seorang yang peramah kerana di bibirnya tidak lepas dari senyuman pada semua orang, pada aku, pada Huda, pada rakan-rakan lain.
"Seorang lagi," balas Cikgu Kamariah, kutahu namanya melalui name tag yang dipakai di tudungnya.

Aku tersenyum dan berjabat tangan dengan rakan-rakan perempuan yang lain.

"Lambatnya, kenapa lambat sangat mamat ni?" aku mendengar rungutan dari belakang. Sah suara datangnya dari budak-budak lelaki tadi, yang aku tidak tahu namanya antara ramai-ramai itu.Yang pasti suara itu bukan datang dari pelajar lelaki yang wajahnya persis kecinaan tadi.

"Hah tu dia... mamat tu datang sini tu," desis suara mamat lain di belakangku. Mereka dalam anggaran lapan atau sembilan orang,elok sahaja mencangkung duduk dalam dewan ini. Serentak itu juga mata kami kesemuanya memandang pada susuk yang datang dalam langkah panjang-panjang ke arah kami. Orangnya tinggi, kurus sedikit gelap, rambut sedikit panjang, berjalan laju-laju sambil tersengih-sengih pada kami. Dia tahu semua mata kami memandang ke arahnya, lalu dia melambai-lambaikan tangannya seolah-olah seorang olahragawan melambai tangan pada peminat selepas memenangi pingat emas dalam mana-mana kejohanan sukan.

Lelaki muda itu mendekat. Dan akhirnya berdiri jelas di hadapan kami.

"Maaf cikgu, ke tandas tadi," Dia kembali melemparkan sengihnya pada semua mata yang memandang padanya .

"Ooh, awak tentu Syahrul," Cikgu Kamariah senyum sambil menandakan sesuatu di tangannya. Pasti itu senarai nama pelajar. Kertas di tangannya dilipat kecil.

Aku dan Huda saling berpandangan. Aku tepuk dahi. Huda seperti selalu hanya tersenyum.
Aku tahu apa ada dalam kepala Huda dan Huda tahu apa ada dalam kepala aku.

"Buyol, mung pun sekelas dengan kami?" Huda terlepas cakap.
Buyol hanya senyum lebar memandang kami.
posted by Mirip at 12:23 PM 0 comments

Monday, August 25, 2008

Pagi yang hening

Suasana pagi itu hingar bingar. Hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Pagi yang damai, pemandangan yang indah. Jarak antara rumahku dan tempat ini tidaklah jauh, sekadar dalam dua setengah jam perjalanan ku kira. Namun kerana pada malam tadi, aku, ibu, ayah dan adik-adikku telah bermalam semalaman di rumah nenekku, jadi pagi tadi aku berangkat pada pukul tujuh pagi. Jarak dari rumah nenekku dan tempat ini pula kalau menaiki kereta hanya dalam tiga puluh minit dalam keadaan jalanraya yang lancar.

Ketika di sekolah menengah rendahku, kami mengetahui sesama sendiri bahawa 15 di antara kami akan ke sekolah ini. Ketika di awal-awal kemasukan ke tingkatan empat dahulu di sekolah lama, di mana pelajar dimasukkan dalam kelas mengikut keputusan peperiksaan PMR, kami semuanya ditempatkan dalam kelas yang sama. Tidak silap perkiraanku, seramai hampir 40 orang pelajar kesemuanya. Namun akhirnya , sedikit demi sedikit, seperti kelaziman di mana-mana sekolah kebangsaan manapun, pelajar tingkatan empatnya akan disapu oleh sekolah-sekolah lain. Lalu yang tinggal di kelasku itu sebenarnya bukan tidak ditawarkan kemana-mana, tetapi kerana diri pelajar sendiri yang tidak mahu berpindah sekolah atas sebab-sebab tertentu.

Walaupun aku tahu bukan aku seorang yang mendaftarkan diri di situ, tetapi di pagi hari pendaftaran ini aku tidak ketemu seorang pun di antara mereka. Samada aku yang terlewat mendaftar atau aku antara yang terawal ke sini, tidaklah dapat dipastikan secara jelas. Kerana kalau mahu dikatakan aku ini antara yang terawal, sudah banyak kereta-kereta ibu bapa lain di sepanjang pagar sekolah ini. Kalau mahu dikatakan aku ini antara yang terlambat, kelihatan masih ramai menderu-deru manusia lain berduyun-duyun memasuki pagar utama sekolah.

Seperti di mana-mana tempat pun, bayangan kelompok manusia itu tidak melambangkan banyaknya jumlah pelajar itu sendiri. Maksudku, seorang pelajar mungkin dihantar oleh seluruh kaum keluarga.Pelajarnya hanya seorang, tapi yang datangnya penuh satu kenderaan, paling kurang tiga orang, atau yang berkeluarga besar dan berkemampuan, datangnya lagi ramai kaum kerabatnya, samada melalui darat mahupun dengan belon. (Aku akhirnya tahu dari teman-teman Sarawakku yang kapal terbang itu dipanggil belon oleh orang-orang di sana). Seperti halnya jugalah dengan ramainya rombongan orang ketika menghantar jemaah Haji. Jemaahnya mungkin sahaja sepasang suami isteri sahaja, tetapi kelibat yang menghantar adalah berkali-kali gandanya. Oh apabila aku katakan ini, tidaklah menandakan ianya sesuatu yang buruk. Malahan aku gembira sekali.Kerana yang pasti ikatan kekeluargaan itu lebih penting dari segala apapun bandingannya di dalam alam fana ini.

Aku terbayang di pintu gerbang kolej itu terpampang huruf-huruf bersambung membentuk tulisan Kolej Cari Ilmu dari besi tempawan berlingkar-lingkar tersenyum memandang kami, memberi seribu tafsiran seolah mengungkap- Selamat datang, galilah ilmu di dalamnya sedalam-dalamnya. Masa depanmu di sini-

Lambaian pokok-pokok rendang menari-nari menyambut ketibaan kami. Taman yang indah dipenuhi pokok renek bunga-bungaan warna warni kuning dan merah memberikan senyumannya yang paling ikhlas. Kerusi meja yang menjadi teman setia taman indah dipayungi pohonan rendang itu bagai memberi salam kepada kami supaya jangan disia-siakan peluang menuntut di gedung ini supaya akhirnya rakyat-rakyat ini akan menjadi pembina nusa dan agama. Satu galas yang berat, bagaikan berkilo-kilo batu terhempap di atas rangka kepalaku apabila diingati akan senyum pohonan itu, namun seberat manapun ia, selagi namanya hidup, harus jua dihadapi.
posted by Mirip at 8:35 PM 0 comments

Rahsia terbongkar

Jari jemari di atas kepingan wang syiling dua puluh sen itu bergerak sendiri.Mula-mula tanpa gerakan jelas tapi akhirnya secara tiba-tiba terasa berhenti di salah satu huruf Konsonan itu. Hurufnya M.Aku masih juga tidak faham apa-apa dan ingin bertanya Yati, ketua segala ketua kepada permainan pelik ini.

"Yati," mataku membulat ke arahnya.

Yati, yang juga penolong ketua kelas kami itu hanya meletakkan jari telunjuknya ke bibirnya isyarat jelas supaya aku tidak bertanya apa-apa lagi. Jelas sekali dia tahu apa yang aku mahu tanyakan. Cob, teman rapat si Yati ini juga memandang aku. Mungkin geram kepadaku kerana mengganggu konsentrasi permainan ini.Jari telunjuk Cob bertemu dan rapat sekali dengan jari telunjukku dalam keadaan berlawanan arah.

Asalnya tadi,aku yang terkocoh-kocoh masuk ke kelas prep waktu tengahari itu yang jadi galang ganti pada konspirasi tahap tinggi rakan-rakan sekelasku. Patutlah tadi ketika aku berlarian menaiki tangga dan pantas menuju ke muka pintu, suasana kelas terasa amat hening, bagaikan ada Malaikat yang lalu. Rupa-rupanya ini kerja mereka ya.

"Hany, kami perlukan khidmat engkau," Yati memanggil aku perlahan ketika aku duduk di tempatku. Barisan ketiga dari depan, di kiri kelas. Yati, Mc Jea, Cob dan Azi masing-masing sedang duduk berteleku dan muka masing-masing keruh bagaikan sedang berfikir masalah negara. Mereka selalu begitu. Berempat ke mana-mana, tidak mahu berengang barang sesaat.

"Kenapa pulak," mulutku bertanya tapi kakiku melangkah ke arah mereka berempat. Mana pula perginya teman-teman yang lain? Hairan nan ajaib ini. Budak-budak lelaki pun tidak ada. Ohh patutlah senyap kelasku tadi, budak-budak lelaki tidak cukup umur itu semuanya tidak ada membisingkan kelas.

Lapan biji mata merenungku dalam bagaikan memohon pengertian dari sang kekasih. Melihat rupa mereka ketika itu, lantas teringat aku kepada wajah Shah Rukh Khan dalam Kuch-Kuch Hota Hai, meminta Kajol menerima permintaan anaknya, si Anjali itu. Muka kasihan meminta simpati.Yang bagiku tidak perlu diberi simpati kerana yang lebih berhak menerima simpati itu adalah si Salman Khan yang secara anehnya boleh pula menari sakan walaupun perkahwinannya dengan si Kajol tidak berjalan. Tapikan bukan namanya Hindustan kalau jalan ceritanya tidak berjalan dengan logik. Semakin tidak logik jalan cerita itu ,semakin penuhlah panggung wayang dibuatnya. Sebaliknya kalau cerita itu penuh dengan kelogikan dalam alam realiti,habis panggung wayang dibakar penonton. Satu lagi keanehan alam yang aku pelajari.

Ok kembali kepada wajah-wajah pemudi harapan bangsa itu tadi, aku lantas duduk di kerusi yang disediakan oleh Yati. Terasa diriku seperti Yang Berhormat ADUN Penanti dalam P44 Parlimen Permatang Pauh pula layanan yang diberikan kepadaku. Layanan tahap VVIP.Muka kasihan, pandangan minta simpati, tenpat duduk disediakan, mujur tidak ada air kotak di tepi. Agaknya kalau ada air kotak di tepi mereka,samada YEOS ataupun F&N mahu dihulur dan dipaksa aku ini minum membasahkan lohong tekakku ini.Manusia, kalau diperlukan khidmat orang, memang begitulah selayaknya. Ketika itu, aku rasakan kalau aku meminta dibelikan mee goreng dari kedai koperasi sekolah pun, semuanya mahu berebutan, mahu membelikan mee goreng yang jarang-jarang dapat kurasai itu kepadaku. Tapi kawan, jangan bimbang aku tidaklah sezalim itu walaupun kadangkala aku kelihatan sedikit zalim pada manusia-manusia yang suka menzalimiku.:)

"Looorr, ini kerja korang ya," aku bagaikan ingin memulai syarahan agamaku. Orang kadangkala memanggil aku dengan panggilan Ustazah kerana mulutku ini kadangkala suka berceramah.Sebenarnya bukan berceramah tanpi bangkangan ku pada sesuatu itu ditafsirkan aku ini sebagai anti segala sesuatu dalam dunia ini. Memang aku suka membangkang, tapi bukanlah pada semua benda pun dibangkangi, hanya ada situasi-situasi tertentu sahaja. Di waktu lainnya kalau ianya tidak salah di mataku dan di hatiku, aku lebih suka menuruti dan mulutku diam terkunci.

"Tolong....," Cob pula menyambung kata."Si jea ini datang hari, tak boleh..." Azi menyambung lagi. Bagusnya mereka berempat ini kata-kata selalu sahaja selari. Selalu ada backup antara satu sama lain. Selalu nakal dengan idea tidak masuk akal sama sekali tetapi selalunya mereka juga yang pintar di dalam kelas.Otak yang kalau selalu tidak berhenti digunakan, akan wujud perlakuan yang kadangkala aneh.

Aku pandang Jea, mahu tergelak pun ada juga.Mahu marah pun ada juga.Marah kerana selalunya aku yang jadi pembantu hal ehwal urusan tidak masuk akal mereka."Dah tu?" aku pura-pura menanyakan soalan sedangkan aku tahu, jawapannya tentulah aku yang harus menggantikan si Jea itu."Kau nak tahu tak? Kisah tahun 1944?" Yati selaku ketua kelas merangkap ketua empat serangkai itu memulakan bicara, tidak lain tidak bukan ,hanya untuk memancing aku turut serta.

"1944? Jepun?" aku ingin tahu. Pancingan si Yati tepat mengenai sasaran, cacing yang diletakkan pada mata kailnya sudah beroleng-oleng di dalam air, kelihatan seolah lazat penuh nikmat dalam pandangan mata ikan keli. Sang keli walaupun sudah diingatkan yang cacing itu hanya umpan olok-olok oleh nenek moyangnya, tetap terpedaya, tetap juga melihat cacing itu bagaikan pizza hut penuh potongan dadu warna warni lada benggala hijau,merah dan kuning itu. Matanya bukan lagi melihat pada gerakan palsu cacing merah itu tapi melihat pada enaknya roti bersalut nenas di atasnya, keju kuning yang ketika ditarik-tarik untuk disuap ke mulut itu masih tidak putus-putus, dan cendawan di permukaan roti. Mata Keli sudah kelabu asap, tidak lagi mendengar nasihat yang tidak penah putus dari nenek moyangnya bahawa jangan mudah terpedaya dengan janji palsu. Kata-kata manis itu sentiasa boleh diberi di mana-mana, selagi belum didapati, berbuih kata manis pun sanggup diberikan. Yang pentingnya lihat dengan mata hati, itu pesan nenek Keli. Tapi sayang, keli tetap juga keli.Keli tetap juga buta mata dalam menilai mana pizza hut dan mana pula cacing kerawit. Dan aku sudah pun menjadi ikan keli itu. Termakan dengan perasaan ingin tahu apa jadi kalau aku memakan cacing aka pizza hit itu, atau ayat paling mudahnya, termakan dengan hasutan Yati, ingin tahu cerita apakah yang mereka persekongkolkan dalam arena meja empat segi dilapisi kad manila putih dengan segala huruf-huruf dalam susunan teratur dari A-Z itu.

Taktik psikologi yang dimainkan Yati berjaya.Dia tahu bila ketikanya harus menusuk jarum. Dia tahu minat orang lain dan dari itu dia memainkan jarumnya memujuk.
Dan jari telunjukku dan jari telunjuk Cob bersatu lagi, membentuk huruf kedua- "A".
posted by Mirip at 11:34 AM 0 comments

Monday, August 18, 2008

Merdekakah Malaysia?

Dulu, ketika pelajaran Sejarah, samada di tingkatan empat atau lima, aku sudah lupa, aku bertanyakan soalan ini kepada Cikgu Shamsudin, guru sejarah kami.
"Kalau PKM atau MPAJA itu tujuan utamanya adalah menuntut kemerdekaan, kenapa selepas merdeka masih ada peperangan berlaku antara kerajaan dan pertubuhan/parti itu?"
"Kalau tujuannya sama kenapa berlaku juga peperangan 'sesama sendiri', sedangkan tujuan utama angkat senjata adalah menuntut kemerdekaan?"

Tidak tahu, entah kerana soalan yang aku keluarkan berbaur perkauman, atau sensitif atau menyalahi peraturan, jawapan dari Cikgu Shamsudin yang berbunyi, "Kerana mereka Parti Komunis," benar-benar menjadikan aku pelik.

Maksud aku ketika itu, kalau ada dua kawan yang matlamatnya satu, dan akhirnya tujuannya tercapai walaupun method yang digunakan oleh 2 sahabat tadi berbeza sama sekali, kenapa di akhirnya setelah kemenangan tercapai, hanya satu puak yang naik, dan satu puak lagi seolah bersalah dan kembali harus diperangi sesama sendiri.

Akhirnya setelah dewasa aku tahu lebih dari itu. Aku faham mungkin Cikgu Shamsudin sendiri serba salah atau tidak menyangka ada soalan yang sebegitu dari anak muridnya.

Setelah membaca Memoir Rashid Maidin, ada banyak pelajaran yang aku dapati.

1. Kemerdekaan kalau hanya pada nama sahaja tidak membawa apa-apa. Bagiku kalau namanya merdeka, ia harus merdeka total, bukan pada merdeka tapi menjadi boneka pada orang lain. Ya kita disanjung sanjung tapi hakikatnya banyak benda yang kita harus akur pada caturan orang lain.

2. Sering terjadi, lembu punya susu sapi dapat nama. Pepatah yang aku kira terlalu dekat dengan sekeliling. Begitu banyak keadaan yang sebegitu. Samada dahulu, atau juga kini dalam kehidupan seharian bekerja. Kembali pada erti kemerdekaan, dahulunya ada suara orang-orang yang lantang dan sedar akan hakikat ini, seperti Burhanudin Al Helmy, Pak Sako, Rashid Maidin sendiri yang menyalakan info pada peri pentingnya kemerdekaan negara dari terus terjajah dari British. Apa yang terjadi pada mereka? Di tahan, di penjarakan oleh pemerintah. Siapa pemerintah pada masa itu? British. Jadi dimasukkan mereka ini kedalam penjara supaya suara-suara yang menuntut kemerdekaan itu terhapus. Lalu rakyat akhirnya sedar yang perjuangan tidak akan kemana-mana juga. Yang ada hanya kemelaratan atau pasrah sahaja walau tetap dijajah. Hasil kekayaan bumi tumpah tanah air diragut, rakyat yang berhak tetap melarat. Tapi di sisi lain, ada orang yang mengikut sahaja pemerintah itu (British) kerana katanya merdeka itu harus dengan jalan baik.

3. Hakikat tersembunyi. Tanpa gerakan bersenjata dari pihak-pihak tertentu (akan isi kemudian), mana mungkin sang pemerintah ketika itu mahu memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Tanpa ada tekanan sebegitu, pemikiran logiknya mereka pun tidak akan melepaskan tanah bertuah ini. Lalu akhirnya British bersetuju memberikan kemerdekaan.

4. Tapi apabila kemerdekaan dengan cara berunding begitu, pasti akan ada yang jadi mangsanya. Banyak sekali. Ada yang sekadar menjadi boneka. Lalu akhirnya terjadilah perang sesama sendiri yang membantutkan pembangunan negara.

5. Apapun yang terjadi, samada sejarah tidak bercakap benar, atau sejarah seperti selalu dipusing-pusingkan waima pusingannya 360 darjah sekalipun, aku mendoakan orang-orang yang benar-benar berjuang pada pembebasan tanahair, walaupun di dunia ini mereka di hina, tidak mendapat balasan setimpal, aku mendoakan kebahagian buat mereka. Sepertimana Pak Rashid yang hidupnya kini menjadi guru Al Quran di Yala, Thailand dan banyak lagi, hanya Allah sahaja yang berhak membalas kalau ada perjuangannya yang harus mendapat penghargaan. Penghargaan dan keredhaan apa lagi yang lebih tinggi dari kurniaan Allah. Bukan kurniaan manusia yang seringkali buta dalam menilai.

Sempena bulan kemerdekaan ini, ku coretkan kisah ini buat pedoman bersama.Jangan lagi ada sorakan kemerdekaan tanpa memahami apa makna merdeka itu sendiri.
posted by Mirip at 9:10 AM 0 comments

Friday, August 15, 2008

Bengang tahap dewa

Aku tahap gaban gila bengang kat orang tu.I dont care anymore. Dah lama gila ni aku bersabar ngan dia.
Senyap selama ni tak bermakna aku salah.
War is war.
Kalau kau rasa ko dah memang terror, ko pandai, ko buat lah semua sendiri,. Yes i know u r the boss, but i don't care anymore.Seriously telinga aku terbakar. badan aku terbakar. Jiwa aku terbakar.
Aku akan blah dari sini. Padan muko ko orang yang perasan bagus banget tapi satu haprak pun tak ada.
posted by Mirip at 9:49 AM 1 comments

Monday, August 11, 2008

roda hidup

Apabila roda berputar, kisah hidup juga berputar
Kesedihan dan kegembiraan silih berganti
Suka dan duka mainan hidup
Sebelum ajal menjemput
posted by Mirip at 2:18 PM 0 comments

Saturday, August 02, 2008

HAMKA-Alfatihah to him

Tidak pernah lagi aku menangis dan terasa sebak-sebak membaca novel. Tapi kedua-dua buku AlMarhum Pak Hamka berjaya membuatkan aku berair mata. Kalau Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, aku simpati membuak-buak pada kasihnya Zainudin, membaca Merantau Ke Deli, aku kasihan sungguh pada Poniem. Kasihan itu bukan kerana apa, tapi benar-benar aku dapat menghayati perih hidup Poniem. Apatah lagi aku tahu kisah itu ada dalam masyarakat. Aku tahu benar itu. Jadi apabila Poniem itu mengalami, aku seperti masuk dalam diri Poniem.

Itulah anugerah Allah pada Pak Hamka. Kalau Zainudin itu biasan dirinya sendiri, aku kagum kerana almarhum bagaikan seorang wanita pula tatkala dia mengisahkan Poniem. Kalau kisah Poniem itu ditulis juga oleh seorang wanita, itu tidaklah menghairankan kerana sudah semestinya dia tahu peperangan apa dalam diri wanita. Kalau semua lelaki-lelaki dalam dunia ini dapat berperasaan seperti Pak Hamka, amanlah dunia. Walaupun pengakhiran Leman itu juga tersayat pilu, tapi aku tahu semua itu benar-benar ada dalam hidup sekeliling.

Banyak sekali pengajaran hidup dalam kisah-kisah karya Pak Hamka. Moralnya sangat jelas. Kalau Leman dimakan sumpah, roda kehidupan Suyono dan Poniem. Malahan aku tahu kalau karakter Mariatun itu banyak sekali di dunia realiti.

Tidak banyak ulama yang diberikan kelebihan seperti Pak Hamka. Tulisannya kreatif dengan keadaan semasa, diselitkan dengan dakwah kalau boleh aku katakan begitu. Betapa pahala yang mengalir padanya tidak putus-putus.

Tidak banyak novel cinta yang aku baca. Tapi membaca TKVW dan MKD, berpuluh-puluh kali pun, hatiku masih sedih juga lagi.
posted by Mirip at 10:31 AM 0 comments

Friday, August 01, 2008

aku tak mahu 20 tahun lagi macam ni...

Bertubi-tubi selesaikan masalah orang. Masalah sendiri siapa yang tahu?
Siapa nak selesaikan masalah aku ni?
Uwaaaa... tak tahan dah ni.
Aku rasa cam nak makan orang. makan orang makan orang makan orang makan orang

Tak tahan dah aku ni, kang aku buat bodo aje la..
lantak la.. korang solvekan lah sendiri problem korang
sape suruh tak ingat pwd, sape suruh tak ingat itu tak ingat ini
mintak tu mintak ni..
takkan semua aku nak ingatkan.

huhuhuhu ni luahan orang makan gaji cam aku yang kerja nya kena ikut dan support orang aje.. huhuhuh tak tahan gak aku kalu lelama gini.
sabar pun sabar la jugak tapi kalu dah aku tension tahap gaban cam ni
aku kena cari jalan.. aku dah janji dengan anak aku nak balik awal hari ni nak bawak diorang gi jalan kat taman tapi jawabnya hari ni aku balik lewat lagi.

Tau la aku ni jahat bukan 8 hours straight support user,.. tapi tah le.. blog ko bleh tolong aku selesaikan masalah aku ni tak?

En blog,
aku nak blah dah nih.byebyebye
nenanti lain kali kalau aku bengang lagi, aku dating dengan en blog lagi ya,
en blog je yang faham perasaan aku.
byebyebyebye assalamualaikum.
posted by Mirip at 5:32 PM 0 comments